Sumber: Majalah Perajurit edisi Jan 2007
Oleh: Hamzah h.d
Definisi
Kubu menurut Kamus Dewani ke 3 bermaksud pagar daripada kayu dan tanah untuk menahan serbuan (serangan dan lain-lain) atau tempat pertahanan (yang diperkukuhkan dengan pagar atau benteng, kelengkapan alat senjata dan lain-lain) atau tempat pertahanan sementara (berupa benteng dan lain-lain). Secara definisinya bermaksud satu tempat berlindung atau bertahan yang dibina khusus bertujuan untuk memberi perlindungan dari serangan musuh. Selalunya tentera akan mencari tempat perlindungan atau berkubu untuk mempertahankan kawasan atau penempatan dari serangan darat atau udara musuh dengan membina sendiri samada dengan menggali lubang, membuat dinding besi, dinding pasir atau konkrit bergantung kepada tujuan dan jangkamasa penggunaan.
Kewujudan kubu dalam konteks peperangan adalah sama usia dengan peperangan itu sendiri. Di antara teknik yang digunakan dalam peperangan ialah berkubukan parit dan terowong yang cukup praktikal dan berkesan semasa peperangan Vietnam dan Amerika. Jika diperhatikan kebanyakan longkang yang dibina di pangkalan-pangkalan tentera juga berkonsepkan kubu yang mana akan menjadi laluan atau pergerakan anggota secara vertikal untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain tanpa dilihat oleh pihak musuh yang berhadapan. Teknik pengepungan ini telah wujud bertahun lamanya dalam peperangan.
Walaupun kedua-dua seni perkubuan dan seni senjata maju berkembang dengan pesatnya pada abad terkini, kemajuan artileri tidak menukar hukum tradisi bahawa kubu sangat diperlukan untuk sejumlah besar tentera membuat pertahanan statik. Sejumlah kecil tentera tidak mampu mengekalkan jumlah tembakan yang mencukupi bagi mematahkan serangan yang bertubi-tubi dari pihak lawan. Dengan adanya sistem perkubuan, sesuatu pertahanan dapat mengekang kemaraan agresif pihak lawan dengan penggunaan ammunisi yang minima.
Sejarah Pembinaan Kubu
Di Malaysia, masing-masing mempunyai sejarah kubu pertahanan yang tersendiri seperti Kota A Famosa yang terletak di Bandar Hilir Melaka. Kota atau kubu ini yang merupakan mercu tanda negeri Melaka telah dibina oleh Portugis pada tahun 1511 sebagai kubu pertahanan yang menjadi lambang penentangan penduduk Melaka terhadap Portugis dan telah mengalami kerosakkan struktur yang agak teruk semasa pencerobohan Belanda.
Di Pasir Salak pengikut Datuk Maharaja Lela telah membina kubu pertahanan daripada tanah dan buluh. Sementara di Lukut, kubu pertahanan diperbuat daripada batu dan tanah keras. Parit dikorek di bahagian luar kota. Kubu ini dikenali sebagai Kota Lukut . Bukit Melawati , Fort Conwalis di Pulau Pinang juga mempunyai kubu pertahanan yang berupa binaan atau benteng yang boleh menjadikan satu penempatan dengan sejumlah orang di dalam nya.
Sebelum pendaratan Tentera Jepun ke Tanah Melayu khususnya di Kelantan, pihak Tentera British telah membina kubu pertahanan pada tahun 1939 hingga tahun 1940 bertujuan sebagai benteng pertahanan semasa peperangan Dunia Kedua yang berlaku pada tahun 1941 hingga 1945 di Tanah Melayu di sepanjang pantai dari Tumpat ke Besut Trengganu. Mereka juga membina kubu-kubu pertahanan ini di Gong Kedak (sekarang Pangkalan TUDM), Lapangan Terbang Pengkalan Chepa dan sebahagiannya di pesisir Sungai Kelantan. Menurut catatan sejarah terdapat 25 buah kubu telah di kesan di Kelantan dan sebahagiannya musnah telah dibawa hakisan laut.
Serentak dengan itu juga, pembinaan kubu-kubu pertahanan Tentera British di Kedah bermula. Tujuannya ialah untuk mempertahankan Tanah Melayu dari serangan Tentera Jepun. Kubu-kubu ini telah dibina di beberapa kawasan penting dan strategik seperti sekitar lapangan terbang Alor Star, Sungai Petani, Jambatan Bukit Pinang dan kawasan pantai laut Kedah.Terdapat sebanyak 26 buah kubu di seluruh Kedah kebanyakannya terletak di daerah Kota Star dan Kubang Pasu kerana pada jangkaan British, Tentera Jepun akan memulakan serangan melalui selatan Thai.
Pada bulan Disember 1941, ketika Kedah mengalami musim hujan, Tentera Jepun telah memulakan serangan. Ketika ini pihak Tentera British kurang bersedia kerana menjangkakan Tentera Jepun tidak akan menyerang di musim hujan. Jepun memasuki Tanah Melayu melalui Kota Bharu Kelantan (waktu itu mengalami musim kering) dan terus menyerang Kedah akibatnya Tentera British berundur ke selatan. Kubu-kubu yang dibina tidak sempat digunakan ketika serangan dilakukan kerana kubu-kubu tersebut digenangi air kerana ianya dibina di kawasan tanah rendah dan sawah padi.
