Sumber: Majalah Perajurit Edisi Jan 2008
Oleh: Hamzah h.d
Pada 6 Disember 2007 di Limbungan Wave Master Yachts Centre Langkawi, terpahat satu lagi sejarah kejayaan bangsa Malaysia dalam satu upacara gemilang penamaan dan pelancaran Patrol Vessel Generasi Baru ke empat [PV4] telah disempurnakan dengan jayanya oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah dengan gimik simbolik pemecahan pasu tanah yang berisi air yasin di Bull Ring haluan kapal yang diluncurkan setelah throttle jentera utama digerakkan sebagai satu permulaan pelayaran yang diberkati dan dirahmati.
Menjadi amalan tradisi tentera laut seluruh dunia hanya wanita sahaja yang boleh menamakan sesebuah kapal. Wanita dan kapal amat sinonim dan mempunyai kaitan yang menjiwai tingkah laku dan kehidupan kapal itu sendiri. Pergerakannya yang lembut dan harus dilayan dengan lembut dan penjagaan yang rapi dalaman dan luaran oleh penghuninya seperti mana menjaga atau melayani seorang wanita. Di dalam tradisi tentera laut juga nilai kebersihan dan kecantikan sesebuah kapal sangat dititikberatkan dan menjadi satu keaiban jika kekuningan air karat di tepian kapal dibiarkan tanpa disenggarakan dengan sempurna sebelum memasuki sesuatu pelabuhan. Atas alasan itu juga tidak hairanlah jika kapal diberi ganti nama she.
Sejarah Penamaan PV4 TERENGGANU
Sejarah penamaan kapal dengan TERENGGANU telah bermula pada 12 Julai 1958 apabila sebuah Motor Launch yang bernombor tepian [pennant number] P 3502 yang diserahkan oleh Tentera Laut British kepada Kerajaan Persekutuan Malaya telah diberi nama Her Majesty’s Malaya Ship [HMMS] SRI TERENGGANU. Apabila Malayan Naval Force [MNF] diberi status Diraja pada 31 Ogos1958 HMMS SRI TERENGGANU telah ditukar nama kepada KD SRI TERENGGANU. Pada 7 Sep 1958, KD SRI TERENGGANU bersama kapal-kapal lain telah mengambil bahagian dalam Royal Fleet Review yang pertama berhampiran Port Dickson. Tabik hormat telah dilaksanakan oleh Almarhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Mohamad, DYMM yang pertama dari dek KD SRI PERLIS.
Nama TERENGGANU telah digunakan semula untuk kapal Ronda TLDM yang dibina oleh syarikat Vosper Thornycraft Limited di Porthmouth, England pada tahun 1961. KD SRI TERENGGANU telah ditauliahkan pada 13 Dis 1963.
Kapal ini pernah terlibat dalam menjaga keamanan negara semasa konfrontasi dengan Indonesia. Ia telah dilucutkan tauliah pada 1994 setelah berkhidmat selama 31 tahun dan diserahkan kepada muzium TLDM Melaka pada 6 Januari 1996 sebagai bahan sejarah. Objektifnya adalah untuk memaklumkan kepada generasi yang akan datang bahawa kapal tersebut telah banyak berjasa dalam mengawal perairan daripada ancaman musuh semasa pengoperasiannya.
KD SRI TERENGGANU juga pernah mengalami saat-saat getir semasa belayar bersama-sama KD SRI PERAK dan KD HANG TUAH semasa melintasi Laut China Selatan dalam suasana cuaca buruk. Dalam kerakusan gelora yang sangat luar biasa, ketiga-tiga kapal ini masih ingin meneruskan misi dan amanat negara dalam rangka operasi di Malaysia Timur. Namun musibah mendatang tiada siapa boleh menduga, KD SRI PERAK tenggelam ditelan gelombang dan berkubur tanpa nisan di Laut China Selatan dengan tiga orang krew yang tidak dapat diselamatkan. Manakala KD SRI TERENGGANU sempat diselamatkan dan diberi pemulihan di Pulau Tambelan di Kepulauan Anabas. Pertukaran anggota yang cedera dirawat di atas KD HANG TUAH dan meneruskan misi pelayaran seperti yang dirancang.
Skuadron PV MEKO 100
Dengan pertambahan sebuah lagi aset terapung armada TLDM yang direkabentuk untuk membolehkan beroperasi berterusan di laut dengan mengambil kira keselesaan anak-anak kapal menjadikan perolehan ini memberi impak positif dan menjadi pendorong kepada TLDM memacu perjuangan dengan angkatan laut yang seimbang dan kredibel bagi menangani cabaran dan konflik semasa dan mendatang.
Biar pun skuadron PV Generasi Baru Kelas Meko 100 yang sistemnya berkonsepkan fitted for but not with ini menjadi perbincangan, rungutan dan tanda tanya khalayak tentang kebekesanan dari sudut ekonomi dan kesepadanan intergrasi peralatan masa depan, namun keyakinan dan mandat harus diberi kepercayaan kepada pemikir-pemikir strategik pertahanan negara kerana merekalah jauhari yang mengenal maknikam.
