Pages

Monday, April 27, 2009

Ulasan POLL

Apa yang telah berlaku dalam scenario politik Malaysia selepas peralihan kuasa baru-baru ini telah mengejutkan ramai pemerhati politik dan ketenteraan kerana buat pertama kali kabinet baru Perdana Menteri YAB Dato Seri Najib telah melantik seorang Mejar Jeneral TD (Dato' Mejar Jeneral (B) Jamil Khir Bin Baharom) yang sedang berkhidmat menjadi senator sekaligus melayakkan beliau dilantik menjadi menteri penuh. Walaupun YB Senator diberi kepercayaan untuk mengetuai potfolio ugama berdasarkan bidang terasnya, adalah tidak mustahil pada masa akan datang potfolio pertahanan juga boleh diuji cuba dari kalangan Panglima ATM sendiri.

Topik
Memandangkan Menteri Pertahanan bukan dari kalangan anggota tentera, perlukah ada seorang Senator (Bekas Panglima ATM) dilantik untuk mengkoordinasikan kepentingan ATM semasa perdebatan di Parlimen?

a. Sangat Perlu- 29 orang (85%)
b. Ada tak apa, tak ada pun tak apa -1 orang (2%)
c. Tak perlu -2 orang (5%)
d. Memadai dengan Menteri Pertahanan dan Timbalannya - 3 orang (8 %)

Ulasan 1
Hasil partisipasi oleh 35 orang responden yang telah mengambil bahagian, seramai 29 orang (85%) telah bersetuju jika seorang senator dilantik (dari kalangan mantan-mantan Panglima ATM) dan berada di dalam kabinet bagi mengimbangi dan memberi penjelasan tentang keperluan dan permasalahan ATM.

Admin tidak tahu langsung latar belakang responden-responden yang telah mengambil bahagian dalam undian maya ini samada mereka-mereka ini berlatarbelakangkan politik atau pun ketenteraan maupun orang biasa yang tidak tahu langsung dalam senario pertahanan negara. Namun pada andaian admin undian ini semuanya datang dari peminat dan pemerhati ATM yang mahukan suatu keadaan yang lebih positif berlaku di persada pertahanan tanahair yang mana sekarang ini lonjakan untuk pembangunan aset-aset strategik dan perihal kebajikan modal insan ATM menghadapi banyak kekangan yang berakhir di Parlimen. Ini tidak bermakna MP dan TMP dari kalangan ahli politik awam tidak mampu atau berdaya untuk memberi keyakinan semasa berhujah cuma kemungkinan yang boleh diandaikan ialah jika individu-individu yang arif dalam bidang itu sendiri yang berhujah, ianya berkemungkinan akan lebih ‘perhatikan’ kerana hujahan yang lahir itu terkeluar dari isi dalaman keseluruhan warga yang diwakilinya.

Ulasan 2
8 peratus yang diwakili oleh 3 orang pengundi membuat pendirian bahawa Menteri Pertahanan dan Timbalannya masih lagi relevan untuk menjadi wakil kepada keseluruhan anggota ATM di Parlimen di dalam merencanakan semua keperluan ATM dan aspek-aspek lain dengan mengambil kira suara-suara dan cadangan-cadangan dari akar umbi disalurkan melalui divisional prosedur . Ini bermakna struktur yang ada sekarang di Kementerian Pertahanan perlu dikekalkan.

Ulasan 3
2 orang responden menegaskan yang cadangan ini tidak perlu sama sekali dan 1 orang yang bersikap berkecuali.

Walau apa pun alasannya, ianya adalah merupakan pandangan peribadi responden samada ianya mempunyai ulasan-ulasan tertentu yang konkrit dan spesifik sama-sama lah kita tunggu (jika ada) komen-komen yang bakal di beri follow up selepas ini.
Sekian terima kasih. MP

Tabik kepada armada tentera laut

Sumber: Berita Harian Online
Oleh: Jalal Ali Abdul Rahim
jalal@bharian.com.my

KETIBAAN kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman pada 25 Julai ini, ibarat hadiah paling berharga dan tiada tolok bandingnya buat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang meraikan ulang tahun ke-75 penubuhannya, hari ini.

Ketibaan kapal selam jenis Scorpene yang kini menjalani latihan dengan dikendalikan sepenuhnya krew TLDM di perairan Perancis serta sebuah lagi, KD Tun Abdul Razak bakal tiba tahun depan, mampu meningkatkan keupayaan pasukan itu dalam menjaga kedaulatan perairan negara, sesuai dengan perubahan semasa geopolitik, ekonomi, sosial, dasar dan perundangan negara, serantau dan antarabangsa.

Dalam konteks negara serantau, Malaysia adalah negara ketiga memiliki kapal selam selepas Indonesia dan Singapura.

Apa yang pasti, pembelian kapal selam antara paling canggih daripada jenis diesel-elektrik di dunia pada masa ini, mempamerkan iltizam kerajaan dan TLDM melaksanakan modenisasi pasukan itu, bermula era kapal kayu dihadiahkan Kerajaan Britain ketika penubuhannya hingga kini menjadi pasukan disegani serta dilengkapi aset berteknologi tinggi.

Tanggungjawab TLDM turut menjadi buah mulut ramai melalui pembabitannya dalam misi Ops Fajar bagi membebaskan dua kapal MISC, MV Bunga Melati Dua dan MV Bunga Melati Lima serta krewnya yang ditawan lanun Somalia di Teluk Aden, akhir tahun lalu. Tugas itu tidak bernoktah di situ, sebaliknya TLDM terus menempatkan kapalnya mengiringi kapal dagang MISC bagi memastikan tidak lagi menjadi sasaran lanun. Sehingga kini lima kapal TLDM ditugaskan di Teluk Aden iaitu KD Lekiu, KD Sri Inderapura, KD Mahawangsa, KD Sri Inderasakti dan terakhir KD Hang Tuah, yang masih lagi beroperasi di perairan itu.

Beberapa perkembangan lain yang sudah dan akan disempurnakan hari ini, termasuk Pentauliahan dan Penamaan Pasukan Khas Laut (Paskal), iaitu pasukan elit TLDM sebagai KD Panglima Hitam; pengisytiharan bandar Lumut, Perak sebagai Bandar Tentera Laut; pelancaran buku Jubli Intan, jurnal, setem dan syiling kenangan serta perasmian Pusat Sumber Maritim dan Sejarah TLDM, pelancaran buku Brown to Blue bagi menggambarkan evolusi TLDM, menyemarakkan lagi pengiktirafan tanggungjawab TLDM dan sambutan ulang tahun pasukan itu. Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar selaku 'nakhoda' TLDM, gembira melihat perubahan TLDM yang kini memiliki armada yang dilengkapi keupayaan perang tiga dimensi, iaitu permukaan, udara dan bawah air. TLDM juga sudah beranjak ke pentas antarabangsa yang dibuktikan dengan bantuan kemanusiaan akibat tsunami, bantuan keselamatan di Timor Leste dan operasi di Teluk Aden sendiri.

"Dalam erti kata lain era 'Blue Water Navy' sudah bermula. Armada TLDM sudah dilengkapi dengan kapal ronda NGPV (Kapal Peronda Generasi Baru) serta sokongan udara daripada skuadron helikopter Super Lynx dan Fennec. Kini, keupayaan TLDM bakal dipertingkatkan lagi dengan kehadiran kapal selam. "Armada masa depan ialah angkatan laut yang seimbang dalam keupayaan dimensi peperangan permukaan, udara dan bawah air yang berkesan.

"Justeru, TLDM akan menerokai, membangun, menguji dan mengguna pakai konsep dan teknologi terkini sebagai kerangka untuk transformasi apabila berurusan dengan keupayaan sistem pertahanan maritim masa depan," katanya. Abdul Aziz mengaku kewangan, khususnya ketika kegawatan ekonomi menjadi kekangan utama bagi pasukan menukar aset lama kepada baru dan meningkatkan teknologi, tetapi ia bukan alasan kepada TLDM untuk tidak meningkatkan kesiapsiagaan, sebaliknya menghadapi cabaran itu dengan memastikan aset sedia ada dioperasikan secara optimum menerusi perancangan, budaya penyelenggaraan rapi serta latihan berterusan bagi mempersiapkan warga TLDM berkemahiran tinggi mengendalikan aset sedia ada, mahupun yang bakal diperoleh.

