Sumber: Majalah Perajurit edisi feb 2007
Oleh: Hamzah h.d
Sekalung tahniah diucapkan kepada penyandang jawatan Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Senator Datuk Haji Muhammad bin Haji Abdul Ghani kerana berjaya mempertahankan jawatannya pada persidangan perwakilan ke 81 yang berlangsung di Wisma Belia MAYC pada 11 Nov 2006. Bagi jawatan Timbalan Presiden juga kekal kepada penyandangnya Datuk Idrus Kasim.
Sejarah Penubuhan
Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) merupakan salah sebuah persatuan yang tertua di negara ini. PBTM ditubuhkan pada 20 Mei 1922 dengan nama EX-Services Association Of Malaya (ESAM) dan teah diterima manjadi Ahli Gabungan British Empire Services League pada 22 Mei 1922. Mengikut rekod, inisiatif untuk menubuhkan persatuan ini dilakukan oleh bekas-bekas anggota British dari beberapa buah negara Eropah yang pernah berkhidmat ketika Perang Dunia Pertama di negara ini. Mereka juga turut disertai oleh Pegawai-pegawai Ekspatriat British yang berkhidmat di Malaya. Pada awal penubuhannya, persatuan ini diketuai oleh Mr. F.W.Palmar sebagai Pengerusi Cawangan Selangor. Ketika itu persatuan ini ditubuhkan bagi membolehkan ahli-ahlinya bergerak dalam kegiatan sosial sahaja. Persatuan ini terpaksa dibubarkan apabila Perang Dunia Kedua meletus. Persatuan ini telah digerakkan semula pada tahun 1946 di Selangor, kemudian dituruti oleh beberapa cawangan di Kuala Lumpur, Ipoh, Taiping, Pulau Pinang, Alor Star, Kota Bharu dan Melaka. Apabila Tentera British berkembang di Singapura dan Malaya dan dengan tertubuhnya Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu pada 1933, ramai anak-anak watan turut menceburi bidang ketenteraan. Mereka inilah yang menjadi benteng dalam Peperangan Dunia Kedua, begitu juga dengan Pasukan Federation of Malaya Volunteer Force (FMVF), Force 136, Area Security Unit(ASU), Jungle Squad dan Pasukan-pasukan Kawalan Kampong (Home Guard) ketika darurat(1942-1948). Sejak itu bilangan bekas-bekas tentera bertambah ramai dan turut menyertai pasukan ini.
Pada 1958, British Empire Services League telah menukar namanya kepada British Commonwealth EX- Services League (BCEL) dan PBTM turut menjadi Ahli sehingga sekarang. Sejak Persatuan ini digerakkan semula sehingga 1968, sebuah urusetia telah dibentuk dan pentadbirannya telah diubahsuai, segala urusan pentadbiran dan urusan mesyuarat Persatuan dilaksanakan oleh sebuah firma setiausaha yang dilantik iaitu Walgrems Limited. Menerusi urusetia inilah persatuan telah didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan pada tahun 1966. Sesudah itu barulah sebuah sekretariat diwujudkan dan dipimpin oleh seorang Setiausaha Agung (Mejar (B) Ismail Babu) dan dibantu oleh beberapa orang kakitangan, ianya terus berkembang dari masa ke semasa selaras dengan perkembangan persatuan ini. Urusetia inilah yang mengendalikan semua aktiviti persatuan termasuk pentadbiran terutama dalam menguruskan hal-hal kebajikan ahli-ahli dan tanggungan mereka. Pada tahun 1967, Persatuan Bekas Perajurit Sabah dan Sarawak telah diterima menjadi Ahli Gabungan dan selepas itu nama persatuan ditukar kepada Bekas Perajurit Malaysia (PBPM). Mengikut rekod, pada penghujung 1959, jumlah ahli persatuan ini ialah seramai 2,607 orang dan bilangan ini bertambah kepada 7,442 (1970) dan 16,257 (1974). Urusetia atau sektretariat PBPM telah mula bergerak dengan pesat selaras dengan pembangunan dan perkembangan persatuan. Di samping itu sokongan daripada kerajaan, sektor awam dan sektor swasta telah meningkat dari masa ke semasa sehingga membolehkan PBPM bergerak sebagai sebuah badan kebajikan yang terunggul di Malaysia. sejajar dengan keperluan kewangan serta pembangunan di tanahair, maka suatu langkah yang berani telah diambil oleh persatuan ini untuk membina ibu pejabatnya sendiri setinggi 13 tingkat di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur