Pages

Tuesday, June 15, 2021

ULASAN BUKU : SOMALIA BELANG HARIMAU BESI

 Diterbitkan dalam majalah Perajurit edisi Jun/Jul 2021

 


Oleh: Paklang Hamzah

Foto: PRTDM

Pada 26 Mac 2021 yang lalu telah berlangsung satu Majlis Pelancaran Buku tentang sejarah perjuangan  Tentera Darat Malaysia (TDM) khususnya Batalion  Ke-19  Rejimen  Askar  Melayu  Diraja  Mekanize (19 RAMD Mek) yang diadakan di Dewan Zainal, Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani.  Telah dirasmikan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain bersama Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin bin Abg. Shokeran. Sebuah karya yang  ditulis oleh YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Mohd Halim Khalid PGB (DMH) berdasarkan kisah benar perjuangan pahlawan negara demi keamanan sejagat.

DMH yang kini merupakan Panglima 5 Divisyen berasal dari Simpang Pulai Ipoh Perak dilahirkan pada 05 Jan 1963 telah ditauliahkan ke RAMD pada tahun 1982.  Pernah diaturgerak ke 3 RAMD sebelum ke 19 RAMD Mek.  Sepanjang perkhidmatan, beliau pernah memegang  jawatan sebagai Pegawai Staf di Markas TDM dan Markas ATM.  Di peringkat antarabangsa beliau pernah ditugaskan sebagai Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao dan Penasihat Pertahanan di Abu Dhabi.  DMH telah dikurniakan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) pada 4 Jun 1994. Pingat PGB merupakan pingat keberanian kedua tertinggi dalam senarai pingat-pingat keberanian persekutuan.

Ulasan Buku

Buku setebal 202 muka surat (termasuk indek)ini mengandungi 10 bab yang sarat dengan penceritaan tentang penglibatan DMH bersama rakan sepasukannya dalam  operasi khas bersama Malaysia Battalion (MALBATT).  Dengan gaya bahasa dan susunan plot  penceritaan yang mudah difahami diselit dengan perkataan-perkataan yang agak puitis yang menggambarkan DMH seorang yang berjiwa seni.  

Penceritaan yang diiringi dengan paparan imej yang relevan dengan peristiwa semasa namun imej hitam putih yang dipaparkan, pada pendapat peribadi penulis agak kurang terserlah.  Mungkin DMH mempunyai alasannya yang tersendiri kenapa paparan imen dibuat dalam bentuk hitam putih. Namun begitu, karya ini sangat menarik dan sesuai untuk dibaca oleh semua golongan terutamanya bagi mereka yang gemar mengumpul kisah-kisah sebenar sejarah perjuangan pasukan keselamatan negara yang mempertaruhkan keringat, darah dan nyawa mereka sebagai galang ganti. 

Malah naskah perjuangan karya DMH ini sangat wajar jika dijadikan buku teks bagi pelajar aliran sastera sekolah menengah dalam usaha memberi kefahaman kepada generasi muda  tentang perjuangan dan pencapaian pasukan keselamatan negara amnya.

DMH memulakan penulisannya dengan Prakata dan di antara bait-bait yang menjadi  hala tuju dan  komitmen beliau untuk menulis.  “……Buku ini juga merupakan manifestasi kekaguman dan penghormatan saya kepada para sahabat yang sama-sama bergadai nyawa sewaktu misi di Somalia.    Sedaya upaya, saya berusaha untuk memastikan bahawa tiada sekecil zarah rakaman sejarah ini tertinggal semasa proses pengkaryaannya disempurnakan……”

DMH bertekad untuk membetulkan fakta sejarah yang diketahui dan dipegang oleh banyak orang di seluruh dunia  yang telah diputarbelitkan oleh pihak tertentu untuk kepentingan peribadi mereka.  Maka lahirlah Somalia Belang Harimau Besi pada hari ini.

DMH memulakan coretan dalam Bab 1 dengan rangkapan Sumpah Perwira yang menjadi nadi perjuangan 19 RAMD.

…..  “Kami Semua Sedia Berbakti, Untuk Bangsa Ibu Pertiwi, Setiap Masa Taat Setia dan Itulah Sumpah Perwira”………

Menurutnya, 19 RAMD ditubuhkan pada 01 Januari 1977 di Kem Imphal, Kuala Lumpur dan dipindahkan ke Kem Lapangan Terbang Sungai Petani Kedah bagi memenuhi keperluan semasa.  Pasukan ini telah banyak menabur bakti terutamanya di kawasan utara semenanjung Malaysia dalam Operasi Melawan Insurgensi,  Misi-misi Kemanusiaan dan Projek Jiwa Murni bersama masyarakat setempat.  Sesuai dengan penstrukturan semula TDM terhadap pasukan di bawah naungannya, 19 RAMD diberi peranan baharu sebagai Batalion Mekanis pada 01 Januari 1987 selepas hampir 2 dekad penubuhannya. 