Justeru, pembangunan keupayaan warga tentera laut berkualiti menjadi satu agenda utama TLDM. Abdul Aziz menegaskan, dengan aset dan kemampuan sedia ada, TLDM mampu menempatkan aset utamanya di Selat Melaka, perairan Pantai Timur Semenanjung, pantai barat Sabah, Laut Sulawesi dan kawasan Gugusan Semarang Peninjau (GSP) pada setiap masa.

Mengenai penambahan kapal selam, beliau mengakui ia tidak boleh dilakukan dalam jangka masa terdekat kerana TLDM memerlukan masa untuk menimba pengalaman serta kemahiran di dalam bidang ini bagi memastikan kapal selam TLDM dapat dioperasikan dengan selamat dan berkesan.

"Kehadiran aset 'Force-multiplier' kapal selam ini akan meningkatkan keupayaan TLDM secara drastik. Ia seiring hasrat TLDM mahu mewujudkan angkatan laut yang lebih berkemampuan dan berwibawa dalam mendukung Dasar Pertahanan Negara," katanya.

Pengorbanan seluas samudera

Sumber : Utusan online

Oleh: AMIR SARIFUDIN



USIA 75 tahun bukanlah tempoh yang singkat. Bagi angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), tempoh sepanjang itu ditempuhi dengan pelbagai cabaran selain berdepan dengan laluan berliku yang penuh pahit-getir.

Pada masa yang sama, banyak perubahan telah berlaku dalam angkatan lautan samudera itu. Sama ada melibatkan pucuk pimpinan, aset-aset berkaitan, kemahiran dan pelbagai lagi.

Satu ketika dulu mungkin tidak terlintas bahawa Malaysia sebagai sebuah negara 'kerdil', mampu memiliki kapal selam serta aset-aset ketenteraan yang canggih. Tetapi itulah antara perubahan yang berlaku dalam TLDM.

Tidak keterlaluan jika dikatakan rakyat dan dunia harus memberi "tabik hormat" kepada TLDM di atas segala pencapaian dan juga pengorbanan yang dicurahkannya.
Pengorbanan TLDM bukan sahaja untuk negara, malah meliputi keselamatan antarabangsa seperti penghantaran kapal serta anggota ke Teluk Aden bagi menangani ancaman lanun.

Perlulah diingat, ia melibatkan kos yang amat tinggi namun demi keselamatan kapal-kapal dagang milik Malaysia dan negara lain, langkah itu tetap diambil.
Walaupun diiktiraf oleh negara dan dunia luar, TLDM tidak pernah mendabik dada dan jauh sekali berpuas hati dengan kejayaan yang dicapai.

Bagi angkatan itu, perkembangan dalam TLDM harus berterusan menerusi anjakan paradigma bagi mengekalkan kewibawaannya.

Sempena Jubli Intan TLDM, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar mengingatkan setiap pegawai dan anggotanya agar tidak terleka dalam menjaga keselamatan negara.

Beliau mengakui TLDM sentiasa merancang untuk lebih maju sama ada secara jangka pendek mahupun jangka panjang.
"Kita akan pastikan warga TLDM mendapat kepakaran yang mencukupi dan relevan. Berdasarkan perkembangan teknologi serta perolehan aset seperti kapal selam, pegawai dan anggota terlibat akan mendapat latihan secukupnya supaya mahir mengendalikan aset tercanggih di rantau ini.

"TLDM juga mempunyai peruntukan untuk memastikan pegawai dan anggota dihantar menjalani kursus-kursus pengendalian sistem di atas kapal perang," katanya.
Abdul Aziz juga menegaskan, angkatan itu akan meneruskan kerjasama bagi mewujudkan persefahaman dengan angkatan laut negara jiran seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan negara lain.

Sementara itu, antara pencapaian TLDM dalam mengharumkan nama negara ialah pelayaran mengelilingi dunia dan menyertai pertandingan peringkat antarabangsa, Tall Ships Races.
Pelayaran selama 410 hari oleh KLD Tunas Samudera telah merentasi banyak kawasan termasuk Lautan Hindi, Atlantik dan Pasifik. Kemampuan itu memperlihatkan bahawa warga TLDM benar-benar mampu bergelar "angkatan samudera biru" dan bersedia pada bila-bila masa.

Menjawab pertanyaan, Abdul Aziz menegaskan, pemilikan kapal selam merupakan aset strategik kepada pertahanan negara.
"Ia mempunyai faktor yang menyumbang kepada peningkatan keupayaan pertahanan negara. Justeru, sudah tentu kapal selam diperlukan oleh TLDM bagi melengkapkan keupayaannya dalam semua dimensi peperangan maritim," katanya.

Pemilikan kapal selam serta aset-aset lain di samping peranan TLDM sendiri, adalah sejajar dengan konsep Malaysia sebagai sebuah negara maritim. Bila disebut sebuah negara maritim, bermakna tanggungjawab menjaga keselamatan dan kedaulatan wilayah perairan, sempadan dan keamanan negara adalah amat berat dan rumit.

Ia melibatkan pengawasan garisan sempadan bagi mengelak berlaku pertikaian ke atas sesebuah kawasan perairan dengan negara jiran. Abdul Aziz menambah, pemilikan aset-aset seperti kapal selam juga telah meningkatkan keupayaan TLDM secara drastik.

"Ia seiring dengan hasrat TLDM untuk mewujudkan angkatan laut yang lebih kredibel dan berwibawa dalam mendukung Dasar Pertahanan Negara," katanya.
Sempena Jubli Intan TLDM juga, Abdul Aziz berkata, banyak perubahan telah berlaku dalam TLDM sejak zaman awal penubuhannya, pertengahan dan selepas 75 tahun ini.

Bagi beliau, perkembangan angkatan itu turut dipengaruhi oleh perubahan semasa seperti aspek geopolitik, ekonomi, sosial, dasar dan perundangan di peringkat dalam negara, serantau mahupun antarabangsa. Keadaan itu telah melibatkan pertambahan aset bagi memenuhi keperluan sebuah angkatan laut seperti TLDM.

Angkatan yang ditubuhkan pada 1934 itu pada mulanya lebih menumpukan kepada kerjasama dengan Tentera Laut Diraja British bagi mempertahankan Malaya dan negara jajahan Britain.
Beberapa tahun kemudian, dengan peningkatan aset seperti kapal ronda pesisiran pantai dan warganya, pelaksanaan tugas difokuskan kepada keselamatan dalam negara. Selepas merdeka dan tertubuhnya Malaysia, TLDM telah menerokai era pesisiran pantai kepada era laut dalam bagi menjamin kedaulatan pelantar dunia negara sesuai dengan keperluan Zon Ekonomi Eksklusif negara.

Kini, TLDM telah memiliki armada yang dilengkapi keupayaan perang tiga dimensi iaitu permukaan, udara dan bawah air.

"Justeru, armada masa depan adalah angkatan laut yang seimbang dalam keupayaan tiga dimensi itu. TLDM akan meneroka, membangun, menguji dan mengguna pakai konsep dan teknologi terkini sebagai rangka kerja untuk transformasi apabila berurusan dengan keupayaan sistem pertahanan maritim masa depan," katanya.

Menurut Abdul Aziz, TLDM sentiasa menetapkan visi untuk menjadi "Tentera Laut yang berkualiti". Sementara misi angkatan itu ialah "menyedia dan mengatur gerak angkatan laut untuk melindungi kepentingan maritim Malaysia semasa aman dan memastikan kemenangan ketika perang".

