Pages

Friday, July 6, 2012

PHN tentukan sempadan maritim negara

Sumber Utusan
Oleh Siti Salina Johari


Salah satu tugas anggota PHN adalah mengkaji dan meneliti peta hidrogafi negara.
SEJARAH pengukuran hidrografi di perairan Malaysia bermula sejak kurun ke-18 oleh Tentera Laut Diraja British (TLDB).

Pengunduran British dari Tanah Melayu telah memberi ruang kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mewujudkan perkhidmatan hidrografinya sendiri tanpa bantuan daripada TLDB.
Pada awal 1965, kumpulan pertama pegawai dan anggota hidrografi TLDM telah dihantar menjalani latihan di Australia.

Penubuhan Cawangan Hidrografi dalam TLDM direalisasikan pada 1969 dan kapal penyapu periuk api yang telah diubah suai merupakan aset pertama digunakan sebagai alat pengukuran hidrografi.
Pada 31 Oktober 1972, TLDM dilantik sebagai agensi yang bertanggungjawab melaksanakan pengukuran hidrografi di Malaysia oleh Kabinet.

Sejak itu, pembangunan dan peranan yang dimainkan oleh Cawangan Hidrografi TLDM terus berkembang selaras dengan penglibatan negara dalam Pertubuhan Hidrografi Antarabangsa (IHO) pada 1975.
Melalui penglibatan tersebut, secara tidak langsung Ketua Pengarah Hidrografi merupakan wakil rasmi kerajaan Malaysia ke persidangan IHO yang diadakan setiap lima tahun.

Dari segi aset pengukuran, kapal hidrografi pertama iaitu Kapal Diraja (KD) Mutiara telah diperoleh pada 1977 bagi meningkatkan keupayaan pengukuran hidrografi TLDM sekali gus membolehkan penerbitan carta nautika yang pertama dibuat pada 1984.

Ia diikuti perolehan kapal hidrografi kedua iaitu KD Perantau pada 1998 yang dilengkapi sistem pengukuran terkini dan tercanggih di rantau Asia Tenggara ketika itu.

Dalam pada itu, proses penerbitan Carta Pandu Arah Elektronik (ENC) telah mula diterbitkan pada 2000 dan sehingga kini, 103 sel ENC telah diterbitkan untuk pasaran antarabangsa atau kegunaan domestik.
Penubuhan Pusat Hidrografi Nasional (PHN) secara dasarnya telah dicadangkan di bawah program Pembangunan Istimewa Angkatan Tetap (Perista) sejak 1979.

Bagaimanapun, atas sebab-sebab tertentu pembangunan PHN hanya dapat dilaksanakan pada 2002 dan siap sepenuhnya pada 2005.

Pembangunan PHN dilaksanakan secara berperingkat-peringkat melibatkan kawasan paya bakau yang ditebus guna seluas 50 hektar di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, Selangor.

Sehingga kini, pembangunan hanya melibatkan fasa pertama merangkumi pembinaan Bangunan Pentadbiran, Bangunan Cetak, Blok Kediaman Bujang, Bangunan Kartografi dan Oseanografi, Bangunan KD Sri Klang (KDSK), Jeti dan Gedung Senjata yang disiapkan pada 15 Oktober 2005.

Hari Hidrografi Sedunia

Sambutan Hari Hidrografi Sedunia telah ditetapkan pada 21 Jun setiap tahun sejak 2005. Tarikh itu dipilih bagi memperingati hari penubuhan Biro Hidrografi Antarabangsa (IHB) pada 1921 di Perancis. Biro berkenaan ketika itu hanya disertai oleh 19 negara.

Pada 1970, IHO telah ditubuhkan bagi menggantikan IHB. Bagaimanapun, IHB masih dikekalkan sehingga kini sebagai badan yang menguruskan pentadbiran IHO. Bagi mengiktiraf peranan yang telah dimainkan oleh IHB, IHO dan komuniti hidrografi antarabangsa, pengisytiharan tarikh sambutan Hari Hidrografi Sedunia telah dibuat secara rasmi melalui satu resolusi oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 29 Jun 2005.
Tema sambutan hari hidrografi sedunia pada tahun ini adalah Kerjasama Hidrografi Antarabangsa Pemangkin Keselamatan Pelayaran'.

Kepakaran bidang hidrografi

Tugas asal perkhidmatan hidrografi TLDM adalah melaksanakan pengukuran hidrografi dan penghasilan produk nautika untuk kegunaan pelayaran di perairan negara.

