Pages

Wednesday, June 24, 2009

PANGLIMA HITAM- KAPAL DIRAJA BARU TLDM

Sumber: Majalah Perajurit Edisi Jun 2009
Oleh: Hamzah hd.

Di usia 75 tahun, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai angkatan maritim semakin jelas memanifestasikan komitmen terhadap pertahanan negara. Ianya bukan sahaja dalam konteks perolehan aset-aset strategik malahan juga peningkatan keupayaan kepada modal insan di dalam unit-unit kecil dengan semakan pembaharuan dari masa ke semasa seumpama doktrin, hala tuju, pemakaian dan peralatan diri dan persenjataan yang sekaligus menyuntik jati diri dan semangat baru di dalam menjalankan tugas.

Pasukan Khas Laut (PASKAL) adalah di antara aset elit TLDM yang sudah mencipta nama sebaris dengan pasukan khusus negara-negara maju berdasarkan penglibatan dan keberjayaan mereka di dalam operasi-operasi domestik dan juga di peringkat antarabangsa sejak penubuhannya lagi.

Kelahiran PASKAL tidak bermula dengan terus berlari. Ianya bermula dari bertatih, merangkak dan menilai pembangunan persekitaran untuk menjadikan pasukan ini cepat matang. Jasa dan pengorbanan veteran PASKAL yang memangkin keunggulan PASKAL hari ini ibarat batu-batu hitam yang kini sudah menjadi permata. Gugusan Semarang dan Peninjau (GSP) yang moden pada hari ini adalah hasil rintisan mereka yang tidak kenal erti takut dan gentar membentengi diri mereka di persempadanan laut negara dari ancaman tentera dari negara-negara yang sama-sama membuat tuntutan.

Evolusi pembangunan dari segala aspek PASKAL turut berubah mengikut peredaran masa dan keperluan semasa pertahanan negara dari ancaman domestik dan global. Pembangunan bukan sahaja dari konteks prasarana, doktrin dan kecekapan malah sejak penubuhan, PASKAL telah menggunakan skim pakaian yang pelbagai mengikut perkembangan dan terkini sedang memperagakan pakaian pasukan khusus yang telah mengambil kira kesan jangkamasa panjang, anatomi sains sukan dengan mengekalkan standard yang ditetapkan.

Pentauliahan Kapal Diraja Panglima Hitam

Menjadi tradisi Tentera Laut, sesebuah unit baru yang ditauliahkan akan menggunakan awalan Kapal Diraja (KD). Ianya disesuaikan dengan pengiktirafan yang tidak ternilai yang diberikan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong kepada sesebuah unit yang amat berjasa.

Upacara Penamaan dan pentauliahan KD PANGLIMA HITAM telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Yang Berbahagia Laksamana Dato’ Sri Abdul Aziz bin Haji Jaafar pada 15 April 2009 dalam suatu istiadat tradisi TLDM yang penuh gemilang di Pangkalan TLDM Lumut Perak.

Kepten Abdul Malik bin Haji Daud TLDM yang sebelum ini menjawat sebagai Pegawai Memerintah PASKAL Lumut telah telah diberi tanggungjawab untuk meneruskan kesinambungan menerajui KD PANGLIMA HITAM sehingga kepada suatu tarikh yang akan ditetapkan.

Pentadbiran dan operasi rutin KD PANGLIMA HITAM adalah diletak di bawah naungan Markas Armada manakala operasi khas akan dilaksanakan dengan perintah Panglima Tentera Laut.

Sesungguhnya pentauliahan ini telah melakar sejarah baru di dalam memartabatkan PASKAL sebagai sebuah unit pengempur yang berwibawa dan digeruni di medan peperangan maritim.

Sejarah Paskal Dan Penglibatan

Rejimen Keselamatan (RK) yang berpangkalan di Woodland Singapura merupakan asas kepada pembentukan PASKAL. Komposisi RK yang didominasikan oleh anggota-anggota dari Cawangan Kelasi diberi tanggungjawab menjaga lokasi-lokasi strategik TLDM seperti Pintu-pintu Gerbang, Depoh Peluru dan sebagainya.