dan diberi nama Wisma Pahlawan. Untuk tujuan tersebut, sebuah jawatankuasa rayuan binaan telah ditubuhkan dan berjaya mengumpulkan empat juta ringgit hasil sumbangan orang ramai dan kerajaan untuk membina bangunan Wisma Pahlawan. Bangunan ini telah disiapkan dalam bulan Ogos 1974 dan telah mula dibuka dengan rasminya pada 8 September 1974 oleh DYMM Yang Dipertuan Agong. Selaras dengan pembangunan dan kemajuan negara PBPM kini sudah berjaya membuktikan keupayaannya sebagai salah sebuah Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) yang terunggul di negara ini. Nama persatuan ini sekali lagi telah ditukar kepada Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) pada 28 Julai 1998. (dipetik dari Suara Pahlawan)
Perutusan
Kalau mengikut perkiraan yang dipetik dari perutusan YB Datuk Presiden dalam Majalah Suara Pahlawan (Majalah Rasmi PBTM) bilangan 2/2004 bermakna PBTM telah ditubuhkan pada tahun 1922. melalui rujukan yang sama, PBTM mempunyai 14 bahagian negeri dan 210 cawangan dengan jumlah kesemua ahli ialah 20,000 dan dinyatakan juga ahli berdaftar sehingga tahun 2003 ialah hamper 140,000 orang. Walaupun kekuatan ini pada YB Datuk Presiden tidak begitu ramai tetapi boleh dikira bagus dari segi angkanya. Walaupun begitu memang benar apa yang dikatakan oleh YB Datuk bahawa masih ramai lagi bekas anggota-anggota ATM yang masih keberatan untuk menjadi ahli terutamanya bekas-bekas pegawai yang berjawatan tinggi semasa dalam perkhidmatan. Memetik kenyataan Datuk Presiden lagi, “Tidak dinafikan ada antara kita bekas tentera yang sudah berjaya tetapi jumlah itu amatlah sedikit jika hendak dibandingkan dengan mereka yang memerlukan pembelaan. Inilah kenyataannya walupun amat sedih untuk menyatakannya kerana masih ramai lagi yang memerlukan pertolongan dan bantuan”. Ini kenyataan beliau dua tahun dahulu.
PBTM Hari ini
Apa yang diperhatikan, PBTM hari ini tidak mempunyai perubahan ketara atau lebih memberangsangkan dalam usaha merealisasikan wawasan Kementerian Pertahanan agar satu tentera mempunyai satu rumah, satu kemahiran dan satu pekerjaan apabila menamatkan perkhidmatan. Mari kita lihat atau sama-sama menyelami persoalan mengapa masih ramai bekas-bekas tentera yang tidak mahu atau seolah-olah menjauhkan diri dari persatuan.
Dalam konteks menjaga kebajikan kepada bekas tentera, umum tidak harus melihat yang kebajikan, pemberian atau bantuan itu berbentuk material atau kewangan terus keribaan bekas tentera. Tidak semua akan dapat dalam bentuk ini kerana mereka yang berkemampuan dan segar bugar akan terkecuali. Sememangnya menjadi kewajipan kepada kerajaan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan PBTM memberi bantuan ihsan terus kepada segolongan bekas-bekas yang sememangnya tidak berdaya atau daif samada kesan langsung dari dalam perkhidmatan atau musibah baru pasca perkhidmatan. Apa yang harus dilihat ialah kebajikan yang lebih umum dan sempurna perlu sangat dibuat anjakan ialah soal kesinambungan pembangunan dan kelangsungan hidup modal insan yang bernama bekas tentera dan generasi keturunan mereka.
Konsep memberi ‘ikan’ tidak salah diteruskan malah perlu dipertingkatkan kerana sentuhan ini lebih menjurus kepada kecaknaan pihak kerajaan membantu mereka yang betul-betul tidak berdaya tetapi kita juga harus melihat, tindakan pembangunan oleh badan PBTM itu sendiri kelihatan amat lesu dan tidak bermaya. Sepatutnya PBTM negeri atau cawangan berusaha membina ‘lubuk-lubuk ikan’ supaya bekas tentera dan keturunannya boleh memancing. Pemimpin-pemimpin peringkat negeri dan cawangan harus bergerak proaktif dan merencanakan sesuatu pembangunan masa panjang. Perbadanan Hal Ehwal Bekas Tentera (PERHEBAT) telah melunaskan tanggongjawabnya dalam usaha memangkin dan memperkasakan kemahiran kepada bekas-bekas tentera tetapi apakah mereka-mereka ini sudah boleh dikira berjaya?. Inilah persoalannya.