Kedua-dua visi dan misi ini telah dilancarkan pada 2004 dan ia masih kekal hingga sekarang. TLDM juga telah berjaya ditransformasikan kepada angkatan yang dilengkapi peralatan serba canggih dan berteknologi tinggi.

"Ini sejajar dengan visi dan misi angkatan. Perkembangan ini memberi keyakinan bahawa TLDM mampu mempertahankan kedaulatan negara," katanya.

Di samping itu menurutnya, tenaga manusia yang profesional dan berintegriti tinggi merupakan aset utama kepada organisasi tersebut. Tidak ada ertinya sebuah angkatan dengan aset yang canggih dan berteknologi tinggi tetapi modal insannya tidak berkeupayaan mengguna, menyelenggara dan memanfaatkan aset-aset tersebut dengan baik.

Sehubungan itu, pemilikan aset moden perlu sejajar dengan pembangunan modal insan yang menguasai kemahiran dan pengetahuan tinggi. TLDM juga akan memperluaskan promosi kerjaya ke sekolah-sekolah untuk menarik minat golongan muda menyertai angkatan tersebut.
"Kita mahu belia yang bersemangat tinggi menyertai TLDM dan menjadikannya sebagai kerjaya pilihan nombor satu," katanya.

Kagat menyubur jiwa ATM

Sumber: Utusan online

Oleh; Mohd. Radzi Mohd. Zin

KOR Agama Angkatan Tentera (Kagat) yang menyambut hari ulang tahun ke-24 pada 16 April lalu bukan asing bagi masyarakat Islam di Malaysia. Penubuhannya pada 16 April 1985 ternyata meningkatkan kualiti modal insan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Malah turut menjadikan nama Kagat sentiasa meniti di bibir masyarakat awam.

Tokoh-tokoh disegani seperti Brigedier Jeneral (B) Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin dan Brigedier Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad adalah antara nama besar yang amat sinonim dengan Kagat.

Ternyata darah satria pada tubuh mereka tetap mengalir walaupun bukan lagi dengan uniform tentera. Sebaliknya, kini melalui pelbagai program dakwah bersama masyarakat.

Terkini, Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri membuktikan betapa Kagat diiktiraf kehadiran dan sumbangannya dalam pembangunan Islam di Malaysia.

Sebagaimana kita maklum, Islam sebagai agama yang cintakan keamanan menuntut supaya setiap umatnya berusaha ke arah keamanan, tanpa mengira agama, bangsa dan negara, selagi kehormatan agama Islam dan keamanan orang Islam terjamin dan tidak dicabuli.

Namun, sebagai mempertahankan diri, kita dibenarkan memerangi musuh demi agama, bangsa dan negara. Peperangan adalah pilihan terakhir setelah tidak ada jalan penyelesaian.
Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Dan perangilah kerana menegakkan dan mempertahankan agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh dengan memulakan peperangan kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh. (al-Baqarah: 190)

Biarpun pada asasnya semua anggota tentera perlu menggalas senjata dan bersiap siaga sentiasa, tugas Kagat lebih istimewa. Sebabnya, mereka mempunyai tanggungjawab besar bukan sahaja semasa perang tetapi juga semasa aman.

Timbalan Pengarah Operasi Kagat, Kolonel Kamarudin Mamat berkata, antara tugas utama pihaknya adalah membantu meningkatkan profesionalisme ATM. Ia dicapai melalui dua cara iaitu pendidikan Islam dan perkhidmatan keagamaan.

Pendidikan itu terbahagi empat iaitu Dasar Pembinaan Mental dan Kerohanian ATM (PMAT) 9/91, Doktrin Ibadat di medan perang, mengguna pakai kemudahan Institut Latihan dan Kefahaman Islam (ILMI) di Port Dickson dan pelbagai program dakwah yang dijalankan.
Katanya, Doktrin Ibadat di medan perang itu adalah yang terbaru diluluskan pada 26 Februari lalu.

"Ia adalah manual untuk warga ATM laksana ibadat khususnya semasa perang. Ini adalah check list lengkap termasuk doa sebelum perang, rukhsah (keringanan) ibadat semasa perang dan bacaan tertentu menurut Islam.

"Selain itu, doktrin ini juga menekankan tentang tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak yang ditinggalkan oleh perajurit yang berperang," katanya dalam pertemuan dengan Mega di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Kamarudin, ILMI yang ditubuhkan pada 22 September 1997 juga berjaya menarik perhatian angkatan tentera asing menghadiri pelbagai kursus yang diadakan.
Antara yang pernah meninjau program kursus di ILMI adalah Angkatan Tentera Arab Saudi, Somalia, Bosnia dan Brunei.

"ILMI pernah melatih anggota tentera Bosnia melaksana tugas sebagai imam dalam kursus khas berasaskan permohonan mereka.
"Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Tentera Nasional Indonesia turut menghantar anggota mereka berkursus di ILMI," jelas beliau.

Dari segi pembangunan modal insan, Kagat membangunkan modul khas iaitu Jasmani, Rohani, Emosi dan Intelek (JERI). Ia khusus membangunkan warga ATM menjadi angkatan yang kredibel, serba boleh dan memiliki kekuatan tempur yang ampuh dari sudut kerohanian.
Menyedari kepentingan umat Islam menghayati dan mendalami al-Quran, program Kaedah Cepat Baca al-Quran (CBQ) turut dibangunkan.

Kata Kamarudin, CBQ direka khas untuk membasmi gejala 'kabur al-Quran' dalam ATM di mana anggota yang menggunakan kaedah ini dapat membaca kitab suci itu dalam masa 18 jam.
Tambahnya, CBQ menggunakan pendekatan tradisi pengajian al-Quran iaitu talaqqi dan musyafahah (pertemuan guru dan murid secara langsung).

"Pendekatan ini digarap sebagai konsep Riyadhah al-Nutq (latih tubi sebutan) seperti yang pernah digunakan sehingga berjaya melahirkan generasi terbilang zaman silam seperti Imam Hafs, Imam Warsh, Imam Asim dan lain-lain," jelas beliau.

Dalam kesibukan menggalas tanggungjawab kepada negara, Kagat juga mempamerkan kecemerlangan dalam sudut kualiti kerjanya.
Menurut Kamarudin, Jabatan Arah Kagat telah menerima pengiktirafan kualiti dari Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) melalui anugerah persijilan MS ISO 9000:2000.
"Ia merangkumi 36 prosedur kerja merangkumi semua bidang tugas utama di sel-sel Jabatan Arah Kagat.
"Tahun lalu, ILMI mendapat pengiktirafan persijilan ISO 9001:2000," katanya bangga.
Menyedari dunia ketenteraan tidak boleh dipisahkan dengan operasi, Kagat menubuhkan Pasukan Dakwah Medan (Pasdam).

Tugas Pasdam adalah menjalankan aktiviti lasak dan pada dasarnya dikhususkan untuk melaksana program-program kerohanian di kawasan operasi.
Kamarudin berkata, sehingga kini Pasdam adalah unit yang bertanggungjawab untuk pelaksanaan Program JERI di peringkat formasi ATM dan menyediakan fasilitator terlatih.
"Di samping itu, Pasdam juga menyediakan hiburan alternatif melalui kumpulan nasyidnya, Al-Fursan," katanya.

Dasar PMAT pula memperuntukkan setiap anggota ATM beragama Islam perlu memenuhi aktiviti kerohanian selama 857 jam setahun.
Di antara program yang dilaksanakan adalah sambutan hari kebesaran Islam, khemah ibadat atau qiamullail, solat jemaah dan kursus serta seminar keagamaan.

Walaupun mencipta pelbagai kejayaan, Kagat turut berhadapan banyak cabaran dalam meneruskan misinya sesuai dengan tema sambutan ulang tahun kali ini iaitu 'Kagat Penjana Kerohanian Modal Insan ATM'.