Peralihan ini sangat bermakna buat DMH dalam menempuhi liku kerjaya sebagai perwira pasukan infantri.  Jiwanya yang begitu bersemangat apabila diberi kesempatan untuk menyumbang khidmat bakti bagi bersama-sama membangunkan pasukan mekanis pertama dalam sejarah ketenteraan negara.  Logo yang dizahirkan melalui harimau belang yang berlatarbelakangkan warna jingga menjadi mascot rasmi pasukan yang menjadi simbol semangat keberanian dan kekuatan Batalion Infantri Mekanis.

…..  “Hidup sebagai anggota tentera, nafasnya sentiasa bersatu dengan semangat yang bernyala dalam jiwa.  Ikrar perjuangannya bergema di jagat tanah air….” 

Operasi menghapuskan pengganas komunis merupakan detik perjuangan yang memberi  bekas yang sangat mendalam kepada  pasukan infantri TD tidak terkecuali bagi pasukan 19 RAMD Mek sendiri.  Operasi ini telah banyak mengorbankan nyawa dan telah mencederakan 40 anggota dalam pasukan akibat pertempuran dan bencana periuk api.

Dalam bab ini juga DMH mencoretkan kenangan beliau semasa beroperasi di Malaysia Timur bersama pasukan 3RAMD pada tahun 1980. Dalam satu operasi, mereka diarahkan mengepung pengganas komunis.  Dalam pertempuran tersebut seorang perajurit telah gugur ditembak musuh.

Penceritaan beliau seterusnya ialah berkisar kepada pemilihan 19 RAMD MEK untuk berbakti di bawah Panji-panji Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan menjadi komponen utama MALBATT 1 yang akan bertugas di Somalia di bawah ketumbukan United nation Operation in Somalia II(UNOSOM II).  Arahan dikeluarkan pada 06 disember 1992 bagi persediaan melaksanakan misi pada 1993.  Permohonan beliau untuk menyertai misi ini diperkenan oleh pucuk pimpinan TD kerana pada waktu itu beliau sedang bertugas sebagai jurulatih di Maktab Tentera Diraja.  Dari pemilihan pegawai dan anggota  serta pengumpulan maklumat misi diceritakan dalam bab ini.

 

Somalia Bumi Bergolak

Dalam bab 2 dan 3 DMH menggambarkan secara jelas kepada pembaca tentang Somalia dalam konteks geografi, politik, kaum dan perebutan kuasa yang menjurus kepada  pergolakan perang saudara.  Bencana ini mendapat reaksi dunia yang memaksa campurtangan PBB melalui pemeteraian United Nation Security Council Resolution (UNSCR) yang mempersetujui agar embargo senjata terhadap Somalia dan gencatan senjata antara puak bertelagah dimulakan serta merta dan penghantaran bantuan kemanusiaan segera dilaksanakan.

Berasaskan kegagalan misi bantuan ini PBB melalui UNSCR 794 pada 3 Disember 1992 telah mengaturgerakkan United Task Force (UNITAF) dengan 35 ribu anggota tentera pelbagai negara bagi mewujudkan persekitaran selamat untuk misi kemanusiaan sampai kepada sasaran.

Pada 06 Jun 1993, PBB menubuhkan UNOSOM II bagi menggantikan UNITAF di mana UNOSOM ll tidak lagi bertindak sebagai pemerhati keamanan seperti dalam misi PBB terdahulu tetapi sebagai penguatkuasa keamanan.  Resolusi ini mengizinkan penguatkuasa menggunakan kekerasan dalam perlaksanaan tugas jika perlu.

Pasukan UNOSOM ll dibentuk dengan kekuatan 28 ribu anggota polis, tentera dan awam di peringkat antarabangsa dan tempatan.  Kerajaan Malaysia mengemukakan hasrat kepada PBB untuk menyumbang  kontinjen tentera dalam misi UNOSOM ll. Jemaah Menteri Malaysia telah bersetuju mengaturgerakkan ATM menyertai UNOSOM ll pada 18 Mac 1993 setelah dipersetujui oleh PBB bersama negara Australia, Bangladesh, Belgium, Botswana, Kanada, Mesir, Perancis, Jerman, Ghana, Greece, India, Indonesia,Ireland, Itali, Kuwait, Maghribi, Nepal, Belanda , New Zealand, Nigeria, Norway, Pakistan, Filipina, Republik Korea, Romania, Arab Saudi, Sweden, Turnisia, Turki, Emiriah Arab Bersatu, USA, Zambia dan Zimbabwe.

