Pages

Wednesday, September 7, 2022

TLDM-TNI-AL PERKASA HUBUNGAN DIPLOMASI PERTAHANAN MELALUI EKSESAIS MALINDO JAYA 26AB/22

Eksesais Bilateral Malaysia-Indonesia Siri 26AB/22 (MALINDO JAYA 26AB/22)  29 Ogos hingga 04 September 2022 adalah merupakan kesinambungan kerjasama berterusan Malaysia - Indinesia dalam bidang pertahanan. 


" Eksesais ini bertujuan untuk memperkasa hubungan diplomasi pertahanan dua hala Malaysia - Indonesia yang telah lama terjalin.” Tegas Panglima Armada Barat YBhg Laksamana Madya Datuk Abu Bakar bin Md Ajis semasa menyampaikan amanat beliau kepada peserta LATMA dari TLDM dan TNI-AL di Pangkalan KOARMADA II, Surabaya, Indonesia pada 29 Ogos lalu. 


Tegas beliau lagi, latihan ini juga merupakan platform untuk kedua angkatan laut berkongsi pengalaman dan pembelajaran serta amalan-amalan baik yang bakal ditempuhi sepanjang LATMA MALINDO JAYA.


Aset kedua-dua buah negara yang terlibat dalam Eksesais ini ialah KRI RADEN EDDY MATRADINATA dan KRI TOMBAK dari TNI-AL.  Manakala partisipasi yang mewakili Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ialah KD LEKIU, KD SRI INDERA SAKTI dan pesawat Super Lynx  yang telah berlepas dari Tambatan Pangkalan Lumut (TPL) ke Surabaya  sejak 23 Ogos 2022 yang lalu.  Bagi KD LEKIU, Eksesais ini merupakan salah satu komponen latihan yang dilalui mereka dalam pelayaran Regional Partnership Exercise 2022 (RPEX22).


Panglima Komando Armada II (PANGKORMADA II) Laksamana Muda TNI T.S.N.B Hutabarat dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa eksesais ini dibahagi kepada tiga fasa iaitu fasa pelabuhan, fasa laut dan fasa penutup. Semasa fasa pelabuhan para peserta akan menjalani Command Post Exercise (CPX), Subject Matter Expert Exchange (SMEE) KOPASKA-PASKAL dan taklimat pra-pelayaran di Pangkalan KOARMADA II. Fasa laut,  unsur-unsur yang terlibat telah belayar ke perairan Laut Jawa untuk mempraktikkan pelbagai aspek dalam peperangan konvensional dan juga keselamatan maritim.dan kembali semula ke Surabaya untuk fasa penutup. 


Aktiviti Sosial


Kedua-dua angkatan laut juga telah mengukuhkan jalinan ukhwah melalui aktiviti sukan dan sosial. Antara aktiviti sukan yang dilaksanakan adalah Senaman Raksasa serta Larian MALINDO dan Sukan Bola Tampar. Aktiviti sosial yang telah dilaksanakan adalah Majlis Makan Malam Rasmi MALINDO anjuran TNI-AL dan Majlis Resepsi anjuran TLDM.


Sempena Hari Ulang Tahun (HUT) Kemerdekaan Negara ke-65, warga TLDM turut meraikan malam ambang merdeka di Dermaga Madura Tengah, KOARMADA II pada malam 30 Ogos 2022. Sambutan kemerdekaan turut diserikan dengan kejutan oleh pihak TNI-AL dengan menghadiahkan kek HUT Kemerdekaan Malaysia  dan juga makanan tradisi yang sinonim dengan perayaan iaitu “nasi tumpeng” kepada warga kapal dan delegasi TLDM. 


Penutup


Upacara penutup telah disempurnakan oleh Asisten Ketua Staf Operasi, Markas Pemerintahan Armada Barat, Kepten Shaharuddin bin Bongsu TLDM selaku Timbalan Pengarah atau WADIRLAT Eksesais pada 4 September 2022 yang lalu. 


“Eksesais MALINDO JAYA 26AB/22 telah berjaya mengeratkan hubungan silaturahim serta meningkatkan kerjasama dan kebolehoperasian TLDM dan TNI-AL seperti yang diharapkan.” Kata Kepten Shaharuddin.


Manakala KD LEKIU meneruskan misi pelayaran seterusnya ke Regional Partnership Exercise 2022 (RPEX/22) untuk menyertai Eks KAKADU 2022 di Darwin, Australia yang melibatkan angkatan laut dari pelbagai negara.


No comments:

Post a Comment