Antaranya ialah faktor dakwah secara praktikal. Setiap anggota Kagat perlu menunjukkan contoh yang baik. Mereka bertindak sebagai imam solat, menjadi pengurus jenazah dan pembimbing kepada anggota dan keluarga yang menghadapi masalah rumah tangga dan kekeluargaan.

"Pada masa yang sama, semua anggota Kagat perlu menunjukkan disiplin yang tinggi sebagai anggota tentera dan tugasan ketenteraan," jelas Kamarudin.
Seperkara lagi yang menjadi kekangan dalam Kagat ialah kekurangan anggota. Ini tidak dapat dielakkan akibat kekosongan jawatan, anggota menghadiri kursus atau terlibat dengan aktiviti di luar pasukan seperti berada di kawasan operasi.

Anggota dan pegawai Kagat turut ditugaskan di kem-kem Program Latihan Khidmat Negara dan juga misi Kontinjen Malaysia (Malcon) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

"Pegawai kita bukan sahaja bertugas sebagai pembimbing keagamaan sehingga digelar daie askari (pendakwah dan tentera) tetapi juga sebagai penterjemah di kawasan operasi Asia Barat.
"Bagaimanapun, kita kini sedang membuat pengambilan anggota lain-lain pangkat di wilayah utara," jelas Kamarudin.

Dari segi penerbitan pula, Kagat aktif mengeluarkan bahan bacaan sama ada dalam bentuk buku, majalah atau risalah. Setakat ini, kira-kira 150 judul telah diterbitkan oleh Kagat untuk manfaat warga ATM dan masyarakat umum.

Mengenai harapan sempena ulang tahun ke-24 Kagat, Kamarudin berkata, setiap warga kor itu perlu sentiasa meningkatkan penguasaan ilmu dan kemahiran.
"Gabungan aspek ini penting untuk diadun dan diolah dalam ceramah-ceramah yang disampaikan serta menjadi role model kepada masyarakat," katanya.

Memperkukuh nilai-nilai murni anggota tentera

Sumber: utusan online

Oleh BURHANUDDIN ABDUL JALAL

Sebagai sebuah elemen dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), ternyata peranan dan fungsi Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) semakin ditagih dalam usaha meningkatkan tahap profesionalisme ATM.

Dari aspek sejarah, peranan sesebuah unit atau bahagian yang berteraskan agama dalam organisasi ketenteraan bukanlah sesuatu yang baru.

Sejarah membuktikan kejayaan sesebuah angkatan perang banyak bergantung kepada nilai-nilai murni yang berjaya diterapkan kepada setiap anggota yang terlibat. Kualiti ketenteraan tidak hanya dilihat pada kejayaan yang dicapai dalam peperangan tetapi ia juga ditentukan oleh kualiti individu yang merangkumi aspek fizikal, spiritual dan mental.

Di dalam Angkatan Tentera Amerika Syarikat umpamanya, Kor Chaplin telah ditubuhkan selepas Perang Dunia Kedua. Sejak penubuhannya, jabatan ini berfungsi mengajak anggota tenteranya menerapkan nilai-nilai agama masing-masing dengan memberi bimbingan agama, mengetuai upacara keagamaan dan memberi khidmat nasihat terutamanya dalam penyelesaian masalah keluarga.

Di pangkalan-pangkalan, pembinaan gereja dan penyelenggaraannya dibiayai oleh kerajaan. Satu program khas telah dijalankan iaitu Chaplin Religious Enrichment Development Operation (CREDO) sejak tahun 1991.

Pembinaan mental

Tujuan program ini adalah menyedarkan semua pegawai dan anggota Angkatan Tentera Laut supaya menggunakan nilai-nilai agama Kristian, Islam dan Nasrani bagi meninggikan sikap integriti, amanah, komitmen dan keberanian. Program ini dikendalikan secara khemah hujung minggu. Ia mesti dihadiri oleh semua peringkat pegawai dan anggota di dalam empat peringkat iaitu personel growth, spritual growth, marriage enrichment dan teen personel growth.
Pasukan tentera lain yang turut menubuhkan Kor Chaplin adalah Angkatan Tentera Filipina (1970-an) dan Australia.

Langkah-langkah penerapan nilai-nilai agama di dalam angkatan tentera juga dilakukan di dalam Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI). Usaha itu dipanggil pembinaan mental atau BINTAL. Ia dikendalikan sebagai satu program yang terpenting dan mendahului segala bidang pendidikan sama ada pendidikan tentera atau pendidikan formal di sekolah-sekolah dan pusat pengajian tinggi.

Peningkatan kerjaya seseorang anggota tentera atau awam adalah tertakluk kepada pencapaiannya di dalam peperiksaan BINTAL.

Di Republik Arab Mesir pula, setelah diaibkan dalam peperangan Mesir-Israel pada Jun 1967, Presiden Gamal Nasser membuat siasatan mendalam terhadap punca Angkatan Tentera Mesir tidak berupaya menentang Israel.

Siasatannya mendapati antara punca kekalahan tersebut ialah latihan ketenteraan tidak dikendalikan secara profesional, peralatan tentera yang tidak diselenggara dengan sempurna di mana hanya sekitar 20 peratus yang beroperasi dan krisis moral di semua peringkat Angkatan Tentera Mesir.

Krisis moral yang dimaksudkan ialah sebahagian besar pegawai dan anggotanya berasa tidak puas hati menyebabkan mereka tidak berminat dengan aktiviti bukan ketenteraan.
Tindakan pertama Presiden Nasser untuk mengembalikan maruah negaranya ialah dengan memecat semua panglima dan ketua pasukan tentera termasuklah Menteri Perang, Samsuddin Badran. Mereka digantikan dengan para pegawai yang mengamalkan cara hidup dan etika ketenteraan yang berasaskan agama Islam.

Selanjutnya, amalan hidup berteraskan nilai-nilai Islam diperkenalkan dengan tegas. Mereka yang tidak boleh mematuhinya dipaksa keluar dari perkhidmatan tentera. Kemuncak kepada usaha-usaha ini adalah melancarkan serangan mengejut dengan menyeberangi Terusan Suez untuk menyerang kedudukan tentera Israel pada bulan Ramadan 1973 (Perang Ramadan).

Di dalam perang ini, Mesir berjaya membebaskan terusan Suez dan sebahagian besar Semenanjung Sinai yang ditakluki tentera Israel semasa Peperangan Arab-Israel pada tahun 1967.

Jelas kepada kita pentingnya nilai-nilai positif berteraskan agama terpahat dalam sanubari setiap anggota dan pegawai dalam sesebuah angkatan tentera. Nilai-nilai murni ini banyak mempengaruhi misi dan perjuangan sebagaimana yang ditetapkan.

Dalam konteks Malaysia, peranan sama yang diletakkan kepada institusi keagamaan iaitu Kagat. Ia ditubuhkan pada 16 April 1985, merupakan kesinambungan perkhidmatan agama yang telah wujud sejak penubuhan Rejimen Askar Melayu Diraja pada tahun 1933 lagi.

Kagat sebagai generasi yang mewarisi usaha-usaha dakwah Islamiah dalam ATM, ternyata berperanan dengan baik dan cemerlang membantu ATM khususnya dalam pembinaan modal insan yang berwibawa dan cemerlang dalam profesional ketenteraan.

Menyuburkan rohani

Ini dibuktikan dengan misi Kagat iaitu membantu ATM meninggikan tahap profesionalisme menerusi pendidikan Islam serta memberi khidmat keagamaan kepada seluruh warganya.
Dalam hal ini, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal dalam bukunya Marksman: The target for the Malaysian Army menyebut: "Nilai agama akan membentuk prinsip agama, moral positif dan komitmen terhadap maruah insan. Ia menyuburkan rohani seseorang dan mencegah mereka daripada melakukan kejahatan secara menyeluruh. Nilai ini perlu dipupuk secara berterusan untuk mengekalkan tingkah laku yang terbaik dalam diri seseorang".