Produk yang dihasilkan lebih mengutamakan keperluan pertahanan dan keselamatan pelayaran.
Namun, peranan tersebut telah meningkat merangkumi pelbagai cabang bidang hidrografi seperti oseanografi, kartografi dan meteorologi selaras dengan perkembangan industri maritim dan pertahanan negara.

Sumbangan

Sumbangan warga hidrografi TLDM terhadap industri maritim negara begitu sinonim dengan kewujudan PHN sendiri sebagai sebuah agensi yang layak dan bertanggungjawab untuk melaksanakan pengukuran hidrografi di Malaysia.

IHO mendefinisikan hidrografi sebagai satu cabang sains gunaan yang berkaitan dengan pengukuran dan penerangan ciri-ciri fizikal lautan, laut, kawasan persisiran pantai, tasik dan sungai serta ramalan perubahan ke atas elemen tersebut mengikut peredaran masa.

Ia bagi tujuan keselamatan pelayaran dan menyokong aktiviti-aktiviti marin lain termasuk pembangunan ekonomi, keselamatan dan pertahanan, penyelidikan saintifik serta perlindungan alam sekitar.
Definisi tersebut cukup menggambarkan kepentingan dan sumbangan bidang hidrografi kepada sesebuah negara.

Ia tidak terhad kepada anggota hidrografi TLDM, tetapi turut melibatkan individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam bidang itu di negara ini.
Sebahagian besar sumber ekonomi negara datangnya dari laut melalui industri perikanan, perkapalan, cari gali minyak. Laut juga merupakan laluan masuk serta keluar komoditi utama negara.
Bagi membolehkan kesemua aktiviti berkenaan berjalan dengan lancar, carta pandu arah diperlukan sebagai rujukan bagi menentukan kedudukan sesuatu kawasan atau platform (kapal, pelantar minyak dan sebagainya) di laut.
Carta pandu arah ini membolehkan keseluruhan perairan negara diterokai untuk eksplorasi dan eksploitasi sumber asli yang terdapat di dasarnya. Menggunakan carta pandu arah juga, sesebuah kapal dapat belayar dengan selamat.

Secara ringkasnya, sumbangan warga hidrografi TLDM kepada industri maritim negara lebih kepada memastikan keselamatan pelayaran di perairan negara melalui penerbitan produk nautika.

Sumbangan yang diberikan turut melibatkan isu-isu teknikal persempadanan zon maritim negara, kajian saintifik marin, kajian hidraulik, pembangunan pesisir pantai, pelancongan dan sebagainya
Secara umumnya, TLDM mempunyai dua platform yang boleh melaksanakan pengukuran hidrografi di laut iaitu kapal hidrografi KD Mutiara dan KD Perantau.

KD Mutiara mula beroperasi dalam perkhidmatan TLDM pada 1977. Selain dilengkapi sistem pengukuran hidrografi, ia juga dilengkapi empat bot ukur dan dua bot kerja untuk pengukuran di kawasan cetek.

KD Perantau yang mula beroperasi pada 1998 telah direka dan dilengkapi khusus untuk operasi pengukuran hidrografi serta melaksanakan pemerhatian meteorologi dan cerapan oseanografi.

Ia turut dilengkapi sistem pengukuran terkini untuk navigasi dan hidrografi seperti Navigation and Command System (NACOS) dan Digital Survey and Mapping System 'HYDROMAP'.

Peralatan lain termasuk Sistem Perbezaaan Pemposisian Sejagat (DGPS), Pemerum Gema Berbilang Sisi, Hull Mounted Acoustic Current Profiller (ADCP) dan kelengkapan lain untuk operasi oseanografi serta meteorologi. Kapal itu juga dilengkapi dua buah bot ukur iaitu Bot Ukur Utarid dan Pluto. Kedua-dua kapal berkenaan berpangkalan di Pangkalan TLDM Lumut.

Monday, July 2, 2012

Kapal Perang


Sumber : Majalah Perajurit Edisi Julai 2012
Oleh Hamzah hd.



Kapal Perang secara umumnya adalah kapal atau sering juga dipanggil bot (bergantung kepada pengkelasan) yang beroperasi dalam organisasi tentera laut dan terminologi kapal perang juga sering digunakan bagi menekankan kepada subkelas yang membezakan peranan sebagai kapal kombatan, kapal sokongan, kapal latihan dan juga kapal rondaan.  Secara khusus sering juga kapal perang  dituju khas kepada kapal/bot kombatan sahaja yakni kelas yang mengaplikasikan sistem persenjataan yang khusus kepada semua jenis atau dimensi peperangan seperti permukaan, bawah permukaan, udara dan eletronik.

