Pages

Thursday, January 29, 2009

Anggota wanita ATM jayakan misi PBB

Sumber: Utusan online
Oleh: RAJA SYAHRIR ABU BAKAR

PADA 17 Disember lalu, seramai 10 pegawai dan anggota wanita Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kembali ke tanah air selepas menjalankan misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) selama empat bulan setengah di Lebanon.


Melihatkan gelagat mereka pada majlis penerimaan pulang di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur itu, ternyata pengalaman berkhidmat di negara orang menyerap sifat kekitaan yang menebal di antara srikandi-srikandi negara berkenaan.


Biarpun datang dari perkhidmatan Tentera Darat (TD), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), perbezaan itu tidak menghalang mereka daripada menjalankan tugas dengan baik.


Buktinya, kumpulan Kontinjen Malaysia (Malcon) 'East III' bagi misi Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) itu telah digantikan oleh 10 anggota wanita lain atas permintaan badan dunia berkenaan.


Menurut Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Laksamana Muda Datuk Jamil Osman, khidmat 10 anggota wanita dalam Malcon 'East III' itu berjaya membina keyakinan PBB dan kerajaan Lebanon terhadap keupayaan ATM.


Katanya, profesionalisme kesemua petugas ATM itu dalam mendekati puak pemberontak dan masyarakat setempat di sektor timur Lebanon membuktikan negara berpegang teguh kepada prinsip berkecuali serta perdamaian.


''Kesabaran dan kesediaan anda semua dalam menghadapi suasana tidak menentu di tempat bertugas merupakan sikap yang patut dipuji," katanya ketika berucap menerima kepulangan anggota-anggota berkenaan.


Bagi ketua kontinjen tersebut, Kapten Khartina July (TD), penugasan di Lebanon yang bermula pada 30 Julai lalu itu memberikan pelbagai cabaran baru buatnya.


Jelas beliau, antara tanggungjawab yang perlu dipikulnya selama berada di bumi bergolak itu termasuklah memelihara nama baik ATM di mata para petugas tentera negara lain.
Katanya, ini bermakna beliau perlu memastikan disiplin kesemua anak buahnya sentiasa berada pada tahap yang terbaik.


''Selain itu, saya juga perlu mengawasi keselamatan anak-anak buah saya kerana keadaan keselamatan di sana tidak boleh dijangka.
''Hubungan yang tegang di antara puak-puak bertelagah boleh bertukar kepada pertempuran pada bila-bila masa, jadi semua perlu hati-hati," ujarnya.
Katanya, kawasan di sekitar kawasan timur sempadan Lebanon dengan Israel itu dipenuhi dengan sisa bahan letupan yang masih aktif, 'tinggalan' konflik Arab-Israel sejak puluhan tahun lalu.
Menurut beliau lagi, kawasan kem Malaysia yang terletak kira-kira lima kilometer dari sempadan Lebanon-Israel juga berdekatan dengan penempatan pelarian-pelarian perang konflik berkenaan terutama dari Palestin dan Syria.
Sementara itu, Staf Sarjan Jayanthi Ratnam dari Kor Kesihatan Diraja TD menginsafi keperitan hidup sesetengah segmen masyarakat Lebanon serta pelarian di sekitar kawasan sempadan.
Jelasnya, larangan kemasukan beberapa barangan luar oleh Israel ke Lebanon termasuk perubatan menyebabkan beberapa penyakit berjangkit merebak dengan cepat.
Selain itu katanya, keadaan infrastruktur yang serba kekurangan seperti bekalan air serta elektrik yang terhad menyebabkan keadaan bertambah buruk.
Menurutnya sepanjang bertugas di sana, hampir setiap minggu anggota-anggota pengaman PBB termasuk dirinya menjalankan aktiviti 'Jiwa Murni' membantu penduduk sekitar yang tidak berupaya mendapatkan rawatan di klinik atau hospital.
''Kami sering masuk ke kampung-kampung dan memberi pelbagai rawatan terutamanya berkaitan penyakit kulit dan cirit-birit.
''Selain perubahan cuaca yang sering berlaku secara mendadak di sana, kemudahan air serta elektrik juga kerap terganggu dan kesemua ini menyumbang kepada merebaknya penyakit berjangkit," katanya.
Bagi Koperal Azlina Azizan (TUDM) pula, berkhidmat memelihara proses damai puak-puak bertelagah di Lebanon memberi kepuasan yang tersendiri.
Katanya, ini kerana beliau berpeluang menyaksikan sendiri kepayahan hidup di bumi bergolak dan membandingkannya dengan keamanan di negara sendiri.
''Sepanjang penugasan juga, para petugas ATM di sana menyambut tiga perayaan secara meriah iaitu Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Haji dan Deepavali.
''Tidak pasti lagi sama ada saya akan dapat menikmati perayaan-perayaan sebegitu di luar negara pada masa hadapan," ujarnya.
Laskar Kanan Roslina Masdar (TLDM) pula mempunyai cerita tersendiri di sebalik tugasannya di sana.
Baginya, selain pelbagai pengajaran yang diperolehi, terselit juga kenangan lucu yang pasti akan dikenang sepanjang hayat.
''Bayangkan semasa berada di sebuah restoran di sana, saya terpaksa mengembek untuk memesan sejenis hidangan kambing kerana pelayan itu tidak memahami lamb ataupun mutton.
''Jadi di sebalik pengajaran seperti kepayahan hidup masyarakat di sana, saya tidak sesekali akan melupakan peristiwa di restoran itu," kata ibu beranak dua tersebut meledakkan ketawanya.
Namun, apa yang membanggakan ialah kesemua mereka merasakan penugasan selama empat bulan setengah di sana tidak mencukupi.
Rata-rata berfikiran penugasan mereka perlu dipanjangkan kepada sembilan bulan seperti anggota lelaki kerana benar-benar mahu berkhidmat kepada masyarakat dunia yang malang.
Bagi Jamil, jika mereka serius, perkara itu boleh dikemukakan kepada pihak pemerintahan tertinggi ATM.
''Setakat ini tidak nampak kewajarannya kerana kita mahu memberi lebih banyak peluang kepada anggota-anggota wanita lain pula.
''Tetapi mereka boleh menulis surat cadangan dan saya akan membawanya kepada Panglima Angkatan Tentera untuk diteliti," tegasnya.

No comments:

Post a Comment