Selain itu, Panglima Tentera Darat Malaysia , Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail sempena sambutan ulang tahun Tentera Darat Malaysia (TDM) ke 76 baru-baru ini berkata, TDM sebagai sebuah organisasi yang dinamik serta mempunyai misi dan visi perlu terus memperkukuhkan budaya kecemerlangan dengan nilai-nilai teras seperti kualiti, integriti, inovasi, disiplin, akauntabiliti dan profesionalisme.

Berdasarkan dua pernyataan tersebut ternyata nilai agama menjadi teras untuk membina sebuah angkatan yang profesionalisme. Pendek kata, nilai agama atau kerohanian menjadi teras dalam kejayaan sesebuah organisasi ketenteraan.

Kenyataan ini diperkukuh dengan pendapat Abdullah al-Namiri dalam bukunya Al-Harb 'Abra al-Tarikh mencatat perakuan Field Marshal Montgomery yang memperakui kekuatan spiritual adalah elemen terpenting yang menentukan kecemerlangan seseorang anggota di medan tempur.

Menyedari cabaran-cabaran tersebut, adalah penting bagi seluruh warga Kagat mengambil peringatan apa yang telah disebut oleh Muhammad Abduh (2004) dalam bukunya Madza ya'ni intimaai lid-dakwah yang menjelaskan pentingnya setiap individu atau organisasi yang terlibat dalam dakwah sentiasa memperkukuh dan memperbaharui komitmen dalam dakwah.

Hari Terbuka Armada TLDM di Lumut bermula hari ini

Sumber: Utusan online

KUALA LUMPUR 22 April - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menganjurkan Hari Terbuka Armada (HTA) di Lumut selama lima hari bermula esok bagi menyambut ulang tahun ke-75 pasukan itu pada 27 April ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam, sambutan itu amat penting kepada warga TLDM bagi mengimbau kembali perkembangan dan mengenang kejayaan-kejayaan yang dikecapi pasukan tersebut.

Menurut kenyataan itu, bermula 24 April ini, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berkenan mencemar duli untuk mengisytiharkan bandar Lumut sebagai Bandar Tentera Laut.
''Pada 25 April pula, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Kepten Yang Dipertua TLDM berkenan merasmikan hari terbuka tersebut di Pangkalan TLDM Lumut,'' kata kenyataan itu.

Sepanjang sambutan itu, TLDM menyusun pelbagai aktiviti menarik yang dijangka mendapat sambutan masyarakat tempatan dan juga pelancong asing.

Antara program yang dianjurkan ialah pameran kerjaya dan ekspo maritim dengan melibatkan agensi- agensi awam dan swasta serta institusi pengajian tinggi berkaitan dengan maritim.
TLDM juga akan mengadakan demonstrasi ketenteraan, pertunjukan kawad senyap dan perarakan seramai 1,304 warga TLDM yang mewakili 14 kontinjen daripada pelbagai unit dan kepakaran.

Selain itu, pelbagai pertunjukan maritim turut diadakan seperti demonstrasi rampasan kapal, pertunjukan payung terjun, pertunjukan bot laju, sukan air dan lain-lain.
Para pengunjung juga berpeluang melawat aset-aset TLDM seperti kapal perang dan helikopter yang beroperasi di pangkalan itu.

Selain pameran, pelbagai pertandingan diadakan seperti memancing, pukul bantal gladiator, memanjat tiang licin, sukan kanak-kanak dan renang selat.

Kemuncak kepada sambutan itu ialah Istiadat Penganugerahan Panji-Panji Kapal Diraja (KD) Rajawali, KD Sri Sandakan dan KD Panglima Hitam serta Istiadat Mengarak Panji-Panji KD Malaya, KD Pelandok, KD Rajawali, KD Sri Sandakan dan KD Panglima Hitam di Stadium Pangkalan TLDM Lumut.

Thursday, April 23, 2009

Radar baru mengawasi perairan Sabah

sumber; Utusan online
Oleh MEJAR SULEIMAN MOIDEEN KUTTY


PENEMPATAN anggota pasukan keselamatan di kawasan pulau-pulau dan pesisiran pantai di kawasan sempadan terutamanya di kawasan pantai timur Sabah dapat mengwujudkan keselamatan dan keselesaan kepada rakyat di negeri itu.

Kehadiran anggota keselamatan terutamanya tentera, polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kawasan pulau-pulau dan pesisiran pantai tentunya akan menyakinkan rakyat untuk hidup dalam keadaan lebih aman dan selesa.

Dengan adanya keamanan di negeri ini, industri pelancongan akan terus berkembang.
Keputusan kerajaan menempatkan pasukan keselamatan khasnya tentera di pulau-pulau di sekitar perairan pantai timur Sabah sejak beberapa tahun lalu terbukti berkesan apabila sejak itu tiada lagi sebarang insiden seperti penculikan dilaporkan berlaku.

Situasi itu secara tidak langsung turut mengembalikan keyakinan dan kepercayaan masyarakat mahupun pelancong asing, yang sebelum ini sedikit tergugat ekoran insiden penculikan di Pulau Sipadan dan Pulau Pandanan, Semporna pada tahun 2000.

Baru-baru ini, satu majlis perasmian Sistem Pengawasan Radar Inisiatif 1206 telah disempurnakan oleh Panglima Markas Angkatan Bersama (Mk AB), Leftenan Jeneral Datuk Allatif Mohd. Noor di Bukit Tinagat, Tawau, Sabah.

Allatif berkata, Inisiatif 1206 mula diperkenalkan pada 2006 dan dikenali sebagai 1206 setelah mengambil kira seksyen-seksyen yang tertulis dalam akta pertahanan 1206 Amerika Syarikat (AS).

''Inisiatif 1206 ini telah diluluskan oleh Kongres AS untuk negara-negara sahabat termasuk Malaysia bagi mempertingkatkan keupayaan angkatan tentera negara-negara sahabat yang sedang membangun dalam mempertahankan kedaulatan negara dari ancaman keselamatan, anasir-anasir keganasan dan jenayah rentas sempadan,'' katanya.

Beliau menjelaskan, sistem Pengawasan Radar Inisiatif 1206 mula dipasang di beberapa lokasi di kawasan timur Sabah bermula dari 2007 sehingga kini secara berperingkat-peringkat.
Radar itu merupakan sebahagian daripada pakej penyediaan sembilan buah radar jenis sama di kawasan itu yang mana penempatan pertama di Bukit Tinagat telah pun siap dan mula beroperasi baru-baru ini.

Allatif menjelaskan, selain kemampuan pengawasan siang dan malam yang diberikan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan penggunaan teknologi infra merah, radar-radar 1206 itu akan memampatkan lagi bidang pengawasan Mk AB.

Katany, peningkatan (bilangan radar) ini akan membuatkan Operasi PASIR (Padanan And Sipadan Island Resort) Selatan akan lebih berkesan dan radar-radar tersebut akan diserapkan dalam sistem pertahanan yang sedia ada.

''Pakej latihan sepenuhnya akan diberikan kepada pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), merangkumi pengenalan kepada sistem itu sehingga mereka mampu mengendalikannya dengan cekap," tambahnya.

Allatif berkata, Markas Angkatan Tugas Bersama Dua juga akan memperoleh bot-bot tempur dan peralatan sokongan maritim untuk meningkatkan keupayaan pengawasan maritim di perairan timur Sabah.

Beliau menegaskan, radar itu direka khas untuk pemantauan maritim sepanjang kawasan timur Sabah, Laut Sulu hingga ke Laut Sulawesi.
Apabila mula digunakan, ia bakal memudahkan pihak keselamatan mengawasi perairan serta bertindak dengan lebih cepat dan cekap, jika terjadinya sebarang insiden.

Bantuan yang diberi meliputi pakej iaitu kos penyediaan peralatan, pembinaan infrastruktur dan program-program latihan yang diperlukan, katanya.

