Pages

Saturday, January 31, 2009

Previu TEMPUR Februari 2009

Sumber: Forum GempurWira.com

ESM -Kebergantungan yang keterlaluan bakal mengundang padah.

RIFEL TEMPUR-Mencari yang optima kepada semua keadaan operasi

SHRIKES-istem mesingan ringan terkini

KAC PDW 6 x 35mm

SERANGAN DOOLITTLET-untutan Hutang Darah Pearl Harbor

CMLRSEra Baru Pelancar Roket Berganda

MiG-15Ikon Kuasa Udara Soviet Era 1950an

IDEAS 2008-Highlight Strategic Shift

T90M -Export Deliveries Begin

New Force Multipliers Ordered Delivered to India

Thursday, January 29, 2009

Tarik belia sertai tentera

Sumber: utusan online
Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 28 Jan. – Teknologi ketenteraan yang semakin canggih menjadi satu lagi tarikan bagi rakyat terutama golongan belia menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata, aspek itu bukan mudah diperoleh dalam profesion lain.
“Dalam ATM hari ini, aspek teknologi berkembang baik. Kita perlu anggota bukan saja mempunyai kekuatan fizikal tetapi kemahiran mengendalikan aspek teknologi canggih ATM dengan profesional,” katanya.

Beliau bercakap demikian pada sidang akhbar mengenai Ekspo Kerjaya ATM 2009 yang akan diadakan di Dataran Merdeka di sini mulai Jumaat hingga 1 Februari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Pertahanan dijadual merasmikan ekspo sempena ulang tahun ATM ke-75 itu.

Menurut Abdul Aziz, soal gaji tidak lagi menjadi isu utama apabila menyertai perkhidmatan ATM memandangkan kualiti hidup seorang anggota tentera kini berada pada tahap terbaik.
“Rakyat Malaysia terutama bukan bumiputera harus menghapuskan persepsi bahawa menyertai ATM tidak menjamin masa depan.

“Profesion ini memberi jaminan bermula dari seseorang itu menyertainya sehinggalah dia ke liang lahad. Ia bukanlah satu kerjaya alternatif tetapi perlu dijadikan profesion pilihan utama generasi muda,” katanya.

Sambil mengakui penyertaan bukan bumiputera dalam ATM masih rendah, Abdul Aziz berkata, pengambilan baru anggota dan pegawai bagaimanapun semakin menggalakkan terutama dalam kalangan wanita.

“Sebagai contoh, 15,000 wanita memohon untuk memenuhi kira-kira 200 kekosongan dalam perkhidmatan ATM. Ini menunjukkan perkembangan yang sangat baik,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia seharusnya melihat penyertaan mereka dalam perkhidmatan itu suatu pengorbanan murni untuk mempertahankan negara.

Ekspo Kerjaya terbesar ATM di Dataran Merdeka

sumber: utusan online
KUALA LUMPUR 28 Jan. – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengadakan Ekspo Kerjaya ATM 2009 di Dataran Merdeka di sini bermula Jumaat ini sehingga 1 Februari.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata, ekspo itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Pertahanan.

Katanya, ekspo kerjaya itu adalah yang terbesar pernah dianjurkan dan ia sempena ulang tahun ke-75 ATM tahun lalu.

“Ekspo ini bertujuan menarik minat masyarakat umum terutama bukan bumiputera untuk mendekati, memahami dan seterusnya menceburi pelbagai bidang kerjaya dalam ATM.

“Di samping itu ekspo ini juga menyampaikan maklumat penting mengenai aset-aset canggih dan terkini yang dimiliki ATM,” katanya pada sidang akhbar mengenai ekspo itu di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata, ekspo selama tiga hari itu akan bermula pada pukul 10 pagi sehingga 10 malam dan pelbagai acara diatur kepada orang ramai yang hadir.

Beliau berkata, antaranya ialah pameran mengenai kepelbagaian kerjaya serta penglibatan ATM sehingga ke peringkat antarabangsa serta aset-aset ATM.
“Selain itu, perkhidmatan pemeriksaan kesihatan kepada orang ramai juga akan disediakan pada ekspo itu nanti.

“Demonstrasi ketenteraan seperti pertunjukkan kawad senyap dan pancaragam juga akan diadakan selain persembahan hiburan,” katanya.

Ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di samping Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) akan mempamerkan kepelbagaian profesion pada ekspo itu.

