Pages

Wednesday, June 24, 2009

Misi ulung kapal Auxiliary Bunga Mas 5 ke Teluk Aden

LUMUT 23 Jun - Kerjasama dan perkongsian strategik antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Malaysian International Shipping Corporation Bhd. (MISC) direalisasikan menerusi pelayaran kapal Auxiliary Bunga Mas 5 (BM 5) ke perairan Teluk Aden hari ini.

Panglima Armada, Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Badaruddin berkata, perkongsian itu menggabungkan kekuatan ketiga-tiga pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurutnya, krew BM 5 yang telah diserapkan ke dalam Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM) bagi melaksanakan operasi menjaga keselamatan kapal-kapal dagang Malaysia yang berkepentingan.

Tambah beliau, pengoperasian kapal BM 5 melakar sejarah tersendiri apabila muncul sebagai kapal dagang yang ditransformasikan menjadi sebuah kapal Auxiliary TLDM bagi merealisasikan hasrat pertahanan menyeluruh negara.
"BM 5 bersaiz 132.8 meter panjang dan 22.7 meter lebar berupaya beroperasi dalam kelajuan lebih 17 knot.

"Kapal ini dilengkapi hangar menempatkan pesawat Super Lynk dan bot tempur milik TLDM untuk melaksanakan operasi defensif mahu pun ofensif jika diperlukan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ahmad Kamarulzaman, kapal tersebut memulakan pelayaran dari jeti operasi pangkalan TLDM Lumut pukul 8.10 minit pagi tadi dan untuk tempoh tiga bulan pertama, diletakkan di bawah pemerintahan Komander Ahmad Zaki Abdullah.

"Pelayaran itu disertai 59 anggota kapal terdiri daripada 21 krew tetap kapal yang diserap serta dilatih sebagai PSSTLDM dan diperkuat dengan kehadiran Pasukan Khas Laut (Paskal) serta pasukan lain yang diiktiraf kemahiran mereka," katanya.

Lima kapal TLDM ditugaskan ke perairan Teluk Aden sejak operasi itu dilancarkan pada Ogos 2008. BM 5 dijangka beroperasi di perairan Teluk Aden sehingga penghujung September ini.
Turut mengiringi BM 5 di perairan Pulau Pangkor ialah KD Perak, aset baru dalam inventori TLDM.

No comments:

Post a Comment