Pages

Monday, April 27, 2009

Kagat menyubur jiwa ATM

Sumber: Utusan online

Oleh; Mohd. Radzi Mohd. Zin

KOR Agama Angkatan Tentera (Kagat) yang menyambut hari ulang tahun ke-24 pada 16 April lalu bukan asing bagi masyarakat Islam di Malaysia. Penubuhannya pada 16 April 1985 ternyata meningkatkan kualiti modal insan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Malah turut menjadikan nama Kagat sentiasa meniti di bibir masyarakat awam.

Tokoh-tokoh disegani seperti Brigedier Jeneral (B) Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin dan Brigedier Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad adalah antara nama besar yang amat sinonim dengan Kagat.

Ternyata darah satria pada tubuh mereka tetap mengalir walaupun bukan lagi dengan uniform tentera. Sebaliknya, kini melalui pelbagai program dakwah bersama masyarakat.

Terkini, Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri membuktikan betapa Kagat diiktiraf kehadiran dan sumbangannya dalam pembangunan Islam di Malaysia.

Sebagaimana kita maklum, Islam sebagai agama yang cintakan keamanan menuntut supaya setiap umatnya berusaha ke arah keamanan, tanpa mengira agama, bangsa dan negara, selagi kehormatan agama Islam dan keamanan orang Islam terjamin dan tidak dicabuli.

Namun, sebagai mempertahankan diri, kita dibenarkan memerangi musuh demi agama, bangsa dan negara. Peperangan adalah pilihan terakhir setelah tidak ada jalan penyelesaian.
Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Dan perangilah kerana menegakkan dan mempertahankan agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh dengan memulakan peperangan kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh. (al-Baqarah: 190)

Biarpun pada asasnya semua anggota tentera perlu menggalas senjata dan bersiap siaga sentiasa, tugas Kagat lebih istimewa. Sebabnya, mereka mempunyai tanggungjawab besar bukan sahaja semasa perang tetapi juga semasa aman.

Timbalan Pengarah Operasi Kagat, Kolonel Kamarudin Mamat berkata, antara tugas utama pihaknya adalah membantu meningkatkan profesionalisme ATM. Ia dicapai melalui dua cara iaitu pendidikan Islam dan perkhidmatan keagamaan.

Pendidikan itu terbahagi empat iaitu Dasar Pembinaan Mental dan Kerohanian ATM (PMAT) 9/91, Doktrin Ibadat di medan perang, mengguna pakai kemudahan Institut Latihan dan Kefahaman Islam (ILMI) di Port Dickson dan pelbagai program dakwah yang dijalankan.
Katanya, Doktrin Ibadat di medan perang itu adalah yang terbaru diluluskan pada 26 Februari lalu.

"Ia adalah manual untuk warga ATM laksana ibadat khususnya semasa perang. Ini adalah check list lengkap termasuk doa sebelum perang, rukhsah (keringanan) ibadat semasa perang dan bacaan tertentu menurut Islam.

"Selain itu, doktrin ini juga menekankan tentang tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak yang ditinggalkan oleh perajurit yang berperang," katanya dalam pertemuan dengan Mega di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Kamarudin, ILMI yang ditubuhkan pada 22 September 1997 juga berjaya menarik perhatian angkatan tentera asing menghadiri pelbagai kursus yang diadakan.
Antara yang pernah meninjau program kursus di ILMI adalah Angkatan Tentera Arab Saudi, Somalia, Bosnia dan Brunei.

"ILMI pernah melatih anggota tentera Bosnia melaksana tugas sebagai imam dalam kursus khas berasaskan permohonan mereka.
"Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Tentera Nasional Indonesia turut menghantar anggota mereka berkursus di ILMI," jelas beliau.

Dari segi pembangunan modal insan, Kagat membangunkan modul khas iaitu Jasmani, Rohani, Emosi dan Intelek (JERI). Ia khusus membangunkan warga ATM menjadi angkatan yang kredibel, serba boleh dan memiliki kekuatan tempur yang ampuh dari sudut kerohanian.
Menyedari kepentingan umat Islam menghayati dan mendalami al-Quran, program Kaedah Cepat Baca al-Quran (CBQ) turut dibangunkan.

Kata Kamarudin, CBQ direka khas untuk membasmi gejala 'kabur al-Quran' dalam ATM di mana anggota yang menggunakan kaedah ini dapat membaca kitab suci itu dalam masa 18 jam.
Tambahnya, CBQ menggunakan pendekatan tradisi pengajian al-Quran iaitu talaqqi dan musyafahah (pertemuan guru dan murid secara langsung).

