sumber; Utusan online
Oleh MEJAR SULEIMAN MOIDEEN KUTTY
PENEMPATAN anggota pasukan keselamatan di kawasan pulau-pulau dan pesisiran pantai di kawasan sempadan terutamanya di kawasan pantai timur Sabah dapat mengwujudkan keselamatan dan keselesaan kepada rakyat di negeri itu.
Kehadiran anggota keselamatan terutamanya tentera, polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kawasan pulau-pulau dan pesisiran pantai tentunya akan menyakinkan rakyat untuk hidup dalam keadaan lebih aman dan selesa.
Dengan adanya keamanan di negeri ini, industri pelancongan akan terus berkembang.
Keputusan kerajaan menempatkan pasukan keselamatan khasnya tentera di pulau-pulau di sekitar perairan pantai timur Sabah sejak beberapa tahun lalu terbukti berkesan apabila sejak itu tiada lagi sebarang insiden seperti penculikan dilaporkan berlaku.
Situasi itu secara tidak langsung turut mengembalikan keyakinan dan kepercayaan masyarakat mahupun pelancong asing, yang sebelum ini sedikit tergugat ekoran insiden penculikan di Pulau Sipadan dan Pulau Pandanan, Semporna pada tahun 2000.
Baru-baru ini, satu majlis perasmian Sistem Pengawasan Radar Inisiatif 1206 telah disempurnakan oleh Panglima Markas Angkatan Bersama (Mk AB), Leftenan Jeneral Datuk Allatif Mohd. Noor di Bukit Tinagat, Tawau, Sabah.
Allatif berkata, Inisiatif 1206 mula diperkenalkan pada 2006 dan dikenali sebagai 1206 setelah mengambil kira seksyen-seksyen yang tertulis dalam akta pertahanan 1206 Amerika Syarikat (AS).
''Inisiatif 1206 ini telah diluluskan oleh Kongres AS untuk negara-negara sahabat termasuk Malaysia bagi mempertingkatkan keupayaan angkatan tentera negara-negara sahabat yang sedang membangun dalam mempertahankan kedaulatan negara dari ancaman keselamatan, anasir-anasir keganasan dan jenayah rentas sempadan,'' katanya.
Beliau menjelaskan, sistem Pengawasan Radar Inisiatif 1206 mula dipasang di beberapa lokasi di kawasan timur Sabah bermula dari 2007 sehingga kini secara berperingkat-peringkat.
Radar itu merupakan sebahagian daripada pakej penyediaan sembilan buah radar jenis sama di kawasan itu yang mana penempatan pertama di Bukit Tinagat telah pun siap dan mula beroperasi baru-baru ini.
Allatif menjelaskan, selain kemampuan pengawasan siang dan malam yang diberikan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan penggunaan teknologi infra merah, radar-radar 1206 itu akan memampatkan lagi bidang pengawasan Mk AB.
Katany, peningkatan (bilangan radar) ini akan membuatkan Operasi PASIR (Padanan And Sipadan Island Resort) Selatan akan lebih berkesan dan radar-radar tersebut akan diserapkan dalam sistem pertahanan yang sedia ada.
''Pakej latihan sepenuhnya akan diberikan kepada pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), merangkumi pengenalan kepada sistem itu sehingga mereka mampu mengendalikannya dengan cekap," tambahnya.
Allatif berkata, Markas Angkatan Tugas Bersama Dua juga akan memperoleh bot-bot tempur dan peralatan sokongan maritim untuk meningkatkan keupayaan pengawasan maritim di perairan timur Sabah.
Beliau menegaskan, radar itu direka khas untuk pemantauan maritim sepanjang kawasan timur Sabah, Laut Sulu hingga ke Laut Sulawesi.
Apabila mula digunakan, ia bakal memudahkan pihak keselamatan mengawasi perairan serta bertindak dengan lebih cepat dan cekap, jika terjadinya sebarang insiden.
Bantuan yang diberi meliputi pakej iaitu kos penyediaan peralatan, pembinaan infrastruktur dan program-program latihan yang diperlukan, katanya.
Turut hadir semasa perasmian acara tersebut Asistan Ketua Staf J3 (Operasi dan Latihan Bersama), Mejar Jeneral Datuk Jusof Embong, Asistan Ketua Staf J4 (Logistik) Brigediar Jeneral Datuk Abu Bakar Md. Said (TUDM) dan Komander Angkatan Tugas Bersama 2, Tawau, Brigediar Jeneral Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan.
Sementara itu, wakil dari pihak AS pula adalah Pembantu Setiausaha Dasar AS di Asia Tenggara, Brigedier Jeneral William Crowe dan Atase Pertahanan AS ke Malaysia, Kolonel Yeong-Tae Pak.
No comments:
Post a Comment