Namun, hakikatnya kapal perang dibina adalah bertujuan  untuk berperang dengan musuh-musuh yang berada di lautan atau di perairan. Maka binaannya agak berbeza berbanding kapal yang direka untuk perdagangan maupun untuk perhubungan terutama dari segi struktur dan saiz.  Perbezaan yang paling ketara ialah kapal perang akan dipersenjatai dengan persenjataan-persenjataan tertentu sejak dari awal pembinaan seperti persenjataan kecil, meriam, misil dan juga membawa peralatan-peralatan di samping bekalan-bekalan untuk kegunaan sendiri yang mencukupi bagi kegunaaan sesuatu tempoh jangka masa tertentu di laut yang mana bertujuan untuk bertahan daripada serangan musuh malah juga berupaya untuk menyerang balas bagi memusnahkan pertahanan angkatan musuh. 

Selain itu struktur binaan direka bentuk dengan mengutamakan aspek ketahanan dan lebih mudah pengendalian berbanding kapal komersil. Keanggotaan kapal perang juga agak ramai dan diberi tugas-tugas tertentu bersesuaian dengan kemahiran dengan kepakaran mereka disamping kemahiran-kemahiran sekunder dalam konteks Ilmu Kelautan dan Panduarah.  Tentunya kapal-kapal perang adalah kepunyaan tentera-tentera laut sesebuah negara berbanding kapal-kapal komersil boleh dimiliki oleh individu atau pun kompeni-kompeni perkapalan.

Dalam masa perang, perbezaan antara kapal perang dan kapal-kapal komersil sering kali dikaburi atau penyamaran supaya gerak gerinya tidak dapat dihidu oleh pihak lawan sebagai strategi taktikal.  Dalam sejarah peperangan, kapal-kapal dagang ini sering kali dipersenjatai dan digunakan sebagai kapal perang tambahan seperti Q-ships dalam Perang Dunia Pertama Q-ships juga dikenali sebagai Q-boats, Decoy Vessels, Special Service Ships atau Mystery Ships iaitu kapal-kapal dagang yang dipersenjatai dengan senjata tersembunyi bagi mengaburi dan ‘menggoda’ kapal-kapal selam supaya membuat serangan permukaan.  

Ini memberi peluang kepada Q-Ships menembak dan menenggelamkan mereka. Demikian dengan Merchant Cruisers yang memainkan peranan yang sama juga pernah di lengkapkan dengan persenjataan untuk menghadapi peperangan semasa meletusnya Perang Dunia Kedua.

Sehingga abad ke 17, sudah menjadi perkara biasa, kapal-kapal dagang diserap ke dalam perkhidmatan tentera laut dan tidak menghairankan sebahagian dari kekuatan armada itu adalah kapal-kapal yang diolah dari kapal dagang.  Sehingga ancaman peperangan tidak simetri  tidak lagi aktif pada abad ke 19, ianya menjadi amalan biasa memperlengkapkan persenjataan kepada kapal-kapal dagang yang lebih besar seperti Galleons. Kapal-kapal  perang yang diolahkan ini juga seringkali digunakan sebagai pembawa trup atau kapal-kapal bekalan seperti oleh tentera laut Perancis dalam abad ke-18 atau tentera laut Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

Mendepani ancaman peperangan tidak simetri khusus terhadap lanun-lanun profesional yang mempunyai kelengkapan ala tentera tidak pernah berakhir malah dalam abad terkini di Teluk Aden dalam perairan Somalia menjadi medan kesinambungan kemelut ini yang mana banyak kapal-kapal perdagangan seluruh dunia yang menggunakan laluan ini menjadi mangsa aktiviti perlanunan profesional ini termasuk kapal-kapal perdagangan dari Malaysia pada Ogos 2008.

Untuk penyelesaian jangka panjang terhadap keselamatan, satu konsep kerjasama dan perkongsian strategik di antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Malaysia International Shipping Company (MISC) telah termeterai.  Dua buah kapal dagang ditransformasikan menjadi kapal Auxiliary TLDM iaitu Bunga Mas 5 (BM5) dan Bunga Mas 6 (BM6) bagi menyelesaikan satu masalah negara khususnya Angkatan Tentera Malaysia dalam usaha mengekang ancaman baru.

