Sumber: utusan online
Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 28 Jan. – Teknologi ketenteraan yang semakin canggih menjadi satu lagi tarikan bagi rakyat terutama golongan belia menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata, aspek itu bukan mudah diperoleh dalam profesion lain.
“Dalam ATM hari ini, aspek teknologi berkembang baik. Kita perlu anggota bukan saja mempunyai kekuatan fizikal tetapi kemahiran mengendalikan aspek teknologi canggih ATM dengan profesional,” katanya.
Beliau bercakap demikian pada sidang akhbar mengenai Ekspo Kerjaya ATM 2009 yang akan diadakan di Dataran Merdeka di sini mulai Jumaat hingga 1 Februari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Pertahanan dijadual merasmikan ekspo sempena ulang tahun ATM ke-75 itu.
Menurut Abdul Aziz, soal gaji tidak lagi menjadi isu utama apabila menyertai perkhidmatan ATM memandangkan kualiti hidup seorang anggota tentera kini berada pada tahap terbaik.
“Rakyat Malaysia terutama bukan bumiputera harus menghapuskan persepsi bahawa menyertai ATM tidak menjamin masa depan.
“Profesion ini memberi jaminan bermula dari seseorang itu menyertainya sehinggalah dia ke liang lahad. Ia bukanlah satu kerjaya alternatif tetapi perlu dijadikan profesion pilihan utama generasi muda,” katanya.
Sambil mengakui penyertaan bukan bumiputera dalam ATM masih rendah, Abdul Aziz berkata, pengambilan baru anggota dan pegawai bagaimanapun semakin menggalakkan terutama dalam kalangan wanita.
“Sebagai contoh, 15,000 wanita memohon untuk memenuhi kira-kira 200 kekosongan dalam perkhidmatan ATM. Ini menunjukkan perkembangan yang sangat baik,” katanya.
Beliau berkata, rakyat Malaysia seharusnya melihat penyertaan mereka dalam perkhidmatan itu suatu pengorbanan murni untuk mempertahankan negara.
No comments:
Post a Comment