Selain itu, Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat), Maktab Tentera Diraja (MTD) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) akan mempamerkan peluang kerjaya yang ditawarkan melalui ekspo tersebut.

Malaysia terima kapal selam pertama negara

Sumber: Utusan Online



KUALA LUMPUR 28 Jan. – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) secara rasminya menerima kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman pada satu majlis di Toulun, Perancis, Isnin lalu.

Semalam, KD Tunku Abdul Rahman juga mencatatkan sejarah apabila ditauliahkan sebagai kapal selam pertama yang menyertai perkhidmatan TLDM.

TLDM dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, kedua-dua majlis berlangsung di Pangkalan Tentera Laut Perancis di Toulun dengan disaksikan Panglima TLDM, Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar.

Penerimaan diketuai Setiausaha Bahagian Perolehan Kementerian Pertahanan, Nazri Siron dan disertai Ketua Pengarah Kejuruteraan, Laksamana Pertama Khairudin Khalid dan Pasukan
Projek Angkatan Kapal Selam TLDM.

Katanya, DCNS pula diwakili Pengarah Projek Scorpene, Didier Husson dan Pengarah Urusan Limbungan Navantia Cartagena, Sepanyol, Menuel Filgureira.

“Majlis penerimaan yang berlangsung dengan penuh istiadat tentera laut itu diadakan di dalam kapal selam berkenaan,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, pelayaran pulang KD Tunku Abdul Rahman itu akan dikendalikan sepenuhnya oleh krew kapal selam TLDM yang mahir dan terlatih.

“Pada majlis itu, Panglima Tentera Laut mengucapkan tahniah kepada krew tersebut kerana berjaya melepasi semua rintangan sehingga berjaya melayakkan diri menjadi krew kapal selam pertama negara,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut, kapal selam berkenaan dijangka tiba di tanah air pada Julai depan serta berpangkalan di Markas Angkatan Kapal Selam, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Teluk Sepanggar, Sabah.

Kapal selam Scorpene jenis tempur konvensional itu dibina di Cherbourg, Perancis oleh DCNS dan syarikat pengeluar kapal selam, Navantia dari Sepanyol.

Anggota wanita ATM jayakan misi PBB

Sumber: Utusan online
Oleh: RAJA SYAHRIR ABU BAKAR

PADA 17 Disember lalu, seramai 10 pegawai dan anggota wanita Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kembali ke tanah air selepas menjalankan misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) selama empat bulan setengah di Lebanon.


Melihatkan gelagat mereka pada majlis penerimaan pulang di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur itu, ternyata pengalaman berkhidmat di negara orang menyerap sifat kekitaan yang menebal di antara srikandi-srikandi negara berkenaan.


Biarpun datang dari perkhidmatan Tentera Darat (TD), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), perbezaan itu tidak menghalang mereka daripada menjalankan tugas dengan baik.


Buktinya, kumpulan Kontinjen Malaysia (Malcon) 'East III' bagi misi Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) itu telah digantikan oleh 10 anggota wanita lain atas permintaan badan dunia berkenaan.


Menurut Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Laksamana Muda Datuk Jamil Osman, khidmat 10 anggota wanita dalam Malcon 'East III' itu berjaya membina keyakinan PBB dan kerajaan Lebanon terhadap keupayaan ATM.


Katanya, profesionalisme kesemua petugas ATM itu dalam mendekati puak pemberontak dan masyarakat setempat di sektor timur Lebanon membuktikan negara berpegang teguh kepada prinsip berkecuali serta perdamaian.


''Kesabaran dan kesediaan anda semua dalam menghadapi suasana tidak menentu di tempat bertugas merupakan sikap yang patut dipuji," katanya ketika berucap menerima kepulangan anggota-anggota berkenaan.


Bagi ketua kontinjen tersebut, Kapten Khartina July (TD), penugasan di Lebanon yang bermula pada 30 Julai lalu itu memberikan pelbagai cabaran baru buatnya.


Jelas beliau, antara tanggungjawab yang perlu dipikulnya selama berada di bumi bergolak itu termasuklah memelihara nama baik ATM di mata para petugas tentera negara lain.
Katanya, ini bermakna beliau perlu memastikan disiplin kesemua anak buahnya sentiasa berada pada tahap yang terbaik.


