Pages

Thursday, February 2, 2017

APMM TUBUH PASUKAN SIMPANAN

Artikel ini telah disiarkan di dalam Majalah Perajurit isu feb 2017

Oleh Paklang Hamzah


Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) atau lebih sinonim dengan panggilan Maritim Malaysia terus mara melunaskankan agenda yang digagaskan sebelum ini di dalam Plan Perancangan Strategik Maritim Malaysia 2040 (PPSMM2040) untuk memperkasakan kekuatan sumber manusia kepada angka lebih 5,000 orang anggota dan pegawai dalam Fasa ke 3 (2016-2020) PPSMM2040. 

Meski pun kekuatan terkini belum mencapai sasaran tersebut, usaha merencanakan penubuhan Pasukan Sukarelawan Simpanan Maritim Malaysia (PSSMM) adalah suatu usaha yang patut dipuji dan dinamik kepada pembangunan sumber manusia MM. Sebagai langkah pertama, seramai 125 orang awam yang terdiri daripada enam pegawai dan 119 pegawai lain-lain pangkat telah dilantik dalam PSSMM  sempena pelancaran penubuhan PSSMM di peringkat negeri Perlis pada 15 Januari 2017 yang lalu.

PSSMM merupakan sebuah Pasukan Sukarela yang ditubuhkan di atas kelulusan Jemaah menteri yang berperanan membantu anggota tetap MM dalam usaha mengejar visi untuk menjadi antara agensi penguatkuasaan maritim terbaik di arena antarabangsa yang bertunjangkan beberapa strategi dalam peningkatan kesedaran kawasan kekuasaan maritim, Perlaksanaan pencegahan, sentiasa menunjukkan kehadiran di kawasan tanggungjawab serta menjalin kerjasama dengan komuniti maritim.
Justeru, perlantikan di Perlis ini adalah merupakan penubuhan PSSMM perintis dan dijangka menjadi pemangkin kepada pertambahan kekuatan anggota MM menjelang akhir Fasa ke 3 PPSMM2040 melalui penubuhan pasukan simpanan di lain-lain negeri selepas ini secara berperingkat-peringkat sesuai dengan kemampuan kerajaan sekali gus akan mencapai sasaran kekuatan anggota yang diperlukan.

Penubuhan ini pada dasarnya sangat penting dan tepat pada masanya kepada pembangunan keupayaan tenaga kerja dan aset MM dalam menghadapi cabaran semasa dan mendatang dalam konteks penguatkuasaan undang-undang serta tugas mencari dan menyelamat dalam persekitaran maritim yang semakin kompleks dan tidak menentu.

Penubuhan ini juga akan memberi pendedahan kepada orang awam tentang sebahagian aktiviti, latihan dan tugas-tugas MM. Pendedahan ini akan meningkatkan kefahaman tentang tugas sebenar MM, serta mewujudkan persefahaman dan kerjasama antara komuniti maritim dengan MM melalui interaksi atau saluran dua hala yang berkesan secara berterusan dengan harapan konsep ini benar-benar menjurus kepada impak terhadap operasi sebenar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim dalam ucapan perasmian menegaskan bahawa penubuhan PSSMM ini merupakan strategi serampang dua mata dengan menjadikan komuniti maritim sebagai mata dan telinga kepada MM dalam konteks penyaluran maklumat dalam usaha MM menangani isu keselamatan di perairan negara termasuk ancaman pengganas, pendatang tanpa izin, pelarian, lanun dan jenayah maritim rentas sempadan.

Bagi merealisasikan hasrat ini, latihan-latihan seperti perbarisan, ceramah, renang dan selam, menyelamat, pengendalian dan penyelenggaraan kapal/bot, rondaan dan pemeriksaan kapal dagang di laut akan sentiasa diberikan bagi meningkatkan nilai tambah kemahiran individu dalam memastikan MM dapat melahirkan anggota PSSMM yang efisien dan terlatih.

Pasukan Kadet Maritim Malaysia

Menurut beliau, selain PSSMM, Pasukan Kadet Maritim Malaysia (PASKAM) juga diwujudkan di sekolah-sekolah menengah dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang mana penubuhan ini merupakan perkongsian strategik dengan universiti tempatan agar kepakaran tertentu akan dapat dimanfaat bersama.

Kewujudan PASKAM dijangka dapat membentuk sahsiah dan jati diri serta personaliti unggul para pelajar, disiplin serta bertanggungjawab di samping memberi pendedahan supaya remaja hari ini dapat menyumbang kepada pembangunan negara terutamanya dalam menjaga kesejahteraan dan keselamatan Maritim.

Tanggungjawab memastikan perairan negara sentiasa dalam keadaan selamat bukan hanya terletak di bahu anggota penguatkuasa semata-mata, tetapi ianya memerlukan sinergi daripada semua golongan sama ada pihak kerajaan, swasta serta seluruh masyarakat tanpa mengira usia, keturunan, agama dan ideologi politik.

Natijah penubuhan PSSMM dan PASKAM ini juga secara tidak langsung membuka peluang kepada generasi Y Malaysia beralih perhatian kepada aktiviti-aktiviti yang lebih berfaedah di samping menjana pendapatan sampingan. 

No comments:

Post a Comment