Pages

Friday, August 29, 2008

PREVIEW MAJALAH PERAJURIT SEPT08


Prebiu Perajurit September 2008

-ATM 75 tahun
-Pangkalan Hadapan ATM

-Eksklusif (hanya Perajurit) -Batalion 165 Risik Tentera Darat

-USS Ronald Reagan

-Eksklusif Ex Angsa 3/2008 ( Foto saudara Pegasus!!)

-Magnum - pakar kasut taktikal

-Kenderaan kombat kalis periuk api - oleh saudara Dean

-Briged Sempadan - oleh saudara Jebat
-Eksklusif Paskal - foto dan laporan oleh Editor Projek Khas
-Model MB-339AM oleh saudara dremel
-Surat pembaca - lagi isu Batu Putih

-Dan banyak lagi artikel menarik serta poster melecun Skuadron Gempur Paskal - Eksklusif!

..... Akan berada dipasaran awal September nanti.

Tuesday, August 26, 2008

Anggota tentera tidak ditambah kawal sempadan

Sumber: Utusan Malaysia 26 Ogos 2008


JELI 25 Ogos - Tentera Darat tidak akan menambah anggotanya di sempadan negara ini dan Thailand memandangkan tahap keselamatan di kawasan terbabit berada dalam keadaan terbaik.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin berkata, operasi rondaan bersama sempadan antara pasukan keselamatan kedua-dua negara berjalan dengan lancar.
Beliau berkata, biarpun berlaku beberapa siri pengeboman di selatan Thailand, ia tidak mengugat keamanan di sempadan kedua-dua negara.
"Hubungan di antara Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM) dan tentera Thailand sangat baik dan kawalan di sempadan juga berjalan lancar.
"Oleh itu tidak perlu bagi kita untuk menambah anggota di sempadan kerana keadaan di sini aman tanpa ancaman yang menggugat keselamatan negara," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Panglima Tentera Darat Thailand, Jeneral Anupong Poojinda di Jambatan Bukit Bunga-Buketa di sini hari ini.
Turut hadir Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Poojinda yang diiringi 13 pemimpin kanan tentera Thailand bersama Muhammad Ismail turut mengadakan lawatan ke pos kawalan sempadan di sekitar kawasan terbabit serta Tasik Banding, Perak sebelum berlepas pulang ke negaranya petang tadi.
Dalam pada itu, Poojinda berkata, perjumpaan itu amat penting bagi mengeratkan lagi hubungan di antara kedua-dua angkatan tentera tersebut.
"Pada perjumpaan ini, kita membincangkan mengenai keselamatan di sepanjang sempadan kedua-dua negara.
"Sehingga kini ia berjalan lancar dan kita akan bekerjasama untuk memastikan kawalan sempadan dilakukan dengan lebih baik lagi," katanya.

Monday, August 25, 2008

MERDEKA MERDEKA MERDEKA

Sebagai rakyat patriotik, katakan kepada dunia bahawa Malaysia merdeka bukan sahaja bebas dari penjajahan fizikal malah rakyat bebas merencanakan masa depan yang gemilang dengan kemahuan dan acuan sendiri. Belajar dari sejarah lalu, betapa perpaduan kaum dalam ertikata menghormati kontrak sosial yang telah lama dipersetujui pemankin kepada keharmonian.

PERPADUAN TERAS KEJAYAAN


SELAMAT MENYAMBUT
HARI KEMERDEKAAN NEGARA
YANG KE 51

Saturday, August 9, 2008

BOUSTEAD NAVAL SHIPYARD MEREALISASIKAN ASPIRASI TLDM



Oleh: Hamzah h.d



Sejarah pembinaan kapal layar dan bot kayu dalam industri perikanan di Malaysia adalah bukan satu mitos atau dongeng yang mana suatu ketika dulu kemahiran ini adalah warisan budaya orang-orang melayu turun temurun yang sehingga kini masih bertapak dari generasi ke generasi . Industri pembuatan bot di Pulau Duyung Terengganu mempunyai reputasi tinggi yang amat membanggakan dengan hasil kerja tangan yang diiktiraf oleh pelanggan-pelanggan dari negara maju.

Jadi tidak hairanlah jika abad ini warisan tradisi pembinaan bot yang asalnya dipelopori oleh kepakaran anak watan kini menjalani tranformasi kepada industri pembinaan perkapalan yang berteknologi tinggi. Anak watan sudah mampu berdikari dan pembinaan kapal perang moden oleh anak melayu berminda glokal mewarisi dan mula mengambil tempat di dalam memartabatkan tamadun bangsa dan secara langsung merealisasikan hasrat dalam ketamadunan bangsa yang setanding negara-negara maju menjelang 2020.

Anugerah dan Kepercayaan

Pemilihan Boustead Naval Shipyard [BNS] sebagai kontraktor utama oleh TLDM atau kerajaan menyambung kerja-kerja pembinaan empat buah lagi Kapal Ronda Generasi Baru yang terbengkalai sebelum ini telah memberi nafas baru dan kembali menambat dan menebus keyakinan rakyat terhadap keupayaan pembina tempatan. Walaupun BNS sebelum ini mengalami zaman sukar namun dengan sokongan dan dorongan pihak kerajaan, BNS ternyata mampu menunaikan kepercayaan kerajaan dan dengan terbinanya skuadron Kapal Ronda ini melambangkan kejayaan mengurus syarikat dan seterusnya membangunkan industri pembinaan kapal dengan menggunakan modal insan tempatan.

Keupayaan syarikat tempatan di dalam pembangunan industri pertahanan maritim tidak boleh disangkal lagi. Ini terbukti dengan keupayaan yang telah ditunjukkan oleh BNS menggalas aspirasi TLDM khususnya dan rakyat Malaysia secara umumnya telah berjaya menyiapkan dua buah lagi NGPV iaitu PERAK yang telah dilancarkan pada 12 Nov 2007 dan terkini TERENGGANU yang telah dilancarkan pada 06 Dis 2007 malah dua buah lagi yang sedang dalam pembinaan dan dijangka siap mengikut perancangan.

Keistimewaan yang patut diberi pujian terhadap kapal ini ialah pembinaan sepenuhnya oleh kumpulan BNS di Limbungan Pulau Jerejak Pulau Pinang. Dengan ini bermakna keupayaan BNS dalam industri pembinaan kapal moden tidak dibatasi oleh infrastruktur yang ada di Lumut sahaja malah juga mampu membinanya di Limbungan BNS kawasan lain dengan syarat pengawalan polisi dan kualiti yang ketat.

Dengan pemindahan teknologi secara berterusan, kini menampakkan hasilnya yang mana syarikat tempatan juga mampu berdikari dalam industri pertahanan maritim dan pembinaan kapal komersial di semua Limbungan Kumpulan BNS. Kejayaan ini telah memberi keyakinan kepada pelanggan-pelanggan yang sebahagian besarnya adalah dari luar negara dengan mengikat kontrak pembinaan di BNS Pulau Pinang dan Langkawi yang bernilai RM 1 Billion.

Dalam usaha untuk terus memartabatkan usahawan tempatan dalam bidang pembinaan kapal dan pangkalan juga pembuatan barangan yang berkaitan dengan industri pertahanan telah menyumbang usahasama strategik bersama mereka. Setakat ini sebanyak 461 buah syarikat telah berdaftar dengan BNS sebagai pembekal dan daripada jumlah itu, 100 buah syarikat adalah pembekal untuk syarikat yang aktif. Hampir 96 peratus daripada syarikat aktif adalah syarikat tempatan yang mana 84 peratus adalah milik penuh syarikat bumiputra.

Perlaksanaan projek Kapal Ronda ini telah memberi peluang kepada pembekal-pembekal tempatan menimba pengalaman untuk meningkatkan keupayaan dan teknologi tinggi yang diperolehi dari perusahaan maritim dan perkapalan dengan menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Usahawan dan Koperasi untuk program pembangunan bumiputra. Di bawah program pembangunan Vendor, BNS juga turut memberi sokongan dan bantuan untuk memudahkan pihak pembekal mendapat bantuan kewangan daripada pihak institusi kewangan dalam usaha menaiktaraf syarikat-syarikat pembekal.

Perlaksanaan projek Kapal Ronda TLDM dan Badan Kerajaan yang lain menentukan kesinambungan dan peningkatan kepada pembekal-pembekal. Untuk pembinaan Kapal Ronda ke 3 hingga ke 6 sahaja, kontrak telah diberi kepada syarikat tempatan bernilai hampir RM 400 juta. Ini terbukti di mana perjanjian strategik BNS dengan kerajaan Malaysia telah berjaya menjana dan mengembangkan ekonomi pengusaha Industri Kecil dan Sederhana [IKS] tempatan dengan dorongan dan sokongan pelbagai pihak.

Insentif

Penganugerahan projek pembinaan NGPV menggantikan PSC Naval Dockyard yang terbengkalai sebelum ini, ibarat sireh pulang ke gagang. Jika BNS berjaya membekalkan ke enam-enam NGPV mengikut jadual, kerajaan bersedia untuk meneruskan projek pembinaan tambahan sebanyak enam buah lagi.

Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. adalah anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera [LTAT] yang mempunyai komposisi warga produksi dan Vendor pembinaan kapal yang sejumlahnya adalah bekas-bekas anggota TLDM dari pelbagai pangkat, kepakaran dan kemahiran harus diberi peluang dan pulangan saksama sebagai mengenang jasa dan pengorbanan mereka terhadap negara sebelum ini. Komitmen bukan sahaja untuk menyiapkan kapal yang dihasratkan malah harus menyemat rasa untuk memberi pulangan kewangan terhadap pencarum LTAT yang terdiri dari angkatan tetap Tentera Malaysia. Sekulasi timbal balas jasa dan pengorbanan pencarum harus dibalas dengan insentif setimpal dalam bentuk dan situasi menang menang.

Monday, August 4, 2008

RANJAU LAUT - DIMENSI PERSENJATAAN MARITIM

Sumber: Majalah Perajurit Edisi Jul 2008
Oleh: Hamzah h.d

Sejarah Ringkas

Penggunaan ranjau pernah direkod sejak zaman Dinasti Ming di China pada abad ke 14 lagi malah kebanyakan negara-negara yang mempunyai tamadun awal telah mencipta mengikut kaedah yang tersendiri untuk menyerang kapal musuh.
Terminologi sea mines (naval mines) atau ranjau laut mula diguna pakai pada awal abad ke 16 lagi di mana kapal Dutch yang sarat dengan bahan letupan dihanyutkan ke dalam kawasan musuh. Pada tahun 1585 seorang Italy, Federico Gianibelli yang bekerja dengan Dutch telah menghantar 2 buah kapal bom berhayut dan meletupkan sebuah jambatan di Sungai Scheldt di Antwerp Belgium. Ini merupakan sejarah permulaan penggunaan bahan letupan yang berkonsepkan ranjau di dalam peperangan maritim.

Di Amerika Syarikat, David Busnell dikenali sebagai bapa peperangan ranjau. Semasa belajar di Yale University, beliau telah membangunkan bahan letupan bawah air. Semasa revolusi rakyat Amerika meletus, beliau telah dibenarkan mencipta ranjau laut yang lebih dikenali sebagai torpedo khusus untuk menentang armada British. Namun ciptaannya menemui kegagalan.
Walaubagaimana pun Robert Fulton telah meneruskan pembangunan ranjau terapung pada tahun 1797. Beliau mencadangkan kepada British supaya menghanyutkan ranjau untuk menyerang armada French. Ranjau yang dilancarkan dengan menggunakan makanisma berjangka berdetik sebaik ranjau dilancarkan dan akan meletup 5 hingga 10 minit kemudian. Cubaan ini juga menemui kegagalan setelah pihak French menyedari dan telah menembaknya terlebih dahulu.

Seterusnya konsep pengunaan ranjau laut di United Kindom mula dibincangkan pada tahun 1910 dan idea ini diperkenalkan secara praktikal setelah pengeluarannya diminta oleh Panglima Tentera Laut British, Sir George Callaghan pada tahun 1914. Kerja-kerja mereka cipta telah dibuat oleh Herbert Taylor di HMS Vernon Torpedo and Mine School di Portsmouth England.
Depth Charge ‘type D’ seberat 140 kgs yang dibangunkan pada tahun 1916 adalah yang pertama berkesan mengandungi bahan letupan Trinitrotoluene (TNT). Suis peledak yang didorong oleh tekanan air boleh meledakkan charge pada kedalaman 100 meter.

Dalam Perang Dunia Kedua, bahan letupan kedua telah diperkenalkan yang mana mempunyai kemampuan 50 peratus lebih kuat daripada TNT. Torpex (Torpedo Explosive) yang mengandungi 42% Cyclotrimethylenetrinitramine [RDX), 40% TNT dan 18% aluminium pada dasarnya dibangunkan untuk torpedoes yang mana terbukti berguna sebagai bahan letupan bawah air yang mampu menenggelamkan sasaran dengan lebih cepat.
Peranti yang mengandungi bahan letupan yang mampu meletup sendiri yang diletakkan di dalam air samada secara terapung dipermukaan atau separa timbul maupun berada di dasar laut adalah bertujuan untuk memusnahkan kapal atau kapal selam.