''Selain itu, saya juga perlu mengawasi keselamatan anak-anak buah saya kerana keadaan keselamatan di sana tidak boleh dijangka.
''Hubungan yang tegang di antara puak-puak bertelagah boleh bertukar kepada pertempuran pada bila-bila masa, jadi semua perlu hati-hati," ujarnya.
Katanya, kawasan di sekitar kawasan timur sempadan Lebanon dengan Israel itu dipenuhi dengan sisa bahan letupan yang masih aktif, 'tinggalan' konflik Arab-Israel sejak puluhan tahun lalu.
Menurut beliau lagi, kawasan kem Malaysia yang terletak kira-kira lima kilometer dari sempadan Lebanon-Israel juga berdekatan dengan penempatan pelarian-pelarian perang konflik berkenaan terutama dari Palestin dan Syria.
Sementara itu, Staf Sarjan Jayanthi Ratnam dari Kor Kesihatan Diraja TD menginsafi keperitan hidup sesetengah segmen masyarakat Lebanon serta pelarian di sekitar kawasan sempadan.
Jelasnya, larangan kemasukan beberapa barangan luar oleh Israel ke Lebanon termasuk perubatan menyebabkan beberapa penyakit berjangkit merebak dengan cepat.
Selain itu katanya, keadaan infrastruktur yang serba kekurangan seperti bekalan air serta elektrik yang terhad menyebabkan keadaan bertambah buruk.
Menurutnya sepanjang bertugas di sana, hampir setiap minggu anggota-anggota pengaman PBB termasuk dirinya menjalankan aktiviti 'Jiwa Murni' membantu penduduk sekitar yang tidak berupaya mendapatkan rawatan di klinik atau hospital.
''Kami sering masuk ke kampung-kampung dan memberi pelbagai rawatan terutamanya berkaitan penyakit kulit dan cirit-birit.
''Selain perubahan cuaca yang sering berlaku secara mendadak di sana, kemudahan air serta elektrik juga kerap terganggu dan kesemua ini menyumbang kepada merebaknya penyakit berjangkit," katanya.
Bagi Koperal Azlina Azizan (TUDM) pula, berkhidmat memelihara proses damai puak-puak bertelagah di Lebanon memberi kepuasan yang tersendiri.
Katanya, ini kerana beliau berpeluang menyaksikan sendiri kepayahan hidup di bumi bergolak dan membandingkannya dengan keamanan di negara sendiri.
''Sepanjang penugasan juga, para petugas ATM di sana menyambut tiga perayaan secara meriah iaitu Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Haji dan Deepavali.
''Tidak pasti lagi sama ada saya akan dapat menikmati perayaan-perayaan sebegitu di luar negara pada masa hadapan," ujarnya.
Laskar Kanan Roslina Masdar (TLDM) pula mempunyai cerita tersendiri di sebalik tugasannya di sana.
Baginya, selain pelbagai pengajaran yang diperolehi, terselit juga kenangan lucu yang pasti akan dikenang sepanjang hayat.
''Bayangkan semasa berada di sebuah restoran di sana, saya terpaksa mengembek untuk memesan sejenis hidangan kambing kerana pelayan itu tidak memahami lamb ataupun mutton.
''Jadi di sebalik pengajaran seperti kepayahan hidup masyarakat di sana, saya tidak sesekali akan melupakan peristiwa di restoran itu," kata ibu beranak dua tersebut meledakkan ketawanya.
Namun, apa yang membanggakan ialah kesemua mereka merasakan penugasan selama empat bulan setengah di sana tidak mencukupi.
Rata-rata berfikiran penugasan mereka perlu dipanjangkan kepada sembilan bulan seperti anggota lelaki kerana benar-benar mahu berkhidmat kepada masyarakat dunia yang malang.
Bagi Jamil, jika mereka serius, perkara itu boleh dikemukakan kepada pihak pemerintahan tertinggi ATM.
''Setakat ini tidak nampak kewajarannya kerana kita mahu memberi lebih banyak peluang kepada anggota-anggota wanita lain pula.
''Tetapi mereka boleh menulis surat cadangan dan saya akan membawanya kepada Panglima Angkatan Tentera untuk diteliti," tegasnya.

Tuesday, January 27, 2009

PREBIU PERAJURIT FEB 2009

Sumber: Forum Gempurwira.com

Akan berada dipasaran awal Feb.

