Pages

Sunday, September 3, 2017

PERTAHANKAN BUMI SABAH

Telah diterbitkan di dalam Majalah Perajurit Edisi Sep 2017

Oleh Paklang Hamzah

Pembawa Panji-panji kor TD

Tanggal 11 Ogos 2017, rakyat Malaysia umumnya serta warga Kota Kinabalu Sabah khususnya telah menyaksikan satu lagi program bersejarah telah dianjurkan bagi menzahirkan rasa syukur dan terima kasih dalam kalangan rakyat kepada jasa dan pengorbanan pasukan-pasukan keselamatan khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bergalang nyawa untuk memastikan kedaulatan negara tidak dicerobohi sembarangan.

Upacara Penganugerahan Battle Honour “DAULAT FEB 2013” telah berlangsung dalam satu istiadat perbarisan yang penuh dengan tradisi ketenteraan yang memahat nostalgia yang tidak mungkin boleh dilupakan oleh warga pasukan keselamatan terlibat yang terdiri dari dua belas pasukan dari Tentera Darat Malaysia (TDM) iaitu 3 RAMD, 4 RAMD, 7 RAMD, 9 RAMD (PARA), 17 RAMD (PARA), 21 RAMD, 3 RRD, 7 RRD Mek, 8 RRD mek, 9 RRD, 4 KAD,  1 RAD (PARA).  Tiga pasukan dari tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu KD SRI SEMPORNA, KD RAJAWALI dan KD PANGLIMA  HITAM serta sembilan dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)  iaitu No. 1 skn, No. 5 skn, No. 6 skn, No. 7 skn, No. 14 skn, No. 16 Skn, No. 18 Skn, No. 20 Skn dan Rejimen TUDM.
Kontijen TLDM bersama Panji-panji
Di samping  pameran statik aset-aset, pameran promosi dan kerjaya ATM, pemeriksaan kesihatan percuma kepada pengunjung, persembahan hiburan dan pancaragam ATM, persembahan pentomin  juga dipertontonkan kepada khalayak bagi menggambarkan detik-detik hitam kejadian yang telah meragut nyawa 2 orang anggota tentera iaitu Allahyarham Koperal Ahmad Hurairah Ismail dan Alahyarham Prebet Ahmad Farhan  Ruslan dalam usaha membebaskan rakan pasukan keselamatan yang terperangkap dan semasa memerangi penceroboh pengganas Sulu di Kampong Tanduo Lahad Datu Sabah. 

Insiden berdarah ini memberi kesan yang mendalam yang menjadikan satu lagi sejarah perjuangan Pasukan Keselamatan Malaysia di dalam mempertahankan kedaulatan tanahair. Bagi memperingati dan mengenang jasa perwira dan sastria yang secara keseluruhannya melibatkan 11,913 orang  anggota ATM dan yang terlibat secara langsung ialah seramai 6,889 orang telah memerah keringat dan bermandi darah dalam peristiwa hitam itu justeru, satu anugerah khas telah dianugerahkan kepada mereka-mereka yang terlibat secara berperingkat. Dalam majlis ini seramai 61 orang pegawai dan anggota, 21 orang mewakili TDM dan masing-masing 20 orang mewakili TLDM dan TUDM ditampilkan untuk menerima anugerah.

Pingat Kedaulatan Negara


Pingat Kedaulatan Negara (PKN) adalah dalam kategori Campaign Medal yang dianugerahkan khas untuk sesuatu peristiwa sahaja oleh kerajaan Malaysia kepada angota-anggota keselamatan dan agensi-agensi  yang mempamerkan keberanian dan patriotisme yang luar biasa yang pantang berundur sebelum berjuang serta mempunyai strategi, kecekapan dan sensitiviti yang mengagumkan dalam Operasi Daulat.
Pingat PKN berbentuk bulat dengan Jata Negara di hadapan dan peta Sabah di bahagian belakangnya yang mempunyai kekananan berbanding yang lain dalam kategori pingat-pingat kempen ketenteraan.  Meskipun pingat PKN ini gah dari sudut penghargaan dan pengiktirafan namun ianya belum layak untuk diberi elaun sepertimana yang dianugerahkan kepada penerima pingat-pingat keberanian. 