Evolusi Ranjau Laut

Dengan mengambil kira fleksibiliti dan keberkesanan kos, penciptaan ranjau telah melalui evolusi menarik di dalam persaingan membina senjata-senjata canggih di dalam sistem pertahanan bawah air dunia.
Ranjau Laut adalah satu alat letupan yang serba lengkap diletakkan tersembunyi di bawah air untuk memusnahkan kapal-kapal atau kapal selam yang melalui di dalam kawasan sensitivitinya. Berbeza dengan depth charges yang disimpan dan digunakan bila mengenal pasti kehadiran kapal selam musuh atau penyelam tempur berada berhampiran. Ranjau atau periuk api ini boleh digunakan untuk menghalang kapal musuh dari memasuki atau keluar pelabuhan malah juga boleh menjadikan zon selamat bagi menjaga angkatan sendiri di pelabuhan.
Terdapat tiga kegunaan utama ranjau iaitu untuk tujuan menyerang, bertahan dan pisikologi cegah rintang. Jika sesuatu ranjau dipasang bertujuan untuk membuat serangan biasanya ranjau ini akan dipasang di dalam kawasan perairan musuh, kawasan luar pelabuhan, dan yang biasa dilakukan ialah pada laluan sempit bertujuan untuk menenggelamkan kapal-kapal tentera atau civil yang melalui laluan tersebut.

Jika kefungsian ranjau untuk pertahanan, ianya diletakkan di kawasan pantai mencegah daripada kemasukan kapal-kapal atau kapal selam musuh menghampiri pada sesuatu lokasi/pelabuhan bagi memudahkan gerakan pertahanan direncanakan.
Untuk tujuan pisikologi dan cegah rintang, biasanya ranjau dipasang di kawasan laluan perdagangan dengan kuatiti yang kecil dalam kawasan yang luas bertujuan untuk menakutkan kapal perdagangan dan berusaha mendesak sesuatu pihak memberhentikan pertikaian atau konflik ke peringkat antarabangsa.

Era mutakhir, ranjau telah direka untuk digunakan dalam pelbagai situasi melawan pelbagai kelas sasaran atau pelbagai jenis kapal dalam usaha untuk mencapai satu pencapaian yang terbaik untuk melemahkan angkatan musuh. Walaubagaimana pun satu jenis ranjau tidak boleh melaksanakan semua tujuan serentak. Dengan itu kebanyakan tentera laut dunia memiliki pelbagai jenis ranjau dengan kepelbagaian tugas. Malah kemampuan ranjau yang lebih canggih boleh dilengkapi dengan beberapa jenis peranti pelancar kepala peledaknya oleh roket atau torpedo.

Harganya tidak begitu mahal. Kos operasi memasang ranjau adalah lebih murah jika dibandingkan dengan kos operasi membersih ranjau yang sangat merbahaya dan memerlukan kemahiran yang tinggi. Tidak hairanlah masih banyak ranjau-ranjau yang dipasang semasa Perang Dunia Kedua dan Perang Teluk tertanam di negara-negara yang terlibat dengan perang tersebut. Secara teori ketahanan keaktifan sesuatu ranjau boleh mencecah sehingga beratus tahun.

Sesetengah ranjau diinovasikan dengan kuantiti bahan letupan yang kecil untuk melawan bot-bot kecil yang melalui sungai dan sesetengah ranjau direka dengan kuantiti bahan letupan yang banyak untuk memusnahkan kapal-kapal besar atau kapal selam malah juga diguna sebagai bom yang boleh digugurkan dari kapal terbang.

Penempatan ranjau boleh dilakukan samada dari kapal selam, kapal-kapal permukaan atau kapal terbang. Penggunaan ranjau oleh kapal selam biasanya di lakukan semasa operasi serangan kerana ianya mempunyai kelebihan dari segi kerahsiaan yang kehadirannya sukar dikesan oleh musuh. Walaubagaimana pun kelemahan kapal selam ialah tidak boleh membawa ranjau dalam jumlah yang banyak.

Ranjau yang diletakkan atau dipasang melalui permukaan oleh kapal-kapal adalah kaedah yang paling ekonomik kerana kapal berupaya membawa lebih banyak ranjau dalam satu masa. Namun kaedah ini juga mempunyai kelemahan kerana aktivitinya boleh dikesan dengan mudah oleh musuh kerana dalam situasi tegang/perang musuh berada dalam tahap kesiapsiagaan yang tinggi.

Ranjau Laut Semakin Pintar Dan Merbahaya

Hari ini, kebanyakan ranjau akan teraktif atau meletup dengan pengaruh persekitaran tanpa memerlukan sentuhan fizikal antara sasaran dengan ranjau itu sendiri. Pengaruh magnetik yang ada pada badan kapal boleh mencetuskan letupan pada ranjau jenis ini di samping pengaruh akustik dari sasaran seperti putaran aci dan bunyi bising yang terhasil seperti aktiviti anak-anak kapal semasa melintasinya. Ianya juga boleh teraktif berdasarkan tekanan air di sekitar ranjau dipasang yang juga terhasil semasa sasaran melalui berhampiran.

Di antara kemampuan yang sangat menakjubkan berkenaan teknologi ranjau ialah sesuatu pasukan boleh memilih untuk meletupkan sasaran-sasaran yang dikehendaki dengan cara memasukkan input data sasaran yang dikehendaki. Makanisma suis penembakan ranjau terdorong bila menerima desakan dari search coil magnetometer, hydrophone atau pressure device. Makanisma penembakan akan memproses amaran yang diterima dan meletus bila mengesahkan sesuatu sasaran.

Walaubagaimana pun kerja-kerja memperolehi data sesebuah kapal yang di kehendaki adalah bukan suatu perkara yang mudah kerana memerlukan operasi-operasi tertentu yang dibuat secara rahsia.

Faktor-faktor tersebut menjadikan angkatan tentera laut dunia membuat perkiraan serius dalam usaha untuk menentukan kawasan pelabuhan dan terusan-terusan di dalam negara masing-masing dikawal rapi dari ancaman anasir sabotaj bawah air pihak musuh semasa negara masing-masing dilanda sengketa. Adalah sangat memalukan jika aset perang sesebuah negara tewas di tangan ranjau pintar pihak musuh dalam keadaan di mana aset perang tersebut belum pun keluar ke kawasan medan perang.

Umum mengetahui bahawa ranjau mempunyai klasifikasi dan karakteristik yang dipengaruhi persekitaran dan juga boleh dikawal oleh manusia.. Di antaranya ialah:
- Controlled Mine- Ranjau yang boleh dikawal oleh pengguna.
- Bouquet Mine- Mempunyai sedikit kuasa apungan tetapi terikat dengan sinker.
- Contact Mine - Teraktif bila menerima sentuhan fizikal yang kuat.
- Bottom Mine - Tanpa kuasa apungan dan kedudukan tetap di dasar laut.
- Homing Mine - Dilengkapi dengan propulsi yang mampu dikawal.
- Drifting Mine - Terapung bebas bergerak dipengaruhi oleh arus, gelombang atau angin.
- Creeping Mine - mempunyai daya apungan di bawah permukaan dan menjalar di dasar dikuasai pemberat.
- Mobile Mine - digerak dengan propulsi ke lokasi yang direncanakan.
- Influence Mine – teraktif oleh beberapa kesan fizikal sasaran dan radiasi ranjau.
- Independent Mine - Ranjau yang tidak dikawal oleh pengguna setelah di letakkan.

Sebagai contoh, MR 80 adalah dari kategori Bottom Mine atau juga dikenali sebagai Ground Mine versi perang dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Head and Tail. Head yang mengandungi bahan Trinitrotoluene (TNT) manakala di bahagian Tail mengandungi modul elektronik.

Ranjau ini teraktif dengan pengaruh magnetik, akustik frekuensi rendah/tinggi dan tekanan. Ranjau ciptaan secara kerjasama antara Tentera Laut Italy dan MISAR SPA Brescia, dicipta untuk pelbagai misi dan memenuhi keperluan operasi kebanyakan Tentera Laut Dunia.

Renungan

Peperangan di dunia akhir zaman semakin ganas dan berdimensi. Peperangan elektronik, darat, udara, permukaan laut dan juga peperangan bawah permukaan laut menuntut setiap negara bersiapsiaga dan berwaspada.dengan keupayaan angkatan tentera masing-masing.
Janji keamanan dan kerjasama pertahanan serantau tidak boleh dijadikan pegangan untuk mengabaikan persiapan secukupnya bagi menghadapi semua dimensi peperangan. Kemampuan berdikari dalam menangani konflik mendatang merupakan suatu asas yang mesti dibina dan diperkuatkan dari masa ke semasa mengikut keperluan sebenar sesuatu zaman.
Peperangan bawah permukaan laut sendiri menjadi semakin sukar untuk ditangkis Ancaman kapal selam dan pasukan khas pintar dengan variasi senjata dan bahan letupan sangat menggerunkan.

Sesuatu angkatan laut yang kredibel bukan sahaja dinilai dari sudut pemilikan kapal selam sendiri di dalam armadanya malah perlu juga dilihat dalam konteks kemampuan menyediakan laluan yang selamat untuk armadanya keluar dan masuk pelabuhan. Tim panduarah kapal harus teliti semasa melalui laluan bebas ranjau yang semestinya memerlukan latihan berterusan untuk jaminan kemahiran.
Sistem Penyahgausan Magnetik (Degaussing) kapal dan Penyeyapan Akustik adalah merupakan peranan skunder yang tidak harus di kesampingkan di dalam menyaingi kepintaran ranjau yang menjadikan nilai medan magnetik dan nilai akustik sebagai perujuk sensitiviti pengaktif.

Ancaman ranjau mesti ditangani dengan cermat. Dalam konteks ini, aset Penyapu Ranjau bukan sahaja berada di tahap beroperasi malah harus mempunyai ekuipmen penyapu ranjau yang terkini dan serba boleh. Sistem kombat penyapu ranjau di kapal mesti dikaji dan ditingkat upaya supaya sentiasa relevan dengan kepintaran ranjau itu sendiri di samping mempunyai operator yang bijaksana sebagai pengendali. Penyediaan seorang pengendali yang cekap semestinya bermula dari peringkat pusat latihan dengan mengadaptasikan latihan bersepadu dengan Sistem Simulasi Penyapu Ranjau sebagai familiarisasi dan peningkatan kemahiran. Suka atau tidak, tiada jalan pintas dalam usaha menentukan kombinasi manusia dan mesen berintraksi dengan baik melainkan mengwujudkan dan memahirkannya.

HARI ARMADA - PROGRAM TLDM BERSAMA RAKYAT

Sumber: Majalah Perajurit Edisi Jun 2008
Oleh: Hamzah h.d

Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut yang mempunyai keluasan 1,850 ekar yang terbahagi kepada kawasan Latihan, Penempatan dan Operasi merupakan pangkalan Tentera Laut yang terbesar dan termoden di rantau ini malah jika dilihat dari segi infrastruktur, prasarana dan keceriaan alam sekitar, ianya sebuah Pangkalan yang terbaik setakat ini. Ini memberi gambaran jelas bahawa TLDM mempunyai kepimpinan yang berwawasan dan bekerja keras membina dan membangun sebuah angkatan yang disegani dirantau ini.

Pembangunan infrastruktur dan kemudahan prasarana sudah mencapai lebih 90 peratus keperluan malah boleh dikatakan sudah mencapai tahap keselesaan kepada setiap lapisan warga pangkalan. Ianya meliputi keperluan asas seperti Berek Bujang, Rumah Keluarga, Hospital, Komplek Sukan dan Riadah, Pusat membeli belah dan lain-lain untuk kemudahan warga pangkalan.

Pangkalan TLDM Lumut sering menjadi tumpuan pertubuhan-pertubuhan, pelajar-pelajar dan badan-badan swasta membuat lawatan di hujung minggu. Juga menjadi pilihan Jabatan-jabatan Kerajaan dan swasta untuk menganjurkan karnival sukan jabatan masing-masing.

Faktor yang mendorong lokasi ini menjadi pilihan ialah bukan sahaja kerana pangkalan ini merupakan pintu masuk ke Pulau Peranginan yang merupakan kawasan pelancongan bagi Negeri Perak malah mempunyai kemudahan gelanggang untuk semua jenis sukan yang akan dipertandingkan. Kemudahan bantuan teknikal pertandingan seperti Pengadil dan lain-lain boleh dikoordinasikan dengan mudah kerana TLDM mempunyai Kelab-kelab Sukan yang terdiri daripada pegawai dan anggota yang berkelayakan yang diiktiraf oleh badan-badan sukan induk di dalam negara.

Satu perkara yang telah difahami dan sering diperkatakan oleh khalayak ialah tahap kebersihan pangkalan maupun kapal-kapal yang sentiasa terjaga rapi. Ini adalah kerana amalan kebersihan telah menjadi budaya dan tradisi TLDM yang diadaptasi dari kehidupan di kapal.

Walaubagaimanapun sebagai pangkalan tentera, TLDM tidak pernah mengabaikan aspek keselamatan fizikal yang mana setiap kawasan-kawasan strategik memerlukan dokumentasi dan tapisan sekuriti sebelum memasukinya dan kawalan rapi di setiap pintu masuk utama dan sub unit tidak boleh dikompromi.

Fiesta Hari Armada

Tanggal 27 April setiap tahun merupakan hari istiadat gemilang bagi TLDM yang telah tercatat dalam kalendar negara sebagai sejarah permulaan kewujudan TLDM.

Setiap tahun detik bersejarah itu akan dikenang dan dihiasi dengan sambutan-sambutan tertentu. Paling tidak pun armada TLDM akan dihiasi dengan ‘dressing ship’ di mana-mana pelabuhan yang terpilih dengan kehadiran kapal-kapal perang dan dibuka untuk pelawat umum.
Pada 26 dan 27 Apr lalu TLDM telah meneruskan kesinambungan sambutan yang dikenali sebagai Hari Armada yang diadakan setiap dua tahun sekali. Banyak acara-acara menarik yang diadakan sepanjang dua hari tersebut. Seperti kelaziman pameran statik kerjaya TLDM mendapat perhatian ramai yang ingin mengetahui lebih dekat lagi tentang TLDM.