Genosid cara Israel
Peluru berpandu anti kereta kebal
Pengawasan - memerhati musuh
Kejayaan TLDM di Teluk Aden
Tim Projek Saka Biru - 69 Komando dan Unit Tindak Khas
Kursus Pengiring Orang Kenamaan CPPTS
Muzium Tentera Darat
AI - raifal tembak hendap Kenderaan rondaan jarak jauh
Watikah Tauliah UPNM
Surat Pembaca : Ganti Nuri

Poster - cun!!

Monday, January 19, 2009

Misi Teluk Aden matangkan anggota TLDM

Sumber: Utusan online

Oleh:NORSHARUDDIN SAPIAN
utusanperak@utusan.com.my

LUMUT 18 Jan. - Berdepan dengan pelbagai masalah termasuk meninggalkan keluarga selama 100 hari dan terpaksa solat dalam keadaan duduk sepanjang Ramadan lalu merupakan antara pengalaman anggota Misi Operasi Fajar di Teluk Aden, Somalia pada 7 September hingga 17 Disember lalu.

Pengalaman itu walaupun pahit untuk dikenang, ia mendewasakan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ditugaskan dalam misi menyelamat dan mengiringi kapal dagang daripada serangan lanun di teluk tersebut.

Pegawai Memerintah KD Mahawangsa TLDM, Kapten Khalid Jaafar berkata, perjalanan selama 11 hari dari sini ke Teluk Aden turut memberi pengalaman baru kepada anggota.
''Kita diberikan masa selama empat hari sahaja untuk membuat persiapan sebelum belayar dan terpaksa meninggalkan keluarga selama kira-kira 100 hari.

''Ia memberikan pengalaman berharga dan sukar dilupakan kepada setiap anggota," katanya pada Sesi Perkongsian Pengalaman Bersama Anggota Misi Operasi Fajar di Mes Pegawai KD Mahawangsa di Jeti Laut Dalam Pangkalan TLDM di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, seramai 11 anggota TLDM termasuk Tentera Darat yang mengikuti misi berkenaan dikumpulkan bagi menceritakan kembali pengalaman masing-masing.
Turut hadir Pegawai Perhubungan Awam Markas Armada Lumut, Leftenan Komander Norlida Rahaman.

Sementara itu, Bintara Penyelia Stor Logistik, Azley Abdullah, 35, berkata, dia terpaksa meninggalkan tiga anaknya termasuk seorang anak istimewa berusia 10 tahun yang mengalami masalah pertuturan dan pendengaran sepanjang terlibat dengan misi tersebut.
Selama ini, katanya, dia sentiasa menguruskan anak istimewanya itu dengan menghantarnya ke sekolah khas di Batu 7, Lekir pada setiap hari.
''Sepanjang peninggalan saya, isteri terpaksa mengambil tugas berkenaan termasuk membawanya ke Hospital Angkatan Tentera di Lumut dan Hospital Permaisuri Bainun di Ipoh.
''Pada masa sama, rumah saya di Batu 7, Lekir turut dilanda banjir sehingga menyebabkan banyak barang rosak pada Disember lalu.
''Namun saya tetap tabah meneruskan tugas dan bersyukur apabila semuanya telah selesai serta selamat," katanya.

Laskar Kanan Pasukan Khas Laut (Paskal) Mohd. Fadzil Sulaiman, 35, berkata, pengalaman menunaikan solat fardu dan tarawih dalam keadaan duduk selama kira-kira dua minggu di atas kapal merupakan pengalaman menarik baginya.
''Bagi menghilangkan rasa takut, saya sentiasa berdoa dan membaca ayat suci al-Quran setiap kali menjalankan misi yang ditetapkan.
''Nyawa kami ibarat telur di hujung tanduk dan pesawat yang dinaiki boleh ditembak lanun pada bila-bila masa sahaja," katanya yang bertugas sebagai penembak tepat di atas helikopter Super Lynx.

Sementara itu, anggota wanita tunggal dalam misi tersebut, Leftenan Fazilah Makun, 23, yang ditugaskan sebagai Pembantu Pegawai Bekalan berkata, pada awalnya dia agak janggal berada di atas kapal yang dipenuhi anggota lelaki.
''Cuba bayangkan daripada 236 anggota misi itu, saya merupakan satu-satunya anggota wanita di atas kapal.
''Bagaimanapun saya anggap itu satu cabaran dan bersyukur kerana berjaya menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan," katanya.

