Pages

Wednesday, May 17, 2023

TLDM PENUHI ASPIRASI PERTAHANAN NEGARA DALAM EKSESAIS BERSAMA SHIELD 2023 MESKI PUN DALAM SUASANA KEKURANGAN ASET KOMBATAN


Penglibatan Kapal Diraja (KD) LEKIR dan KD GEMPITA dalam Eksesais BERSAMA SHIELD 2023 pada 27 Apr hingga 12 Mei di Changi Naval Base, Singapura dan perairan Laut China Selatan adalah sebahagian daripada sumbangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi mendokong aspirasi pertahanan negara dalam aspek kebersamaan (jointness).

Eksesais gabungan di antara negara-negara Five Power Defence Arragement (FPDA) ini terus menjadi platform untuk menguji kebolehoperasian aset TLDM bersama Tentera Laut United Kingdom, Australia, New Zealand dan Singapura. 


Selari dengan asas kesepakatan FPDA yang termeterai sejak 1971, iaitu untuk pertahanan Malaysia dan Singapura, dari ancaman luar, kerjasama dan kesalingoperasian aset TLDM dengan angkatan laut sahabat amatlah penting. 

Bagi merealisasikannya, pelbagai latihan Field Training Exercise (FTX) telah dilaksanakan oleh KD LEKIR dan KD GEMPITA bersama Her Majesty’s Australian Ship (HMAS) ANZAC dan Republic Singapore Ship (RSS) VIGILANCE. 

Fasa Pelabuhan

Di dalam meningkatkan persefahaman di antara kapal-kapal terlibat, eksesais dimulakan dengan fasa pelabuhan bagi membolehkan semua perancangan fasa laut dibincangkan oleh tim pemerintah dan dilaksanakan secara table-top. 

Di samping itu beberapa latihan seperti Visit, Board, Search and Seizure (VBSS) dan simulasi peperangan juga dilaksanakan di pelabuhan bagi menentukan segala prosedur difahami oleh semua yang terlibat. 

Fasa Laut 

Fasa eksesais di laut dimulakan dengan intensiti yang rendah pada permulaannya di mana hanya melibatkan latihan navigasi dan ilmu kelautan. 

Seterusnya intensiti ditingkatkan dengan latihan peperangan anti udara di mana melibatkan 20 pesawat pejuang, tiga pesawat peronda maritim dan sebuah helikopter Airborne Early Warning (AEW) angkatan udara FPDA dalam melakukan serangan terhadap konvoi kapal perang secara serentak. 


Peserta BERSAMA SHIELD juga berpeluang melaksanakan latihan berbentuk high end warfare yang kompleks melibatkan peperangan atas dan bawah permukaan. Eksesais ini membuktikan bahawa element jointness dan gabungan dilaksanakan dengan baik. 


Siri Latihan Naval Gunfire Support (NGS) yang dilakukan di Pulau Aur membuktikan keupayaan TLDM di dalam melaksanakan penembakan sokongan dari kapal bagi operasi amfibi di kawasan persisiran pantai di mana ianya membuktikan koordinasi yang jitu di antara kapal FPDA dan pemerhati hadapan dari Malaysia dan United Kingdom di Pulau Aur. 


Selain itu, TLDM bersama Tentera Laut Diraja United Kingdom juga telah berjaya di dalam memastikan keselamatan aset dan ruang udara eksesais melalui penglibatan dua anggota Osprey Safety dari Royal Navy yang ditempatkan di KD LEKIR sepanjang eksesaisb erlangsung.

Meskipun BERSAMA SHIELD bersifat komprehensif melalui pelbagai siri latihan yang dilaksanakan, isu keusangan aset terus membelenggu TLDM dalam memenuhi komitmennya. 

TLDM Hanya Libatkan 2 Buah  Kapal  Usang

Penugasan KD LEKIR dan KD GEMPITA yang telah menjangkau usia hampir separuh abad 

menunjukkan bahawa TLDM semakin kekurangan aset kombatan bagi memenuhi komitmen eksesais berkonsepkan peperangan konvensional sebegini. 

Kepentingan mengekalkan strong military-to-military ties dan komitmen TLDM terhadap FPDA yang telah memberi manfaat kepada kestabilan di perairan ini sejak 40 tahun yang lalu haruslah dipelihara. 

Peribahasa Latin ada menyebut, “Si vis pacem, para bellum” yang bermaksud “Jika mahukan keamanan, bersedialah untuk berperang”. 

Kesiapsiagaan pertahanan adalah jaminan terbaik untuk keamanan sesebuah negara. Perolehan Littoral Mission Ship (LMS) Batch-2 yang mempunyai keupayaan kombatan perlulah segera direalisasikan agar keupayaan dan kesiagaan Armada TLDM dapat dipertingkatkan bagi memenuhi komitmen ini.

No comments:

Post a Comment