Pages

Tuesday, July 2, 2019

JAMUAN AIDILFITRI MENGGAMIT NOSTALGIA KOLONEL YDP RAMD

Diterbitkan oleh Majalah Perajurit edisi Julai 2019

Oleh/Gambar: Paklang Hamzah


Pada 17 Jun yang lalu, Divisyen ke 2 Infantri Tentera Darat Malaysia (TDM) serta
unit-unit di bawah naungannya  telah menganjurkan satu Majlis Ramah Mesra
Sambutan Aidilfitri 2019 bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan
Kedah selaku Kolonel Yang DiPertua Rejimen Askar Melayu DiRaja.

Majlis yang julung-julung kalinya diadakan ini telah dilaksanakan di Batalion Keenam,
Kem Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah. Turut hadir ke majlis ini adalah Duli Yang
Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin,
Raja Muda Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul
Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Laksamana Kedah. Turut hadir dalam majlis ini
ialah Panglima Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Azizan bin
Md Delin selaku Pegerusi RAMD, Mejar Jeneral Dato' Mardzuki bin Muhammad,
Panglima Divisyen Ke 2 TD serta Pegawai-pegawai Kanan Kor Infantri TDM.


Uniknya, Majlis Ramah Mesra Sambutan Aidilfitri pada kali ini Kol YDP RAMD juga berpeluang meninjau suasana persiapan Aidilfitri di gimik perbatasan iaitu di Pos M 359 serta suasana persiapan aidilfitri di kawasan operasi.  Baginda telah melawat Pos Pengawal, Pos GPMG, Landing Point (LP), Khemah Markas Kawalan, Khemah Penginapan dan jeti yang dibina khas untuk tujuan majlis ini.

Baginda juga berkesempatan merasai juadah lemang dan dodol serta kek Rangsum Tempur Bekalan Kering (RTBK) yang disediakan oleh anggota 6 RAMD. Acara ini menggamit kenangan sewaktu baginda pada suatu ketika dahulu pernah terlibat dalam operasi  di perbatasan negara. 

Pegawai Tentera

Mengimbau penglibatan baginda di dalam bidang ketenteraan bermula dari minat baginda yang sangat mendalam dan memilih untuk menjalani latihan kadet dan telah dihantar untuk kursus ketenteraan di India Military Akademy di Dehra Dun dari 23 Julai 1962 hingga 30 Jun1963. Sekembalinya ke tanah air, baginda telah ditauliahkan dengan pangkat Leftenan pada 12 Feb 1964 dan ditempatkan di Rejimen Ke 2 RAMD di Pengkalan Chepa Kota Bharu Kelantan.  Sepanjang perkhidmatan baginda telah terlibat dalam pelbagai operasi di sempadan Thailand/Kelantan.  Kemuncak operasi ialah semasa konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia di mana baginda Sultan Sallehuddin mengambil alih tugas di Kalabakan dan sempadan Malaysia/Indonesia seperti dikampong Mentadah, Simpang Tiga, Balong, Apas dan lain-lain.  


Batalion Ke 2 RAMD kemudiannya dipindahkan ke Pengkalan Chepa Kelantan pada tahun 1965 dan seterusnya ke Kem Sungai Besi pada tahun 1966. Pada tahun 1967, batalion baginda telah ditukar ke Sarawak untuk menjalani operasi di kawasan sempadan Malaysia/Indonesia hingga tahun 1968.  Pada tahun 1969, batalion baginda berpindah pula ke Kem Tok Jalai Jitra Kedah.  Selain operasi di sempadan batalion baginda juga pernah menjalankan operasi di Sandakan.  Semasa peristiwa Mei  1969 batalion baginda beroperasi di Pulau Pinang.  Baginda menamatkan perkhidmatan di dalam ATM pada 14 Februari 1974.

Baginda serta rombongan juga dipersembahkan dengan tayangan video Ucapan Hari Raya Aidilfitri oleh Pegawai dan Anggota yang sedang bertugas di kawasan operasi yang mana tidak dapat beraya bersama keluarga atau sanak saudara di kampong.  Acara diakhiri dengan persembahan bunga api dan pemberian cendera kenangan.  Baginda tuanku serta rombongan Diraja berangkat pulang pada jam 2230.

No comments:

Post a Comment