Fiesta Hari Armada kali ini juga telah menunjukkan pertambahan tapak-tapak pameran dan program-program yang dibawa oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang bertindak sebagai penyiar rasmi fiesta kali ini.

Seperti mana-mana fiesta yang dianjurkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya, pengunjung pasti tidak akan kecewa kerana berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat aset-aset tempur dan kelengkapan yang dimiliki oleh ATM telah dipamirkan. Begitu juga Fiesta Hari Armada, TLDM turut memberi peluang kepada pengunjung menaiki kapal-kapal perang dan melihat atau berintraksi dengan krew-krew yang ditugaskan untuk melayani pengunjung.

Tidak menjadi kesukaran untuk mengetahui kelengkapan dan sokongan kombat sesebuah kapal perang kerana kebanyakan kelengkapan tersebut sememangnya diinstalasikan di geladak-geladak permukaan.

Kali ini aset-aset armada yang dibuka untuk pengunjung ialah KD JEBAT, KD LEKIR, KD HANG TUAH, KD MAHAWANGSA, Skuadron Kelas Laksamana , Skardronn Kapal Penyapu Periuk Api (MCMV).

Demonstrasi PASKAL

Pasukan Khas Laut [PASKAL] adalah unit elit dalam TLDM mengadakan demonstrasi anti keganasan kepada umum iaitu aksi membebaskan tebusan di laut. Demontrasi tersebut telah dijayakan dengan bantuan elemen unit udara TLDM (Fennec dan Super Lynx).

Bermula dengan episod warga kapal awam telah ditawan oleh lanun kemudian diikuti dengan aksi penggeledahan anggota PASKAL dengan menggunakan bot tempur Rigid Hull Inflatable Boat [RHIB] melalui laut setelah Sniper PASKAL terlebih dahulu mengkucarkacirkan pengawalan dan konsenstrasi musuh di atas kapal. Aksi berikutnya ialah beberapa orang lagi anggota bantuan diturunkan dari Fennec dalam masa yang cukup pantas.

Pendekatan yang agresif dan berani yang dipersembahkan oleh juruterbang-juruterbang sangat mengujakan dengan aksi fast ropping penggeledahan anggota PASKAL yang pantas ke lokasi sasaran.

Setelah sasaran berjaya dimusnahkan sekali lagi pengunjung dapat menyaksikan bagaimana pendekatan untuk membawa keluar anggota PASKAL oleh elemen udara digerakkan dengan aksi yang berani.

PASKAL juga membuat demonstrasi penerjunan free fall dan pengendalian bot tempur yang tidak kurang mendapat perhatian pengunjung. Demonstrasi dan aksi-aksi yang ditunjukkan sebenarnya memerlukan kemahiran dan ketepatan bertindak, ketahanan mental dan fizikal yang tinggi. Sebagai seorang anggota pasukan khas, mereka bukan sahaja terdedah dengan bahaya semasa operasi sebenar, malah semasa latihan penyediaan diri, mereka terdedah dengan risiko kemalangan yang boleh mengakibatkan maut.

Di dalam keadaan sebenarnya semasa konflik, inilah pasukan yang menjadi taruhan negara untuk melakukan pembebasan. Senario sebenar, mereka berdepan dengan bahaya yang mengancam nyawa tebusan dan diri mereka sendiri. Untuk keberkesanan dan impak maksima, mereka harus dibekalkan dengan peralatan moden untuk beraksi dengan lebih yakin di dalam sesuatu konflik. Mereka yang sanggup bergadai nyawa tidak harus dilayan dengan birokrasi yang memungkinkan mereka mendapat musibah.

Untuk merealisasikan program sebegini TLDM telah membelanjakan ribuan ringgit dalam usaha menentukan ‘tentera dan rakyat berpisah tiada’. Apa yang pasti, hanya segelintir masyarakat sahaja yang dapat datang ke lokasi pada jangkamasa tersebut. Jika media tidak mengambil peranan bertindak sebagai penghubung, sudah tentu usaha ini tidak mencapai sasaran yang diinginkan.

Di kesempatan program yang seumpama dianjurkan oleh ATM, media dari semua medium harus mengambil peranan untuk menghebahkan keupayaan ATM umumnya dalam bentuk dan kreativiti masing-masing dengan hasrat supaya generasi hari ini mengenal dan menghargai peranan anggota-anggota keselamatan dan menjadikan hero-hero negara sebagai idola mereka.
Liputan positif, ikhlas dan bertanggungjawab dalam usaha membentuk generasi patriotik akan menyumbang kepada pembentukan generasi yang sanggup berkorban demi ugama dan tanahair yang merupakan elemen cegah rintang kepada provokasi anasir luar.

PROJEK POLAND – MENGULANGI KEJAYAAN MALAYSIA

Sumber: Majalah Perajurit Edisi Jun 2008
Oleh: Hamzah h.d

Sejarah manusia di dalam misi mengelilingi dunia telah mencatat banyak peristiwa samada melalui jalan darat, laut maupun udara dengan cara dan kemampuan yang tersendiri samada perseorangan maupun berkumpulan.

Di dalam usaha tersebut, ada yang berjaya dan tak kurang juga yang menemui kegagalan samada terkandas atau ada yang mengakibatkan kematian. Usaha yang sukar ini bukan mudah untuk direalisasikan jika tidak disertai dengan persiapan, koordinasi, sokongan dan dorongan dari luar dan yang paling penting ialah keyakinan, komitmen dan nyala rasa di dalam diri seseorang.

Sejarah ketamadunan bangsa melayu, mengelilingi dunia dengan melalui jalan laut telah mencatat rekod cemerlang dunia pelayaran. Dalam konteks Malaysia moden, Datuk Azhar Mansur adalah pelayar melayu yang telah menjulang nama negara di persada antarabangsa dengan misi pelayaran solonya yang sangat mencabar dan merbahaya. Akhirnya beliau berjaya membuktikan kepada dunia bahawa semangat ‘Malaysia Boleh’ hampir melepasi masa yang telah ditetapkan oleh World Speed Sailing Record Council (WSSRC) dan kembali dengan selamat walaupun terpaksa menempuh halangan, kepayahan dan keperitan ketika mengemudi Jalur Gemilang secara solo selama 104 hari pada tahun 1999. Kejayaan beliau telah meletakkan nama Malaysia di dalam peta maritim dunia.

Untuk meletakkan martabat bangsa Melayu khasnya dan bangsa Malaysia umumnya berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa maju di dunia di dalam bidang pelayaran, darjat dan keturunan bukan suatu syarat penting. Baginda Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah misalnya, turut mencemar duli bersama kapal S.Y.JUGRA juga telah berjaya mengelilingi dunia. Penglibatan Baginda di dalam aktiviti maritim mendapat pengiktirafan dunia dan menjadi kebanggaan negara dan idola rakyat jelata.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) adalah sebuah organisasi maritim bertanggongjawab sebagai benteng pertahanan Maritim Negara. Pada masa aman, KLD TUNAS SAMUDERA (KLDTS) diberi peranan dalam usaha membina jati diri modal insan melalui variasi latihan secara kolektif termasuk dalam aspek pengendalian layar, navigasi dan ilmu kelautan. Program sebegini merupakan usaha mencungkil dan mendedah bakat-bakat baru yang boleh diketengahkan untuk menentukan kesinambungan warisan maritim ini menjadi budaya negara dan mampu bersaing di persada antarabangsa.

Peluang dan pendedahan ini bukan sahaja dinikmati oleh anggota TLDM tetapi sebenarnya ada agensi-agensi kerajaan dan swasta lain turut menikmati kemudahan ini seperti May Bank Berhad, Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pelajaran dengan menghantar pelatih-pelatih tajaan mereka mengikuti program yang dianggap mencabar. Sepanjang tahun program voyage diatur untuk memenuhi keperluan dengan memberi pendedahan dan kesedaran tentang kepentingan budaya maritim di samping membina ketahanan jati diri dan menerapkan nilai kerjasama dan semangat kerja berpasukan.

Projek Poland (Krew Pertama)

Seramai 89 orang pegawai dan anggota yang telah dibahagikan kepada 2 kumpulan krew. Krew pertama seramai 47 orang yang dinahkhodai oleh 2 orang Pegawai Memerintah iaitu Kepten Rusli bin Haji Idrus dan Komander Amier Azmi bin Kamalul Ariffin. Turut menyertai kumpulan pertama ialah 2 orang pegawai Tentera Darat dari Kor Agama untuk pengisian aktiviti keagamaan di sepanjang pelayaran dan Pegawai Perubatan. Dalam kalangan krew pertama ini 2 orang pegawai wanita turut mengambil bahagian.

Mereka meninggalkan tanahair pada 12 Mac 2007 dan merapat di pelabuhan Cherbourg Perancis pada akhir bulan Jun 2007. Sebelum itu kumpulan ini telah merapat di sebelas buah pelabuhan iaitu Colombo (Sri Langka), Mumbai (India), Aden (Yemen), Jeddah (Arab Saudi), Port Fouad (Egypt), Cartagena (Sepanyol), Brest (Perancis), Stockholm (Sweden), Szczecin (Poland), Rotterdam (Netherland), dan Pelabuhan Cherbourg (Perancis). Pelayaran dari Port Klang ke Port Fouad (Egypt) telah dinahkhodai oleh Komander Amier Azmi manakala Kepten Rusli mengetuai misi dari Port Fouad (Egypt) ke Long Beach (Amerika Syarikat). Mereka telah membelah lautan Hindi dan Lautan Atlantik dan melalui Terusan Suez dan Terusan Kiel.

Projek Poland (Krew Kedua)

Krew kedua seramai 32 orang pegawai termasuk dua orang pegawai Agama dan Pegawai Perubatan Tentera Darat yang diketuai oleh Kdr Kamaruddin. Dua orang pegawai wanita juga menjadi penyeri kumpulan ini yang diberi tugas dan peranan yang serupa seperti pegawai lelaki. Manakala 9 orang lagi terdiri daripada krew tetap Lain-lain Pangkat (LLP) yang mewakili kepakaran masing-masing sebagai pelengkap kepada kefungsian tugas sokongan Teknikal, Kelasi, Komunikasi dan Bekalan.

Kumpulan kedua ini telah melengkapkan pelayaran dari Cherbourg (Perancis) dan merapat di Pelabuhan 14 buah negara seperti Casablanca (Morocco), Dakar (Senegal), Fortaleza (Brazil), Port of Spain (Trinidad & Tobbago), Port of Balboa (Panama), Acapulco (Mexico), Long Beach (USA), Port of London (Kiribati), Suva (Fiji), Port Vila (Vanuatu), Port Moresby (Papua New Guinea), Darwin (Australia), Surabaya (Indonesia).

Mereka telah melintasi garisan Khatulistiwa (00.00.0N) sebayak empat kali iaitu semasa pelayaran dari Dakar ke Fortaleza, Fortaleza ke Port of Spain, Cristmas Island ke Suva dan dari Surabaya ke Pelabuhan Klang.

Sesuatu yang menarik untuk dikongsi dengan pembaca ialah suatu upacara simbolik tradisi Tentera Laut semasa melintasi garisan Khatulistiwa kapal [secara mitos] telah memasuki ke alam Raja Neptunus Rex. Semua kelasi yang tidak pernah menyeberangi khalistiwa perlu menjalani upacara pengesahan di mana secara simboliknya pengesahan dilakukan oleh kelasi-kelasi yang pernah membuat perjalanan itu.

Selepas upacara ini, kelasi-kelasi itu dikenali sebagai trusty Shellback (Cangkerang Setia). Jika penyeberangan khatulistiwa dibuat pada garisan meridian ke 180°, gelaran Golden Shellback (Cangkerang Emas) akan dianugerahkan untuk mengakui kemasukan serentak ke dalam alam Naga Emas (Golden Dragon). Selain itu, jika penyeberangan dibuat pada Greenwich (Long 000° 00.0E) iaitu, kelasi itu akan digelarkan Emerald Shellback (Cangkerang Zamrud).

Walaubagaimanapun bagi kelasi TLDM, upacara sebegini jika ada pun dibuat, ianya merupakan pengisian sekadar suka-suka tanpa mengaitkan dengan ketahyulan yang dicipta oleh pedagang Scandinavia pada zaman pertengahan (zaman kedua dalam pembahagian tradisional sejarah Eropah) yang sangat bertentangan dengan syariat Islam.

Biasanya bagi pelaut yang melintasi garisan ini akan dikurniakan dengan sekeping sijil sebagai pengistiharan ‘keizinan memasuki wilayah Neptunus Rex’.

Mereka tiba di Port Klang pada 26 Apr 2008 dengan disambut oleh Tuanku Sultan Selangor Sultan Sharafudin yang juga Kepten Yang Dipertua TLDM dalam satu istiadat gilang gemilang mengikut tradisi TLDM. Mereka sekali lagi disambut dengan istiadat yang serupa di Jeti TLDM Lumut bersempena perayaan ulang tahun ke 74 TLDM bersama ribuan pengunjung dan sanak saudara mereka.

Pulangan Pelaburan

The Tall Ship’s Races (TSR) adalah acara perlumbaan kapal layar antarabangsa yang dianjurkan setiap tahun sejak 1956. Untuk perlumbaan yang kali ke-56 pada tahun 2007, bandar Szczecin Poland telah dipilih sebagai tuan rumah. TLDM telah memanfaatkan peluang keemasan ini apabila buat kali pertama kali telah sama-sama mengambil bahagian dalam perlumbaan bertaraf dunia ini.