Kumpulan pertama dari RK ini telah dihantar ke Surabaya, Indonesia pada tahun 1977 untuk menjalani latihan asas sebagai anggota komando. Kumpulan perintis ini kemudiannya dihantar ke Pusat Latihan Peperangan Khas Sungai Udang, Royal Marine Commando United Kindom dan Basic Underwater Demolition (BUD) SEAL di Amerika Syarikat. Berpindah dari KD MALAYA Woodland ke Lumut pada tahun 1981 dan membuka penempatan baru yang dibina sendiri oleh pasukan ini di satu lokasi dan melatih lebih ramai lagi anggota-anggota komando untuk memenuhi keperluan penugasan.

Setelah Jawatankuasa Petugas Organisasi dan Perjawatan meluluskan perjawatan PASKAL sebagai unit baru maka pada tanggal 1 Oktober 1992 secara rasminya Pasukan PASKAL ditubuhkan. Penubuhan rasmi ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperluaskan kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) kepada 200 batu nautika.

Dalam usaha memperkukuhkan tuntutan ke atas Perairan Kepulauan Spratly yang menjadi isu tuntutan bertindih oleh beberapa buah negara serantau, maka Majlis Keselamatan Negara (MKN) No.18 Kerajaan Malaysia telah memberi mandat kepada PASKAL sebagai pasukan penggempur lawan keganasan maritim pada tahun 1991 sebagai benteng di barisan hadapan persempadanan maritim.

Sepanjang perkhidmatan di dalam TLDM, jasa dan pengorbanan pasukan ini sangat besar kepada negara. Penglibatan PASKAL dalam operasi-operasi khas telah memberi impak besar kepada kestabilan dalam negara dan telah menjulang nama negara di persada antarabangsa.

Tahun 1980an – Melaksanakan penempatan anggota di Gugusan Semarang Peninjau (GSP).
Tahun 1988 – Melaksanakan misi menyelamat di Maldives.

Tahun 1995 – Melaksanakan misi pengunduran Pengunduran UNUSOM II di Somalia.

Tahun 1996 – Terlibat dalam penghantaran pulang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dari Vietnam.

Tahun 1999 – Melaksanakan OP SRI PETALING, iaitu penempatan modiul PAPA dan SIERA di GSP.

Tahun 2000 – Melaksanakan pengumpulan maklumat bagi perancangan dan perlaksanaan OP PADAN.

Tahun 2003 – Penubuhan KD SRI SEMPORNA (Unit 2) bagi menangani isu-isu persempadanan di Pulau Sipadan, Ligitan dan Sabah Timur.

Tahun 2005 – Melaksanakan pengumpulan maklumat di Batuan Unarang yang menjadi pertikaian dan tuntutan bertindih.

Tahun 2008 – OP FAJAR 1/08 – Misi membebaskan MV BUNGA MELATI 2 dan MV BUNGA MELATI 5 di Telok Aden.

Tahun 2009 _ OP FAJAR 2/08 dan 3/08 – Mengiringi kapal MISC bagi menafikan serangan lanun ke atas kapal dagang.

Usaha peningkatan dan pembangunan PASKAL terus diberi perhatian oleh pimpinan tertinggi TLDM pada masa itu di mana satu Markas yang lebih moden dan bersistematik telah dibina dan telah dirasmikan penggunaanya oleh mantan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dato’ Seri Abu Bakar bin Abdul Jamal pada 1 Oktober 2001.

Setelah hampir 27 tahun PASKAL beroperasi akhirnya unit ini diberi pengiktirafan sebagai Kapal Diraja.

Pemodenan TLDM umumnya atau PASKAL khususnya tidak akan berakhir selagi teknologi pertahanan global sentiasa berubah dan menuntut komitmen bagi memenuhi keperluan ancaman semasa. Kepulangan dua buah kapal selam negara akan menambah lagi satu dimensi yang menuntut PASKAL melakukan penyesuaian untuk mengisi keperluan operasi bersepadu dengan kapal selam yang menjanjikan pelbagai tipu helah taktikal yang mesti di garap dan dioptimumkan. Sebagai pewaris keperwiraan Panglima Hitam, PASKAL pasti boleh!!.

Sejarah Panglima Hitam

Nama KD PANGLIMA HITAM telah diilhamkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj Ibni Al Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al Haj selaku Kepten Yang Dipertua TLDM.

Berdasarkan kepada beberapa kajian, Panglima Hitam ada terdapat di mana-mana kesultanan kerajaan melayu di negara ini. Panglima Hitam merupakan gelaran yang dianugerahkan kepada pahlawan melayu yang mempunyai sifat keberanian dan sikap taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Baginda Sultan dan kerajaan. Merupakan seorang pendekar yang memiliki ilmu kebatinan dan sangat handal di dalam permainan senjata serta mahir dalam tipu helah peperangan.

