Pages

Thursday, June 1, 2017

KD HANG TUAH 50 TAHUN-DOWN THE MEMORY LANE



PTL bersama sebahagian daripada mantan Peg. Memerintah yang hadir

Oleh /Foto: Paklang Hamzah

Artikel ini telah diterbitkan dalam majalah perajurit isu jun 2017


Sambutan Jubli Emas 50 Tahun KD HANG TUAH (KDHT) ditauliah ke dalam perkhidmatan  Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) adalah sesuatu yang sangat signifikan bagi mengenang kembali dan menghargai segala jasa dan bakti KDHT sejak ianya mula dilancarkan pada 26 Disember  1966 di Limbungan Yarrow Shipbuilders, Scotland.

Kapal ini pada asalnya dibina untuk Presiden Ghana yang dikenali sebagai BLACK SHARK  kemudian diambil alih oleh Tentera Laut Diraja British dan dinamakan HMS MERMAID dengan nombor pennant F76.  Memasuki perkhidmatan TLDM pada tahun 1977 bagi menggantikan KD HANG TUAH lama iaitu ex-MHS LOCH INSH.  

Upacara penyerahan HMS MERMAID kepada TLDM telah disempurnakan  di Southhampton England pada 22 julai 1977 oleh Datin Badariah binti Abdullah, isteri kepada Datuk Abdullah bin Ali Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London.

Sambutan ini juga bertujuan mengenang kembali dan menghargai pengorbanan jasa dan perit jerih pegawai dan anggota-anggota yang pernah berkhidmat di kapal ini.  Sesuai dengan tema sambutan Down The Memory Lane, telah menggamit nostalgia sebahagian warga-warga kapal yang pernah terlibat secara langsung sebagai kru KDHT yang turut sama meraikan majlis sambutan yang diadakan di geladak penerbangan KDHT ini sendiri.  

Selain kru-kru KDHT yang masih berkhidmat pihak kapal telah berjaya menghadirkan seramai 36 orang mantan-mantan seawal kru pertama dan kru generasi selepasnya termasuk Panglima Tentera Laut,  YBhg Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman bin Haji Ahmad Badaruddin dan penulis sendiri yang juga pernah berkhidmat di kapal ini pada tahun 1983 -1985 sebagai Yeoman Radar Plotter di bawah seliaan YBhg Tan Sri PTL yang sewaktu itu selaku Pegawai Navigasi.  
Lebih nostalgik lagi, turut hadir bersama dalam majlis ini ialah mantan Pegawai Memerintah pertama Laksamana Muda (Bersara) Dato’ Tuan Hashim bin Tuan Mohamed dengan beberapa orang kru pertama yang pernah bersama beliau yang masih sihat yang sanggup datang dari jauh.  Juga kehadiran sebahagian mantan-mantan Pegawai Memerintah yang pernah menerajui kapal ini. 

Mengimbau Sejarah Dan Pencapaian 

Leftenan Kolonel (Laut) Tuan Hashim bin Tuan Mohamed (N/400152) merupakan Pegawai Memerintah Pertama yang mengemudi pulang KDHT ke tanah air bersama 205 pegawai dan kru pada 15 Ogos 1977.  Semasa pelayaran pulang, KDHT telah singgah di beberapa buah pelabuhan seperti Casablanca, Tunisia, Iskandariah, Jeddah, Muscat, Abu Dhabi dan Colombo.

Tiba di Pelabuhan Klang pada 14 Oktober 1977 sebelum meneruskan pelayaran dan tiba di Pangkalan TLDM Woodlands pada 19 Oktober 1977.  Sebagai aset strategik TLDM paling canggih pada masa itu, KDHT telah diletakkan di bawah skuadron ke 21 Kapal Frigat TLDM.  