"Pendekatan ini digarap sebagai konsep Riyadhah al-Nutq (latih tubi sebutan) seperti yang pernah digunakan sehingga berjaya melahirkan generasi terbilang zaman silam seperti Imam Hafs, Imam Warsh, Imam Asim dan lain-lain," jelas beliau.

Dalam kesibukan menggalas tanggungjawab kepada negara, Kagat juga mempamerkan kecemerlangan dalam sudut kualiti kerjanya.
Menurut Kamarudin, Jabatan Arah Kagat telah menerima pengiktirafan kualiti dari Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) melalui anugerah persijilan MS ISO 9000:2000.
"Ia merangkumi 36 prosedur kerja merangkumi semua bidang tugas utama di sel-sel Jabatan Arah Kagat.
"Tahun lalu, ILMI mendapat pengiktirafan persijilan ISO 9001:2000," katanya bangga.
Menyedari dunia ketenteraan tidak boleh dipisahkan dengan operasi, Kagat menubuhkan Pasukan Dakwah Medan (Pasdam).

Tugas Pasdam adalah menjalankan aktiviti lasak dan pada dasarnya dikhususkan untuk melaksana program-program kerohanian di kawasan operasi.
Kamarudin berkata, sehingga kini Pasdam adalah unit yang bertanggungjawab untuk pelaksanaan Program JERI di peringkat formasi ATM dan menyediakan fasilitator terlatih.
"Di samping itu, Pasdam juga menyediakan hiburan alternatif melalui kumpulan nasyidnya, Al-Fursan," katanya.

Dasar PMAT pula memperuntukkan setiap anggota ATM beragama Islam perlu memenuhi aktiviti kerohanian selama 857 jam setahun.
Di antara program yang dilaksanakan adalah sambutan hari kebesaran Islam, khemah ibadat atau qiamullail, solat jemaah dan kursus serta seminar keagamaan.

Walaupun mencipta pelbagai kejayaan, Kagat turut berhadapan banyak cabaran dalam meneruskan misinya sesuai dengan tema sambutan ulang tahun kali ini iaitu 'Kagat Penjana Kerohanian Modal Insan ATM'.

Antaranya ialah faktor dakwah secara praktikal. Setiap anggota Kagat perlu menunjukkan contoh yang baik. Mereka bertindak sebagai imam solat, menjadi pengurus jenazah dan pembimbing kepada anggota dan keluarga yang menghadapi masalah rumah tangga dan kekeluargaan.

"Pada masa yang sama, semua anggota Kagat perlu menunjukkan disiplin yang tinggi sebagai anggota tentera dan tugasan ketenteraan," jelas Kamarudin.
Seperkara lagi yang menjadi kekangan dalam Kagat ialah kekurangan anggota. Ini tidak dapat dielakkan akibat kekosongan jawatan, anggota menghadiri kursus atau terlibat dengan aktiviti di luar pasukan seperti berada di kawasan operasi.

Anggota dan pegawai Kagat turut ditugaskan di kem-kem Program Latihan Khidmat Negara dan juga misi Kontinjen Malaysia (Malcon) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

"Pegawai kita bukan sahaja bertugas sebagai pembimbing keagamaan sehingga digelar daie askari (pendakwah dan tentera) tetapi juga sebagai penterjemah di kawasan operasi Asia Barat.
"Bagaimanapun, kita kini sedang membuat pengambilan anggota lain-lain pangkat di wilayah utara," jelas Kamarudin.

Dari segi penerbitan pula, Kagat aktif mengeluarkan bahan bacaan sama ada dalam bentuk buku, majalah atau risalah. Setakat ini, kira-kira 150 judul telah diterbitkan oleh Kagat untuk manfaat warga ATM dan masyarakat umum.

Mengenai harapan sempena ulang tahun ke-24 Kagat, Kamarudin berkata, setiap warga kor itu perlu sentiasa meningkatkan penguasaan ilmu dan kemahiran.
"Gabungan aspek ini penting untuk diadun dan diolah dalam ceramah-ceramah yang disampaikan serta menjadi role model kepada masyarakat," katanya.

1 comment:

  1. assalamualaikum.sy amat b'syukur dan b'trma kasih kpd PASDAM krna mnydarkan sy sbgai hmba ALlah swt yg leka akan kebenaran dan kekuasaanNYA.
    1.adakah PASDAM mlksnakan prrogram ini di jabatan2 krjaan sprti di Hsptal2 atau kampung?trm kasih.

    ReplyDelete