Pages

Sunday, April 1, 2018

18 RAMD PARA BERTARAF OPERASI

Oleh Paklang Hamzah/Foto PRTD
Telah diterbitkan di dalam Majalah Perajurit edisi Apr 2018

Pada 21 Feb 2018, tercatat satu lagi detik bersejarah dalam konteks pencapaian modal insan Tentera Darat Malaysia (TDM) di mana satu upacara Serah Menyerah Bendera 18 RAMD (Para) oleh Panglima 8 Briged Brig Jen Dato’ Nazari bin Abd Hadi  kepada Panglima Tentera Darat (PTD) Tan Sri Dato’ Sri Jen Zulkiple bin Hj Kassim dan PTD menyerahkan pula kepada Panglima 10 Briged (Para) Brig Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim sebagai simbolik penyerahan Batalion ke 18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) ke bawah pemerintahan 10 Briged (Para) sempena Pengisytiharan Pengoperasian sebagai salah sebuah Batalion Infantri (Para) sekali gus bermulanya batalion ini berada di bawah pemerintahan 10 Briged (Para).  Ini bermakna, 10 Bgd (Para) sudah mempunyai 4 batalion yang berkompetensi tinggi iaitu 9 RAMD, 17 RAMD, 8 RRD  dan 18 RAMD yang menggenggam motto ‘TANGKAS BERJUANG’.

Sejarah Dan Pembangunan 18 RAMD

Menyingkap sejarah penubuhan, Batalion ke-18 RAMD telah ditubuhkan dengan rasminya pada 1 Mei 1976 sebagai batalion infantri biasa dan ditempatkan di Kem Segenting Port Dickson Negeri Sembilan dan disusun semula menjadi Batalion Infantri Standard (BIS) pada 10 April 1999 dan ditempatkan di Kem Sri Pantai Kuala Trengganu.  Seiring dengan perkembangan semasa TDM, pasukan ini sekali lagi telah distrukturkan semula daripada BIS kepada Batalion Infantri (Para) berkuatkuasa pada tanggal 10 September 2015. 


PTD dalam ucapan pengisytiharannya menyatakan bahawa pengstrukturan ini selaras dengan perkembangan semasa TDM yang mahukan ketumbukan Pasukan Aturgerak Cepat (PAC) ditingkatkan keupayaannya.  Justeru, sebagai langkah awal penaiktarafan batalion ini kepada sebuah PAC, serama 4 pegawai dan 46 anggota Lain-lain Pangkat (LLP) telah dipilih untuk menjadi kumpulan perintis dan telah menghadiri kursus Asas Payung Terjun di Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) Melaka.  Setelah mencapai tahap yang telah ditetapkan untuk diletak sebagai sebuah pasukan berstatus operasi berdasarkan kepada keupayaan semasa khususnya berkaitan kelayakan keanggotaan dan kelengkapannya.
Penstrukturan semula pasukan ini juga turut didorong oleh perkembangan geostrategik negara dan negara-negara rantau ini yang telah melalui perubahan secara konsisten.  Berasaskan perkembangan ini juga TDM secara proaktif telah merangka satu perancangan konprehensif untuk membangunkan satu angkatan darat yang kredibel  melalui Pelan Pembangunan Army 4NextG yang dijajarkan daripada pelan pembangunan yang terdahulu iaitu Army 2 10 Plus 10.

Menerusi pelan pembangunan ini, TDM terus bergerak berlandaskan satu visi untuk menjadikan ketumbukan ini sebagai sebuah angkatan yang mempunyai kebolehan serta keupayaan untuk beroperasi di dua wilayah secara serentak dalam mendepani pelbagai spektrum ancaman yang bukan sahaja pada waktu sekarang malah juga di masa-masa mendatang.  Tegas beliau, pensrukturan ini juga membuktikan betapa seriusnya perancangan dan pengimplementasian yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi TDM terhadap visi ini.

Demonstrasi

Acara ini dipersembahkan kepada umum di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) Kuala Trengganu dalam satu demonstrasi yang melibatkan seramai 800 pegawai dan anggota dari ketumbukan ini.  Pelbagai aset ketenteraan turut digunakan di dalam demonstrasi keupayaan dan kemahiran (PAC) termasuk penglibatan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) seperti pesawat Sukhoi SU-30MKM, pesawat pengangkut C130 H dan pesawat E-725 Cougar.

Demonstrasi yang menggambarkan keupayaan sebenar PAC dalam  melaksanakan misi yang dipertanggungjawabkan kepada mereka sebagai Pasukan Para.  Aksi bermula dengan penyusupan Seksyen Pandu Arah Udara dengan melakukan Penerjunan Bebas dari ketinggian 10 ribu kaki. Misi mereka turut diawasi oleh dua buah Pesawat Pejuang Sukhoi SU-30MKM bagi tujuan Close Air Support (CAS) bagi menentukan keselamatan dan kelancaran misi yang dilaksanakan dari diganggu oleh elemen-elemen musuh.  Kemudian disusuli dengan  Penerjunan Statik (Mass Drop) melalui Pesawat C130 H sebagai Method of entry (MOE) anggota PAC ke kawasan sasaran.

Dalam demonstrasi ini penarikan keluar seksyen Pandu Arah Udara dengan menggunakan Teknik SPIE-Rig di ikuti dengan penyusupan kumpulan serangan dengan teknik Fast Roping dan Hover Jump  dengan menggunakan helikopter Nuri dari Skn 882 Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).
Turut hadir dalam upacara ini ialah Menteri Besar Trengganu, YAB Dato’ Sri Haji Ahmad Razif bi Abd. Rahman, SUK Negeri Trengganu YB Dato’ Wan Nawawi bin haji Wan Ismail,  Panglima Medan Barat TDM Lt Jen Dato’ Azizan bin Md Delin,  Panglima 2 Divisyen Dato’ Mohd Ramli bin Jaafar, Panglima 10 Bgd (Para) Datuk Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim. 


No comments:

Post a Comment