Bekas-bekas tentera dibiarkan bertempiaran mencari haluan masing-masing. Ada yang berjaya, ada yang kecundang dan ramai yang berada dalam keadaan cukup makan. Sepatutnya sesudah bekas-bekas tentera ini diijazahkan di PERHEBAT. Mereka harus dibawa ke ‘lubuk ikan’ yang dibina oleh PBTM untuk memperaktikkan ilmu yang dipelajari. PBTM juga akan mendapat untung berlipat kali ganda dengan mengenakan komisyen daripada mereka. PBTM boleh mempelbagaikan serampang pembangunan kerana tidak semua bekas-bekas tentera berkemampuan atau mampu berdikari. Justeru itu, tidak hairanlah ramai bekas tentera mencebur diri dalam Sektor Kawalan Keselamatan dalam semua peringkat jawatan. Jabatan Hal Ehwal Perajurit (JHEV) maupun PBTM harus melihat sedalam-dalamnya di sebalik fenomena kecenderungan ahli-ahli PBTM yang berada dalam sektor ini malah ramai lagi ahli-ahli yang langsung tidak mempunyai pekerjaan dan hidup dalam keadaan di bawah paras kemiskinan tetapi tidak mahu malah tidak memandang sebelah mata pun untuk sama-sama mewarnai sektor ini yang boleh dikatakan tumbuh melata di setiap daerah dan mampu menjana pendapatan untuk membaiki sosio ekonomi keluarga masing-masing sekurang-kurangnya. Ada laporan yang mengatakan bahawa sebanyak 40,000 buah rumah bekas tentera yang tidak berpencen bakal dilelong adalah semata-mata kerana tidak mampu membayar ansuran bulanan ekoran daripada pendapatan mereka yang tidak menentu. Fenomena ini sangat membimbangkan dan sangat memerlukan sentuhan baru yang lebih meyakinkan dari PBTM.
Kerjaya Kedua Selepas Bersara
Kata Datuk Mohammad lagi, fenomena yang sedang berlaku sekarang ialah penglibatan bekas tentera dalam sektor Kawalan Keselamatan. Suatu kerjaya yang amat sinonim dan boleh memenuhi keperluan di mana-mana tempat di seluruh Malaysia sejajar dengan perluasan perlaksanaan dan keperluan mendesak hasil dari permintaan yang tinggi dari jabatan kerajaan atau kompeni yang sudah menjadi keperluan yang tidak boleh berkompromi lagi untuk menentukan premis mereka dilindungi dan berada dalam keadaan selamat.
Penulis sangat tertarik dengan kenyataan ini dan penuh yakin bahawa sektor Kawalan Keselamatan Malaysia mesti dimartabatkan terutamanya dalam soal gaji supaya sektor ini menjadi pilihan utama selepas bersara kepada bekas tentera yang tiada kemahiran vokasional atau bagi mereka yang gagal berdikari walaupun sudah mempunyai kemahiran. Sektor ini boleh menjadi medium utama dan juga alternatif. Dengan angka bekas tentera yang begitu ramai, mana mungkin semuanya boleh diladeni atau berkemampuan untuk menjadi usahawan. Bakat, skil dan keupayaan memacu diri adalah sangat berbeza dalam kalangan bekas-bekas tentera. Justeru itu tidak semua akan berjaya menjadi usahawan walaupun mereka mempunyai modal yang mencukupi. Faktor pengurusan dan persaingan adalah nadi keberjayaan seseorang usahawan.