Pembinaan keseluruhan sebanyak enam buah platform yang dilengkapi dengan kelengkapan canggih dan termoden bukan sahaja memenuhi hasrat TLDM setakat ini yang dijangka akan memasuki armada TLDM sebelum tahun 2010 malah menjanjikan kelancaran operasi maritim dan meletakkan kesiapsiagaan angkatan armada pada tahap kategori satu dan memberi impak semangat juang kepada perajurit dan usaha cegah rintang kepada pihak musuh yang sering mengintai dan mentafsir kelemahan pertahanan negara.
Menunjukkan kekuatan dan keperkasaan sejumlah angkatan perang, bukan bermakna perlumbaan persenjataan atau provokasi ofensif terhadap negara jiran tetangga tetapi harus dinilai sebagai pengisian seimbang terhadap pembangunan sesebuah negara termasuk dalam aspek pemodenan dan penggantian aset-aset lapuk ketenteraan sekali gus usaha cegah rintang untuk keamanan serantau dan menghormati hak-hak kewilayahan dan persempadanan yang telah dipersetujui. Pertahanan dan pengawalan rapi sea lines of communications [SLOC] seperti di Selat Melaka dan menjaga intergriti kewilayahan Zon Ekonomi Eksklusif [ZEE] dengan kepentingan-kepentingan sumber-sumber asli seperti petroleum dan pemakanan laut menjadi fardhu kifayah kepada umat Islam negara ini dan menuntut penghasilan terbaik mereka-mereka yang terlibat dalam menjalankan tanggungjawab misi negara.
Inovasi tempatan yang mempunyai ciri-ciri serba boleh telah menekankan aspek ketahanan pengoperasian dan keselesaan menghuni warganya yang merupakan inovasi persediaan penempatan krew lelaki dan wanita [mixed gender crewing] secara langsung memberi gambaran bahawa perancangan masa depan TLDM akan memberi peluang kepada pegawai dan lasykar wanita untuk bertugas di kapal dengan lebih serius. Penempatan percubaan pegawai wanita di kapal PV KD KEDAH dan KD PAHANG telah membuktikan bahawa diskriminasi gender tidak berlaku dan wanita juga mampu digerakkan dan diberi peranan seiring dengan lelaki tanpa berkompromi dalam perkara agama dan tatasusila dan langkah ini amat bersesuaian dengan peranan masa kini TLDM.
Satu realiti dan cabaran yang harus diterima oleh pengendali kapal NGPV ini ialah jumlah krew atau anak-anak kapal adalah sangat kecil jika dipadankan dengan saiz kapal yang setaraf frigat malah juga jika dibandingkan dengan kekuatan anggota kapal terdahulu seperti korvet kelas Kasturi yang jauh lebih ramai. Ini secara tidak langsung memberi petunjuk bahawa penerapan konsep kapal bestari akan menjadi budaya kerja yang harus diadaptasikan oleh semua anak-anak kapal dengan memberi fokus kepada penggunaan teknologi maklumat dan ikuipmen berteknologi tinggi. Setiap individu harus bersedia dengan transformasi latihan intensif dan berterusan untuk menzahirkan keserasian operator dengan mesen. Untuk merealisasikan misi TLDM bagi memastikan kemenangan semasa perang, pembentukan dan peningkatan kemahiran tim Action Information Organisation [AIO] yang berupaya berintraksi dengan teknologi mesen harus dititik beratkan tanpa mengkesampingkan kemahiran taktikal untuk berpencak dengan manipulasi taktikal angkatan musuh.
Spesifikasi asas PV Kelas MEKO 100:
- Panjang keseluruhan : 91.10m
- Lebar : 12.85m
- Draf : 3.4m
- Sesaran : 1,850 tan
- Krew : 68 orang [termasuk pegawai]
Untuk berhadapan dengan senario ancaman perang empat dimensi, kita yakin dengan kehadiran skuadron PV Kelas MEKO ke persada maritim tanahair, sedikit sebanyak akan menjayakan misi TLDM iaitu menyedia dan mengatur gerak angkatan laut untuk melindungi kepentingan Maritim Malaysia semasa aman dan memastikan kemenangan semasa perang.
Merangka dan mengolah plan strategik dan doktrin selari dengan Dasar Pertahanan Negara [DPN] sesuai dengan aset dan kelengkapan yang ada dan melahirkan sumber manusia yang berjiwa ‘Sedia Berkorban’ bagi memantapkan persiapan dan kesiapsiagaan menjaga perairan negara dan kepentingan dari ancaman dan pencerobohan anasir luar yang mengganggu kestabilan ekonomi dan politik sekali gus memporakporandakan keselesaan hidup dan perpaduan kaum rakyat di bumi bertuah ini. Syabas TLDM.
No comments:
Post a Comment