Pages

Thursday, April 15, 2021

SCANEAGLE PERKASA KEUPAYAAN ISR TLDM

 Diterbitkan alam Majalah Perajurit edisi Mac/Apr 2021

Oleh: Paklang Hamzah/Foto: PRO TLDM

Unmanned Aerial System (UAS) ScanEagle adalah Sistem Pesawat Tanpa Pemandu buatan syarikat Boeing-Insitu yang dibekalkan oleh kerajaan Amerika Syarikat kepada kerajaan Malaysia melalui program Maritime Security Initiative (MSI) merupakan aset udara terbaharu memasuki inventori TLDM pada 6 Mei 2020.

Selaras dengan perolehan ini Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah menubuhkan satu lagi skuadron baharu iaitu Skuadron 601 (Skn 601) yang dioperasikan di bawah Markas Pemerintahan Armada Timur diterajui Pegawai Memerintah pertamanya Komander Mohd Khalid bin Ahmad Zakaria.  Kesemua perolehan UAS ini akan di aturgerak di kawasan Malaysia Timur sebagai keutamaan berdasarkan keperluan semasa di sana yang agak sukar untuk ditembusi melalui pengawasan menggunakan aset permukaan sedia ada di antaranya kerana faktor geografi.



Skn 601 ini telah dilancarkan pada 4 Mac lalu oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany di Stesen Udara TLDM Kota Kinabalu. Dengan tertubuhnya Skn UAS ini TLDM dijangka dapat mempertingkatkan keupayaan intelligence, surveillance dan reconnaissance (ISR) untuk mengawasi laluan strategiknya yang luas di Selat Melaka, Laut China Selatan dan Laut Sulu serta perkongsian maklumat di dalam kalangan agensi penguatkuasa dan ATM.

ScanEagle juga mampu melakukan pelbagai misi, termasuk operasi Carilamat (SAR), Tindak Balas Bencana, Perlindungan Angkatan, Mengekori Sasaran, Penilaian Kerosakan Pertempuran, Keselamatan Sempadan, Perantara Komunikasi, Rangkaian Operasi dan  Anti-Pelanunan.

Latihan operasi selama 12 bulan yang dibimbing oleh wakil syarikat Boeing-Insitu telah mula dilaksanakan oleh kru operasi Skuadron 601 dan penerbangan sulung bagi pesawat ScanEagle berjaya dilaksanakan pada 5 Februari 2021 yang lalu. Latihan operasi ini merupakan salah satu daripada fasa pembangunan UAS TLDM yang bertujuan melahirkan kru operasi yang kompeten serta mampu mengendalikan sistem dengan baik.

Skuadron 601 juga mencatatkan sejarah sebagai skuadron UAS yang pertama diwujud dan dioperasikan di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Komponen UAS yang terdiri daripada 6 pesawat, 2 Pelancar, 2 Skyhook dan 3 Ground Control Station (GCS) bernilai RM180 juta. TLDM dijangka akan menerima beberapa buah UAS ScanEagle lagi di bawah program MSI sebelum penghujung tahun 2021.

Spesifikasi ScanEagle, Pelancar Dan Penerima

Spesifikasi ScanEagle dengan panjang badan pesawat hanya 1.71m dan lebar sayap 3.1m mampu dilancarkan pada ruang yang terhad tanpa memerlukan landasan terbang. Berat tanpa minyak 17.5kg dan berat maksima ketika pelancaran ialah 22kg dengan kemampuan beroperasi di udara selama 12 jam pada kelajuan 111kmj dengan berpandukan sistem navigasi Global positioning system (GPS). Ketinggian maksima pengoperasian ialah 19,500ka dan ketinggian ideal pengoprasian: 2,500-5,000ka dengan sensor penglihatan sejauh 100km menjadikan ScanEagle sebuah dron yang versatil dalam kelasnya.

Dari segi muatan ScanEagle boleh dilengkapi dengan electro-optical imagers, long-wave infrared sensors dan radar X-band.

Spesifikasi MARK 4 Launcher ini  jika disimpan panjangnya cuma 5.56m dan lebarnya 2.21m. Masa aturgerak panjangnya menjadi 7.09m, lebar 2.21m dan tinggi 2.54m. ScanEagle tidak memerlukan lapangan terbang untuk melancarkannya memadai dengan menggunakan pelancar pneumatik. Pelancar Mark 4 adalah treler yang dipasang berkuasa sendiri dan digerak pada landasannya. Mempunyai banyak kunci kawalan keselamatan bagi mencegah kemungkinan pelancaran secara tidak sengaja. Dengan keberatan Pelancar 1,905kg, jika dikendalikan oleh empat orang pengendali hanya  memerlukan masa dalam 20 - 30 minit.

MK 1 MODE 2 SKYHOOK ialah sistem penerimaan ScanEagle bergerak dengan kawalan sendiri sepenuhnya. Dengan menggunakan real-time kinematic GPS untuk pendekatan dan tangkapan yang tepat secara konsisten. SkyHook menggunakan cangkuk di hujung sayap untuk menangkap tali yang direntang dari tiang 9m hingga 15m. Satu tali dipasang pada shock cord bagi mengurangkan tekanan pada airframe semasa pemberhentian mengejut. Berat SkyHook ialah 1,710 kg. Panjang masa penyimpanan ialah 4.66m, lebar 1.55m serta tinggi 2.30m manakala  panjang masa pengoperasian ialah 10.10m, lebar 5.33m dan tinggi 13.96m. 



No comments:

Post a Comment