Evolusi Kapal Perang




Dalam masa Mesopotamia, Ancient Persia, Ancient Greece dan Empayar Rom, kebiasaan kapal-kapal perang yang mempunyai dayung dan layar sekalu gus adalah seperti Biremes, Triremes dan Quinqueremes. Kapal-kapal ini berbentuk panjang dan sempit dan dikuasakan dengan mendayung juga direkakan pelantak untuk menenggelamkan kapal musuh dengan menghampiri dan menyerang awak-awaknya secara berdepan.  Bagaimanapun dengan pembangunan lastik pada kurun-kurun kedua dan pertama BC (era kelasik) dan pengkhususan  teknologi berikutnya membolehkan armada pertama Hellenistic age (Greek Kelasik) melengkapi kapal perang dengan artileri. Dengan penyatuan politik Laut Mediterranean dalam abad ke empat BC, artileri tentera laut tidak digunakan lagi.

Lewat zaman kuno dan Middle Ages sehingga abad ke-16, peperangan tentera laut bergantung pada krew kapal itu sendiri untuk menggunakan pelantak, pedang dan pelbagai peluru seperti busur, panah dan lain-lain. Peperangan tentera laut waktu itu lebih kepada aksi  melanggar  dan menggeledah jadi kapal perang pada masa itu tidak memerlukan pengkhususan kepada karakteristik yang sesuai seperti mana kapal-kapal perang hari ini.

Artileri tentera laut telah dibangunkan semula dalam abad ke-14, tetapi meriam bukanlah menjadi suatu senjata yang biasa digunakan semasa di laut sehingga meriam-meriam yang  berkebolehan yang pelurunya mampu diisi semula dengan pantas untuk digunakan dalam pertempuran yang sama.

 Saiz kapal yang besar juga diperlukan bagi membawa sejumlah besar meriam-meriam yang akan dibawa ke medan pertempuran namun usaha ini amat mustahil bagi kapal-kapal yang membuat pendorongan berasaskan dayung.  Sehingga abad ke 16 pergerakan kapal mula beralih kepada kuasa angin iaitu dengan menggunakan kaedah layar sebagai kuasa pendorong.

 Pada abad ke-17, kapal-kapal perang telah mula membawa persenjataan meriam dalam kuantiti  yang bertambah dan diposisikan di bahagian lambong kiri dan kanan kapal sebagai taktik baru di dalam menyediakan kuasa tembak yang berkesan dalam kedudukan formasi sederet (formasi 1). Namun begitu pada pertengahan  abad ke-18, kapal Frigate atau kapal perang yang bersenjatakan meriam telah semakin berkurang untuk berada di barisan pertempuran, konvoi perdagangan, peninjau kapal musuh dan pengawalan pantai bagi menyekat pendaratan musuh. 

Semasa abad ke 19 satu revolusi baru telah mengambil tempat secara perlahan dalam kaedah pendorongan, persenjataan dan pembinaan kapal perang.  Enjin stim telah diperkenalkan pada mulanya sebagai percubaan kepada satu pasukan tambahan dalam suku kedua abad ke19.  Perang Crimea yakni perbalahan di antara Rusia, British, Perancis, Ottoman dan Kindom of Sardinia Empayar telah memberi satu rangsangan besar bagi pembangunan senjata meriam. 

Bermula dari bahan letupan yang di buat daripada cengkerang yang mudah meletup telah mencetuskan idea baru  kepada pengenalan besi, kemudian keluli berperisai untuk bahagian-bahagian dek kapal perang yang lebih besar. Kapal perang berperisai pertama, French Gloire dan British Warrior telah menjadikan kapal-kapal kayu diistihar usang.  Penggunaan logam kemudiannya menggantikan kayu sepenuhnya sebagai bahan utama untuk pembinaan kapal perang.

Dari  tahun-tahun 1850an, barisan kapal-kapal layar  telah digantikan dengan kapal-kapal perang berkuasa stim, sementara kapal-kapal layar Frigate telah digantikan oleh Cruiser berkuasa stim. Persenjataan kapal perang juga telah berubah dengan ciptaan barbettes yang berputar di atas menara kecil yang membenarkan laras ditujukan secara bebas ke arah kapal lain dan hanya mampu membawa sebilangan kecil meriam berat sahaja.  Istilah barbette adalah dari perkataan Perancis yang merujuk kepada ciri-ciri perlindungan yang melingkungi meriam berat.

Inovasi akhir semasa abad ke 19 adalah pembangunan torpedo dan pembangunan bot torpedo.  Pembinaan Bot-bot Torpedo yang kecil tapi berkelajuan tinggi ini  seolah-olah menawarkan satu alternatif kepada negara-negara yang ingin membangunkan armada kapal perang yang mahal-mahal.