Sejarah gelaran Panglima Hitam juga boleh dikesan sehingga hari ini seperti fakta berikut:

- Panglima Hitam (Taiping). Merupakan seorang pendekar tujuh bersaudara berketurunan Raja Bugis yang berasal dari Makasar, Sulawesi. Semasa belayar beliau telah singgah dan seterusnya menetap di Kuala Larut. Manakala saudaranya telah meneruskan perjalanan ke Kepulauan Melayu yang lain. Sepanjang hayatnya beliau sentiasa memakai pakaian hitam dan mempunyai ilmu mempertahankan diri yang sangat tinggi berbanding saudaranya yang lain.

- Panglima Hitam (Kuala Selangor). Merupakan Pengawal kepada Al Marhum Sultan Ibrahim, Sultan Selangor yang ke 2 dan Al Marhum Sultan Muhammad, Sultan Selangor yang ke 3 semasa hayatnya. Kesetiaan Panglima Hitam ini tidak berbelah bahagi dan setelah kematiannya telah dikebumikan di samping makam-makam Al Marhum di Bukit Malawati. Sebelum Panglima Hitam ini meninggal dunia secara tegas beliau telah berwasiat supaya dikebumikan di luar makam Diraja. Wasiat Panglima Hitam ini mencerminkan tanggungjawab dan kesetiaan beliau yang tidak berbelah bahagi dan tiada bandingnya sehingga ke akhir hayat.

- Panglima Hitam (Jugra). Merupakan seorang pengawal semasa pemerintahan Al Marhum Sultan Abdul Samad, Sultan Selangor ke 4. Mengikut lisan dari orang tua-tua, Panglima Hitam ini bernama Daeng Ali dan pusaranya terdapat di Makam Diraja Jugra.

- Panglima Hitam (Muar Johor). Panglima Hitam atau Baginda Zahiruddin berasal dari Padang Pariaman Minangkabau, Pualau Sumatera Indonesia. Merupakan Pengasas Silat Lintau di Indonesia dan seterusnya ke Tanah Melayu pada abad ke 16. Beliau telah berkerjasama dengan penduduk tempatan dan berjaya menumpas dan menghapuskan lanun di Muara Sungai Muar.

- Panglima Hitam (Segamat Johor). Panglima Hitam yang telah mengalahkan pemberontak dalam Perang Jementah dan pusaranya terdapat di daerah Segamat Johor.

Panglima Hitam sangat digeruni malahan hingga ke hari ini. Sejarah dan mitos Panglima Hitam masih tetap menjadi lambang dan tokoh keberanian. Ianya juga melambangkan seorang yang gagah, tinggi martabat dalam ketenteraan dan bijaksana dalam strategi peperangan yang perlu dicontohi.

Berdasarkan ciri-ciri ketaatsetiaan, kegagahan luaran dan dalaman yang dimiliki oleh seorang pendekar yang dikenali dengan gelaran Panglima Hitam,
sikap dan sifat yang sama perlu diwarisi dan dicontohi oleh semua warga PASKAL yang merupakan unit khas yang berkemahiran tinggi di dalam medan pertempuran maritim. Legasi Panglima Hitam perlu diberi kesinambungan. Justeru, penamaan PASKAL kepada Panglima Hitam adalah amat bertepatan. PERAJURIT

Logo KD PANGLIMA HITAM

TRIMEDIA. Merupakan lencana pelbagai kemahiran yang menggabungkan keupayaan anggota beroperasi di darat , laut dan udara.

WARNAHITAM. Ketrampilan pemakaian tim gempur PASKAL supaya sukar dikesan dan bergerak pada waktu gelap untuk bertindak dan menyerang.

LAUT. Merupakan medium yang digunakan untuk penyusupan ke sasaran dan sukar dikesan.

Misi

Siap sedia untuk aturgerak pasukan penggempur bagi menangani krisi maritim demi keselamatan dan kepentingan aset serta kesejahteraan negara.

Visi

Sebuah pasukan penggempur elit maritim yang kredibel, mampan, berwibawa serta digeruni di medan peperangan khas maritim.

Motto

Tegas bermatlamat dan berjiwa pemberani.

No comments:

Post a Comment