Sirkit perlumbaan yang telah memakan masa selama 22 hari, KLDTS memulakan perlumbaan merentasi Lautan Baltik di mana ia telah melalui beberapa buah pelabuhan sebagai destinasi perhentian. Bermula dari Pelabuhan Arhus (Denmark) terus menuju ke Kotka (Finland). Setibanya di Kotka, mereka meneruskan pelayaran merentasi lautan ke Stockholm (Sweden). Walaubagaimanapun pelayaran dari Kotka ke Stockholm adalah tidak termasuk dalam laluan perlumbaan. Perlumbaan disambung dari Stockholm menuju ke pelabuhan terakhir di Szczecin, Poland.

Penyertaan KLDTS dalam TSR Baltik 2007 telah diiktiraf oleh Sail Training International (STI) United Kindom iaitu penganjur perlumbaan kapal layar antarabangsa sebagai The Best New Comer dan Seamen Come From Afar.

Rakyat Malaysia amnya warga TLDM khususnya amat berbangga dengan kejayaan KLDTS menduduki tangga ke 65 daripada 115 peserta berpengalaman yang telah mengambil bahagian di dalam pertandingan tersebut.

Projek Permulaan ini menjadi perintis kepada rakyat Malaysia menyertai pertandingan yang seumpama di seluruh dunia. Sekali gus dapat merekod pengalaman dan cabaran untuk rujukan generasi mendatang. Menyemai budaya maritim dalam kalangan generasi muda di dalam bidang pelayaran dan berani menempuh cabaran di lautan luas. Berkongsi pengalaman baru khusus di dalam ilmu kelautan dan ketabahan mengharungi samudera dengan menggunakan layar.

Krew yang terlibat kebanyakannya berusia remaja dan mereka merupakan perintis kepada negara berkaitan tatacara penganjuran perlumbaan Tall Ship dan aktiviti di sepanjang pelayaran. Komitmen ini telah mempromosikan Malaysia di 25 pelabuhan yang disinggahi dengan memperkenalkan budaya Malaysia semasa mengadakan aktiviti sosial dan sukan dan telah memberi peluang kepada mereka-mereka yang terlibat berintraksi dengan masyarakat dan memahami adat resam bangsa-bangsa lain di dunia.

Kejayaan ini telah meletakkan TLDM sebagai salah sebuah organisasi yang mampu berperanan sebagai global player di dalam acara-acara pelayaran antarabangsa walaupun menghadapi banyak kekangan oleh tugas-tugas hakiki mempertahankan benteng negara. Walaupun aktiviti ini dilihat sebagai tugas skunder, tetapi sebenarnya semua krew yang terlibat adalah mempunyai kemahiran tertentu dan mereka berupaya melakukan tugas-tugas kombat pada bila-bila masa sahaja.

Projek ini turut menguji dan mengukur keberkesanan sistem logistik TLDM dalam memberi bantuan kepada kapal-kapal TLDM yang sedang beroperasi terutamanya di luar negara.

PERANAN MEDIA MENUTRALISASIKAN PERSEPSI UMUM TERHADAP KREDIBILITI ATM

Oleh: Hamzah h.d
Kata perumpamaan, “Sekali air bah, sekali pantai berubah”. Perumpamaan ini menjelaskan bahawa peristiwa semasa dan pembangunan persekitaran sedikit sebanyak akan merubah sesebuah organisasi kecil maupun besar samada dalam keadaan rela, bersedia atau sebaliknya.

Dalam konteks persepsi orang awam terhadap kredibiliti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), juga turut terdedah kepada transisi persekitaran. Penulis melewati masa remaja di zaman insugensi, dapat merasakan bahawa suasana pada era 70an menggambarkan bahawa ATM pada masa itu sangat dihormati dan kebanyakan masyarakat bersangka baik terhadap organisasi dan anggota itu sendiri khasnya. Apakah pada zaman itu, semua anggota tentera berperangai baik dan tiada ruang untuk dicela? atau ATM sudah mempunyai kelengkapan sophisticated yang mampu mempertahankan tanah air dari segala ancaman sekaligus telah menutup mulut masyarakat dari mempertikai dan mencela kredibiliti ATM?.

Jawapan yang ada dalam minda penulis mengapa fenomena seperti ini berlaku ialah faktor patriotisme yang ada dalam diri generasi dahulu adalah berkait rapat dengan suasana dalam negara yang mempunyai ancaman.
Generasi veteran rakyat Malaysia sangat memahami situasi dan kondisi tidak aman negara sewaktu zaman penjajahan Inggeris, Jepun malahan pada era insurgensi. Penduduk kampong merasa selamat bila kelibat tentera kelihatan di dalam kawasan mereka. Anggota tentera menjadi idola anak-anak muda yang bersemangat waja dan menjadi sebahagian dari anggota tentera adalah menjadi impian dan cita-cita mereka walaupun mereka sedar nyawa seorang tentera ibarat berada di hujung senapang musuh atau pengganas yang sedang berleluasa di masa itu. Anak-anak gadis lebih rela dan berminat memilih anggota tentera dari bersuamikan guru atau kerani pejabat jika diberi pilihan. Biarpun mereka tahu mereka akan sering ditinggalkan dan peluang untuk menjadi janda lebih mudah jika bersuamikan anggota tentera.

Fenomena ini adalah merupakan sebahagian daripada kesan suasana persekitaran dan senario keamanan dan keselamatan dalam negara yang terdedah dengan ancaman dalam dan luar negara. Senario ini menggambarkan bahawa suasana semasa pada sesuatu zaman banyak mempengaruhi pandangan masyarakat terhadap kredibiliti dan kewibawaan sesebuah organisasi terutamanya angkatan tentera. Sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan menjadi fitrah alam bahawa dalam keadaan tersepit manusia akan memandang tinggi kepada samada orang perseorangan atau kumpulan yang mampu memberi perlindungan kepada mereka. Bagi mereka yang mempunyai kemampuan ekonomi tidak akan teragak-agak untuk membayar harga keselamatan diri maupun keluarganya jika diberi pilihan.

Atas alasan ini juga boleh dikatakan majoriti veteran rakyat Malaysia sangat menyanjungi dan memandang ATM sebagai sebuah organisasi yang perlu diberi ‘ranking’ dan memartabatkannya pada sebilang masa. Penghormatan ini sebenarnya bukan kerana anggota tentera sekarang ini sudah bergaji lumayan tetapi semangat patriotisme yang tertanam dalam jiwa dan kesedaran bahawa betapa pentingnya keamanan di dalam sesebuah negara. Untuk menghasilkan keamanan dan kesejahteraan, mereka sedar dan faham bahawa mesti ada sebilangan orang yang sedang berjaga pada sebilang masa untuk tujuan ini. Mereka itu ialah anggota-anggota keselamatan dari kalangan tentera dan polis.

Sebagai susulan, usaha intensif dari pihak pemerintah mempergiatkan propaganda melalui media cetak dan elektronik untuk memberi kesedaran kepada rakyat melalui slot program ketenteraan di televisyen pada waktu perdana dan juga slot di radio yang mempunyai jumlah pendengar yang sangat tinggi. Di samping itu juga novel ‘Tulang-tulang Berserakan’ yang menggambarkan peranan Polis Hutan menangani zaman darurat dan ‘Pulanglah Perantau’ yang menceritakan suka duka anggota tentera menghadapi konfrontasi dengan tentera Indonesia telah dijadikan buku teks Sekolah Menengah. Usaha itu berhasil dan terbukti bahawa masyarakat turut membantu melumpuhkan pergerakan subversif yang cuba menyebar dakyah kepada masyarakat dengan tidak berkerjasama dengan mereka malah menjadi sumber informasi pergerakan subversif kepada pihak keselamatan.

Selepas negara bebas dari ancaman komunis, usaha penerangan dan pendedahan tentang peranan dan program aktiviti ATM yang telah di buat melalui media elektronik turut terhenti dan lebih memfokus kepada hiburan yang melalaikan. Jadi, tidak hairanlah generasi hari ini, yang mula mempertikaikan atau menidakkan keunggulan dan kredibliti kerjaya ketenteraan kerana semangat patriotisme tidak bertapak dalam diri mereka. Mereka kurang ambil peduli tentang hal-hal pertahanan negara kerana mereka leka dengan bermacam-macam kesenangan dan hiburan. Walaupun angkanya bukan menyeluruh tetapi berdasarkan pemerhatian, kelakuan masyarakat hari ini banyak memberi petunjuk bahawa kepercayaan kepada kredibiliti sebilangan anggota khasnya dan ATM keseluruhannya sudah terhakis. Apa sebab dan musababnya, mari kita perhatikan apa sebenarnya yang memungkinkan transisi budaya ini berlaku.

Faktor Luaran

Situasi semasa dalam negara yang aman dan boleh dikatakan tiada langsung ancaman yang melibatkan campurtangan ATM melainkan misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), yang mana rakyat sendiri tidak dapat menghayati keadaan sebenar suasana di negara bergolak bagi menilai peranan yang dimainkan oleh tentera kita di negara orang. Khalayak akan diberitahu oleh media hanya sewaktu pemergian dan kepulangan mereka ke tanahair. Dalam kalangan warga ATM itu sendiri, misi PBB merupakan bonus kepada anggota yang terpilih kerana ‘pulangan’ dengan nilai antarabangsa sangat lumayan. Ini mencerminkan bahawa misi PBB bukan suatu misi yang mempertaruhkan nyawa pengaman secara mutlak walaupun tidak dinafikan bahawa pasukan tentera Malaysia pernah ada yang terkorban kerana bertempur di sana.

Rakyat generasi muda menghirup udara keamanan dengan penuh keselesaan tanpa perlu memikirkan bahawa walaupun dalam keadaan aman, ATM bersiapsiaga pada sebilang masa. Mereka melihat keseragaman ATM hari ini adalah sebagai suatu kerjaya cari makan dan tiada bezanya dengan kerjaya di sektor awam yang lain. Mereka mengatakan TD sudah tidak lagi masuk hutan untuk mencari musuh. Anggota ATM tiada mempunyai kelebihan apa-apa di dalam kehidupan seharian sebagai rakyat Malaysia yang lain. Di jalan raya kereta-kereta staf meski pun berplat ‘Z’ mesti juga mempamirkan tanda cukai jalan dan tiada pencualian bayaran tol dan sebagainya. Jika kenderaan ATM terperangkap dengan perangkap laju Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ), atau pun Polis, pemandunya akan dipersalahkan dan dikehendaki bertanggungjawab sepenuhnya. Demikian juga jika berlaku kemalangan.

Suasana ini berbeza dengan ATM suatu ketika dahulu. Suatu ketika dahulu kenderaan tentera seolah-olah bermaharajalela di jalan raya kerana sikap pemandu kenderaan awam seolah-olah memberi laluan kepada mereka kerana mereka merasakan jika berlaku kemalangan, bukan sahaja pemandu tentera tidak akan bertanggongjawab malah mereka juga takut anggota tentera akan mengasari mereka.

Penulis tidak bermaksud untuk mengembalikan hak sebegitu kepada ATM kerana perkara ini melibatkan pembangunan dan penambahbaikan pengurusan dan tidak terkecuali ATM yang juga harus akur dengan perubahan dan kualiti pentadbiran berkaitan. Cuma apa yang boleh penulis kongsikan ialah rasa bangga menjadi tentera dahulu berbanding dengan tentera sekarang yang banyak diberi keistimewaan samada secara berdokumen atau ‘pelepasan’ istimewa dari rasa kagum atau ‘hormat’ orang awam kepada tentera. Pengecualian dalam banyak hal yang mana mungkin kerana ‘kedaulatan’ tauliah Diraja yang menaungi sesuatu pasukan. Walaupun seseorang pegawai itu bersara atau menamatkan perkhidmatan namun tidak ada perlucutan tauliah dilakukan ke atas mereka. Ini menunjukkan bahawa pengiktirafan kepada pegawai ATM selagi hayat dikandung badan.

ATM hari ini tidak segarang dahulu. Dahulu, anggota tentera mempunyai semangat berpasukan dan semangat kekitaan yang tinggi dan bertindak secara berpasukan sekiranya salah seorang dari mereka diperkotakkatikkan oleh orang awam di luar tugas biarpun terpaksa membelakangkan undang-undang. Justeru itu, tentera dahulu ‘dihormati’ mungkin juga ditakuti oleh orang awam dan tidak berani untuk mencetuskan perbalahan dengan sewenang-wenangnya kerana risikonya amat tinggi. Penulis turut berkongsi pengalaman sewaktu bersama-sama anggota Tentera Nasional Indonesia- Angkatan Laut (TNI-AL), sewaktu berkunjung ke negara mereka. Penulis di bawa menaiki kenderaan awam sewaktu berkelepasan tanpa dikenakan bayaran oleh perkhidmatan pengangkutan awam malahan juga di pusat-pusat hiburan terlarang juga kami difahamkan tiada sebarang bayaran dikenakan jika bergerak secara seragam kerana tindakan drastik di luar jangkaan dan kawalan akan ‘dihadiahkan’ kepada orang awam yang ingkar. Kata mereka, tindakan sebegini sebenarnya adalah tindakan menagih ‘penghormatan’ dan ‘terima kasih’ dari orang awam di atas jasa-jasa mereka memerdekakan negara mereka dari penjajah.