Era Dreadnoughts telah mencetus satu lagi revolusi dalam mereka bentuk kapal perang bermula sebaik sahaja selepas giliran abad, apabila Britain melancarkan semua kapal perang bermeriam besar .  Dreadnoughts  telah dibina pada tahun 1906.  Sebuah kapal perang yang unik daripada kelasnya telah dikembangkan  sebagai model untuk pembinaan kapal perang masa depan dan diterima pakai seluruh dunia.  Dikuasakan oleh turbin wap, saiznya lebih besar, lebih laju dan lebih dengan lebih kuasa tembak daripada semua kapal-kapal perang yang wujud di zaman itu.

Britain juga membangunkan battlecruisers pertama.  Tapak meriam yang sama berat dengan Dreadnoughts malah kerangka badan kapalnya yang lebih besar. Battlecruisers lebih laju dan lebih berkuasa daripada semua Cruiser yang wujud.  Bot Torpedo Pemusnah turut dibangunkan pada masa yang sama dengan Dreadnoughts. Bot Torpedo Pemusnah  ini lebih besar, lebih laju dan lebih kuasa tembak daripada bot torpedo biasa  justeru, Destroyer ditugaskan untuk melindungi kapal induk (mother ship) dari ancaman bot-bot torpedo.

Semasa dunia di ambang Perang Dunia Kedua, Jerman dan Great Britain sekali lagi muncul sebagai dua kuasa laut Atlantik yang dominan. Jerman, di bawah Treaty of Versailles, mempunyai tentera lautnya yang terhad kepada hanya beberapa buah kapal kecil permukaan. Tetapi dengan menggunakan istilah nama-nama yang bijak  seperti ‘pocket battleships’ telah berjaya memperdayakan pemerintah tentera laut  British dan Perancis secara konsisten setelah berjaya mencuri maklumat dari talian yang dibekalkan kepada kapal tentera laut bersekutu seperti Admiral Graf Spee, Scharnhorst dan Gneisenau.

Senjata pembunuh yang dibawa oleh Kriegsmarine telah dikenal pasti menjadi ancaman terbesar yang mana Bismarck telah ditenggelamkan dalam satu kawasan terbiar dalam siri pertempuran yang singkat di utara Atlantik sementara Tirpitz mengalami sedikit kekecohan sebelum ianya dimusnahkan oleh pesawat Royal Airforce.  

Tentera Laut Diraja British menguasai Eropah menjelang 1943. Perang Dunia Kedua membawa perubahan besar dalam reka bentuk dan peranan beberapa jenis kapal perang. Buat pertama kalinya, kapal Pengangkut Pesawat menjadi pilihan yang jelas untuk dijadikan sebagai kapal main body di dalam task force tentera laut. 

Perang Dunia Kedua adalah satu-satu peperangan dalam sejarah di mana beberapa pertempuran berlaku antara kalangan kapal-kapal pembawa pesawat (aircraft career).  Dalam Perang Dunia Kedua juga kelihatan untuk pertama kalinya penggunaan radar dalam pertempuran.  Sejarah menggambarkan buat kali pertamanya  pertempuran tentera laut berlaku di mana kapal-kapal dari kedua-dua pihak tidak langsung melibatkan diri dalam pertempuran, sebaliknya menghantar pesawat membuat serangan-serangan dalam Battle of Coral Sea.

Pembangunan Kapal Selam pertama telah dibangunkan pada lewat abad ke-19, tetapi ia hanya selepas pembangunan torpedo yang mana kapal-kapal selam menjadi benar-benar berbahaya sekali gus ianya  sangat berguna kepada tentera laut untuk pertahanan strategik. Sebelum akhir Perang Dunia Pertama, kapal-kapal selam telah membuktikan potensi mereka dalam peperangan atas dan bawah permukaan di samping sangat berkesan di dalam pengumpulan maklumat perisikan. Semasa Perang Dunia Kedua armada Kapal Selam U-boats tentera laut Jerman hampir-hampir kebuluran dan menyerah diri kepada Britain.

Era millennium, pembangunan kapal selam bukan lagi sesuatu yang luar biasa dan perolehan bagi tentera laut negara-negara membangun menjadi suatu kemestian bagi mempertingkatkan pertahanan negara masing-masing. Tentera laut negara-negara maju telah lama menjadikan peranan kapal selam sebagai elemen yang paling strategik dalam pertahanan mereka.  Memiliki berpuluh-puluh buah kapal selam berkuasa nuklear bukan lagi suatu perkara luar biasa malah pemilikan aset bawah permukaan ini telah menjadi suatu  makanisma cegah rintang yang sangat efektif.

