Pages

Friday, July 17, 2015

Ucapan Selamat Hari Raya Menteri Pertahanan

Ucapan Ingatan di Aidilfitri daripada YB Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein


Pantasnya masa berlalu. Sepantas Ramadhan yang bakal meninggalkan kita. Pemergiannya pasti sayu dan bakal kita rindukan.

Sesungguhnya Aidilfitri bukan sahaja menandakan kemenangan selepas sebulan menjalani ibadah puasa. Sebaliknya, Aidilfitri sarat dengan makna, sejarah dan nilai tersendiri.

Bagi saya, Aidilfitri kali ini bawa makna yang berbeza. Saya gembira kerana kali ini ahli keluarga makin bertambah. Kehadiran seorang lagi cucu iaitu Adryan baru-baru ini pastinya menceriakan.

Namun, saya juga rasa sedih. Ini kerana buat pertama kalinya saya bakal menyambut Syawal tanpa ibu di sisi yang telah kembali ke Rahmatullah pada Oktober tahun lalu. Satu kehilangan yang amat saya rasai. Sejak ketiadaan ayah, ibu lah tempat saya mengadu dan berkongsi kasih. Kini ibu tiada lagi. Ayah pula telah lama pergi.

Kepada mereka yang masih memiliki ibu dan ayah, bersyukurlah. Bersyukur kerana kalian masih berkesempatan meraikan Aidilfitri kali ini bersama.
Bersyukur kerana kalian masih mempunyai ruang untuk menggembirakan hati dan berbuat baik kepada mereka.

Bersyukur kerana kalian masih mempunyai masa untuk membalas jasa dan memenuhi permintaan mereka.

Saya tidak lagi punya kesempatan, ruang dan masa seperti yang kalian miliki. Maka manfaatkanlah ia sebaik-baiknya. Hanya iringan doa yang mampu saya panjatkan buat ibu dan ayah tersayang. Moga kedua-duanya damai di SANA.

Pada masa yang sama, bersyukur jua lah kerana kita terus dikurnia nikmat keamanan. Meskipun negara dilanda pelbagai ujian dan tragedi, namun kita masih dapat hidup dalam suasana aman dan harmoni. Bayangkan nasib rakyat di negara lain yang terpaksa berhadapan dengan segala macam kepayahan termasuk peperangan, penindasan dan kekejaman. Di kepala mereka tidak terlintas langsung soal mahu berhari raya, sebaliknya mereka hanya memikirkan bagaimana cara untuk terus hidup.

Berhubung konsep syukur ini, Allah SWT berfirman dalam Surah Ibrahim Ayat 7 yang bermaksud:

“Dan jika kamu sekalian bersyukur atas nikmat yang Aku berikan, maka niscaya akan Aku tambah nikmat-Ku untukmu. Dan jika kamu sekalian kufur atas nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku itu sangat pedih”

Sempena Syawal kali ini, saya dan keluarga menyusun 10 jari memohon ampun dan maaf andai ada tersalah kata dan terkasar bahasa. Sesungguhnya, yang baik itu datangnya dari Allah, dan yang kurang baik itu hadir atas kesilapan saya sekeluarga.

Saya doakan semoga limpahan rahmat dan keberkatan memayungi kita semua. Kepada muslimin dan muslimat, di dalam mahupun luar negara, serta seluruh rakyat Malaysia, Selamat Hari Raya, Maaf zahir dan batin.

No comments:

Post a Comment