Friday, January 16, 2009

PENGAJIAN SEPANJANG HAYAT KOLEJ KOMUNITI - WARGA TENTERA PATUT MENGAMBIL BAHAGIAN

Oleh: Hamzah Hd.

Arus pembangunan global bergerak pantas, bersaing menginovasikan keperluan manusia sejagat. Ianya menuntut pengetahuan dan kecerdasan akademik di samping pengetahuan atau kecerdasan informasi komunikasi maklumat (ICT) bergerak mengikut arus permodenan walau dari ceruk pendalaman mana pun seseorang itu berada namun proses urbanisasi minda harus transisi sama mengikut rentak iklim teknologi.

Pembangunan pertahanan dan peryediaan operator perang atau anggota tentera masa kini hampir keseluruhannya berpaksikan pengetahuan akademik dan pengetahuan teknologi komunikasi maklumat warganya. Perkembangan dan peralihan teknologi ketenteraan turut berubah secara drastik seiring dengan perkembangan teknologi sektor lain. Justeru itu pembangunan minda pelaku dan warga persekitaran mereka harus digerakkan agar segala rancangan pengembangan tidak akan terbantut. Anggota tentera hari ini harus akur dengan ledakan teknologi. Perolehan aset-aset berteknologi tinggi harus dioperasikan sebaik mungkin supaya kuantitinya dapat dioptimumkan dan mencapai sasaran secara menyeluruh.

Bukan sahaja para perajurit yang perlu membuat anjakan paradigma tetapi para serikandi yang menjadi suri sepenuh masa juga harus mengambil bahagian kerana ledakan ilmuan ini turut menyumbang kepada urbanisasi minda yang lebih terbuka di samping menjana sumber pendapatan keluarga. Pembangunan minda selalunya memerlukan inovasi kerana hidayah tercetus dari anjakan paradigma tersebut. Taufik adalah satu kekuatan yang dianugerahkan untuk merealisasikan hala tuju yang dirancang. Usaha ke arah memperkasakan pengetahuan seseorang anggota tentera tidak boleh terhenti atau setamat kursus di cawangan masing-masing atau kursus-kursus sampingan kepada anggota yang terpilih sahaja. Usaha berterusan secara persendirian atau kolektif mesti dilakukan untuk menjadikan semua anggota mendapat pengetahuan tambahan yang sangat relevan dengan penugasan harian maupun kehidupan di luar konteks ketenteraan.

K-Forces dan Wacana Ilmu

Untuk mencapai matlamat K-forces, ketidakcemerlangan akademik anggota bukan menjadi satu alasan. Apa yang penting ialah persediaan atau kemahuan setiap individu tentera untuk menguasai kemahiran bahasa komunikasi global dan bahasa rujukan sudah tentunya bahasa inggeris menjadi keutamaan. Penguasaan dalam bidang ICT sepatutnya bukan lagi menjadi satu igauan yang sukar dicapai apatah lagi ledakan teknologi ICT ini sudah berbelas tahun berkembang di negara kita dengan segala kemudahan telah disediakan untuk proses pendidikan dan pembelajaran.

ATM sebenarnya mempunyai kesedaran dalam wacana ilmu ini malah telah berusaha semaksima mungkin ke arah memperkasakannya. Mantan Panglima Angkatan Tentera (PAT) telahpun menzahirkan usaha dan saranan ini melalui K-Forcesnya yang telah diuar-uarkan beberapa tahun dahulu. Namun kelembapan, kekurangan atau penglibatan secara tidak menyeluruh di peringkat sasaran adalah mungkin disebabkan oleh keterhadan masa kerja anggota, kekurangan peruntukan kewangan unit, tenaga pengajar malah makmal-makmal yang berkaitan. Alasan ini sering menjadi penghalang kepada pengembangan K-Forces yang sepatutnya dilihat sebagai cabaran pembangunan masa depan oleh formasi-formasi di semua peringkat perkhidmatan.