Turut hadir semasa perasmian acara tersebut Asistan Ketua Staf J3 (Operasi dan Latihan Bersama), Mejar Jeneral Datuk Jusof Embong, Asistan Ketua Staf J4 (Logistik) Brigediar Jeneral Datuk Abu Bakar Md. Said (TUDM) dan Komander Angkatan Tugas Bersama 2, Tawau, Brigediar Jeneral Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan.

Sementara itu, wakil dari pihak AS pula adalah Pembantu Setiausaha Dasar AS di Asia Tenggara, Brigedier Jeneral William Crowe dan Atase Pertahanan AS ke Malaysia, Kolonel Yeong-Tae Pak.

Monday, April 13, 2009

Tentera Wataniah diperbesar

Sumber: Utusan online

BAGAN DATOH 12 April - Kementerian Pertahanan akan menubuhkan satu batalion Tentera Wataniah di kesemua 222 kawasan Parlimen dalam usaha memantapkan sistem pertahanan bagi seluruh negara, kata menteri berkenaan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, pasukan pertahanan itu akan mengandungi 300 anggota bagi setiap platun yang terdiri pelbagai kaum dan bilangan anggota secara keseluruhan dijangka 600,000 dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Penubuhan Tentera Wataniah adalah sebagai usaha untuk membantu angkatan tentera dalam menjalankan tugas menjaga keamanan negara," katanya kepada pemberita selepas majlis kesyukuran atas pelantikan beliau sebagai Menteri Pertahanan di sini hari ini.

Katanya, kementerian itu juga akan mewujudkan persatuan bekas veteran tentera sebagai tanda penghargaan di atas perkhidmatan mereka dalam pasukan pertahanan pada masa lalu.
Beliau berkata, kementerian akan mewujudkan dana kebajikan bagi tujuan membantu meringankan beban bekas tentera yang hidup dalam keadaan serba kekurangan.

Ahmad Zahid berkata, kementerian juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran untuk menambahkan lagi jumlah pasukan kadet tentera di sekolah supaya pelajar dapat diberi pendedahan awal mengenai pasukan pertahanan selain membina semangat patriotisme di kalangan mereka.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau mengumumkan penubuhan satu batalion Kem Tentera di kawasan seluas 80 hektar berhampiran Ladang Jenderata di Hutan Melintang di sini serta sebuah pangkalan mini Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Jeti Bagan Datoh. - BERNAMA

Wednesday, April 1, 2009

ANCAMAN ALAF BARU

Sumber: Majalah Perajurit Edisi Mac 2009.
Oleh: Hamzah Hd.

Sudah hampir sedekad dunia berada di alaf baru. Malaysia adalah di antara negara membangun yang kelihatan bersungguh-sungguh meletakkan visi yang harus dicapai selewat-lewatnya menjelang tahun 2020 terangkum secara menyeluruh dalam aspek ekonomi, politik, kerohanian, sosial, psikologi, perpaduan dan sebagainya.

Memetik salah satu dari sembilan matlamat utama wawasan 2020 yang digarap oleh Mantan Perdana Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamad ialah ‘Mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju, dengan keyakinan akan keupayaan sendiri, berbangga dengan apa yang ada, dengan apa yang telah dicapai, cukup gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, amat sedar akan semua potensinya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain’.(Rujukan: Wikipedia)

Harapannya kelihatan sudah cukup jelas tetapi cabaran untuk merealisasikannya adalah tidak mudah dan memerlukan komitmen kerajaan dan sokongan rakyat jelata semasa melaksanakan setiap program pengisian. Cabaran yang paling utama ialah kestabilan ekonomi dan politik yang mana banyak mempengaruhi momentum perancangan yang dirancang samada suara-suara pembangkang mengiringi wawasan ini sebagai pengimbang keberkesanan atau ianya akan terus membantutkannya.

Kekuatan kerajaan baru selepas Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU 12) atau yang mutakhir peralihan kuasa PM kepada Dato’ Seri Najib Mac nanti akan menentukan hala tuju yang jelas ke arah wawasan yang sama atau idea baru yang lebih realistik dan dinamik.

Apa yang penulis cuba untuk fokuskan ialah dalam usaha untuk mewujudkan sebuah ‘masyarakat yang berjiwa bebas dan tenteram’ bermakna negara haruslah terlebih dahulu bebas dari ancaman-ancaman luar dalam konteks pertahanan nasional, ancaman-ancaman dalaman yang dicetus oleh suasana politik semasa, perpaduan/toleransi antara kaum, ancaman dadah dan ancaman yang diundang dengan kemasukan Pendatang Asing Dengan Izin (PADI) dan juga Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Suatu natijah kepada keamanan yang dikecapi yang membawa kepada pembangunan pesat tetapi keengganan rakyat sendiri untuk bermandi peluh dengan kerja-kerja kasar dalam pembangunan infrastruktur, pertanian dan industri memaksa pengimpotan pekerja asing dalam sekala besar untuk memenuhi keperluan buruh di negara ini. Apa yang menjadi masalahnya ialah kebanjiran yang tidak terkawal ini telah mencetus ancaman baru kerana mereka bukan sahaja datang membawa kudrat untuk bekerja malah turut sama membawa budaya kurang sihat yang menuntut penguatkuasaan yang berkali-kali ganda bagi memantau keadaan.

Pembangunan ATM Bagi Menangkis Ancaman Global

Dalam konteks pertahanan nasional, umum sudah maklum bahawa negara kita tidak lagi mempunyai musuh tradisional setelah perletakan senjata oleh Parti Komunis Malaya (PKM) pada 1989. Namun ancaman yang bersifat baharu yang terbit dari isu tuntutan bertindih ke atas pulau-pulau yang berhampiran sempadan menuntut kepada pembangunan ketenteraan (ATM) yang mapan yang bukan bertujuan untuk perlumbaan kekuatan ketenteraan atau persenjataan tetapi lebih tertumpu kepada kesiapsiagaan defensif dan cegah rintang yang mana seperti kata perpatah “ Sediakan Payung Sebelum Hujan”. Biarpun isu sebegini masih di dalam kawalan diplomatik namun seperti Api dalam Sekam yang akan membakar sekelip mata jika ditiup angin.

Usaha memodenkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seharusnya bergerak pantas sehingga negara/ATM betul-betul mempunyai aset-aset dan kelengkapan strategik yang mencukupi bagi menentukan aset ATM berada pada tahap asas yang berwibawa sepertimana yang dimohon oleh ketiga-tiga cabang perkhidmatan dalam usaha melengkap dan mengkompetenkan ketumbukan masing-masing.

Walaupun belum ada tanda-tanda perang konvensional akan berlaku kepada negara namun evolusi keganasan gelobal semakin rakus mengisi ruang kosong. Pertubuhan-pertubuhan kecil dalam negara-negara yang berkonflik yang berorientasikan perjuangan menentang penjajahan kuasa besar atau pemberontakan menentang kerajaan yang tidak sehaluan sering melakukan serangan keganasan di kawasan tumpuan ramai dan melibatkan pengunjung yang tidak berdosa.

Seumpama negara kita baru-baru ini juga dikejutkan dengan penculikan dua buah kapal milik Malaysia International Shipping Corporation (MISC), Bunga Melati 2 dan Bunga Melati 5 diTeluk Aden berhampiran perairan Somalia dan Yemen oleh sekumpulan lanun yang bergerak secara taktikal dan memiliki persenjataan yang sopistikated dan tidak mustahil mereka mempunyai jaringan antarabangsa dan satu hari nanti akan menculik kapal-kapal yang melalui Selat Melaka pula.

Tren ancaman sebegini telah mencetus satu dimensi penggunaan Pasukan Khusus yang terlatih secara proaktif untuk menangani isu-isu keganasan yang melibatkan kepentingan atau nyawa rakyat sendiri samada di luar atau di dalam negara. Seiring dengan suasana ini ATM/PDRM giat memperkasakan pasukan khusus masing-masing untuk menghadapi sebarang bentuk ancaman keganasan. Memperkasakan sesuatu pasukan ke tahap kompeten memerlukan kemahiran individu dan peralatan dan kenderaan sokongan yang bermobiliti tinggi.

