Pages

Thursday, December 22, 2022

KAPAL LAYAR HANYUT DITEMUKAN

Kapal Layar Puteri Mahsuri

Lumut 22 Dis - KD LEKIU Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menemukan Kapal Layar PUTERI MAHSURI yang dilaporkan hanyut dan hilang di perairan Langkawi sejak 19 Disember 2022  lalu. Turut ditemukan ialah Nahkoda bersama empat orang kru warganegara Myanmar  kira-kira jam 1 tengah hari semalam semuanya dalam keadaan selamat.

Berdasarkan maklumat dari Maritime Rescue Sub-Center (MRSC) Langkawi  melalui rakan pemilik kapal layar tersebut iaitu Captain William Foo pada jam 8 pagi,  satu  Operasi CARILAMAT telah diaktifkan pada jam 10.30 pagi oleh Markas Wilayah Laut 3 TLDM. 


Posisi terakhir Kapal Layar PUTERI MAHSURI sebelum insiden adalah di posisi 14 Batu Nautika, Barat Pulau Rebak, Langkawi dan dipercayai telah hanyut akibat rantai sauhnya terputus sewaktu bersauh di perairan tersebut.


Bertindak pantas menerusi maklumat yang disalurkan, KD LEKIU yang berada di lapangan telah diatur gerakkan ke lokasi bersama pesawat FENNEC TLDM untuk pencarian  dan berjaya mengesan posisi kapal layar tersebut di posisi 37.5 Batu Nautika, Barat Laut Pulau Perak. 


Setiba di lokasi, KD LEKIU seterusnya melaksanakan pemeriksaan kesihatan dan bantuan awal terhadap kesemua kru Kapal Layar PUTERI MAHSURI sebelum bantuan lanjut tiba untuk membawa pulang kapal tersebut ke Langkawi yang mengalami kerosakan jentera. 


Sumber dari Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat (MPAB) berkata, Kapal Layar PUTERI MAHSURI yang telah hanyut kira-kira dua hari berjaya dijumpai selepas empat jam Operasi CARILAMAT diaktifkan membuktikan kerjasama bersepadu dan tindakan pantas daripada kesemua agensi yang terlibat. 



Kesemua krew yang dijumpai selamat

Tim Bantuan KD LEKIU merapat

No comments:

Post a Comment