Pages

Saturday, December 1, 2018

PERAJURIT MUDA – BERMULANYA SUATU PERJUANGAN




Oleh: Paklang hamzah/ Foto: PRTD

Pada 20 Oktober 2018 yang lalu, seramai 1,408 Perajurit Muda Tentera Darat Lelaki pengambilan siri 186/18 dan 77 Perajurit Muda Wanita siri 44/18 telah menamatkan latihan mereka dengan jayanya dalam satu Istiadat Perbarisan yang sarat dengan tradisi ketenteraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) Port Dickson, Bandar Tentera Darat, Negeri Sembilan.

Selama enam bulan yang bermula  pada 8 April 2018 hingga menamatkan latihan, Perajurit Muda ini dilatih dengan pengetahuan asas ketenteraan serta pelbagai kemahiran sebagai anggota tentera sebelum diserapkan ke pelbagai Kor dalam Tentera Darat.

Latihan ini merangkumi aspek pembentukan keperibadiaan ketenteraan, kekuatan mental dan juga fizikal bagi melahirkan seorang Perajurit Muda yang mempunyai keyakinan diri, berketrampilan, berdisiplin dan kompeten dalam kerjaya yang bakal diharungi kelak.

Latihan asas yang dijalani meliputi pembinaan karakter, pengetahuan am ketenteraan, pengendalian senjata, latihan jasmani dan kemahiran perang serta pengukuhan aspek kerohanian dan moral.

Kesemua Perajurit Muda ini akan diserapkan dalam pelbagai Kor (16 Kor) dalam Tentera Darat dan akan diberikan latihan yang sesuai dengan penugasan mengikut Kor masing-masing.

Istiadat Perbarisan telah disempurnakan oleh Jeneral Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah bin Hj Mohd Nawawi, Panglima Tentera Darat.  Turut  hadir ialah Timbalan Panglima Tentera Darat Lt Jen Dato’ Hasagaya bin Abdullah, Panglima Medan Barat Tentera Darat Lt Jen Datuk Azizan bin Md Delin, Panglima Latihan Tentera Darat Mej Jen Dato’ Wira Md Tajri bin Alwi, serta Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai-Pegawai dan keluarga Perajurit Muda.

Anugerah

Pada siri latihan kali ini, seramai lima Perajurit Muda telah berjaya menerima anugerah berdasarkan pencapaian dan kecemerlangan dalam beberapa kategori.  Keseluruhan Terbaik  dianugerahkan kepada 1198793 PM Dexter Libau bin Robert berumur 22 tahun yang berasal dari Serian, Sarawak. Anugerah ini diberi berdasarkan berdasarkan kepimpinan, dedikasi tinggi, kesungguhan, kegigihan dan inisiatif yang tinggi serta menunjukkan kebolehan beliau di dalam semua aspek latihan di samping kecemerlangan dalam setiap ujian yang dilaksanakan.

Akademik Terbaik dianugerahkan kepada 1199008 PM Mohd Akmal Faqih bin Radzi (19 tahun) yang berasal dari Sungai Petani, Kedah.

Kecergasan Jasmani Terbaik dimenangi oleh 1198644 PM Nur Izzudin bin Abdul Rahim (21 tahun) dan berasal dari Sik, Kedah.

Kawad Terbaik disandang oleh 1199071 PM Muhamad Asyraf bin Roslan berusia 22 tahun yang berasal dari Hulu Langat, Selangor . 

Penembak Terbaik dimenangi oleh 1198866 Mohamad Zaihan bin Rosland berusia 21 tahun yang berasal dari Sandakan, Sabah.


Hakikat

Pembangunan modal insan angkatan tentera semestinya bermula seawal pemilihan pegawai kadet maupun perajurit muda.  Era ini sambutan muda mudi yang ingin menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah sangat memberansangkan yang ternyatanya adalah untuk menjadikan ATM sebagai satu kerjaya dalam usaha merebut peluang pekerjaan yang semakin mengecil.

Justeru, cabaran kepada tim pemilihan untuk memastikan setiap individu terpilih adalah  yang benar-benar mempunyai kualiti terbaik bagi menggalas amanah negara adalah tanggungjawab yang berat kerana ianya akan memberi kesan negatif kepada jurulatih-jurulatih di pusat-pusat latihan jika pemilihan tidak menepati piawaian yang diperlukan bagi menyediakan anggota tentera yang benar-benar berkualiti.

Cabaran sebenar sebagai seorang anggota tentera adalah bukan jerih payah yang dihadapi semasa tempoh persediaan sebagai Perajurit Muda seperti yang disangkakan oleh kebanyakan orang awam.  Enam bulan menjalani latihan pengenalan dari dunia awam kepada dunia baharu untuk menjadi sebahagian warga tentera bukanlah ukuran sebenar kepayahan hidup dalam dunia ketenteraan. 

Meskipun pelatih terpaksa melakukan aktiviti lasak dan padat namun ianya bersifat persediaan asas secara berjadual tanpa tanggongjawab hakiki serta  dikawal selia dengan rapi oleh jurulatih yang terlibat bagi menjamin keselamatan dan kebajikan pelatih terjaga.

Cabaran sebenar setiap anggota tentera adalah bila mana seseorang itu sudah dikira layak untuk melaksanakan tugas dan peranan mengikut tahap masing-masing dan mampu bertindak rasional pada saat-saat dan suasana yang tidak menentu di dalam penugasan.

Namun begitu kecekalan, kesabaran dan semangat setiakawan yang ditunjukkan oleh setiap peserta Perajurit Muda semasa dalam tempoh peralihan ini merupakan manifestasi kepada keunggulan dan kompetensi sebagai perajurit masa depan yang menjadi harapan nusa dan bangsa untuk menggalas amanah mempertahankan kedaulatan negara dalam apa jua bentuk ancaman mendatang. PERAJURIT

No comments:

Post a Comment