Era terkini, program Scorpene telah berjaya mempengaruhi banyak negara untuk menggunakan produk ini yang dikatakan memenuhi spesifikasi yang diperlukan oleh banyak tentera laut.  Temasuk TLDM yang telah pun mengoperasikan produk ini dan ternyata ianya telah memenuhi spesifikasi yang diperlukan dalam konteks kos dan keupayaan untuk pengawasan strategik perairan negara. 

Di antara ciri-ciri unik lain yang dimiliki Scorpene ialah menggabungkan kemajuan terbaru bentuk badan kapal dengan pembinaan bermodul dengan teknologi terkini termasuk synchronous propulsion motor, two-stage turbo-charged diesel engine dan bateri-bateri berkapasiti tinggi. Gabungan inovasi-inovasi yang merupakan antara rekabentuk kapal selam yang terkini dalam kelasnya yang dibina berasaskan reka bentuk kapal selam Penyerang Nuklear (SSN) Tentera Laut Perancis selari dengan keperluan tentera laut masa depan.

Kejayaan dalam penggunaan kapal selam semasa Perang Dunia Pertama dan Kedua mempunyai kaitan yang menjadi pemangkin kepada pembangunan kapal-kapal pengiring konvoi seperti Destroyer Escort dan menjadi satu kehairanan mengapa jenis-jenis kapal baru lebih suka mengguna pakai nama-nama kapal-kapal dahulu kala yang bersaiz kecil seperti Frigate, Corvette dan Sloop. Sloop dalam takrif tentera laut moden ialah merujuk kepada sebuah kapal perang yang bersaiz antara Frigate dan Corvette yang sering digunakan semasa Perang Dunia Kedua seperti mana Royal Navy pernah menggunakan Sloop seperti Flower Class dan Black Swan yang memain peranan sebagai kapal pengiring dan anti kapal selam.

Kapal Frigate pernah digunakan oleh tentera-tentera laut Eropah secara meluas sebagai penguatkuasa dagangan di perairan mereka.  Di Amerika sebelum perang pada tahun 1812, Joshua Humphreys telah mereka satu kapal Frigate yang besar, laju serta lebih baik persenjataannya dari lain-lain kapal di dalam kelasnya.   Setelah diperkenalkan kapal perang  keluli yang berkuasa stim pada pertengahan abad ke 19, kapal jenis Frigate ini tidak lagi digunakan sehingga meletusnya perang Dunia Kedua, Frigate diperkenalkan kembali oleh British sebagai  pengiring kapal selam yang mana saiznya lebih besar daripada Corvette dan lebih kecil daripada Destroyer. 

Pembuatan dan pembangunan kapal Pengangkut Pesawat Udara merupakan satu anjakan yang paling utama dalam pembangunan peperangan tentera laut. Terdahulu di Taranto dan kemudiannya di Pearl Harbour, kapal Pengangkut Pesawat Udara ini telah menunjukkan keupayaannya menyerang secara intensif terhadap kapal-kapal lawan yang berada di luar jarak dan penglihatan kapal-kapal permukaan yang akhirnya di akhir Perang Dunia Kedua, kapal Pengangkut Pesawat Udara ini telah menjadi satu platform mobiliti dan dominan dalam peperangan tentera laut.

Kapal Perang Moden

Kapal perang moden pada umumnya dibahagikan kepada tujuh kategori utama iaitu Kapal Pengangkut Pesawat Udara (aircraft/helicopter career), Cruiser, Destroyer, Frigate, Corvette, Kapal Selam dan  Kapal Pendarat (amphibious assault ship).

Namun begitu keperluan sesetengah negara maritim yang berkepulauan memerlukan kombatan yang lebih kecil bagi memenuhi keperluan operasi di pesisir laut yang lebih cetek tetapi dalam masa yang sama masih mempunyai sistem persenjataan yang hebat dan sama seperti kelas Frigate.  Maka lahirlah platform-platform kompak seumpama Fast Attack Craft, Mini Corvette, Fast Patrol Boat dan seumpamanya yang dilengkapi dengan meriam, misil dan torpedo yang mana keupayaan kombatan kelas seumpama ini sangat digeruni kerana mobiliti dan kuasa tempur yang ampuh dalam menyempurnakan misi tembak dan lari kerana pergerakannya agak sukar dikesan oleh radar.

