Pages

Wednesday, May 1, 2019

SISTEM PERTAHANAN UDARA TLDM

Telah diterbitkan di dalam Majalah Perajurit edisi Mei 2019

Oleh/Foto: Paklang hamzah
Anggota PPU sedang membuat demonstrasi kepada orang awam di LIMA'19 

Tidak ramai khalayak yang tahu tentang kewujudan Pasukan Pertahanan Udara Angkatan Tentera Malaysia  (PPU ATM) melainkan penggemar-penggemar pertahanan yang sentiasa mengikuti rapat setiap perkembangan yang berkisar di dalam sistem pertahanan negara.  Mungkin kita biasa dengar nama-nama sistem seperti Starbust, Igla, Anza, FN6, Jernas/Rapier dan Starstreak namun mungkin ramai yang tidak ambil tahu bahawa nama-nama tersebut adalah merupakan sistem persenjataan yang digunakan oleh Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam konteks pertahanan udara di daratan.  Apa pun pada coretan penulis kali ini cuma akan memfokuskan serba sedikit tentang kewujudan Pasukan Pertahanan Udara TLDM (PPU TLDM).
Dalam usaha meningkatkan keupayaan sistem pertahanan udara negara, Markas ATM telah mendapat persetujuan bagi mewujudkan Pasukan Pertahanan Udara pada setiap perkhidmatan angkatan darat, laut dan udara pada awal tahun 1990an.
Bermula dengan perolehan sistem peluru berpandu jarak dekat iaitu Starburst secara berperingkat di bawah kawalan Tim Projek Starburst Pasukan Artileri Tentera Darat kemudian dipanjangkan penugasan  dengan menubuhkan PPU TLDM dan PPU TUDM bagi menjaga kepentingan pangkalan masing-masing.
Sejarah Penubuhan
Penubuhan (PPU TLDM) bermula di Pangkalan TLDM Lumut pada bulan Disember 1994 di bawah naungan Markas Pemerintahan  Armada dan berpindah ke bangunan tetapnya setelah siap dibina pada 14 januari 1998. Bangunan ini telah dirasmikan oleh Panglima Angkatan Tentera ketika itu, Jen Tan Sri Dato’ Seri Ismail bin Haji Omar  pada 14 Disember 1998.
Bagi memenuhi keperluan semasa pertahanan di Pangkalan dan aset-aset yang berada di Sabah dan dan Sarawak, maka pada 12 Feb 2007, Pasukan Pertahanan Udara TLDM Kota Kinabalu (PPU TLDM KK) telah diwujudkan dan masih lagi  menggunakan sistem misil Starburst yang mana semua keanggotaan yang telah mempunyai kualifikasi ground base air defence (GBAD) dari Lumut dibawa ke Kota Kinabalu bagi memperkasakan pertahanan di persekitaran Borneo sempena pengoperasian pangkalan dan penempatan aset strategik TLDM di Telok Sepanggar Kota Kinabalu Sabah.
Walau bagaimana pun penggunaan sistem persenjataan Starburst tidak kekal lama dan tidak lagi digunakan dalam ketiga-tiga perkhidmatan di atas sebab-sebab tertentu dan ditamatkan pada tahun 2014.
Penstrukturan semula pasukan mula dilaksanakan secara  berperingkat pada tahun 2015, ATM telah melaksanakan perolehan  sistem pertahanan udara yang baharu iaitu Sistem Persenjataan Misil Starstreak bagi menggantikan misil Starburst.
Latihan berterusan mematangkan mereka

