Pages

Sunday, May 30, 2010

Latihan, kebajikan tentera darat diutamakan

Sumber utusan
KUALA LUMPUR 24 Mei - Aspek latihan dan kebajikan anggota akan menjadi keutamaan Panglima Tentera Darat (TD) yang baharu, Jeneral Datuk Zulkifeli Mohd. Zin, untuk memastikan angkatan bersenjata itu disegani kawan dan digeruni lawan.

Beliau berkata, tiada gunanya angkatan tentera itu memiliki aset persenjataan tercanggih tetapi pada masa sama aspek latihan yang bertujuan membangunkan modal insan berkualiti dipinggirkan dan kebajikan anggota tidak dititikberatkan.

"Aspek latihan penting kerana melaluinya kita akan memiliki anggota tentera yang berkualiti. Untuk itu, saya akan memastikan setiap anggota bermula di peringkat paling rendah iaitu seksyen mempelajari semua ilmu peperangan moden dan lama.

"Menjadi komitmen saya untuk memantapkan lagi infrastruktur serta peralatan latihan termasuk sistem simulasi tempur,'' katanya sempena perutusan sulungnya selaku Panglima TD di Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.

Hadir sama timbalannya, Leftenan Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin serta Panglima Medan TD, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi.

Keutamaan tersebut merupakan aspek yang terkandung dalam dua dimensi pertahanan yang digariskan Zulkifeli pada era pentadbirannya iaitu kesiapsiagaan keupayaan tempur dan kualiti hidup.

Menyentuh kebajikan anggota, Zulkifeli sedar bahawa keselesaan dan kesempurnaan hidup akan meningkatkan kualiti perkhidmatan serta produktiviti setiap anggota tentera.

"Saya akan terus memberi keutamaan dalam pembangunan prasarana terutama melibatkan pembinaan kem-kem baru, rumah keluarga serta menambah baik kem sedia ada melalui projek Tentera Prihatin.

"Apa yang penting, kualiti kehidupan kita tidak boleh ketinggalan sejajar dengan kemakmuran negara. TD juga melalui Kementerian Pertahanan sedang berusaha menambah baik insentif serta ganjaran perkhidmatan sedia ada,'' ujarnya.

Menurut Zulkifeli lagi, bagi menyokong dua dimensi pentadbiran yang digariskannya, beliau menitikberatkan lima teras utama iaitu kesetiaan, integriti, kesatuan, pengorbanan dan keunggulan anggota pasukan keselamatan itu.

No comments:

Post a Comment