Kapal Pemusnah  atau Destroyer pada umumnya dianggap sebagai kapal kombatan permukaan yang paling dominan dalam kategori blue water navy era moden.  Namun begitu sesuatu yang mesti dinyatakan dengan jujur ialah dengan kemunculan Cruiser, Frigate dan Corvette, apa yang dikatakan Destroyer sebagai kombatan yang terbaik adalah masih kabur kerana semua kelas kombatan era moden ini telah dilengkapi dengan kelengkapan dan peralatan yang lengkap bagi menangani  ancaman semua dimensi seperti ancaman udara, permukaan, bawah permukaan dan juga elektronik. 

Pengenalan kelas tidak lagi dengan pasti menunjukkan hierarki sesaran  dan saiz semua jenis-jenis kapal telah membesar melebihi takrif-takrif yang digunakan lebih awal dalam abad ke-20. Satu lagi pembezaan utama antara kapal-kapal zaman dahulu dengan kapal  moden ialah kapal perang moden lebih ‘lembut’ berbanding rekaan-rekaan terdahulu. 


KD Lekiu kombatan moden TLDM
Sehingga kini ramai penggemar-penggemar tentera laut yang masih keliru dengan saiz dan kekuatan sesebuah kapal perang terutamanya dalam kategori Frigate, Corvette dan seumpamanya.  Frigate dalam U.S. Navy adalah sebuah kapal yang dikategorikan sebagai kapal yang lebih besar daripada Destroyer dan lebih kecil daripada Cruiser yang mempunyai sesaran 4000-9000 tan yang direka sebagai kapal pengiring dan kapal penyerang.  Manakala di dalam tentera laut British dan Kanada, kapal pengiring adalah lebih besar daripada Corvette dan lebih kecil daripada Destroyer yang mempunyai sesaran antara 1200-2500 tan yang lebih kurang menyamai Destroyer pengiring di dalam tentera laut Amerika. 

Kenyataan ini sekali gus menggambarkan saiz jenis-jenis kapal perang yang mengguna pakai jenama Frigate, Corvette, New Generation Patrol Vessel, Littoral Combat Ship dan lain-lain adalah merupakan jenama yang diperagakan untuk memberi satu kelainan atau mempunyai niat-niat tertentu bagi mengaburi atau mungkin juga bagi menjaga perasaan negara jiran serantau terhadap perolehan atau pembangunan aset pertahanan negara tersebut  dengan membuat sedikit perubahan kepada sudut-sudut tertentu.

Namun bagi warga tentera laut sendiri tidak begitu mengambil berat tentang jenis-jenis kapal dan mengindikasikan jenis-jenis kapal secara umum samada selari dengan jenis-jenis yang sedia ada atau dengan memodifikasikan dengan jenama-jenama yang lebih sesuai dengan bentuk dan saiz seperi mini Frigate, mini Corvette atau menggabungkan dengan ciri-ciri tugasan seperti Offshore Patrol Vessel (OPV), New Generation Patrol Vessel (NGPV), Littoral Combat Ship (LCS) dan pelbagai jenama mengikut cita rasa tentera laut pengguna itu sendiri.  Walhal walau apa jenama yang digelarkan sekali pun, kebanyakan secara asasnya mempunyai karakteristik teknikal serta ciri-ciri kelengkapan dan keupayaan kombat yang fungsinya hampir sama. 

Sering kali didapati kapal yang dibina bersaiz Frigate, Corvette atau lebih kecil daripada itu diklafikasikan sebagai kapal ronda yang mana karakteristik dan persediaan kombatnya boleh menenggelamkan kapal pengangkut misil anti permukaanya, boleh menjatuhkan jet pejuang dengan rapid calibre atau misil udaranyanya malah juga boleh memburu dan membenamkan kapal-kapal selam yang berada dalam jangkauan dengan sonar dan torpedonya.

Littoral Combat Ship semakin disebut ramai pada abad ini. Saiznya yang berada dalam famili Frigate/Corvette namun ciri-cirinya yang menjadi igauan kebanyakan tentera laut moden ialah ciri-ciri halimunan yakni kehadirannya amat sukar dikesan oleh radar. Pemerhati-pemerhati pertahanan berpendapat dunia pertahanan maritim hari ini bertumpu kepada suatu rekaan yang sudah tentu bercirikan halimunan iaitu kombinasi rekabentuk aerodinamik yang tidak banyak menonjolkan struktur binaan yang bersudut tepat. 