Pada Disember 2006, kapal ini dijadikan platform latihan untuk melatih pegawai dan anggota TLDM. Walau pun ditugaskan dalam flotilla latihan KDHT juga pernah melaksanakan Operasi fajar di teluk Aden pada bulan Febuary 2009 menggantikan KD SRI INDERA SAKTI dalam misi mengiringi dan melindungi kapal-kapal dagang Malaysia yang melalui perairan berkenaan dari ancaman lanun.
PTL bersama mantan krew

Sepanjang 50 tahun di dalam armada TLDM, KDHT telah banyak menyumbang ke arah kecemerlangan dan pencapaian yang membanggakan. Tanggungjawab  mendukung Teras Diplomasi Pertahanan yang digariskan dalam Hala Tuju Kementerian Pertahanan telah dipikul oleh KDHT khususnya sejak sekian lama dalam pelbagai eksesais bilateral dan multilateral serta lawatan operasi ke negara-negara sahabat.  Lawatan Operasi bersama KD MUTIARA ke Hongkong, Korea Selatan dan jepun pada 1980 telah mencatat sejarah penglibatan kru KDHT yang paling ramai iaitu 400 orang.

Dalam tempoh 50 tahun ditauliah, KDHT telah diterajui oleh 31 orang Pegawai Memerintah bersama 311 orang pegawai dan 7,680 orang anggota Lain-lain Pangkat (LLP).  KDHT telah belayar sejauh 313,784.95 batu notika.  Ukurlilit bumi di atas garisan khatulistiwa adalah sejauh 24,901 batu notika.  Dengan perbandingan ukurlilit garisan khatulistiwa bumi, jarak pelayaran KDHT adalah bersamaan dengan 13 kali mengelilingi bumi di atas garisan khatulistiwa.

KDHT merupakan platform yang telah berjaya menghasilkan pemimpin-pemimpin yang terbaik bagi TLDM apabila 7 daripada 16 PTL pernah berkhidmat di KDHT.  Selain itu, 7 orang daripada 40  AJK Laksamana TLDM yang masih berkhidmat juga pernah di tugaskan di kapal ini.

Era mutakhir, KDHT telah diberi sentuhan penambahbaikan yang agak menyeluruh terhadap makanikal, ekuipmen dan lain-lain bagi memenuhi keperluan tahap operasional sebagai kapal latihan. KDHT merupakan sebuah kapal Frigat yang memenuhi ciri-ciri seamanship yang sedia terpasang di geladak atas kapal yang mana ciri-ciri ini sangat berguna untuk latihan Evolusi dan Ilmu Kelautan. Di samping mempunyai kabin khas yang membolehkan membawa pelatih-pelatih dalam jumlah yang ramai dan jangka masa pelayaran yang agak lama pada satu-satu masa.

Muzium KD HANG TUAH 

Berdasarkan faktor usia serta proses Tranformasi 15 to 5 armada TLDM, KDHT tidak lagi sesuai untuk dilanjutkan perkhidmatan di dalam armada TLDM yang mana pemuliharaan sesebuah kapal lama memerlukan kos yang sangat tinggi dan tidak ekonomik.

Walaubagaimana pun, memandangkan KDHT yang merupakan ikonik terawal kewujudannya dalam  armada moden, maka ianya memberi suatu nilai yang sangat berharga kepada negara umumnya.  Justeru, sesuatu yang sangat menarik untuk diperkatakan ialah tentang perlucutan tauliah KD HANG TUAH tidak akan dilakukan walau pun kapal ini tidak diberi taraf operasi suatu hari nanti.  

Apa yang bakal berlaku sedikit masa lagi menurut PTL dalam ucapan aluannya  memaklumkan bahawa DYMM Tuanku Sultan Selangor selaku Kepten Yang diPertua TLDM dan DYMM Tuanku Sultan Perak telah berkenan untuk menjadikan KD HANG TUAH  ini sebagai sebuah Muzium bertaraf antarabangsa yang akan ditempatkan di suatu lokasi yang telah dikenal pasti di Bandar Tentera Laut Lumut.  

Menurut PTL lagi, pelan induk muzium KD HANG TUAH ini telah pun siap direka bentuk sebanyak tiga tingkat dengan mengekalkan tauliah kapal seperti sedia ada.  Dirgahayu KD HANG TUAH. 

No comments:

Post a Comment