Sebaliknya pula berlaku di Malaysia. Tentera kita hari ini lebih menghormati orang awam. Berdisiplin kepada orang awam bermakna anggota tentera tidak boleh melakukan apa-apa kesalahan di dalam masyarakat kerana kesilapan kecil yang dilakukan oleh warga tentera akan dijadikan tajuk besar di media massa dan tidak akan terlepas dari hukuman sivil jika bersabit dengan kesalahan. Di dalam pasukan kemungkinan tindakan dikenakan sekali lagi kerana telah mengaibkan pasukan di mata orang awam. Inilah hasil dari revolusi keamanan yang dikecapi yang mana hak asasi manusia mengambil tempat dengan menidakkan jasa dan pengorbanan anggota ATM. Natijahnya adalah ditakuti atau dikuatiri, warga ATM akan terhakis jati diri dan ketegasan bila mana suatu hari nanti mereka berada di dalam situasi yang betul-betul memerlukan.

Suatu masa dahulu, khalayak tidak pernah merasa keliru dengan pakaian seragam tentera terutamanya Tentera Darat yang satu-satunya mempatenkan kecelorengan pada salah satu pakaian mereka. Rasa gah memakai seragam celoreng bukan sahaja kepada pemakainya malah berkongsi aura oleh kaum keluarga mereka yang mempunyai anak atau saudara mara yang berkhidmat dengan tentera.

Hari ini kita boleh saksikan kebanyakan jabatan yang berasaskan pakaian seragam seperti Pasukan Gerakan AM PDRM, Bomba, PLKN turut mempatenkan pakaian mereka dengan celoreng tetapi dengan warna yang berbeza. Jabatan Pertahanan Awam (JPA 3), menjadikan pakaian seragam asas mereka dengan warna hijau dengan panggilan dan tanda pangkat sama seperti TD. Tidak hairan lah ada kalanya masyarakat yang kurang pendedahan terkeliru untuk membezakan siapa di antara mereka.

Keterbukaan ATM samada ‘mengizin/membiarkan’ media cetak dan elektronik melaporan kepada masyarakat terhadap sekecil-sekecil isu yang berlaku di dalam organisasi banyak menjejaskan kredibiliti ATM. Perbicaraan-perbicaraan kes mahkamah yang melibatkan anggota tentera disiarkan secara meluas. Kes-kes yang melibatkan mahkamah tentera telah dibicarakan di mahkamah sivil yang memberi banyak ruang kepada pendakwa untuk mencari kesalahan yang kononnya untuk memberikan keadilan kepada mangsa. Ini adalah kerana banyak isu-isu remeh yang bersabit dengan salah laku pegawai dan anggota tentera disiarkan/dimanipulasikan tanpa kawalan yang mana memangkin kepada prejudis khalayak terhadap kredibiliti organisasi ATM tanpa mengetahui keadaan sebenar. Dalam sudut lain, media lebih gemar mensensasikan berita seperti kemalangan aset ATM seperti pesawat, kenderaan dan sebagainya dengan mencari suatu sudut supaya khalayak akan mentafsirkan dan menunding jari punca sesuatu kemalangan adalah disebabkan sesuatu peralatan yang dibeli adalah dari jenis yang tidak popular sekali gus meletakkan kesalahan itu kepada ATM yang dianggap sebagai penasihat.

Sesetengan berita dari penerbitan harian berkaitan pertahanan atau ATM mempamirkan ketidakfahaman pemberita itu sendiri semasa membuat laporan. Diperhatikan, perkara-perkara yang bersifat terminologi, tradisi dan asas-asas ketenteraan sering berlaku ketidaktepatan fakta. Walaupun faktor ini bukan suatu masalah besar tetapi sedikit sebanyak memberi informasi yang kurang tepat kepada pembaca yang jahil dalam hal ehwal ketenteraan.

Meneliti sembang-sembang masyarakat dalam pelbagai peringkat usia, masih ramai yang memperlekehkan keupayaan kuasa tempur ATM. Mereka suka membandingkan keupayaan dan kewibawaan berdasarkan pemilikan aset tentera negara jiran tanpa membuat analisa dari segi semangat juang dan patriotisme anggota ATM.

Faktor Dalaman

Salah laku anggota dan penyalahgunaan kuasa pegawai ATM sudah menjadi halaman berita yang diolah supaya menjadi berita yang menarik untuk dibaca dan didengar secara terperinci oleh khalayak. Kelakuan yang tidak bermoral segelintir warga ATM samada menjadi kes mahkamah atau hanya melibatkan individu tertentu yang tidak tersebar menjadikan nama besar ATM yang menjadi sasaran. Jika di teliti dari laman-laman forum maya ketenteraan, di antara kes yang menjadi kelaziman ialah ketidakpercayaan wanita-wanita kepada warga tentera yang kononnya pernah ditipu samada dalam bentuk material ataupun maruah. Mereka bukan sahaja marah kepada individu terbabit malah meletakan warga tentera keseluruhan sebagai sasaran. Sikap sebegini selalunya akan berlarutan dan menjurus kepada mempengaruhi secara negatif kawan-kawan atau saudara maranya supaya tidak menjadikan tentera sebagai kerjaya masa depan.

Sikap autokrat ketua-ketua jabatan terhadap anggota bawahan yang mana pengisian kehidupan sebilangan warganya menjadi tidak seronok dan ada kalanya terbawa-bawa sehingga kepada perkhidmatan terakhir. Biasanya mereka-mereka ini akan membawa berita dan menggambarkan imej buruk organisasi kepada kelompok awam di persekitaran. Tanpa usul periksa, penyebaran secara tradisional segala keburukan di dalam akan tersebar keluar dan menjadikan imej tentera suatu yang sangat buruk di mata mereka.

Tidak dinafikan, pandangan serong masyarakat juga berpunca dari keperibadian dan salah laku anggota tentera itu sendiri. Walaupun aktiviti seharian mereka dikekang oleh akta dan disiplin, namun sebagai manusia biasa yang mempunyai naluri, kadangkala tersasar kepada perlakuan yang memudaratkan nama baik organisasi semasa bertugas atau di luar tugas.

Ketelitian memilih calun Pegawai atau Perajurit Muda yang berkualiti adalah bukan boleh diukur hingga ke dasar sikap atau perangai manusia. Untuk memanusiakan seorang yang boleh jadi ikhlas atau terpaksa menyertai pasukan ATM adalah bukan perkara mudah. Kelayakan kemasukan adalah berdasarkan akademik dan kesihatan mental dan fizikal semata-mata. Selebihnya adalah menjadi tanggongjawab ATM untuk mendisiplinkan remaja seawal umur 18 tahun yang datang dari pelbagai pendedahan globalisasi dengan segala kemahiran dan makanisma yang ada. Walaubagaimana pun ATM berjaya dengan acuannya sendiri melentur buluh walaupun bukan dari rebungnya.

Apapun masih tidak terkecuali seperti mana yang terdapat di dalam organisasi lain spesies manusia yang akan menjadi liability kepada organisasi kerana ada sesetengahnya memang sukar untuk dibentuk dan terbawa-bawa dengan sikap buruk yang diwarisi sebelum menyertai ATM. Bertambah malang lagi, terdapat juga suara-suara sumbang mencerca dan memperlekehkan malah menceritakan kelemahan-kelemahan keupayaan tempur ATM tidak kena pada tempatnya. Golongan ini merupakan duri dalam daging kepada perkhidmatan.

Walaupun kes-kes sebegini kelihatan terpencil namun di atas dasar keterbukaan ATM terhadap media menjadikan pena media begitu rakus mensensasikan apa jua berita yang berkaitan dengan salah laku anggota ATM. Ini sedikit sebanyak menjejaskan kredibiliti dan nama baik ATM. Apa yang membimbangkan ialah ATM akan menjadi hilang fokus kerana adakalanya kecederaan dan kematian anggota akibat dari latihan dan seumpamanya juga tidak terlepas dari inquiry ibubapa anggota dan disensasikan berita dan kejadian oleh media. Dari tinjauan penulis, fenomena ini walaupun memberi keuntungan bagi sesetengah pihak, tetapi tetap memberi kesan yang tidak baik kepada organisasi ATM. Adalah menjadi kebimbangan, berdasarkan siasatan kes-kes yang sudah berlaku, jurulatih-jurulatih yang diamanahkan untuk melatih dan membina kemahiran, ketahanan jati diri sabordinat turut mengalami fobia dan trauma kerana dengan melaksanakan skim dan skedul latihan secara jujur memungkinkan ada yang tercedera sehingga kepada kematian tanpa terduga.

Mempromosi Melalui Idea Kreatif

Memupuk minat dan pandangan positif generasi sepuluh hingga dua puluh tahun mendatang kepada kerjaya ketenteraan di Malaysia perlu ada usaha yang selari dengan kecenderugan anak-anak masa kini. Pengkisahan sejarah perjuangan dan kepahlawanan warga ATM masa lalu di peringkat domestik maupun antarabangsa memerlukan idea kreatif media dan pendekatan yang sesuai lagi konsisten supaya perkembangan dan pembangunan ATM menjadi medium pengilhaman kepada anak-anak menjana pembangunan minda berdasarkan minat dan kecenderungan mereka. Dewasa ini idea kreatif boleh dikembang dan divariasikan melalui pelbagai bentuk.

Umum akur, kemampuan penerbitan filem kombat di Malaysia sangat terhad, mungkin memerlukan kos yang tinggi dan tiada kemudahan dan kerjasama untuk menggunakan aset tentera semasa pembikinan. Apa yang boleh dilakukan berasaskan kemodenan perkomputeran hari ini ialah dengan penceritaan melalui watak animasi yang sudah mula dikuasai oleh rakyat kita dengan mengadaptasikan kisah-kisah perjuangan bangsa dari kalangan pahlawan pra merdeka maupun pasca merdeka. Animasi hari ini lebih mudah dan realistik sebagai alternatif kepada lakonan realiti yang akan memberi banyak kesukaran dan kekangan kepada penerbitan filem atau drama.

Media cetak maupun elektronik harus lebih peka dan menjadikan aktiviti positif warga ATM sebagai program harian media elektronik dan media cetak dalam usaha memberi pendedahan dan kesedaran pertahanan kepada masyarakat. ATM secara umumnya dan TD secara amnya telah memberi ruang dan jaminan yang sangat jelas untuk bekerjasama dengan pihak media selagi ianya tidak menjejaskan aspek keselamatan petugas media dan aspek sekuriti dan kerahsiaan negara. Apa yang penting ialah kejujuran media untuk sama-sama membina dan mengembalikan semangat patriotisme dan sanggup berjuang bersama ATM kepada seluruh bangsa Malaysia demi kedaulatan negara tercinta dari sebarang ancaman dan provokasi dari dalam dan luar.

Tidak keterlaluan jika saya mengatakan bahawa ATM juga patut mempunyai stesen radio/TVnya sendiri untuk tujuan memberi maklumat dan paparan aktiviti ATM bagi merapatkan jurang hubungan tentera dan rakyat yang selama ini tidak diberi perhatian oleh stesen media yang mementingkan komersil semata-mata.

Bagi yang mempunyai akses internet, informasi-informasi semasa sangat mudah diperolehi melalui laman-laman web ATM dan perbincangan sihat tentang aspek pertahanan, pemilikan aset strategik ATM dan teknologi pertahanan negara terkini melalui forum-forum maya seperti http://www.gempurwira.com/, http://www.navy.mil.my/ dan lain-lain.

Penutup

Generasi demi generasi, perkembangan di dalam organisasi ATM juga ikut berubah mengikut peredaran zaman dan ancaman. ATM hari ini mempunyai sejumlah anggota yang sudah bersedia sebilang masa dan sanggup terkorban demi negara dengan berbantukan aset strategik yang mampu melumpuhkan kekuatan musuh. Suka atau tidak suka khalayak terhadap kewujudannya, langsung tidak akan menjejaskan pengaturgerakan bala tentera ke medan perang bila tiba masanya. Misi mempertahan dan menjaga kedaulatan negara adalah agenda utama dan apa jua pandangan serong atau kurang senang masyarakat terhadap institusi ini tidak akan mempengaruhi tugas yang diamanahkan. Slogan ‘Taat Setia’, ‘Sedia Berkorban’ dan ‘Sentiasa Di angkasa Raya’ adalah sumpah keramat perajurit dan perwira yang akan ada pewaris pada setiap zaman.

ULANG TAHUN KE 74 – TLDM DI AMBANG KEKUATAN STRATEGIK

Sumber: Majalah Perajurit Edisi Apr 2008

Oleh : Hamzah h.d
Separuh daripada usia ini, sistem dan cara hidup Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dibayangi oleh indentiti kolonial. Dalam beberapa aspek jika diimbas masih banyak lagi peninggalan dan budaya kolonial ini diamalkan tanpa meninggalkan sedikit pun. Mentaliti kolonialisme ini bertapak sehingga kepada satu generasi dan mula berganjak di akhir tahun 70an. Terutamanya dari aspek sosial dan gaya hidup. Namun ada beberapa perkara yang baik dan boleh dijadikan teladan ialah sikap dan komited mereka dalam melaksanakan tugas. Mentaliti kuat bekerja ‘orang-orang lama’ kian terhakis dan diresapi satu perinsip baru yang diperkenalkan iaitu work smart bukan work hard. Walau apa pun perinsip atau kaedah yang diguna pakai, transisi budaya dan mentaliti banyak mempengaruhi cara hidup warga TLDM hari ini. Faktor analog menjadikan generasi ‘orang lama’ sangat kreatif dan tekun membuat kerja tanpa lebih pengawasan dan berbeza dengan generasi digital yang berlaku sebaliknya.