Sepanjang penugasan, seramai 154 orang penguatkuasa keamanan dari pelbagai negara telah terkorban iaitu 149 orang anggota tentera termasuk seorang anggota ATM yang terkorban dalam pertempuran Pasar Bakara. Tiga orang kakitangan antarabangsa dan 2 orang kaktangan tempatan.

MALBATT 1 Diaturgerak

Dalam Bab 4, DMH menceritakan komposisi MALBATT 1 di mana 19 RAMD Mek sebagai pasukan induk. Kontijen ATM yang terlibat berkekuatan 850 orang yang terdiri dari elemen pemerintah dan elemen tempur diaturgerak setelah melakukan persiapan selama 4 bulan dalam konteks latihan dan pengumpulan kelengkapan logistik.

DMH bertindak sebagai Penolong Ketua Kompeni bergerak bersama kumpulan pendahuluan yang diketuai oleh Kolonel Abdul Latif Ahmad selaku Komander MALBATT 1 berserta 18 orang pegawai dan 32 orang anggota LLP berlepas ke Somalia pada 18 Jun 1993 dengan menaiki pesawat C130 TUDM.  Berdasarkan perkhidmatan cemerlang  yang ditunjukkan pasukan MALBATT terdahulu maka MALBATT 1 diberi penghormatan sebagai pasukan simpanan Pemerintah Ketumbukan Tentera UNOSOM ll dan Pasukan Tindak Cepat kepada Markas UNOSOM ll yang ditempatkan di kawasan Lapangan Terbang Mogadishu.

“…..hidup di sini adalah perjuangan.  Somalia bukanlah tanah yang makmur lagi tenang. Jauh terpinggir dari syurga dunia.  Di sini semua kering kontang. Panas membahang.  Usah bermimpi untuk memiliki pendingin hawa atau kipas, kurang makanan segar  dan kebanyakan menunya makanan dalam tin dan roti untuk sarapan pagi yang dibekalkan oleh kontraktor tempatan…..”

Dalam Bab 5 DMH menceritakan kejadian yang dialami oleh warga MALBATT 1 ialah pertempuran berhampiran Pasar Medina ketika melakukan rondaan.  Platun 1 dari Kompeni A yang diketuai oleh Lt. Kamal Idris Johari diserang hendap oleh militia Aideed pada 26 Julai 1993.  Serangan ini berpunca dari salah faham pihak militia yang mengganggap platun MALBATT 1 itu adalah tentera Amerika berdasarkan bendera Malaysia yang seakan bendera US.  Serangan kedua yang dirakam oleh DMH ialah pada 25 ogos 1993.  Platun ke-6 dari Kompeni B diserang hendap oleh puak militia.  pertempuran jam 8.45 pagi itu turut dibantu oleh helikopter tempur US.

Dalam Bab 6 penceritaan tentang penglibatan MALBATT 1 dalam siri-siri operasi kepung dan geledah bagi mencari kelengkapan terlarang seperti bom, peluru dan persenjataan  di dalam sesuatu bangunan yang disyaki.

Dalam Bab 7 DMH menggambarkan bagaimana operasi menyelamatkan 4 orang wartawan CNN dan 3 orang wartawan Itali di Hotel Safi.  Mej Ab Aziz Ab Latif memimpin Kompeni A bersama-sama Platun Kedua yang diketuai oleh Lt. Kamal Idris Johari telah berjaya menyelesaikan misi dengan jayanya.

DMH sendiri yang ketika itu berpangkat Kapten  telah mengetuai Platun Ke-6 dari Kompeni A dalam pertempuran dengan puak militia di mahkamah Agung Benadir dalam usaha melindungi dan menyelamatkan 3 orang pegawai perundangan UNOSOM ll.  Dalam adegan 27 Sep 1993 yang penuh dramatik itu tim DMH berjaya menamatkan misi dengan cemerlang.  Misi yang menjadi penyebab DMH dianugerah pingat PGB.