Respon Kerajaan

Rentetan daripada insiden di Lahad Datu inilah, kerajaan telah mewujudkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang bertujuan untuk memantapkan kawalan keselamatan di persekitaran Sabah.  Pelbagai iniasitif telah dilakukan oleh pihak ATM bagi memperkukuh dan bersedia menghadapi apa jua cabaran mendatang.  Terbaharu, seramai 7,000 orang anggota TDM diaturgerakkan bagi pelaksanaan Operasi Daratan, Operasi Balasah, Operasi Khas dan Operasi Pasir bagi mempertahankan daratan Sabah.  Penambahan 1 kompeni infantri TD di kawasan Cenderawasih Lahad Datu untuk memastikan kawasan pantai Lahad Datu terkawal sepenuhnya. 
ATM juga telah melancarkan penubuhan Markas Pemerintahan Armada Timur TLDM bagi memastikan keseimbangan aset TLDM dalam misi pengawasan perairan Sabah dan Sarawak sentiasa terpelihara. Justeru, penambahan aturgerak aset 2 buah kapal TLDM bagi membantu memperketatkan kawalan.
ATM juga telah melaksanakan kolaborasi Trilateral Maritime Patrol (TMP) bersama tentera Indonesia dan tentera Filipina dalam usaha untuk memastikan anggota militan termasuk militan Daulah Islamiah in Iraq and Sham (DAESH) tidak menjadikan Laut Sulu sebagai laluan tikus untuk menceroboh masuk ke negara ini serta menangani aktiviti pelanunan, penculikan  dan rompakan bersenjata.  Selain TMP, usaha juga sedang dijalankan untuk melaksanakan Trilateral Air Patrol (TAP) dalam masa terdekat.
Pada masa yang sama, 5 buah pesawat pejuang Hawk dan 4 buah helikopter Eurocopter EC-725 AP sedang dioperasikan sepenuhnya di Pangkalan Udara (PU) Labuan yang juga bertujuan untuk  pemantauan dan menjaga keselamatan di Pantai Timur Sabah dan Laut China Selatan.
Renungan
Keluasan Sabah melebihi 70 ribu kilometer persegi dan pantai sepanjang  lebih 14 ribu kilometer  dengan Laut China Selatan terletak di Pantai Barat, Laut Sulu di sebelah Timur Laut dan Laut Sulawesi di sebelah selatan.  Persempadanan antara dua negara menjadikan kawasan dan kemungkinan jumlah ancaman yang  sangat luas dan besar berbanding kekuatan dan kelengkapan pasukan keselamatan sedia ada untuk mengawal sepenuhnya segala ancaman yang sedang dihadapi di persekitaran tersebut.
Ancaman tradisi yang yang sejak turun temurun berlegar  di perairan Sabah seperti penculikan, pelanunan, penyeludupan, rentas sempadan sahaja pun bukan sesuatu yang mudah untuk ditangani, muthakhir ini pula ditambah dengan ‘dendam’ pengganas Sulu malah kemungkinan DAESH juga turut menangguk di air keruh dengan bersekongkol membina persefahaman dengan kumpulan-kumpulan militan yang bertapak di selatan Filipina malah juga melalui sempadan Indonesia  dalam usaha memberi tekanan kepada Malaysia.

Walaupun situasi tegang sudah berlalu beberapa ketika, selepas tindak balas ketenteraaan Malaysia terhadap mereka, kemungkinan mereka-mereka yang ‘berhajat’ itu belum berputus asa dan sedang mengatur strategi.  Apa yang sedang pihak kita aturkan masih lagi belum mencukupi untuk memberi cegah rintang yang menggerunkan untuk pihak musuh mencuba dan terus mencuba kerana kita harus melihat penempatan ketumbukan dan kelengkapan bukan boleh dibuat memadai dengan pengagihan angkatan dan kelengkapan yang sedia ada dari satu kawasan aman ke satu kawasan bergolak tanpa membuat penambahan sewajarnya secara holistik bagi memenuhi setiap ruang tanahair dengan pertahanan mapan. 

  Pengajaran yang boleh kita ambil dari peristiwa di Sabah, angka keanggotaan yang terpaksa dikerah melebihi beribu kali ganda dengan jumlah musuh yang terpaksa kita hadapi.  Ini cuma ancaman dari satu sudut, bagaimana jika ancaman datang dari pelbagai dimensi serentak?. 

Jalinan kerjasama negara serantau dalam pelbagai persefahaman sangat praktikal dan perlu dipertingkatkan pada ketika ini malah sokongan dari rakyat jelata bagi menyediakan diri dan kemahiran juga sangat penting bagi pertahanan menyeluruh kerana secara logiknya orang lain tidak akan bersusah payah untuk memberi kesempurnaan kepada kita melainkan kita sendiri sebagai rakyat negara bangsa wajib untuk sama-sama berganding bahu demi keselamatan, kedaulatan dan kesejahteraan Malaysia. Aku negaraku.

No comments:

Post a Comment