Untuk merealisasikan hasrat ini, penulis suka mencadangkan supaya semua formasi tentera yang berhampiran mengambil inisiatif dengan membuat pendekatan terhadap peluang Program Pengajian Sepanjang Hayat yang telah disediakan di Kolej-kolej Komuniti yang telah beroperasi di seluruh kawasan Parlimen di Malaysia. Meski pun ketika ini jumlahnya belum menyeluruh namun boleh dikatakan usaha ke arah itu sedang giat diperluaskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi yang mana kebanyakannya berhampiran dengan kem-kem tentera. Badan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) patut mengambil pendekatan serius dalam usaha menambah aktiviti-aktiviti kepada ahli-ahli dengan menjalin usaha sama untuk menjadikan pembelajaran ini secara berkala. Pengajian sepanjang hayat mengandungi kursus-kursus jangka pendek yang meliputi pembelajaran yang diperlukan oleh setiap individu masyarakat yang dirangka untuk memberi pengetahuan asas kepada komuniti dengan bayaran yang paling minima dan masa kursus yang fleksibel yang boleh dimanfaatkan oleh semua peringkat umur.

Kolej Komuniti – Objektif Penubuhan

۞ Menyediakan laluan alternatif kepada pelajar lepasan menengah dan pelajar yang tercicir daripada pendidikan formal untuk mengikuti latihan dan kemahiran dalam bidang-bidang teknikal dan vokasional.
۞ Menyediakan pendidikan seumur hidup kepada individu dan masyarakat setempat bagi meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat.
۞ Membolehkan syarikat-syarikat swasta menggunakan khidmat Kolej Komuniti untuk memberikan latihan kepada pekerja-pekerja mereka.
۞ Mewujudkan kerjasama yang erat di antara ahli masyarakat, kerajaan setempat dan sektor swasta bagi memajukan kawasan.
۞ Menyediakan latihan dan kemahiran supaya dapat memenuhi keperluan pasaran dan penduduk setempat.
۞ Memberikan peluang kepda masyarakat setempat untuk menggunakan kemudahan-kemudahan yang disediakan di Kolej Komuniti.

Pengajian sepanjang hayat- Matlamat dan Objektif

Matlamat pengajian ini adalah untuk memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat setempat untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan serta taraf sosio ekonomi melalui program sepanjang hayat yang fleksibel dan mudah akses. Peserta kursus diharap akan dapat menguasai kemahiran dalam bidang-bidang yang disertai agar boleh membantu meningkatkan mutu kerja dalam kerjaya masing-masing. Latihan akan dapat menyediakan pengetahuan asas dalam memilih kerjaya yang sesuai sama ada berkerja sendiri atau makan gaji di samping memberi, memula malah memahirkan peserta yang sudah berkerjaya memantapkan kemahiran untuk dalam kerjaya yang sedang diceburi.

۞ Memberi pendidikan dan latihan kepada semua lapisan masyarakat setempat untuk meningkatkan kualiti kerja.

۞ Memberi pendidikan sepanjang hayat kepada semua lapisan masyarakat yang berminat melalui program yang fleksibel dan mudah akses.

۞ Mewujudkan kerjasama yang erat di antara ahli masyarakat, kerajaan tempatan dan sektor swasta bagi memajukan kawasan setempat.
Kelayakan, Yuran Dan Kumpulan Sasaran
Bagi kursus pendek yang dijalankan tidak ditetapkan kelayakan minima yang khusus tetapi bergantung kepada modul yang dijalankan. Yuran untuk kursus pendek yang ditawarkan ditentukan oleh Kolej Komuniti bergantung kepada jumlah jam kursus (maksimum antara RM20.00 - RM50.00). Pembelajaran sepanjang hayat ini disasarkan kepada semua peringkat umur yang mempunyai masa terluang di samping tugas hakiki seharian seperti:
۞ Lepasan sekolah
۞ Pihak swasta
۞ Bekerja sendiri
۞ Badan-badan kerajaan
۞ Pertubuhan bukan kerajaan

Masa perlaksanaan kursus adalah di waktu lepas waktu kerja atau cuti hujung minggu. Tiada kelayakan akademik dihadkan, memadai seseorang itu boleh membaca dan menulis boleh memohon untuk mengikuti kursus ini. Di antara program kursus yang ditawarkan adalah seperti di bawah:

Kursus Informasi Teknologi:
√√ Pengenalan Kepada Ms Windows
√√ Pengenalan Kepada Ms Word
√√ Pengenalan Kepada Ms Excel
√√ Pengenalan Kepada Ms Access
√√ Pengenalan Kepada Ms Power Point
√√ Adobe Photoshop
√√ Autocad 2d
√√ Autocad 3d
√√ Membina Laman Web Dreamweaver
√√ Multimedia Animasi:Flash
√√ Baikpulih & Senggaraan Komputer
√√ Asas Rangkaian
√√ Asas Internet