Sebahagian besar struktur dindingnya diperbuat daripada bahan komposit dari campuran kayu dan gentian kaca kerana bahan ini akan bertindak sebagai radar absorbent material (RAM) supaya tidak menghasilkan pantulan jitu oleh pancaran radar dari permukaan maupun udara. Dengan ini akan memberi kelebihan taktikal yang menjadi elemen penting dalam sesuatu peperangan. Ciri-ciri lain yang agak terkini dari segi rekaannya ialah anjungan yang boleh memandang 360 darjah, menara bersepadu, serombong dan kedudukan persenjataan meriam skunder. 

‘Frigate’ yang berjenama LCS ini juga dikatakan dinamik dengan aplikasi untuk pertahanan pesisir yang mempunyai sistem intergrasi yang boleh bekerjasama dengan elemen tentera darat dan udara dengan baik bagi gerakan angkatan bersama.  Pertahanan pesisir juga memberi penekanan kepada operasi yang berlaku di daratan yang mana turut dipengaruhi oleh elemen-elemen yang berada di laut pesisir dan sebaliknya di dalam pertukaran maklumat oseanografi dan persekitaran atmosfera yang berubah dengan cepat yang mempengaruhi keberkesanan penderia radar, sonar serta pengoperasian sistem persenjataan dipertingkat ke tahap maksimum.

Salah satu daripada model LCS masa kini adalah rekaan Lockheed Martin Corp. yang telah ditempah oleh beberapa negara termasuk TLDM sebanyak 6 buah kapal yang dijangka memulakan pembinaan pada RMK10.  Mempunyai reka bentuk General Dynamic yang dikatakan memenuhi keperluan peringkat atasan dan menyamakan beberapa parameter petunjuk prestasi. 

Boleh memecut dengan kelajuan 40 batu notika sejam. Menumpukan kepada keupayaan misi, menyokong operasi pasukan-pasukan khas, Maritime Interdiction Operations (MIO), Intelligence, Surveillance and Reconnaissance (ISR), and Anti-Terrorism/Force Protection (AT/FP). Dikatakan juga berupaya melancarkan pesawat tanpa pemandu bagi melaksanakan misi-misi yang diarahkan.  LCS mampu mengubah operasi tentera laut yang mana dalam ruang perang pesisir yang memerlukan fokus kepada keupayaan bagi menentang ancaman-ancaman tidak simetri yang kian berleluasa.

Selain daripada persediaan aset kombatan, sebahagian lagi kategori kapal yang bertindak sebagai platform sokongan dalam kebanyakan organisasi tentera laut dunia ialah kapal-kapal  bantuan, seperti Kapal Pemburu dan Penyapu Periuk Api. Tren tentera laut masa kini juga mempamirkan helikopter maritim sebagai elemen organik yang mesti dibawa oleh setiap kapal kombatan dan juga kapal bantuan. 


helikopter maritim organik yang mesti milik bagi setiap kapal kombatan 
Langkah ini bukan sahaja dilihat sebagai suatu usaha kepada pembesaran ketumbukan tetapi hakikat sebenarnya adalah era pertahanan hari ini menuntut perkhidmatan pesawat diberi peranan berdasarkan keupayaannya yang sangat dinamik dan terserlah sebagai komponen sokongan bagi mencapai objektif penghantaran udara, pengawasan medan pertempuran, carilamat kombat, pemindahan mangsa/mayat, pemindahan perubatan, menjejak sasaran melampaui ufuk, peperangan anti kapal selam (AKS) malah sebagai pemandu dan pesawat pengantara bagi mengekploitasi kelebihan jarak peluru berpandu anti-kapal jarak jauh dan lain-lain.

Justeru, jika ditanya angkatan yang mempunyai jenis kapal yang bagaimanakah yang lebih berpotensi untuk memenangi pertempuran di medan perang, jawapannya adalah terlalu subjektif kerana banyak lagi elemen-elemen lain yang perlu diambil kira. Terutamanya seperti kesediaan alat ganti yang mencukupi, keupayaan ulangbekal dan yang paling penting sekali ialah kebijaksanaan teknikal dan taktikal yang ada kepada operator perangnya di samping nyala rasa dan semangat perjuangan warga angkatan demi ugama bangsa dan negaranya.  

Kemahiran atau kebijaksanaan taktikal yang diadun dengan kekentalan semangat dan jati diri setiap warga tentera laut akan menjanjikan reputasi sesebuah tentera laut itu mungkin berada ditahap maksima dan di kala itu jika mereka diberikan aset dan kelengkapan yang berkapabiliti tinggi dengan teknologi terkini, adalah diyakini tiada nasib yang tidak menguntungkan mereka dalam setiap pertempuran. PERAJURIT



Rujukan:
            Battleship of world war.
            Wikipedia encyclopedia