Sebagai rakyat yang mengharapkan kesuksesan setiap operasi seharusnya menyokong perolehan ke arah itu. Seumpama perolehan kontroversi helikopter EC-725 COUGAR untuk TUDM sepatutya tidak harus ditangguh atas alasan masalah ekonomi kerana penangguhan juga menuntut pembayaran harga yang meningkat suatu hari nanti. Apa yang lebih penting untuk dinilai ialah juga bukan sekadar untuk menggantikan perkhidmatan NURI sebagai transpotasi tetapi keupayaan EC-725 COUGAR untuk tugas-tugas mencabar bagi menyokong operasi Pasukan Khusus yang memerlukan kepantasan menggempur atau misi menyelamat kombat. Demikian juga keperluan platform sokongan pelbagai guna (MRSS) yang sangat penting bagi mobiliti berskala besar Pasukan Angkatan Bersama (PAB) dan juga Pasukan Khusus untuk sesuatu operasi jarak jauh seumpama peristiwa di Telok Eden.

Meskipun kes-kes terpencil seumpama ini tidak begitu mendesak tetapi iktibar ini perlu negara menterjemahkan kepada suatu tindakan positif sebagai keutamaan kerana persiapan dan perolehan memerlukan masa panjang dan membuat keputusan pembelian ad-hoc akan memakan kos yang lebih tinggi.

Dalam membuat pemilihan terakhir kepada sesuatu perolehan ATM, seharusnya tidak dipengaruhi oleh komentar mana-mana kelumpok yang berkepentingan perniagaan kerana perolehan aset atau kelengkapan yang tidak memenuhi piawaian sebenar ATM akan menjejaskan prestasi dan kredibiliti sebenar ATM. ‘Biar alah membeli tetapi menang memakai’ adalah merupakan konsep pengurusan kualiti yang akan memberi kepuasan kepada pengguna terakhir dan dapat mengurangkan risiko kemalangan dan kerugian malah peningkatan moral.

Untuk menidakkan tohmahan atau persepsi umum semasa proses pembelian supaya kelihatan lebih telus di masa akan datang, cadangan yang dibuat oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) supaya kerajaan membentuk panel penilai bebas bagi memantau segala pembelian yang besar dan menggunakan wang yang banyak sangat perlu dipraktikkan di semua kementerian pada masa akan datang.

Keperluan sebenar ATM tidak harus dilihat dari sudut politik atau dijadikan bahan retorik ahli-ahli politik kerana peranan ATM masa perang dan aman adalah semata-mata untuk meletakkan masyarakat kepada kedudukan kondusif, berjiwa bebas dan tenteram sebilang masa. Demikian juga latihan-latihan terkordinasi bersama ATM dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain agensi penguatkuasaan tidak harus dipandang serong sehingga membibitkan rasa prejudis ahli-ahli politik terhadap kredibiliti ATM.

Pembangunan modal insan sebenarnyan bermula seawal sesi pemilihan Pegawai Kadet mau pun Perajurit Muda. Dewasa ini sambutan muda-mudi yang patriotik untuk menyertai ATM adalah sangat memberangsangkan. Memilih yang terbaik dari kalangan yang terbaik calun-calun baru yang bakal menjadi operator sepatutnya menjadi agenda utama tim pemilihan dengan mengenepikan ‘panggilan-panggilan telefon’ yang mempengaruhi proses pemilihan. Namun apa yang selalu didengar, kriteria di atas hanya tinggal di atas kertas tetapi hakikat sebenar pemilihan masih dihantui surat-surat sokongan yang dibawa oleh calun-calun malah ada individu-individu berkepentingan turut sama ‘berkampong’ di tempat-tempat pemilihan yang mana secara tidak langsung mengganggu konsentrasi pemilihan. ATM perlu mengambil berat tentang perkara ini. Cakap-cakap sinis tentang integriti kaedah pemilihan sudah berlegar di mana-mana samada di forum-forum kedai kopi sehinggalah forum-forum maya. Jika perkara ini benar-benar berlaku, maka tidak hairanlah institusi yang terkenal dengan kekentalan disiplin mempunyai angka yang kian bertambah terjebak dengan gejala yang tidak baik yang akhirnya memalukan ATM sendiri.

Dadah Ancaman Nombor Satu Negara

Sebut sahaja perkataan dadah, semua orang tahu daripada umur kanak-kanak hinggalah kepada orang dewasa. Apa yang tergambar di kepala masing-masing ialah dadah adalah suatu bahan yang sangat merbahaya jika disalahgunakan. Di dalam saluran media mana sekali pun akan ada kempen anti kepada dadah ini.

Golongan penagih dadah bertambah dari masa ke semasa sehingga mencetuskan kegiatan jenayah seperti samun, ragut dan rompak. Kegiatan jenayah yang dilakukan oleh penagih-penagih dadah kini menjadi ancaman yang sangat membimbangkan ketenteraman rakyat Malaysia.

Inilah fenomena ancaman yang terhasil dari najis dadah yang majoritinya dimonopoli oleh muda-mudi Melayu yang berugama Islam yang pada masa yang sama negara mengharapkan mereka-mereka ini untuk menjadi benteng pertahanan jika keamanan negara di cabar dan digugat. Tapi malangnya patriotisme untuk komuniti ini tidak wujud kerana pada asasnya warga yang cintakan negara tidak akan merosakkan negara dengan gejala seumpama ini.

Persoalannya bagaimana bekalan dadah ini boleh dibawa masuk ke dalam negara kita yang saban masa kian bertambah seiring dengan peningkatan penguatkuasaan pencegahan di sempadan dilaksanakan? Sekadar pertanyaan, di mana lagi kekurangan yang perlu ditampong dari aspek penguatkuasaan untuk mengekang penyeludupan dadah ke dalam negara atau kemungkinan strategi taktikal perlu dipertajamkan atau kemungkinan ada musang yang berbulu ayam yang suka menangguk di air keruh yang menyebabkan ketirisan intergriti penguatkuasaan?

Walaubagaimanapun strategi yang sedang dilaksanakan oleh agensi-agensi yang terlibat dalam usaha untuk pemantauan, pencegahan dan penguatkuasaan ke atas penyeludupan dadah di mana-mana bahagian di dalam negara terus dipertingkatkan. Sekadar saranan kepada Agensi Dadah Kebangsaan supaya jika perlu boleh membuat kajian dalam sekala kecil terhadap penagih-penagih dadah dengan melayani mereka sebagai pesalah bukan lagi pesakit di pusat-pusat pemulihan atau tahanan agar boleh dijadikan testimonial untuk tindakan yang lebih proaktif di masa depan.

PATI/PADI Ancaman Nombor Dua Dalam Negara

Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) bermaksud warganegara luar yang masuk ke Malaysia tanpa mempunyai apa-apa dokumen yang sah. PATI/PADI yang membanjiri bumi Malaysia adalah terdiri dari rakyat Indonesia, Thailand, Filipina, Myanmar, India, Pakistan, Banglades, Nepal, China, Afrika dan lain-lain semata-mata untuk menumpang meraih rezeki hasil limpahan kekayaan dan kemakmuran bumi Malaysia.

Kemasukan PATI ke negara ini melalui dua cara iaitu membolosi diri mereka melalui sempadan darat atau laut yang mana dibantu oleh tekong-tekong darat yang terdiri dari rakyat tempatan dan satu cara lagi ialah mereka memasuki negara ini melalui pintu masuk sempadan dan membawa dokumen yang sah tetapi tidak keluar setelah tempoh keizinan telah tamat. Usaha mengesan mereka ini agak sukar kerana mereka tidak lagi bekerja dengan majikan yang mula-mula mereka di daftarkan alamatnya. Langkah terbaru penggunaan Sistem Penguatkuasaan Bergerak Imigresen (MIES) yang mampu mengesan ketulinan dokumen terutama status seseorang pekerja asing yang menggunakan pasport, melalui nombor pasport atau kad pengenalan pintar pekerja asing secara automatik oleh agensi penguatkuasa mungkin serba sedikit akan membantu mengatasi masalah ini.

