Sumber: Utusan
LUMUT 21 Jan. - Bekas Pegawai Pemerintah (CO) kapal KD Seri Inderapura milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terbakar pada 8 Oktober lalu di sini akan dihadapkan ke Mahkamah Tentera di pangkalan TLDM Lumut Isnin ini.
Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, seorang pegawai pemerintah perlu bertanggungjawab dengan apa yang berlaku ke atas kapalnya termasuk menentukan aset hak milik negara berada di dalam keadaan selamat.
Kata beliau, TLDM boleh menerima hakikat kebakaran tersebut tetapi bukan sehingga 'kehilangan' kapal itu kerana ia menunjukkan wujud banyak kelemahan.
"Sebagai contoh, kemalangan jalan raya boleh berlaku tetapi kita tidak boleh terima apabila melibatkan kehilangan nyawa kerana ia menunjukkan banyak aspek sudah melampaui batasan.
"Sama juga dengan kemalangan kapal ini, ia menunjukkan anggota kurang terlatih, sistem tidak beroperasi dengan baik atau anggota tidak menunjukkan semangat yang tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Istiadat Pelucutan Tauliah KD Seri Inderapura dan kapal tunda KTD Sotong di pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini.
KD Seri Inderapura yang ditauliahkan dalam perkhidmatan TLDM pada 31 Januari 1995, terpaksa dilucutkan tauliah selepas rosak teruk dalam kebakaran yang berlaku pada 8 Oktober 2009, dipercayai berpunca daripada litar pintas.
Sepanjang khidmatnya selama 14 tahun, kapal pendarat terbesar milik TLDM itu telah mengharumkan nama negara dengan terlibat dalam pelbagai misi dan operasi luar negara termasuk menyelamatkan tebusan lanun di perairan Somalia.
Kapal dengan nama asalnya USS Spartanburg County itu dibina di San Diego, California, Amerika Syarikat (AS) pada 1970.
Ia kemudian diserahkan kepada Kerajaan Malaysia pada 16 Disember 1994 selepas dilucutkan tauliah dalam perkhidmatan Tentera Laut AS.
Dalam pada itu, Abdul Aziz memberitahu, pihaknya telah meneliti laporan lembaga siasatan kebakaran KD Seri Inderapura dan telah mengambil beberapa langkah untuk mengatasi kelemahan yang mungkin wujud.
"Saya akui ada beberapa kelemahan dan ia telah diberi penumpuan kerana kita sebuah agensi yang bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan aset negara," katanya.
Mengulas mengenai kedudukan KD Seri Inderapura dan KTD Sotong, beliau berkata, dua kapal tersebut akan diserahkan kepada Kementerian Pertahanan untuk dilupuskan.
"Ada cadangan supaya KD Seri Inderapura dijadikan tukun tetapi ini akan menjejaskan ekologi laut dan oleh itu, kita akan melupuskannya.
"Bagaimanapun, kita akan ambil barang bernilai sejarah pada kapal ini untuk disimpan sebagai artifak seperti papan nama kapal yang terbakar," katanya.
No comments:
Post a Comment