Sepanjang tempoh ini TLDM telah diterajui oleh empat belas orang Panglima yang mempunyai wawasan yang tersendiri yang sepuluh orang daripadanya adalah anak watan yang mula mengambilalih tugas selepas setahun negara merdeka. Walaupun pengisian TLDM pada awalnya dibayangi mentaliti kolonialisme , tetapi dengan iltizam dan jati diri anak watan, mereka telah berjaya menukar sepenuhnya daripada cara hidup yang tidak sehaluan dengan syariat kepada satu cara hidup dan sistem yang berlandaskan syariat dengan mengekalkan tradisi-tradisi Tentera Laut yang diharuskan. Sebagai contoh, pada tahun 1982 penukaran pakaian seragam kepada satu sistem pemakaian yang menutup aurat sepenuhnya baik anggota lelaki maupun anggota wanita menjadi perintis kepada peralihan identiti. Perubahan positif seumpama ini dan banyak lagi budaya peninggalan penjajah yang menjadi ikutan sesetengah pelaut kita sebenarnya telah memberi impak yang besar kepada TLDM kerana menidakkan prejudis khalayak yang sebelum ini mensinonimkan budaya sosial itu dengan TLDM.

Dalam konteks perkhidmatan pula, dengan berbekalkan aset peninggalan penjajah mereka mula mencipta kemajuan dengan sabar tahun demi tahun biarpun dalam serba kekurangan. Pembangunan fizikal infrastruktur bermula seawal era 70an menjadi pemankin kepada penambahan aset tempur yang berasaskan manual dengan keupayaan elektronik yang terhad. Perolehan misteri KD JEBAT yang kemudiannya ditukar nama kepada KD RAHMAT yang kononnya alah dengan kekandanya KD HANG TUAH telah memberi pengajaran yang bermakna kepada TLDM dalam menentukan perolehan mendatang tidak mengulangi masalah yang sama yang bukan sahaja mengganggu pengaturgerakan armada malah banyak melibatkan kos pembaikan yang akhirnya menjurus kepada perlucutan tauliah kapal tersebut.

Visi

To be a quality Navy- Perinsip ke 10 Islam Hadhari memberi penekanan tentang kepentingan kekuatan pertahanan kepada negara dan ummah. Aspek pertahanan bukan sahaja isu-isu yang meliputi kekuatan ketenteraan dan persenjataan, malah ia merangkumi kekuatan diri, rohani dan jasmani warganya. Kualiti menuntut kepada kuasa dalaman iaitu keikhlasan, intergriti, memperbaiki kelemahan, mempertingkat mutu perkhidmatan dan daya saing, mengekalkan tahap disiplin, taat dan patuh semasa menjalankan tugas kemudian mengadaptasikan teknologi terkini sebagai sumber kekuatan luaran. Wawasan yang dicernakan bukan kepunyaan pemimpin semata-mata tetapi pencapaian matlamatnya mesti diusahakan dan diserlahkan bersama oleh segenap lapisan anggota dengan produktiviti yang berkualiti.

Pembangunan seimbang kelengkapan ketumbukan, prasarana malahan juga suasana dan tempat latihan yang kondusif memberi suntikan semangat dan kebanggaan bukan sahaja kepada warga TLDM secara khusus malah memberi keyakinan dan petunjuk kepada rakyat bahawa TLDM benar-benar sebuah angkatan laut negara yang kredibel dan berwibawa dengan menterjemahkan melalui komitmen dan ‘sedia berkorban’ anggotanya.

Dengan mengambil kira perkhidmatan TLDM era moden seawal 90an, hari ini khalayak memperakui bahawa TLDM sudah mencapai visinya untuk menjadi sebuah angkatan yang berkualiti. Apa yang penting ialah mengekalkan pencapaian cemerlang pasukan dan berusaha meningkatkan lagi keupayaan dan skill taktikal dan teknikal individu dengan mengambil kesempatan dan manfaat semasa latihan-latihan yang berskala besar dengan angkatan laut asing kerana ini akan memberi impak besar sebagai cegah rintang.

Misi

Menyedia dan mengatur gerak angkatan laut untuk melindungi kepentingan maritim Malaysia semasa aman dan memastikan kemenangan semasa perang tidak dapat tidak harus berbekalkan kekuatan dan keupayaan dengan sebilangan aset yang mencukupi dan berkebolehan dan sejumlah perwira dan perajurit bestari yang sanggup untuk menghadapi sebarang kesusahan dan dengan sukarela kehilangan sesuatu, walau nyawa sekalipun demi kepentingan ugama dan tanahair.

Mencipta dan mempamirkan visi, misi dan slogan sememangnya mudah tetapi kenyataannya boleh dilihat dan menilai dari kewibawaan dan iltizam pemimpin-pemimpin yang berwawasan yang berusaha keras ke arah pembentukan sebuah angkatan laut yang kredibel. Secara konsisten membuat penambahbaikan sistem dan proses untuk mencapai keupayaan dan jangkaan di arena antarabangsa dan domestik. Kemudian disusuli dengan pengaturgerakan angkatan terbina dengan penugasan aset-aset yang ada untuk memenuhi keperluan samada pembenterasan aktiviti-aktiviti maritim yang tidak sihat maupun operasi-operasi khas dan juga latihan.

Biarpun TLDM tidak mempunyai sejarah perang yang boleh dikira mencabar kewibawaan seperti mana Tentera Darat namun persiapan dan kesiapsiagaan armada menjadi fokus utama dan berjaya menyakinkan kerajaan dan rakyat tentang kepentinganya untuk pertahanan maritim. Atas dasar itu kita lihat walaupun bajet negara berkonsepkan kesamarataan kepada semua jabatan, namun pembangunan TLDM boleh dikatakan sangat terserlah bukan sahaja dari sudut infrastruktur dan prasarana termoden namun mutakhir ini penambahan aset-aset strategik sedang dilaksanakan dengan pesat.

Dalam rangka pembangunan jangka panjang, TLDM sedang menyusun dan melengkapkan armada masa depannya menjelang tahun 2020 dengan rencana perolehan platform untuk menjadikan enam buah kapal bagi setiap skuadron. Sementara pembinaan Kapal Ronda Generasi Baru dan Frigat Bac 2 disiapkan, TLDM terus mengintai sekurang-kurangnya dua buah platform Landing Helicopter Dock (LHD) untuk kepelbagaian tugas bersama Tentera Darat dengan keupayaan mobiliti yang pantas dan berskala besar. Fokus armada masa depan ini adalah selari dengan aspirasi negara untuk memberi ruang tugas yang lebih fleksibel tetapi mencakupi spektrum tugas yang lebih menyeluruh dengan kelengkapan selengkapnya untuk menentukan keselamatan sea lines of communications (SLOC) terjaga dengan keupayaan dan kesiapsiagaan yang tinggi dan juga mampu mengambil bahagian secara aktif dalam operasi kemanusiaan yang ditimpa bencana alam di mana-mana bahagian di seluruh dunia.

Bagi menentukan keberjayaan misi dan visi, TLDM memacu plan aksi yang dinamik dengan strategi teras dan strategi sokongan dengan mengambil kira beberapa polisi peringkat tertinggi seperti Polisi Pertahanan Negara, Polisi Ketenteraan Nasional dan Konsep Pertahanan Maritim sebagai formula asas kepada keberkesanan strategi TLDM.

Renungan Dan Kajian

Umum mengetahui bahawa dunia tentera laut sebenarnya mempunyai tradisi yang sama terutama bagi Tentera Laut Komanwel. Sistem asas seperti silibus dan publikasi rujukan pelaut, taktikal peperangan, naval term, istiadat malah warna dan bentuk pakaian seragam mempunyai persamaan yang agak ketara. Banyak Tentera Laut dari negara-negara Komanwel masih mengekalkan identiti pemakaian Tentera Laut British dengan mempamirkan insignia kepakaran dan pangkat yang serupa. Atas dasar itu juga dari segi kebaikannya, warga Tentera Laut Komanwel tidak begitu sukar untuk berintraksi di antara satu sama lain dan mudah untuk memahami cara kerja masing-masing kerana mereka berkongsi sistem yang masih diguna pakai sehingga ke hari ini tanpa banyak perubahan yang ketara.

Jika menghayati slogan to float, move and fight, memperkasakan kemahiran taktikal dan keupayaan teknikal bukan keperluan skunder dalam misi perjuangan tetapi satu perkara utama yang mesti dipersiapkan dan diasah setajamnya untuk persiapan ke medan perang. Kedua-dua elemen ini akan menentukan kepulangan yang selamat ke pangkalan atau sebaliknya.
Justeru itu, pembangunan pengurusan modal insan di bawah strategi sokongan mensasarkan keupayaan seseorang anggota mesti kena dengan tugas dan pada masa yang betul. Sekadar pandangan penulis, bahasa taktikal alternatif dalam konteks Action Information Organisation (AIO) yang meletakkan Combat Information Centre (CIC) dan Communication Center (COMCEN) sebagai nadi kewujudan armada tentera laut. Jika perlu, menilai konteks ini sebagai suatu kontigensi mungkin akan membuahkan sesuatu pembaharuan. Jika perkara ini relevan, mengangkasakan kemahiran krew CIC dengan terminologi taktikal tempatan sebagai alternatif mungkin menjadi keperluan baru untuk memastikan taktikal kita sukar dimanipulasikan oleh kebanyakan tentera laut dunia yang mempunyai rujukan yang sama. Sebagai tambahan, mencipta kod-kod rahsia taktikal yang baru adalah satu kelebihan yang mana akan menyukarkan pengumpulan maklumat oleh pihak musuh yang kadangkala dari bangsa serumpun. Masa terdesak menjadi suatu perkara yang agak sukar untuk diatasi dan langkah menjadikan ianya sebagai pelan kontigensi adalah yang terbaik. Bahasa dan prosedur taktikal yang berasaskan bahasa nusantara (MALINDO) yang telah lama dicipta harus juga diberi suntikan dan dipraktikkan semasa latihan intra.

Kesempatan di waktu aman merupakan peluang yang terbaik untuk memperkasakan kemahiran. Latihan secara kolektif di pelabuhan harus ditangani secara jujur dan serius oleh pengendali. Bahagian latihan armada tidak harus berlepas tangan dengan hanya mengeluarkan jadual latihan semata-mata tetapi perlu ada susulan pemerhatian dan koreksi. Untuk keberkesanan latihan, pelaku-pelaku harus diberi kelepasan dan ruang secukupnya dari tugas-tugas lain buat sementara waktu. Pegawai yang diberi mandat harus melihat keperluan latihan sebegini dalam konteks tanggungjawab dan amanah dengan mendalami halangan persekitaran yang sering menggagalkan perencanaan yang diatur.

Mengukur keupayaan angkatan musuh juga boleh diperolehi daripada kelengkapan teknikal yang dibeli. Penggunaan kelengkapan berasaskan spesifikasi teknikal yang asal mudah dimanipulasikan setelah mengetahui keupayaan sebenar sesuatu peralatan. Justeru itu jika ada usaha untuk memodifikasi atau meningkat upayakan sistem yang sedang diguna akan memberi impak yang sangat baik kepada kemapanan pertahanan armada kerana sekali gus dapat memelihara tahap kerahsiaan keupayaan peralatan dan sukar dipengaruhi oleh provokasi dimensi elektronik dan seumpamanya.

Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM) perlu diberi nafas. Mengoptimakan komitmen dan penyertaan terhadap latihan kepada anggota yang sedia ada. Membiarkan komitmen sesuka hati akan merugikan kerajaan yang telah memperuntukan sejumlah bajet untuk pembangunan pasukan ini. Menyusun agenda dengan memperkasakan pasukan skunder setara dengan angkatan regular TLDM supaya dapat menggantikan angkatan tetap jika berlaku darurat dan sebagainya. Untuk menentukan pasukan ini setara, persediaan intensif perlu digerakkan dengan penambahbaikan pembangunan prasarana dan tempat latihan yang lebih sistematik kemudian disusuli dengan latihan di kapal perang sebenar sekerap mungkin untuk familiarisasi khusus sesuatu kepakaran. Dengan harapan, suatu masa yang diperlukan kelak pasukan ini boleh berdikari dan boleh digerakkan bersama angkatan tetap.

Kesinambungan komitmen Pasukan Latihan Anggota Simpanan (PLAS) dan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Laut (PALAPES) yang sehingga kini tujuh buah pasukan telah tertubuh di Intitusi Pengajian Awam (IPTA) terus menjadi persoalan khalayak. Walaupun alasan penglibatan mereka di IPTA sekadar menagih elaun untuk menambah wang saku atau memenuhi ko-kurikulum wajib pengajian, tetapi susulan komitmen mereka harus berakhir kepada penyertaan dalam pasukan PSSTLDM supaya Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) negara mudah diselaras dan digerakkan bila tiba masanya. Mereka-mereka ini yang saban tahun bertambah merupakan aset HANRUH yang separa terlatih dan sangat rugi jika tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Jika mereka-mereka ini diberi nafas, saya berpendapat strategi HANRUH mudah dikembang dan jika digabungkan dengan cabang-cabang perkhidmatan yang lain seperti PSSTD, PSSTU dan agensi-agensi beriniform yang lain sudah tentu negara sudah menpunyai barisan pertahanan kedua yang mapan.

Komitmen dan Kekangan Semasa

Zon Ekonomi Eksklusif negara yang terbahagi kepada tiga zon iaitu Pantai Timur Semenanjong yang berkeluasan 131,248 km persegi, Pantai Barat Semenanjong yang berkeluasan 74,469 km persegi, Perairan Sabah yang berkeluasan 65,436 km persegi dan Perairan Sarawak yang berkeluasan 63,518 km persegi jika dihitung adalah sangat luas dan jika dibandingkan dengan bilangan aset yang ada adalah sangat mustahil untuk mengawasi dengan berkesan sebilang masa.