Mengikut statistik Jabatan Imigresen Malaysia, jumlah PADI yang bekerja di dalam negara ialah berjumlah lebih kurang 2.5 juta orang tidak termasuk PATI. Angka ini dianggarkan sudah melebihi dari jumlah kekuatan anggota PDRM dan agensi-agensi yang telibat secara khusus dalam menanganinya seperti Jabatan Imigresen, Kastam, RELA dan lain-lain. Hasil dari pemantauan dan penguatkuasaan di sempadan, saban tahun ribuan mereka-mereka ini telah ditahan dan dihantar kembali ke negara asal mereka namun angka yang sama juga kembali membolosi sempadan darat dan laut dan kini melata di setiap pelusuk negara dengan melakukan pelbagai kerja yang tidak diisi oleh rakyat Malaysia sendiri. Apa yang menghairankan ialah terdengar cakap-cakap bahawa di kawasan-kawasan bandar, warga PADI ini sudah mewarisi tapak-tapak perniagaan yang sebenarnya diperuntukan kepada rakyat Malaysia oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tetapi oleh kerana malas untuk mengusahakan maka tapak tesebut di sewakan kepada orang asing.

Kebanjiran mereka-mereka ini bukan sahaja di kawasan-kawasan bandar yang mempunyai proses urbanisasi pesat, malah kelibat mereka sudah menular ke pekan-pekan kecil dan kampong-kampong terutamanya kawasan-kawasan tanah-tanah rancangan dan sebagainya. Demikian juga aktiviti-aktiviti jenayah yang melibatkan warga asing ini turut sama dirasai oleh penduduk-penduduk kampong dengan rasa resah dan bimbang kerana kebanyakan rumah yang mereka diami boleh dikatakan tidak lengkap dan tidak selamat untuk didiami.

Kekusutan masalah PATI ialah berpunca dari rakyat Malaysia sendiri yang bersekongkol menyembunyikan PATI dengan hasrat dapat mempergunakan mereka untuk melakukan kerja-kerja dengan upah yang murah. Anggota masyarakat yang melihat tidak merasa teruja untuk melaporkan jika pun mengetahui status PATI ini kerana mereka merasakan tugas mengesan dan menahan PATI adalah tugas penguatkuasa. Bagi PATI yang tidak berjaya mendapatkan pekerjaan, mereka melakukan jenayah yang ternyata indek perlakuan jenayah dalam negara kian meningkat seperti rompakan, samun, pecah rumah, rogol menculik kanak-kanak untuk dijual malah mereka menjadikan diri mereka sebagai pembunuh upahan sebagai kerjaya di Malaysia.

Fenomena kebanjiran yang tidak terbendung PATI ke dalam negara terus berlarutan yang mana semakin hari semakin meresahkan masyarakat Malaysia yang cintakan keamanan dan kedamaian dan yang agak mendukacitakan ialah jalan penyelesaiannya seolah-olah tidak begitu lancar dan tiada kesudahan walaupun banyak operasi-operasi berkaitan telah dipertingkatkan. Sebenarnya penyeludup PATI ini juga menggunakan khidmat tonto untuk mengelakkan kemasukan mereka dikesan oleh penguatkuasa.

Kemelut ini membuatkan ibu bapa merasakan anak-anak mereka tidak selamat lagi untuk ke sekolah bersendirian, bermain-main di taman berhampiran dengan kawan-kawan. Berada di dalam rumah sendiri pun sudah tidak begitu aman walaupun bersama seisi keluarga kerana modus operandi penjenayah-penjenayah ini sangat kreatif dan sukar diduga bentuk dan bila ancaman akan berlaku walaupun rumah dilengkapi dengan sistem kunci yang lengkap. Maka bagi penghuni-penghuni dari kalangan berada, mereka akan memasang jeriji dan penggera sebagai langkah tambahan keselamatan.

Suasana ini menggambarkan bahawa ancaman keselamatan sudah menjadi masalah yang semakin parah berpunca dari gejala dadah dan limpahan warga asing yang menuntut komitmen kerajaan untuk merangka strategi baru yang lebih berkesan untuk menyokong penguatkuasaan.

Rusuhan Kaum Juga Mengancam Keselamatan Negara

Isu perpaduan kaum akhir-akhir ini menampakkan riak yang kurang sihat dan jika tidak ditangani dengan bijak akan mencetus ancaman baru yang bakal menghuruharakan ketenteraman awam. Pengamal-pengamal politik dalam negara sekarang ini sentiasa memanipulasikan isu ini semata-mata untuk saham politik. Mereka sengaja memainkan sentimen hak dan keistimewaan kaum bagi meraih sokongan demi kelangsungan hidup parti masing-masing.

Jika sentimen ini tidak dibendung, cepat atau lambat rusuhan kaum pasti akan berlaku yang mana kesan kemusnahan akan lebih besar daripada sejarah rusuhan 13 Mei. Jika rusuhan kaum di Malaysia berlaku, siapa lagi yang boleh dijadikan penguatkuasa untuk mententeramkan keadaan kerana komposisi penguatkuasa dalam negara juga terdiri dari pelbagai kaum yang sedikit sebanyak akan terikut dengan sentimen ini.

Masa Untuk Bedah Siasat Dan Bertindak

Senario ancaman semasa keselamatan dalam negara semakin mencabar kewibawaan agensi penguatkuasa. Ancaman yang ternyata wujud dari dua elemen iaitu aktiviti dadah dan kebanjiran pendatang asing mesti diterjemahkan dengan tindakan drastik, konsisten dan berintergriti oleh pasukan-pasukan yang diberi amanah. Penyeludupan dadah, senjata api dan PATI ke dalam negara harus dibangkitkan sebagai isu nasional yang mana agensi penguatkuasa yang ada mesti bertindak secara bersepadu dan konsisten untuk menanganinya. Menggubal undang-undang baru dengan hukuman yang lebih berat jika perlu bagi memberi kesedaran maksima kepada pesalah yang bersekongkol dalam kemelut ini.

Kempen kesedaran betapa pentingnya PATI ini perlu dinyahkan daripada bumi Malaysia kepada rakyat seluruhnya melalui media dan disusuli dengan operasi pemutihan secara besar-besaran harus digerakkan dengan penglibatan rakyat biasa, penguatkuasa dan juga ATM. Selepas PATI dikeluarkan usaha mencegah kemasukan PATI terus diberi penekanan supaya kes yang sama tidak berulang.

Dasar kerajaan terhadap pengambilan pekerja asing perlu dikaji yang mana kuatitinya mesti dikurangkan dan syarat penggunaan pekerja asing mesti tertumpu kepada sektor-sektor terpilih sahaja. Kembalikan jawatan-jawatan di sektor pembuatan kepada rakyat Malaysia yang angka pengangguran sudah mencecah puluhan ribu. Majikan-majikan memang sengaja mengabaikan prosedur kerajaan dengan tidak memberi peluang rakyat tempatan bekerja di firma mereka kerana membayar gaji kepada pekerja asing tenyata lebih murah jika dibandingkan dengan pekerja tempatan. Ini juga perlu penguatkuasaan.

Kesimpulannya, negara masih ada masa lebih kurang sedekad lagi bagi mempersiap, mengatur strategi dan bedah siasat untuk menjadikan tahun 2020 permulaan kepada kegemilangan dan keharmonian hakiki masyarakat Malaysia yang berjiwa bebas, tenteram dan maju bebas dari segala ancaman dalaman dan luaran. Memperkasakan peranan Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada satu tahap kompeten dan boleh dipercayai sangat-sangat dialukan sebagai penimbangtara keintergritian yang menjadi duri dalam daging dalam perkhidmatan awam. Apa yang penting ialah komitmen semua pihak di dalam menyemai semangat cintakan negara supaya terus merdeka dan berdaulat. Perajurit