Dengan perolehan tersebut, PPU TLDM KK telah ditubuhkan semula.  PPU TLDM KK telah dirasmikan pada 12 Mei 2016 oleh Panglima Wilayah Laut 2 Laksamana Muda Datuk Khairul Anuar bin Yahya dan diterajui oleh Lt Kdr Muhamad Rahshafizi bin Shahir TLDM sebagai Pegawai Memerintah PPU TLDM KK.
Secara umumnya boleh dikatakan bahawa PPU TLDM KK akan mengambil peranan dan tanggung jawab mengawal serangan udara musuh di persekitaran strategik Borneo manakala sistem pertahanan Udara Tentera Darat  dan PPU TUDM akan mengawal serangan udara musuh di persekitaran strategik Semenanjung.
PPU TLDM KK kini dalam fasa membangunkan semula pasukan dan meningkatkan  kesiagaan pasukan sejajar dengan tanggungjawab yang diamanahkan. Kini pasukan beroperasi dengan kekuatan 44 orang anggota dan pegawai dengan ‘Menjadi elemen pertahanan udara yang efisien’ sebagai visi dan ‘Menyedia dan mengatur gerak pasukan untuk melindungi dan mempertahan Pangkalan TLDM Kota Kinabalu dan aset-aset penting daripada serangan udara musuh’ sebagai misi pasukan.
Dari Starburst ke Starstreak
Perolehan persenjataan misil bumi ke udara dalam kategori very short range air defence (Vshorad), Starstreak dibekalkan untuk kegunaan ketiga-tiga perkhidmatan. Sistem ini telah dibekalkan kepada PPU TLDM KK pada awal tahun 2016 untuk membangunkan keupayaan ground base air defence.  Konsep operasi sistem ini adalah untuk mempertahankan aset-aset kritikal dari serangan musuh.  TLDM memperolehi aset sistem Starstreak ini dan pengoperasian amat penting untuk meningkatkan pertahanan udara selari dengan konsep sistem pertahanan udara nasional (SPUN).
Sistem Persenjataan Misil Starstreak Lightweight Multiple Launcher New Generation (LML-NG Starstreak) diperbuat pada tahun 2016 oleh United Kindom dan mampu beroperasi selama 4 jam dengan dikawal oleh 3 atau 4 orang anggota.
Ciri penting LML-NG Starstreak  ini ialah mempunyai daya ketepatan tinggi sehingga hampir 100 peratus untuk mengena sasaran dengan jarak keberkesanan 7 km bagi sasaran tetap dengan keupayaan Dart menembusi sasaran setebal 25mm. Menggunakan sistem panduan semi-automatic command to line of sight (SACLOS) iaitu satu kaedah panduan arahan misil yang mana pengendali berterusan menunjukkan peranti penglihatan ke sasaran sementara misil sedang manuver.  Elektronik di peranti penglihatan atau misil kemudian membimbing ke sasaran. SACLOS ini berfungsi dengan kawalan laser beam riding. Bagi memastikan sasaran adalah pesawat musuh, peranti Identification Friendly of Foe (IFF) diaktifkan di mana kod pesawat kawan telah direkodkan terlebih awal dan mampu mengesan kehadiran pesawat musuh dalam jarak 15 km.
Pada Hemat Penulis
Berdasarkan maklumat yang dipamerkan kepada umum tentang kebolehan dan kekuatan semasa, penulis merasakan satu lagi keperluan yang perlu TLDM ambil kira ialah jumlah perolehan LML-NG dan pembesaran Pasukan PPU perlu dipertingkat  supaya semua pangkalan TLDM dapat diberi perlindungan sewajarnya dengan mengambil kira bahawa semua pangkalan itu adalah strategik dan menjadi suatu kelebihan jika radar amaran awal turut diintergrasikan sebagai sensor tambahan bagi pengesanan awal kehadiran pihak musuh. Keupayaan menerima maklumat  pergerakan sasaran seawal dikedudukan melangkaui ufuk (OTH) sudah tentu mempunyai kelebihan tersendiri dalam manipulasi taktikal.
Peperangan memerlukan kemahiran taktikal dan pengendalian sistem yang tinggi dalam kalangan anggota pasukan.  Untuk menjadi seorang anggota PPU yang terlatih dan kompeten tentunya memerlukan pendedahan inklusif terhadap silibus GBAD dengan memberi penekanan di peringkat kursus asas dan lanjutan.
Pemodenan dan peningkatan kuasa tembak misil surface to air (SAM) ATM tidak harus terhenti dan berpuas hati di tahap VSHORAD atau  man portable air defence system (MANPADS) di lokasi- lokasi terhad sahaja namun taburan penempatan PPU mau pun grup artileri pertahanan udara (GAPU) dapat memberi cegah rintang yang ampuh terhadap kemaraan elemen pesawat tempur pihak musuh.

No comments:

Post a Comment