Dalam Bab 8,  peristiwa di Pasar Bakara yang diceritakan oleh DMH. “………. Halim! siapkan kompeni dan bergerak ke pelabuhan seberapa segera serta tunggu di sana untuk arahan lanjut….” Lt Kol Rozi memberi arahan setelah menerima arahan daripada Mej Jen. Thomas M. Montgomery, Timb. Pemerintah Angkatan Pengaman UNOSOM ll meminta bantuan bagi melaksanakan operasi menyelamat tentera Amerika yang terperangkap di Pasar Bakara. 

Dalam bab ini penceritaan menyeluruh DMH dari kejadian awal operasi tentera Amerika untuk menangkap Menteri Luar, Penasihat Politik dan Ketua Propaganda  Jeneral Farah Aideed yang sedang bermesyuarat pada petang 3 Oktober 1993 di Hotel Olimpik dalam kawasan Pasar Bakara menemui kecelakaan.

DMH menyusun babak demi babak kejadian dengan baik sekali dengan berkongsi perasaan cuak dan cemas serta komitmen dan semangat juang yang ditunjukkan oleh anggota MALBATT 1 kepada pembaca dalam misi menyelamat Pasukan Petugas Renjer Amerika.

Babak-babak yang digarap turut  diselitkan dengan perkongsian pengalaman yang dilalui oleh rakan-rakannya yang lain. Lt Zunaidi Hassan, Ketua Platun Ke-4 menulis…. “Platunnya telah dibedil bertubi-tubi oleh militia Somalia dengan senjata automatik, tembakan mesingan, RPG, mortar dan roket dari bangunan kiri dan kanan jalan….”

“…… tentangan sengit daripada tembakan militia ini kami sambut dengan memuntahkan peluru mesingan di KPA masing-masing ke arah sasaran yang dikenal pasti….”

Dari Lkpl Nayan…. “Helo 21 di sini 21 Alpha bertempur, tunggu…. kami terperangkap dalam serang hendap dan membalas tembakan musuh, habis…..”

“Kenderaan bergegar, terlonjak kearah kanan, berbau benda terbakar dan saya rasa semuanya gelap dan tidak boleh berfikir”. Pbt Rizal pemandu KPA berkongsi rasa ketika kenderaannya dihentam roket militia.

“Peluh sejuk mula mengalir ke dahi saya apabila melihat satu tembakan RPG dilancarkan tepat mengenai kenderaan Pbt Rizal.  Saya kemudian nampak seorang Somalia keluar dari rumah lalu melancarkan roket ke arah hadapan kenderaan kami.  Keluar! keluar! keluar! RPG!...” jerit Pbt Sabri sambil merebahkan kerusi pemandu……

Penutup

Pengkisahan babak pertempuran yang sangat dramatik plot demi plot penglibatan watak-watak penting digambarkan. Penulis pun terpaksa menyeka air mata berkali-kali ketika menghayati babak-babak yang digambarkan oleh DMH dalam bab 8 yang penulis ulas hanya sedikit sahaja untuk memberi peluang seluasnya kepada pembaca menghayati sepenuhnya babak-babak yang pada hemat penulis sangat menyayat hati melihat pengorbanan rakan-rakan penulis yang berhadapan dengan situasi tersebut.

Kisah ini telah digambarkan menerusi filem Black Hawk Down yang ditayangkan kepada masyarakat dunia pada 2001 yang tidak menyebut dan memberi fokus tentang penglibatan MALBATT 1 apatah lagi untuk menghargai keheroan pahlawan Melayu dalam misi tersebut melalui komentar yang dizahirkan oleh akhbar arus perdana.  Namun begitu, dengan kenyataan Mej. Jen. Thomas M. Montgomery, Timb. Pemerintah Angkatan Pengaman UNOSOM ll pernah berkata…. “Sebagai seorang perajurit, saya hendak semua tahu bahawa saya sanggup pergi ke mana-mana sahaja serta dalam apa-apa jua keadaan bersama-sama perajurit Malaysia….”  telah menghapuskan tohmahan yang dibuat dari jauh tanpa mengetahui jalan cerita yang sebenar.

Sama-sama kita tunggu garapan Andrian Teh dalam filem BAKARA yang dijangka akan menemui penonton pada bulan Ogos 2021.  Penerbitan filem BAKARA ini adalah kerjasama TDM dengan syarikat Art 2 pictures Sdn Bhd dan Adaza 88 Studio Sdn Bhd.  Semuga gambaran sebenar peristiwa Pasar Bakara dan keberanian  yang telah ditunjukkan oleh wira-wira TDM dapat penilaian semula oleh penduduk dunia.

No comments:

Post a Comment