Untuk mengharapkan Syarikat Keselamatan bertanggongjawab terhadap gaji pengawal samada bekas tentera atau orang awam adalah kurang tepat. Sebagai syarikat pembekal perkhidmatan, Syarikat Kawalan Keselamatan kelihatan tidak berdaya membantu dengan memberi gaji yang setimpal kepada bekas tentera berdasarkan pengalaman dan jasa mereka kepada negara kononnya seperti yang pernah disaran oleh pelbagai pihak kerana perolehan syarikat juga adalah bergantung 100% kepada bayaran yang dibuat oleh pelanggan. Penyelesaian masalah harus bermula dari dasar. Kementerian yang terbabit boleh mulakan dengan meletakkan harga siling yang paling rendah kepada petender yang membida untuk memberi perkhidmatan kawalan di premis-premis kerajaan. Selepas itu dasar tersebut boleh dipanjangkan kepada firma swasta yang mana sangat memerlukan perkhidmatan ini. Barulah sesebuah syarikat akan dapat memberi gaji yang lebih baik setelah berjaya memperolehi bayaran yang tinggi dari pelanggan. Yang pentingnya ialah penguatkuasaan peraturan. Kementerian terbabit harus komited untuk mengubah keadaan supaya semua yang terlibat akan mengikut dan tidak mempersendakan setiap arahan yang digariskan.
Jika perkara ini tidak diselesaikan, maka elemen gaji pengawal yang terlalu rendah
akan menjadi alasan kepada bekas tentera untuk mereka mengatakan yang mereka lebih rela menganggur daripada duduk bersekang mata selama 12 jam sehari menjadi ‘jaga’. Khalayak tidak boleh menyalahkan mereka kerana ini juga bersangkut paut dengan maruah. Memang pekerjaan ini tidak hina jika ditanyakan kepada khalayak tetapi di hati kecil mereka tidak boleh ditipu untuk mengatakan pekerjaan ini ‘low class’. Berapa ramai bekas tentera yang sanggup mengliberalisasikan perasaan ego mereka yang dahulunya gah dengan pangkat sarjan, staff sarjan atau pegawai waran untuk menyarung unifom ‘jaga’?. Manfaatnya bukan sahaja akan dinikmati oleh bekas tentera malah rakyat Malaysia yang tidak mempunyai pekerjaan seluruhnya. Implikasi baik hasil dari anjakan ini ialah ‘out put’ kualiti perkhidmatan terbaik kepada pelanggan boleh dipertingkatkan kerana secara kesimpulannya bila permintaan kepada kerjaya ini sudah tinggi maka penetapan piawaian kualiti boleh diberi perhatian. Justeru itu alangkah bagus dan sangat dialu-alukan jika Dewan Perniagaan PBTM menaungi satu konsortium atau koperasi khusus untuk mengendalikan perkhidmatan kawalan keselamatan dalam usaha memartabatkan imej dan mutu perkhidmatan sektor tersebut sekali gus mengidolakan sektor ini kepada bekas tentera.
Berpuas Hati
Pembangunan PBTM di peringkat pusat atau sesetengah negeri sudah nampak perkembangan positif iaitu dengan tertubuhnya Dewan Perniagaan PBTM (DPPBTM) yang setakat ini telah menaungi ramai kontraktor dalam kalangan ahli. seperti yang telah dinyatakan oleh YB Datuk Presiden tentang penubuhan konsortium di bawah DPPBTM untuk dinikmati oleh semua ahli di seluruh negeri. Setidak-tidaknya dalam perkembangan ini ahli-ahli diberi peluang untuk melibatkan diri dengan pembelian saham untuk sama-sama menikmati keuntungan kerana tidak semua ahli akan bergiat dalam bidang usahawan. Inilah yang dikatakan pengagihan keuntungan hasil dari perniagaan oleh DPPBTM dan konsortium. Ahli yang terlibat secara langsung dalam sesuatu perniagaan di bawah kelolaan DPPBTM dapat menikmati keuntungan atau upah dan ahli yang pasif pun dapat juga imbuhan bergantung kepada pelaburan mereka. Ahli-ahli di cawangan-cawangan tertunggu-tunggu hebahan dan maklumat perkembangan ini dari PBTM cawangan. Informasi amat penting dalam era globalisasi ini. Kewujudan Portal PBTM yang baru sahaja dilancarkan adalah suatu langkah positif yang sangat membanggakan dan harus dikemaskini dan dimasukkan maklumat terkini untuk informasi ahli-ahli yang mampu mengakses melalui saluran teknologi maklumat. Seharusnya PBTM Pusat memikirkan pengeluaran buletin bulanan atau dwi-bulanan untuk penghebahan maklumat dan aktiviti setiap cawangan di seluruh Malaysia sebagai alternatif kepada ahli yang tidak mampu akses internet.