Selat Melaka yang menjadi laluan perdagangan antarabangsa paling sibuk sering terancam oleh keganasan tradisional yang menjadi isu global yang membawa kepada penawaran kuasa besar untuk turut sama mengawasi laluan ini. Peluang sebegini sangatlah dinanti-nantikan tambahan lagi dengan adanya proksi yang sentiasa mencari ruang untuk merealisasikan impiannya.

Isu perlanunan Selat Melaka ini telah ditangani dengan baik hanya dengan mengoptimakan kerjasama dan rondaan terkoordinasi bersama negara bersempadan dan mengaplikasikan pengawasan yang bersistematik dan konsisten yang mana hasilnya aktiviti perlanunan dapat dikurangkan dan menjadi isu terpencil sesekali di laporkan tanpa memerlukan pertolongan kuasa besar yang sedang mencari jalan pendominasian di rantau ini. Ketegasan kerajaan Malaysia menolak campurtangan kuasa besar dalam menangani isu ini adalah satu langkah bijak dan sangatlah dipuji.

Laut China Selatan dengan sumber asli dari perut bumi dan pemakanan hasil laut turut menjana ekonomi negara yang bukan sedikit jumlahnya menjadi wilayah tanggungjawab kepada TLDM untuk mengekang aktiviti-aktiviti pencerobohan nelayan asing untuk mengaut keuntungan di dalam perairan negara kita. Rakyat mungkin tidak tahu bahawa Skuadron Patrol Craft (Kelas Keris dan Sabah) yang terlibat secara langsung dengan ‘Operasi Cabut’ (Operasi menghalang kemasukan Pendatang Haram Vietnan) kemudian disusuli dengan membenteras lintas sempadan oleh nelayan asing tanpa kebenaran telah menyelamatkan hasil mahsul perikanan negara yang bernilai berbillion ringgit semenjak kapal ini ditauliahkan seawal tahun 60an sehingga perkhidmatan terakhir sebelum diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) pada tahun 2006. Dalam proses ini ramai anggota TLDM yang cedera malah ada yang terbunuh.

Tuntutan bertindih Batu Putih dengan Singapura yang masih dalam proses perbicaraan di Mahkamah Antarabangsa. Tuntutan bertindih di Gugusan Semarang dan Peninjau (GSP) yang menuntut kepada pengawasan dan menunjuk kehadiran sepanjang masa samada bertugas di atas pulau buatan seperti Terumbu Layang-layang (Stesen Lima), Terumbu Ubi (Stesen Uniform), Terumbu Mantanani (Stesen Mike) dengan sejumlah kekuatan anggota malah pengawasan oleh kapal-kapal ronda yang sentiasa mengawasi dan bersiapsiaga untuk menghadapi segala kemungkinan yang tidak diingini.

Provokasi media cetak dan elektronik negara serumpun mencuri tumpuan dengan menyiarkan berita-berita yang seolah-olah kapal TLDM menceroboh di Blok Ambalat. Slogan ‘Ganyang Malaysia’ disusuli dengan pengumpulan sukarelawan jihat dilancar bukan sahaja di negara mereka malah pekerja Pendatang Tanpa Izin (PATI) di Malaysia tanpa rasa ragu turut bersemangat untuk mengganyang Malaysia.

Kerjasama Rakan

Sebelum tertubuhnya (APMM), selain tugas utama TLDM, ianya juga menjalankan tugas penguatkuasaan perundangan maritim sebagai tugas skunder masa aman. APMM dijangka tidak begitu sukar dan tidak akan mengambil masa begitu lama untuk menyesuaikan diri dengan tugas baru kerana penyerapan sebahagian anggota TLDM bersama kapal-kapal yang sudah matang dan mahir tentang selok belok ilmu kelautan. Dengan perolehan aset moden yang mencukupi seperti helikopter dan bot-bot laju APMM dilihat akan mempunyai keupayaan yang tinggi untuk membenteras aktiviti-aktiviti jenayah tradisional di laut dengan lebih efisien. Sekaligus memberi kenyakinan kepada pedagang-pedagang luar yang menggunakan laluan selat Melaka sebagai laluan perdagangan mereka.
Ini telah memberi ruang kepada TLDM untuk memberi tumpuan kepada pertahankan kedaulatan dari segala bentuk provokasi ketenteraan samada secara individual atau operasi bersama dengan elemen Tentera Darat dan Udara serta latihan kemahiran dan kerjasama dengan negara-negara luar.
Di dalam menyaingi reputasi negara-negara ASEAN seperti Indonesia dan Singapura yang telah mendahului menggerakkan armada kapal selam malah telah memasuki fasa peningkatan, TLDM seharusnya tidak perlu merasai ianya sebagai cabaran yang mendesak kepada perolehan aset tempur strategik yang seumpama malah apa yang penting ialah mengekalkan momentum perolehan mengikut percaturan selari dengan kemampuan modal insan sebagai operator yang berwibawa. Jika diletakkan keutamaan, pesawat Airborne Early warning And Control (AEWAC) dan helikopter yang dilengkapi dengan dipping sonar harus memasuki perkhidmatan ATM kerana aset ini masih belum ada dalam inventory ATM yang ternyata sangat penting sebagai pengumpul maklumat taktikal dalam peperangan udara dan peperangan bawah permukaan.
Mengekalkan tahap kesiapsiagaan dan taraf operasi peralatan sangat penting dan menentukan kapal-kapal yang dibaiki pulih dalam masa yang dirancang adalah sangat memerlukan komitmen pihak limbungan yang dilantik. Kegagalan menyiapkan pembaikan adalah menjejaskan perancangan dan pengaturgerakan kapal-kapal di garisan sempadan. Kesiapsiagaan Logistik harus distrategikan dengan kepunyaan yang mencukupi dan berupaya dimobilisasikan dengan pantas walau dengan apa cara sekalipun.
Penutup
Ramai orang mengukur sumbangan TLDM adalah dari sudut pertempuran di dalam peperangan dengan musuh-musuh di laut maka oleh kerana Malaysia berada dalam zon aman sejak merdeka, lalu ada yang berani mengatakan membangunkan angkatan laut yang menepati keperluan strategik adalah membazir. Ada juga yang mengatakan TLDM hanya tahu menghabiskan duit tanpa memberi pulangan kepada negara. Untuk itu ingin penulis tegaskan bahawa produktiviti TLDM ialah meredakan gelora di laut yang mengancam laluan perdagangan antarabangsa dan mengawal hasil bumi dan makanan laut dalam lingkungan EEZ dari sebarang anasir telah menaikan imej negara di mata dunia dan sekali gus menghadiahkan keamanan yang sangat besar nilainya kepada kedaulatan negara. Budi TLDM kepada rakyat sudah melebihi nilai wang ringgit.

PENGISTIHARAN REJIMEN SEMPADAN - KOR BARU TENTERA DARAT YANG KE 16

Sumber: Majalah Perajurit Edisi Mac 2008
Oleh: Hamzah h.d

Pengekalan kedaulatan sesebuah negara bukan hanya khusus kepada negara-negara kuasa besar sahaja namun negara-negara kecil juga mempunyai maruah dan tanggungjawab yang serupa, apatah lagi bagi negara-negara Islam seperti Malaysia yang merupakan fardhu kifayah kepada rakyat yang beriman untuk mempertahankannya.

Ancaman atau serangan konvensional dalam negara setakat ini boleh dikatakan sudah berakhir selepas era konfrontasi dan insurgensi namun ancaman bukan tradisional yang berbentuk pencerobohan lintas sempadan seperti penyeludupan, kemasukan Pendatang Tanpa Izin (PTI) dan kemungkinan pembiakan aktiviti pengganas mula menjadi isu utama sejak akhir-akhir ini dan menuntut usaha kerajaan untuk menanganinya di kawasan sempadan.

Kepesatan pembangunan, kekayaan sumber asli serta keharmonian intergrasi kaum, menjadikan Malaysia satu destinasi ekonomi yang sangat menguntungkan bagi pendatang-pendatang asing samada secara sah atau sebaliknya. Walaupun kemasukan mereka sememangnya telah menyumbang kepada peningkatan ekonomi dan kelancaran pembangunan infrastruktur, namun kenyataan ianya turut mengancam sistem keselamatan negara dengan melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Justeru itu untuk mengekang pengeksploitasian penjenayah-penjenayah komersial mengganggu keharmonian dan keselamatan negara, langkah-langkah proaktif kerajaan melalui agensi-agensi pelaksana seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) telah melakukan pengawalan sewajarnya di semua sempadan negara.

Ringkasan Sejarah

Bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula telah termaktub bahawa membantu pihak berkuasa awam dalam apa jua situasi adalah merupakan tugas skunder yang tidak pernah dikesampingkan malah telah memberi komitmen sepenuhnya. ATM sebagai sebuah organisasi yang kredibel sentiasa menyumbang tenaga terhadap pengekalan kedaulatan negara. Beban tugas Batalion Infantri Tetap dalam membuat penugasan pengawalan sempadan menjadi bertambah berat ekoran pembinaan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) sepanjang 115 km dari Daerah Grik Perak hingga ke Daerah Jeli di Kelantan pada tahun1973.

Pembinaan JRTB yang merentasi Banjaran Titiwangsa bukan sahaja dilihat sebagai jalan pintas perhubungan Pantai Timur dan Barat Semenanjong, malah satu usaha menyekat dan melumpuhkan pergerakan Parti Komunis Malaya (PKM) ke selatan di samping memudahkan sokongan logistik kepada pasukan beroperasi. Pihak PKM melihat pembinaan JRTB akan menyukarkan penyusupan angkatan mereka ke semenanjong Malaysia maka tekanan demi tekanan telah dikenakan dengan menjadikan pekerja JRTB dan peralatan pembinaan sebagai sasaran dengan tindakan militan yang agresif yang mana bukan sahaja menjejaskan kelancaran pembinaan malah telah menelan kerugian jutaan ringgit.

Tindakan ini mendorong Markas Tertinggi merancang strategi membenteras kegiatan tersebut. Pada mulanya Batalion Infantri Tetap telah diaturgerakkan dengan membuat pertahanan statik di sepanjang JRTB dan Empangan Temenggor untuk memberi perlindungan keselamatan kepada mereka. Batalion ini juga dibantu oleh Pasukan Pertahanan Tempatan (PPT) yang terdiri dari anak-anak watan yang dikerah sepenuh masa di seluruh negara yang terdiri dari 49 platun.

Pada tahun 1979 platun ini telah disusun semula bagi menubuhkan Batalion Infantri Kerahan dengan nama Batalion Infantri Siri 300 Askar Wataniah (Bn. Inf. Siri 300) dengan memecahkan kepada lima Batalion Infantri Kerahan iaitu Batalion 301 berpangkalan di Batu 11, Tanah Merah Kelantan, Batalion 302 di Batu Melintang Kelantan, Batalion 303 di Pangkalan Hulu Perak, Batalion 304 di Grik Perak, Batalion 305 ditempatkan di Bukit Kayu Hitam Kedah. Walaubagaimanapun pasukan ini tidak dimasukkan ke dalam struktur organisasi Tentera Darat (TD) kerana kewujudannya merupakan perjawatan sementara berdasarkan keperluan semasa. Walaupun penampilan, beban tugas dan tanggung jawab menyamai angkatan tetap namun dalam beberapa perkara, anggota-anggota Batalion ini tidak menikmati keistimewaan-keistimewaan tertentu karana faktor dasar perkhidmatan.

Tugas pengawalan JRTB dan Temenggor telah dikurangkan ekoran dari perjanjian perletakan senjata dan gerakan militan oleh PKM pada 2 Disember 1989. Perubahan konsep gerakan telah disusun semula dengan mengkoordinasikan Op KOTA ECHO/FOXTROT (Belum) dan Op KOTA GOLF (Kalai) bagi negeri Perak dan Op MERPATI bagi negeri Kelantan. Batalion ini juga dilibatkan dengan pelbagai operasi lain seperti Op SETIA Khas SJR PP 083, Op KOTA BRAVO dan Op Pagar 12 Briged, Op INDERA 4 Briged, Op PAKSI 1 Briged/4 Briged dan Op SJR di Sanglang Perlis.

Berdasarkan komitmen dan iltizam yang dipamirkan selama 29 tahun melaksanakan tanggung jawab dan amanah, pelbagai pihak merasakan kewajaran supaya khidmat bakti Batalion ini dihargai. Justeru itu tarikh 12 Jan 2008 telah menjadi satu tarikh bersejarah terpahat di dalam kalendar TD negara, kerana kerajaan memberi pengiktirafan kepada pasukan ini dengan penyerapan semua pegawai dan anggota ke dalam sebuah lagi cabang perkhidmatan Infantri iaitu Rejimen Sempadan (RS) menjadikan Kor TD yang ke 16. Majlis pengistiharan telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan, YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak dalam satu majlis gilang gemilang pada 09 Feb 2008 di Batalion Pertama RS Tanah Merah Kelantan.

Detik-detik Penubuhan Dan Wawasan

Idea bagi penubuhan RS ini adalah susulan daripada keperihatinan dan kesinambungan perancangan komprehensif kerajaan dengan mengambil kira keperluan semasa bagi menangani isu-isu keselamatan di persempadanan negara dengan hasrat untuk mempertingkatkan pengawalan dari ancaman jenayah lintas sempadan dan jenayah komersil seperti penyeludupan barangan terkawal dan kemasukan PTI ke dalam negara kita. Ianya selaras dengan rancangan pembangunan Army 2 plus 10 yang juga turut merancang tentang keperluan RS ini bagi menyelaras penugasan keseluruhan pengawasan sempadan secara sistematik dan bersepadu.