Walaupun kubu-kubu ini dibina oleh Tentera British tetapi bagi orang-orang tempatan ia lebih dikenali sebagai kubu Jepun. Kesemua kubu-kubu itu ialah dari jenis tertutup dan membentuk segi lapan kecuali kubu di Kampong Baru, jalan Kampong Telok, Bukit Pinang di mana kubu-kubu di sini dari jenis terbuka dan berbentuk segi empat serta bersaiz besar. (Dipetik daripada penerangan sejarah negeri Kedah). Salah satu kubu Jepun yang dipelihara oleh persatuan sejarah negeri untuk pelancongan di Kepala Batas Alor Star
Pendek kata semua negeri di Malaysia mempunyai sejarah kubunya yang tersendiri dalam usaha menjadikan pertahanan setempat sebagai satu fardhu kifayah yang menjadi satu tunjang kekuatan kepada tamadun bangsa Melayu di Malaysia.
Kubu Pemantauan
Di Malaysia juga terdapat sejenis kubu atau tempat perlindungan ‘dual function’ iaitu pembinaan kubu bertingkat yang mana berfungsi sebagai tempat meneropong atau memantau persekitaran yang mana juga disediakan lubang atau ruang untuk di fasilitasikan dengan persenjataan ‘machine gun’ dan sebagainya. Di satu tingkat juga dilengkapi dengan katil dan boleh dikatakan sebagai tempat penginapan sementara kepada anggota-anggota yang ditugaskan untuk membuat peninjauan. Manakala di tingkat paling bawah adalah berfungsi sebagai ruang pejabat yang berkeluasan lebih kurang 225 kaki persegi dan lengkap dengan tandas dan bilik air.
Dari pemerhatian penulis, terdapat 4 buah kubu sebegini telah dibina dan digunakan oleh ATM semasa projek pembinaan Lebuh Raya Timur Barat seawal tahun 1970an yang merentasi Banjaran Titiwangsa dan menghubungkan dua buah negeri iaitu di Grik negeri Perak dan di Jeli di negeri Kelantan. Kubu pemantauan ini ditempatkan di hujung kedua-dua jambatan yang merentasi Tasik Banding yang berada di dalam kawasan negeri Perak. Proses pembinaan Lebuh Raya Timur Barat yang memakan masa lebih kurang berbelas tahun bermula pada tahun 1974 mempunyai cerita suka dukanya yang tersendiri kepada petugas-petugas yang terbabit.
Ancaman utama yang terpaksa dihadapi oleh petugas pembinaan LRTB ini ialah ancaman dari anggota Parti Komunis Malaya (PKM). Laluan yang dihutani dengan belantara asli adalah merupakan rumahtangga yang selamat dan damai bagi anggota PKM dari serbuan anggota keselamatan Malaysia maupun Thailand di sebelah wilayah jajahannya. Dengan kehadiran petugas-petugas pembinaan LRTB ini juga menceriakan kehidupan anggota PKM kerana mereka mendapat ‘fresh ration’ yang mana jika tidak ditunaikan, akan mendatangkan musibah. Beberapa siri letupan telah memusnahkan banyak peralatan pembinaan seperti jentera-jentera pembinaan dan juga melibatkan nyawa. Dengan terbinanya kubu pemantauan ini sekali gus memberi keyakinan kepada petugas pembinaan kedua-dua jambatan ini kerana anggota ATM bukan sahaja berkampong di situ malah membuat operasi dan rondaan di kawasan yang berpotensi terancam.
Di sepanjang LRTB ini juga penempatan tetap anggota Askar Wataniah yang turut berkubukan binaan kubu sementara berkonsepkan kepungan yang diisi dengan pasir atau guni pasir untuk melindungi anggota yang sedang bertugas. Kubu jenis ini hanya mampu melindungi anggota jika diserang dengan menggunakan senjata kecil. Jika diserang oleh atau pasukan Artileri, atau dengan menggunakan mortar, bom atau serangan udara, sudah tentu kubu ini tidak boleh memberi perlindungan lagi kerana kubu ini tidak diberi perlindungan menyeluruh dan dan jauh sekali untuk menjadi kubu kebal..
Kubu Pertahanan Pangkalan
Tinjauan penulis secara tidak formal terhadap pangkalan-pangkalan ATM maupun PDRM menunjukkan ada terdapat kesan-kesan kubu untuk pertahanan pangkalan yang mana dibina secara ‘hand’s on’ iaitu pembinaan dibuat berkonsepkan sementara iaitu semasa ancaman sedang berlaku. Kubu pertahanan jenis ini juga di bina secara manual dan tidak kekal dengan menggunakan guni pasir atau menggali lubang dengan ketinggian atau kedalaman yang selesa untuk membuat penembakan semasa pertahanan.