Sejauh mana perkembangan ini sudah berlaku?. Saban kali Mesyuarat Agong dilakukan, pengumuman dibuat tentang pemberian peruntukan atau peningkatan jumlahnya oleh kerajaan pusat atau tempatan. Persatuan tidak seharus bergembira, berpuas hati atau menganggap sebagai satu kejayaan tentang perolehan ‘sedekah’ ini sebaliknya persatuan harus bermuhasabah dan bertanya sampai bila kah persatuan mesti bergantung harap kepada kerajaan dan tidak keterlaluan jika dikatakan ada persatuan tidak mempunyai wang tabung untuk membiayai Mesyuarat Agong dan terpaksa menagih simpati dari wakil rakyat untuk melaksanakan sesuatu acara tahunan. Dengan bilangan ahli yang sedia ada sepatutnya PBTM sudah mampu mengorak untuk membuat pelaburan yang lebih agresif bagi menjana pendapatan kepada ahli yang berdaftar dan akan menarik minat bekas-bekas tentera yang belum mendaftar. Biar terpahat dalam pemikiran bakal-bakal pesara seawal hari pertama persaraan lagi mereka sudah menaruh impian untuk menjadi ahli.
Meladeni Andaian Tidak Sihat
Untuk meraih keyakinan bekas tentera supaya menjadi ahli berdaftar dengan persatuan, perlu ada usaha untuk menolak andaian dan sikap negatif sesetengah ahli maupun bukan ahli yang mengatakan dengan pelaburan awal yuran menjadi ahli sebanyak RM 50.00 seumur hidup dan yuran tahunan khairat sebanyak RM 15.00 adalah sesuatu yang tidak menguntungkan kerana pada mereka menjadi ahli atau tidak bukan suatu yang sangat merugikan kalau sekadar menunggu hari kematian untuk mendapat imbuhan khairat. Bantuan pelajaran kepada anak-anak yang lulus cemerlang dalam peperiksaan tidak berjaya menarik minat untuk mereka menjadi ahli kerana PBTM hanya berperanan sebagai pemberi borang sahaja sedangkan kata mereka, urusan tersebut boleh dibuat sendiri di cawangan JHEV. Adalah sangat tidak adil jika dibiarkan andaian sebegini dari ahli atau bekas tentera yang belum menjadi ahli terus memperkecilkan jasa dan peranan yang telah dimainkan oleh PBTM. Berapa ramai ahli-ahli dan keluarga mereka yang bermasalah kesihatan telah dibantu oleh PBTM tanpa mengeluarkan satu sen pun. Kita tidak mahu jasa ini tenggelam dek kerana sedikit kealpaan sesetengah cawangan dalam memperbaiki perkhidmatan kepada ahli.
Perebutan jawatan secara tidak sihat di peringkat cawangan juga menjadi penyumbang kenapa bekas tentera tidak mahu berpesatuan. Perpecahan dan permusuhan hanya akan menyebabkan PBTM tidak dihormati dan tidak dilihat dengan penglihatan sebenar. Untuk menentukan ahli atau bekas tentera yang belum menjadi ahli tidak berpecah dan bersatu padu bukan hanya boleh diseru dalam ucapan pemimpin-peminpin peringkat negeri atau cawangan sahaja. Usaha mengoreksi punca permasalahan dan turun padang pemimpin-pemimpin dan ‘agenda borak kedai kopi’ harus dipraktikkan kerana jiwa halus bekas-bekas tentera kadang-kadang harus diladeni bagai anak kecil kerana dalam kajian rambang penulis, ramai bekas tentera yang masih melayani rasa kecewa mereka sejak dari dalam perkhidmatan lagi dan membara bagai api dalam sekam dan menzahirkan luahan kepada orang yang tidak sepatutnya yang berada di sekeliling mereka yang jahil tentang budaya tentera.
Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana kesannya sangat buruk kepada usaha kerajaan atau ATM untuk mempromosi ATM kepada masyarakat. Jika dilihat limpahan kehadiran anak-anak muda semasa temuduga pengambilan perajurit atau perwira, bukan bermakna atau belum boleh dibuat perkiraan yang angka permohonan itu lahir dari minat yang mendalam mereka memilih kerjaya tentera, tetapi lebih kepada ingin bekerja untuk kelangsungan hidup yang makin sukar terutamanya kepada yang tiada kelebihan akademik dan kemahiran.