Kursus Elektrikal/Elektrikal
√√ Asas Elektronik/ elektrik
√√ Kawalan Motor 1 Fasa
√√ Pemasangan Elektrik 1 Fasa
√√ Asas Pendawaian Elektrik 1 Fasa

Automotif:
√√ Pemeriksaan Pertama Kenderaan
√√ Asas Penyenggaraan Motorsikal

Kursus Bahasa/Tuisyen:
√√ English For Communication
√√ Bahasa Arab
√√ Lain –lain Bahasa Asing
√√ Bimbingan Upsr
√√ Tajwid

Dan lain-lain kursus yang diperlukan oleh komuniti:
√√ Programmable Logic Controller
√√ Asas Lanskap
√√ Pembuatan Model
√√ Masakan Barat dan Timur
√√ Masakan kueh-kueh moden dan tradisional.
√√ Pelbagai kursus jahitan
dan banyak lagi.

Tiada Alasan Lagi

Anggota tentera, isteri dan seluruh keluarga harus melihat tawaran ini sebagai satu peluang untuk meningkatkan pengetahuan tanpa menetapkan had umur dan latar belakang akademik. Borang permohonan ringkas boleh diperolehi di mana-mana Kolej Komuniti di seluruh Malaysia. Anda cuma perlu mengisi maklumat ringkas anda dan tunggu giliran untuk dipanggil. Anda tiada alasan lagi untuk mengatakan ‘tidak’ kepada wacana ilmu. MP

Saturday, January 10, 2009

WARGA KUBANG PASU KOMITED MENGUTUK KEKEJAMAN ZIONIS

Oleh: Hamzah Hd

JITRA 9 Jan- Parti-parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat sekitar Bandar Jitra hari ini bergabung tanpa mengira batasan dan fahaman politik telah mengadakan perhimpunan membantah Israel menceroboh Palestin.

Setiausaha Badan Bertindak, Encik Basir Ismail berkata, perhimpunan ini merupakan perhimpunan yang pertama di Daerah Kubang Pasu dan perhimpunan seumpama ini akan terus diadakan selagi rejim Zionis tidak berhenti melakukan serangan dan pemusnahan ke atas penempatan rakyat Palestin.

Demonstrasi aman ini bertujuan untuk mengajak seluruh umat manusia mengutuk tindakan kejam tentera Israel laknatullah. Demi melahirkan rasa cinta dan kasih sayang yang tidak berbelah bagi kepada umat Islam di Palestin yang sedang diganyang oleh tentera-tentera Rejim Zionis tanpa mengira erti belas kasihan dan peri kemanusiaan.

Dengan laungan “Hidup-hidup!!. Hidup Islam!!, hancur-hancur!!. Hancur Israel!!, laknat-laknat!!. Laknat Yahudi!!. Bebas-bebas!!. Bebas Palestin!!”, mereka menyatakan sokongan kepada pemimpin dan pejuang-pejuang Hamas malah juga individu-individu yang bermati-matian berjihad menentang kekejaman Yahudi.

Selain daripada ucapan-ucapan bersemangat oleh pemimpin-pemimpin politik dan NGO, perhimpunan ini juga disulami dengan doa dan rintihan memohon semuga Allah memberi perlindungan kepada rakyat Palestin dan memberi kekuatan dan kemenangan kepada tentera Islam Palestin.

Kemuncak perhimpunan yang mengambil masa selama hampir 1 jam oleh hampir 1000 orang dari pelbagai lapisan masyarakat ialah pembakaran lambang Israel serta memboikot semua barangan yang bersangkut paut dengan negara Israel dan sekutunya sebagai simbol kemarahan seluruh umat di Malaysia di samping kutipan derma untuk mengumpul dana bantuan pemulihan kepada rakyat Palestin.

Bantahan terhadap kekejaman Yahudi seumpama ini berlaku di seluruh negeri oleh rakyat Malaysia malah seluruh dunia. Ini adalah rentetan daripada serangan tentera Rejim Yahudi terhadap Semenanjong Gaza dan Tebing Barat sejak 27 Disember lalu yang kini memakan korban 700 orang dan ribuan mangsa yang cedera dari kalangan kanak-kanak dan orang tua yang tidak berdosa. MP