Pages

Monday, January 9, 2023

LAWATAN KERJA MENTERI PERTAHANAN KE LUMUT

Tok Mat memeriksa Kawalan Suku semasa menasuki Pangkalan Lumut

Lumut 9 Januari 2023- Menteri Pertahanan, YB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan telah melakukan tinjauan kerja ke Pangkalan TLDM Lumut, Perak bagi melihat sendiri kemudahan dan fasiliti yang terdapat di Pangkalan TLDM. Selain itu, beliau turut meninjau tahap kesiapsiagaan aset dan warga TLDM melalui beberapa lawatan dan taklimat pengoperasian TLDM di bawah seliaan Markas Pemerintahan Armada Barat. 


Tokmat melihat keadaan Tan Pusmah

Semalam, YB Menteri Pertahanan turut dibawa untuk melihat keadaan KD LAKSAMANA TAN PUSMAH yang terlibat insiden semasa Hari Terbuka Armada 2022 pada 29 Disember 2022 yang lalu. Akibat daripada insiden, kapal tersebut terkoyak sepanjang 2 x 1m dan bot tempur kemek di bahagian haluan kiri. Status terkini, kapal dan bot tempur tersebut telah selesai dibaik pulih sepenuhnya dan kembali beroperasi seperti sediakala. 


LAWATAN KE BOUSTEAD NAVAL SHIPYARD


Pembinaan kapal TLDM sering menjadi perhatian netizen. Tokmat mempunyai tanggunjawab besar bagi menentukan pembinaan kapal siap dalam jangkaan

Fokus utama adalah tinjauan ke tapak pembinaan projek Kapal Littoral Combat Ship (LCS). Kementerian Pertahanan, TLDM dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kekal terus memastikan kapal LCS disiapkan supaya keperluan TLDM dan warganya tercapai demi mengukuhkan sistem pertahanan dan perairan negar

Demi kedaulatan perairan negara, Kementerian Pertahanan telah mengarahkan supaya projek pembinaan kapal LCS ini disiapkan mengikut pelan mobilisasi yang telah ditetapkan. Pembinaan fizikal LCS pertama dijangka akan siap dan berada di permukaan air pada 2024. 


Pada tahun ini, unjuran sebanyak RM8 billion telah dirancang bagi semua perkhidmatan ATM termasuk perolehan dan senggaraan bagi TLDM. Perolehan Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2 akan diteruskan dan penyelenggaraan aset ketenteraan sedia ada seperti pasang pulih KD LAKSAMANA TAN PUSMAH, KD JERAI dan KD LEKIR juga turut menjadi fokus tahun 2023. 


LAWATAN KE RUMAH KELUARGA TLDM


Atas faktor kebajikan, Menteri Pertahanan turut membuat tinjauan ke Rumah Keluarga TLDM (RK TLDM) di Blok A22 dan A38. Melihat kepada keadaan dan kemudahan di fasiliti, pihak Kementerian Pertahanan telah melihat sendiri akan situasi semasa yang dihadapi warga TLDM yang tinggal di perumahan tersebut. Justeru, beberapa cadangan dan tindakan akan dilakukan segera supaya kesejahteraan dan keselamatan warga dan keluarga TLDM kekal terbela.


Pembaikan serta kerja-kerja menaiktaraf Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) telah menjadi agenda utama Kementerian Pertahanan selaras dengan salah satu objektif Kertas Putih Pertahanan untuk memastikan kelestarian warga ATM. Melalui inisiatif Blueprint Perumahan 3.0 juga, lebih banyak RKAT akan dibina serta disiapkan dalam masa terdekat.


Untuk rekod, jumlah keseluruhan RKAT TLDM Pangkalan TLDM Lumut adalah 39 blok dan hampir separuh daripadanya telah dinaik taraf dan selebihnya akan dilaksanakan secara berperingkat.


Tokmat menyantuni anak-anak TLD

Dalam Ramah Mesra Bersama warga TLDM, Menteri Pertahanan juga menyampaikan sumbangan daripada Yayasan LTAT berupa beg dan alat tulis kepada 30 penerima. 


LAWATAN KD PANGLIMA GARANG (PASKAL)

Pasukan Khas Laut (PASKAL) hari ini juga telah melakukan demonstrasi kesiagaan disamping menyampaikan taklimat pengoperasian dan kesiapsiagaan pasukan. 

Bagi PASKAL, beberapa aset dan perolehan baharu juga akan dibuat dengan mengambil kira kehendak serta keperluan terkini yang diperlukan. Usaha-usaha perolehan yang telah dimajukan akan diteruskan demi memastikan status pasukan elit ini sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik setiap masa. 


OPERASI KD LEKIU


Menteri Pertahanan turut menyertai pelayaran KD LEKIU yang kini sedang melaksanakan tugas rondaan dan pengoperasian di perairan negara. Keberadaan Menteri Pertahanan bersama warga KD LEKIU adalah untuk memberi pengalaman dan pendedahan kepada beliau mengenai pengoperasian TLDM secara amnya dalam memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara. 


Pada masa yang sama, kehadiran Menteri Pertahanan dapat meningkatkan tahap moral kepada anak-anak kapal yang sedang melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka semasa berada di samudera.


TINJAUAN KERJA MENTERI PERTAHANAN


Pangkalan TLDM Lumut merupakan Kem ATM yang kedua dilawati selepas menjawat jawatan sebagai Menteri Pertahanan pada 5 Disember 2022 yang lalu. 


Terdahulu, beliau telah mengadakan lawatan kerja ke Markas Medan Barat Tentera Darat di Kem Sungai Besi pada 5 Jan 2023 dan rancangan seterusnya akan ke Pangkalan Udara Subang, Selangor pada 10 Jan 2023.


Lawatan-lawatan ini adalah perkara rutin yang akan dilakukan bertujuan untuk meninjau sendiri kesiapsiagaan dan pengoperasian Kem-Kem ATM dan warganya di seluruh Malaysia.

No comments:

Post a Comment