Pemikiran negatif seumpama ini yang bersarang dalam minda sebilangan bekas-bekas tentera harus diladeni atau dirawat dengan membuat penambahbaikan di peringkat asas permasalahan oleh Ahli Jawatankuasa yang telah terpilih di cawangan-cawangan. Rumah Persatuan harus dibuka setiap hari selama beberapa jam sehari untuk memberi peluang atau ruang berintraksi di antara satu sama lain di samping meladeni segala permasalahan yang diadukan. Rumah Persatuan seharusnya diselenggara dengan baik dari segi kesediaan dan susun atur. Kalau dalam perkhidmatan, pejabat boleh dijaga dengan rapi dan berdisiplin, tiada sebab Rumah Persatuan tidak boleh dijaga dengan rapi dalam usaha untuk mempamirkan sesuatu keadaan yang ceria dan harmoni dan seronok untuk dikunjungi.
Gejala Tidak Sihat
Dengan pengumpulan dan rasa peduli semua cawangan persatuan kepada bekas tentera di cawangan masing-masing, adalah diharapkan gejala tidak sihat yang melibatkan bekas tentera dapat dibendung. Jika di renung kembali beberapa peristiwa lalu, bekas tentera terlibat dalam rompakan, kecurian atau samun menghiasi dada akhbar. Penglibatan bekas tentera dalam pertubuhan haram Pasukan Khas Persekutuan Malaysia (PKPM) dan masyarakat tentu tidak lupa siapa pelaku-pelaku dalam kejadian curi senjata di Kem Askar Wataniah dan berakhir sebagai tragedi di Sauk. Semua ini ada kaitan dengan kewangan dan kuasa untuk memerintah yang sekali gus bermotifkan ingin mencari kekayaan. Amatlah mustahil pelaku-pelaku dari kalangan bekas tentera atau yang masih aktif dalam perkhidmatan tidak tahu kegiatan mereka adalah salah dari segi undang-undang dan sumpah ketaasetiaan kepada kerajaan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Bagindaa Yang Di Pertuan Agong. Tetapi kenapa kegiatan ini berlaku juga. Inilah peranan yang harus PBTM gemblengkan bersama agar rasa kecewa bekas tentera yang pakar dalam serba serbi ini tidak dizahirkan atau diterjemahkan kepada gejala yang merugikan individu bekas tentera itu sendiri dan juga impak kepada keselamatan negara keseluruhannya.
Akhir kalam, dalam pernyataan peranan dan matlamat penubuhan PBTM untuk menjalankan tanggongjawab sosial terhadap bekas tentera mesti diberi tumpuan dan pembangunan total secara agresif kerana tiada apa yang kurang dalam konteks jumlah keahlian, bantuan dan sokongan yang berterusan dari banyak pihak untuk NGO yang istimewa ini untuk terus berkembang sejajar dengan hasrat dan cita-cita Dasar Ekonomi Baru (DEB) itu sendiri. Perajurit
Tajuk tersebut tidak sesuai digunakan kerana ianya tidak menjadi kenyataan setelah sekian lama PBTM ditubuhkan, Penyelewengan demi penyelewengan terus berlaku sehingga Bekas Tentera tidak mahu terlibat dalam Persatuan sebagai sandara selepas mereka bersara dari kerjaya Tentera. Ini mendorong Presiden Kehormat Seumur Hidup, Jeneral Tun Ibrahim bin Dato' Ismail (Bersara) meletak jawatan sebagai Presiden Kehormat. PBTM perlu direformkan segera dengan menukarkan pemimpin yang ada diperingkat pusat.
ReplyDeleteSaya 100% setuju dengan "anonymous"(March 25hb)! Selain dari trend penyelewengan dari Ibu pejabat di KL sehingga ke peringkat bahagian di negeri-negeri....sesetengah veteran kita bermati-matian enggan melepaskan jawatan mereka. Tanda-tanda ketidakpuasan dari ahli-ahli terhadap mereka ini sedikit pun tidak mempengaruhi jiwa mereka untuk menarik diri. Nescaya ini disebabkan oleh berbagai insentif/kontrak yang diperolehi mereka sebagai ketua, baik diperingkat national/bahagian/cawangan. Yang 'bergigit jari' adalah ahli-ahli biasa saperti saya. Reformasi di semua peringkat PBTM memerlukan veteran-veteran yang bersih,amanah dan hanya mementingkan kebajikan semua ahli -tidak kira yang mampu atau tidak."Pi mai pi mai dok tangtu juga"
ReplyDelete