Sumber:utusan
Oleh ARIF NIZAM ABDULLAH
utusanjohor@utusan.com.my
“
JOHOR BAHRU 21 Jan. – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menempatkan stesen asas radar di sepanjang pantai negeri ini bagi meningkatkan pengawasan penyeludupan secara haram.
Panglima 7 Briged Infantri, Brigedier Jeneral Datuk Abu Musa A. Rahman berkata, pada masa ini pihaknya telah menjalankan proses uji nilai ke atas stesen itu dan penempatan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas jumlah penempatan stesen asas radar yang akan terlibat kerana ia melibatkan soal keselamatan negara.
“Penempatan stesen itu akan membolehkan pengawasan perairan menjadi lebih berkesan kerana ia boleh mengesan bot-bot sebaik sahaja berlepas dari negara jiran menuju ke negara ini.
“Keberkesanan dan keperluan penempatan stesen telah terbukti efektif menerusi Ops Pasir yang dijalankan di Sabah dalam mengawasi perairan di sana,” katanya pada sidang akhbar selepas perbarisan ulang tahun ke-39 Briged 7 di Kem Majidee di sini hari ini.
Majlis tersebut dihadiri lima kontijen dari seluruh negeri yang melibatkan seramai 21 pegawai dan 210 anggota pelbagai pangkat.
Mengulas lanjut, Abu Musa berkata, ATM kini berdepan cabaran besar menyelesaikan tiga ancaman utama di negeri ini membabitkan soal keselamatan negara.
Beliau berkata, masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) dijangka terus berlaku berikutan kedudukan Johor yang hampir dengan negara jiran selain perbezaan taraf ekonomi.
Katanya, ancaman seterusnya melibatkan penyeludupan keluar masuk barangan seperti rokok dan terbaru, haiwan eksotik.
“Ancaman ketiga adalah penyeludupan manusia terutamanya dari Sri Lanka dan Bangladesh yang memasuki negara ini secara sah sebelum mereka transit ke negara ketiga.
“Namun semua ancaman itu terkawal berikutan tertubuhnya Jawatankuasa Keselamatan Negeri dan masyarakat tidak perlu berasa bimbang dengan tahap keselamatan di negeri ini,” katanya.
Beliau menyeru rakyat agar bekerjasama dengan anggota keselamatan dengan menyalurkan maklumat bagi memerangi ancaman penyeludupan di negara ini.
No comments:
Post a Comment