Penulis masih tertanya-tanya kenapa pembinaan kubu kebal secara tetap dan kukuh yang mana mampu melindungi anggota-anggota yang membuat pertahanan pangkalan dari serangan artileri, bom atau mortar tidak diberi perhatian.di pangkalan-pangkalan tentera di Negara kita? Malah ada sesetengah pangkalan tiada langsung berpagar di bahagian yang terpisah dengan laut apatah lagi untuk mempunyai menara pemantau (lookout tower).
Seperti yang umum maklum, peperangan masa kini lebih tertumpu kepada serangan udara yang mana ketepatan dan impak yang lebih besar namun apa yang jelas, kubu yang berkonsepkan binaan konkrit dan kebal bom sangat penting bagi tujuan itu. sekali gus merupakan benteng terakhir untuk menghalang kemaraan musuh yang mendarat secara amfibia dari memasuki pangkalan yang mana bukan sahaja yang didiami oleh para tentera malah di diami oleh anggota keluarga mereka. Pembinaan terowong juga sangat relevan sebagai kubu pertahanan yang mana sekali gus boleh memobilisasikan anggota dan orang awam tanpa dilihat oleh musuh dan yang paling utama ialah dapat memberi perlindungan dari tembakan misile atau serangan bom dari udara yang tersasar kepada kelompok awam dan kanak-kanak. .
Kubu Moden
Di era peperangan Amerika-Iraq banyak mempamirkan kubu yang boleh dimobilisasikan yang direka khas supaya mudah di bawa dan dipasang di penempatan operasi. Kubu-kubu moden ini memenuhi ciri-ciri kekebalan peluru senjata kecil dan pemasangannya yang tidak memerlukan masa yang lama, begitu juga semasa menyimpan untuk diguna kembali.
Kelebihan ketara kubu-kubu moden ini bukan sahaja sistem perlindungan yang baik dan ekonomik malah ianya juga mampu untuk digerakkan dengan mudah dan mampu diutilitikan dengan kemudahan sekeliling dengan lebih cepat, mudah dan dengan penggunaan tenaga manusia yang minima. Direka dan dibina untuk menggantikan kubu konvensional yang diperbuat daripada bahan seperti guni pasir dan sebagainya.
Boleh dibina dengan keluasan dan ketinggian yang diperlukan dengan kemampuan yang ada dan ruang tapak yang bersesuaian. Persamaan struktur kubu moden ini adalah lebih kurang 1500 guni pasir boleh didirikan dan diisi oleh 2 orang dalam masa 20 minit berbanding pembinaan kubu guni pasir yang menggunakan 10 orang dalam masa 7 jam. Produk kubu-kubu pertahanan masakini juga sesuai diisi dengan pasir, campuran krikil, tanah yang mana juga menjanjikan perlindungan dan mudah diurus.
Struktur kubu moden ini boleh disesuaikan untuk pelbagai penempatan seperti Dinding Pertahanan dan Keselamatan Perimeter, Pos Pengawal, Posisi Bertahan Penembakan, perlindungan personal, Pengurusan lalu lintas di lebuhraya dan sebagainya.
Malangnya
Apa yang agak dikesali kebanyakan kubu-kubu pertahanan masa lampau ditinggalkan begitu sahaja tanpa ada pihak-pihak yang mengambil inisiatif untuk memajukan sebagai tempat atau artifak sejarah yang mana boleh dimajukan sebagai persinggahan pelancongan. Tidak dinafikan ada sebilangan tempat sudah di beri perhatian oleh pihak-pihak tertentu, tetapi tidak begitu bersungguh-sungguh dalam menyediakan kubu tersebut sebagai tapak lawatan yang boleh dimasuki kerana penyediaannya hanya di luar sahaja sedangkan di dalam kubu tersebut dipenuhi dengan sampah sarap atau takongan air yang membiakkan nyamuk. Adalah lebih malang lagi di mana kubu sejarah peradaban bangsa ini sudah diambil alih oleh sebilangan anak bangsa generasi terkini untuk berkubu sebagai tempat berhayal dengan dadah.
Apa yang mustahaknya ialah pendedahan kepada generasi anak-anak bangsa Malaysia terkini yang kian melupai sejarah pertahanan Negara. Mereka kebanyakan tidak tahu bahawa ada palitan darah merah perajurit disebalik dinding batu yang dinamakan kubu yang langsung tidak diketahui kerana sejarah kubu bukanlah agenda pembangunan pendidikan. Sebagaimana tertutupnya jasad kubu dengan semak samun, begitu jugalah tertutupnya lagenda sejarah kubu di Malaysia di kalangan generasi anak bangsa terkini.
Saya berpandangan adalah lebih baik jika kubu kita dibina secara dalam seperti terowong bawah tanah tanah.Ini akan menyukarkan pihak musuh untuk melakukan gerakan pembunuhan secara mudah.Contoh terdekat ialah perang IRAQ, dimana pihak musuh sukar mencari sasaran.Walaupun alatan canggih dapat digunakan tetapi jumlah kemalangan dan korban adalah lebih sedikit berbanding kubu di atas tanah.Cuba juga lihat di Palestine dan Vietnam.
ReplyDeletekubu Emma
ReplyDelete