Bagi merealisasikan penubuhan RS, proses penyerapan pegawai/anggota dari Batalion Infantri Siri 300 (AW) seramai 3,600 orang telah dilaksanakan dengan upacara mengangkat sumpah yang dikendalikan oleh Pegawai Staf 2 Pengambilan Markas TD-CSM yang disaksikan oleh Panglima TD Jen Tan Seri Muhammad Ismail bin Haji Jamaluddin dan Panglima-panglima yang dilantik di dalam beberapa sesi yang berasingan. Bagi mengisi kekuatan sebenar RS, pengambilan Perajurit Muda akan dibuat mengikut prosedur dan keperluan semasa TD termasuk pengambilan anggota wanita.

Rejimen ini ditubuhkan berasaskan Batalion Infantri Siri 300 (AW) dengan menukarkan designasi kepada Batalion-batalion RS dan mengekalkan penempatan di lokasi yang sedia ada dengan membuat peningkatan dan penambahbaikan kemudahan dan infrastruktur. Rejimen ini akan bernaung di bawah Markas Divisyen ke 2 TD. Bagi tujuan pengawalan dan pemerintahan, sebuah Markas Briged juga ditubuhkan yang akan bertanggungjawab untuk mentadbir dan mengawal semua bentuk operasi yang akan dilaksanakan oleh Batalion RS.

Visi- Satu pasukan (dedicated force) TD yang mampu, seimbang dan bersedia melaksanakan misinya sebagai sebahagian daripada agensi pengurusan sempadan nasional.

Misi- Mempertahankan kedaulatan Malaysia dan kepentingannya daripada ancaman luar dan pertualang negara serta membantu Pihak Berkuasa Awam untuk mencapai keamanan dan keselamatan di persempadanan negara.

Objektif- Kewujudan Batalion Sempadan dan Markas Briged Sempadan merupakan usaha berterusan TD untuk menjaga keselamatan negara di samping bersiap sedia menghadapi penugasan baru dalam Polisi Pengurusan Sempadan Nasional.

Fungsi- Berdasarkan konsep operasi yang mendukung Polisi Pengurusan Sempadan Nasional, Briged Sempadan berperanan mengawal keselamatan sempadan daripada sebarang bentuk kegiatan pencerobohan, penyusupan, penyeludupan dan kegiatan jenayah. Ia juga akan berganding bahu dengan Pihak Berkuasa Awam tempatan yang lain bagi menggalakkan kerjasama pembangunan sosio-ekonomi di kawasan sempadan

Penutup

RS dengan wajah dan iltizam baru mewarisi perjuangan masa lalu pejuang-pejuang anak watan yang datang dari pelbagai golongan, petani, nelayan hingga kepada yang berjawatan kakitangan kerajaan yang dalam suka maupun duka berhijrah meninggalkan pekerjaan demi seruan pertiwi. Di dalam mengharungi perjuangan, mereka terkorban, meninggalkan isteri dan anak di buaian, meninggalkan ibu tua kesepian, mereka akur dan ‘taat setia’ dengan sedikit imbuhan.

Rakan seperjuangan generasi hari ini, mereka kembali bersumpah dengan cogan ‘SEDIA WASPADA’ dan berikrar dengan lafaz pengabdian dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan kerajaan Malaysia untuk mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan berbekalkan semangat kepahlawanan yang tinggi.

Hari ini mereka dihargai dan menikmati keistimewaan serta kemudahan yang selama ini dinikmati oleh rakan seperjuangan lain dalam Angkatan Tetap. Bagi rakyat umum, mereka menaruh harapan yang amat tinggi dan yakin dengan slogan, visi dan misi pasukan yang akan menampan segala anasir yang datang bermula dari garis sempadan. Selamat berjuang.

KESELAMATAN SEMPADAN – PERLUKAN ANJAKAN DEMI KESEJAHTERAAN

Sumber: Majalah Perajurit Edisi Feb 2008
Oleh: Hamzah h.d

Pada 21 Disember yang lalu, Perdana Menteri Malaysia dan rakan sejawatnya Surayud Chulanont melakar sejarah dalam hubungan diplomatik antara kedua-dua negara apabila sama-sama merasmikan jambatan muhibah yang menjanjikan pertumbuhan ekonomi dan mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia-Thailand di bawah Pelan Strategi Pembangunan Bersama kawasan sempadan.

Fasa baru selepas 50 tahun Malaysia merdeka menyaksikan terbinanya satu lagi jambatan muhibah menghubungkan dua negara yang bersempadan. Tebing sungai Kampong Jenub Bukit Bunga yang bersempadankan sungai dengan Kampong Bauk Bukit Tar [Buketa] dalam Wilayah Narathiwat Pattani menjadi laluan kedua selepas jambatan Rantau Panjang di dalam negeri Kelantan menghubungkan Pekan Golok di dalam Wilayah Narathiwat.



Kedudukan geografi Malaysia yang mempunyai wilayah daratan negeri-negeri yang bersempadan seperti Pangkalan Kubur-Takbai, Rantau Panjang-Golok, Bukit Bunga-Ban Buketa, Pengkalan Hulu-Betong, Bukit Kayu Hitam-Sadao, Padang Besar-Songkhla dan Wang Kelian-Satun yang masing-masing mempunyai pintu masuk dua hala telah menyumbang pertumbuhan kegiatan ekonomi dan sosial untuk kebaikan bersama. Dengan adanya pintu masuk seperti ini hubungan dagangan dan kegiatan sosial lebih terancang secara tidak langsung dapat mengurangkan aktiviti-aktiviti penyeludupan yang memberi kesan yang tidak baik kepada sektor ekonomi dan keselamatan kedua-dua buah negara.



Keselamatan Sempadan
“Dasar Pertahanan Negara [DPN] mencerminkan hasrat negara untuk mempertahankan kepentingan-kepentingan strategiknya dan memelihara keselamatan negara. Dasar pertahanan menggariskan tiga asas utama, iaitu kepentingan-kepentingan strategik negara, prinsip-prinsip pertahanan dan konsep pertahanan. Ia menekankan keperluan mengekalkan sekitaran kawasan kepentingan strategik negara yang stabil dan aman. Kawasan kepentingan strategik negara dapat dilihat dari tiga lapisan iaitu kawasan terdekat, serantau dan global. Kawasan terdekat termasuk wilayah daratan, perairan negara, ruang angkasa, Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE), Selat Melaka dan laluan pintu keluar masuknya, dan Selat Singapura selain jaluran laluan perhubungan laut dan udara yang menghubungkan Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak”.

Sinonimnya pembinaan jambatan ini dengan DPN ialah untuk melindungi kepentingan strategik negara dan persaingan dalam pelbagai kepentingan yang lain, keupayaan pertahanan sempadan berkisar sekitar prinsip-prinsip utama iaitu keupayaan untuk berdikari dan kerjasama serantau.

Secara prejudis, setelah terbinanya jambatan dan laluan masuk yang bersistematik ini tidak menjanjikan sempadan tidak dicerobohi. Sering kita dengar, siri rompakan sudah menjadi satu kemestian kepada penjenayah untuk menggunakan senjata api yang mana disyaki diperolehi dari negara jiran. Agak sukar untuk mempercayai penyeludupan senjata api adalah melalui atau melepasi kawalan imigresen atau Kastam walaupun baru-baru ini sudah ada kes seumpama berlaku yang mana merupakan kes terpinggir berlaku di negara kita.

Berdasarkan kes yang tertangkap yang sering dibicarakan di dalam media cetak dan elektronik menunjukan ada ketirisan dan integriti penguatkuasaan di sempadan boleh diragui dalam konteks meningkatnya aktiviti-aktiviti penyeludupan barangan, pendatang tanpa izin dan senjata api. Intraksi penulis dengan beberapa responden yang merupakan penduduk tempatan di beberapa kawasan sempadan, aktiviti penyeludupan masih berlaku terutamanya terhadap barangan kawalan seperti beras, minuman keras, pendatang tanpa izin dan sebagainya. Penyeludupan keluar barang kawalan seperti minyak diesel, minyak masak dan lain-lain turut menjadi isu yang mana jika tidak dipantau secara serius, ianya akan mencetus suasana yang tidak harmoni di dalam negara. Apa yang sangat menakutkan khalayak ialah peningkatan aktiviti penyalahgunaan dadah dan senjata api dalam masyarakat yang sekali gus memfokuskan tuduhan terhadap integriti penguatkuasaan di sempadan.

Umum tahu bahawa sempadan Malaysia-Thai yang merentasi timur dan barat semenanjong sejauh lebih kurang 600km tidak mempunyai pagar yang sepatutnya kecuali sempadan di sebelah utara Malaysia, walaupun pada sebahagiannya sudah berpagar namun oleh kerana tidak diberi sentuhan strategik maka aktiviti ‘lubang tikus’ dilaporkan sering berlaku. Di Kelantan sebahagian besarnya bersempadankan Sungai Golok dan langsung tidak mempunyai pagar yang mana sangat menyukarkan aktiviti kawalan terutamanya di waktu malam. Keunikan sempadan yang mempunyai kawasan membangun dan kawasan hutan menyaksikan aktiviti lintas sempadan yang begitu mudah dan memerlukan komitmen tugas penguatkuasaan yang tinggi, konsisten dan tanpa kompromi.

Berkompromi dengan amalan keluar masuk secara bebas di pintu-pintu masuk sempadan atas alasan untuk menggalakan aktiviti pelancongan adalah satu tindakan yang kurang tepat dan telah membibitkan masalah sosial, kesejahteraan dan keselamatan negara kerana kelonggaran ini bukan sahaja digunakan oleh rakyat bersempadan malah pengganas juga boleh mengambil kesempatan. Langkah terbaru kerajaan menguatkuasakan pas sempadan dan sistem biometrik adalah tepat pada masanya dalam usaha untuk menidakkan budaya ‘mengangkat tangan’ di antara penguatkuasa dengan pengunjung yang sudah ‘berbudaya’ sekian lama.

Kawalan konvensional setakat ini ialah dengan menugaskan pasukan keselamatan dari kalangan siri 300 Pasukan Wataniah yang membuat operasi sempadan secara berterusan. Siri-siri operasi dan menunjukkan kehadiran di kawasan tanggungjawab secara konsisten oleh pasukan angkatan tetap Tentera Darat Malaysia dan mendirikan beberapa pos kawalan tambahan di sempadan beberapa kawasan strategik di samping meningkatkan kerjasama rondaan dengan Tentera Darat Thai bagi mengekang sebarang gerakan agresif kumpulan-kumpulan pemisah Islam seperti Barisan Pembebasan Bersatu Pattani [PULO], Barisan Revolusi Nasional [BRN] dan Gerakan Mujahidin Islam Pattani. Walaupun konflik puak bertelagah agak reda sekarang ini namun tindak balas masih tercetus dan tidak mustahil persengketaan berskala besar boleh tercetus dan merebak dalam masa yang singkat.

Konflik yang berlaku di selatan Thai sebenarnya memberi ancaman secara langsung kepada keselamatan negara kerana bukan sahaja untuk manangani limpahan pelarian atau penyusupan kumpulan-kumpulan pemisah secara fizikal malah memungkinkan tercetusnya kecelaruan diplomatik antara dua kerajaan. Ini adalah kerana faktor budaya, ugama dan etnik yang berada di kawasan sempadan memangkin kepada prejudis dan salah sangka pihak Thai terhadap Malaysia ketika melayani puak-puak terbabit.

Untuk mengekang aktiviti penyeludupan dadah, barang-barang keperluan yang dikawal dan kemasukan Pendatang Tanpa Izin [PTI] Banglades, Pakistan dan lain-lain yang juga menggunakan laluan sempadan Thai yang dilaporkan berleluasa sebenarnya menuntut makanisme kerjasama lain-lain agensi penguatkuasaan seperti PDRM, Kastam, Imigresen dan juga RELA untuk menanganinya secara serius. Walaupun kemasukan PTI pada masa ini dilaporkan terkawal namun implikasi yang boleh wujud dari kegagalan mengawal kemasukan mereka ialah ancaman kepada negara di masa hadapan. Ancaman bukan tradisional seperti ini seharusnya mudah dikawal jika komitmen dan tumpuan diberikan secara konsisten dan berintergriti.

Struktur Penampan

Suasana ini menuntut plan penampan strategik dilaksanakan secara drastik sebagaimana yang pernah berlaku di sempadan Perairan Malaysia Timur yang masih berkuatkuasa hingga sekarang. Senario pergolakan politik dunia yang tidak menentu harus menjadi iktibar dan kita harus bersedia segala keperluan sebelum tiba masa susah kerana bayaran masa terdesak akan menjadi lebih mahal.

Satu cara lain dalam konteks membina keyakinan sempadan negara kebal dari sebarang pencerobohan yang mengancam keselamatan, adalah tidak dapat tidak perlu ada tindakan susulan untuk memperkemaskan jaluran laluan sempadan daratan ini dengan struktur penampan berlapis [double layer] di samping sistem pengawasan bersepadu menggabungkan beberapa elemen sumber manusia dari agensi sedia ada, anjing pemburu terlatih dan juga kawalan dengan bantuan teknologi seperti radar dan menara pemerhati yang dilengkapi dengan lampu limpah [search light] peranti alat pandang malam [goggle night vission] dan peralatan seumpamanya sebagai tindakan tambahan. Dalam masa yang sama agensi keselamatan harus mengerah kudrat mengembling segala cara bagi membersih unsur-unsur asing yang bertapak secara haram di bumi Malaysia dikeluarkan secara terhormat