Sumber utusan online
Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
rafie.azimi@utusan.com.my
NAMA Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang baru tujuh tahun ditubuhkan perlu diakui masih belum 'mekar' di ingatan rakyat negara ini.
Ramai yang masih menganggap keselamatan dan kedaulatan perairan negara hanya menjadi tanggungjawab Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Polis Marin semata-mata.
Namun perkara itu tampak tidak langsung mematahkan semangat lebih 4000 anggota Maritim Malaysia di seluruh negara dan ia dibuktikan melalui kesiap-siagaan tinggi dalam operasi serta beberapa latihan dijalankan.
Terbaru, Mega berpeluang mengikuti Eksesais Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Wilayah Maritim Selatan yang berlangsung selama dua hari bermula 4 April lalu.
Diketuai Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan Dan Eksesais Maritim Malaysia, Komander Hamid Mohd. Amin selaku pegawai pengendali, latihan yang dijalankan di sekitar perairan Johor itu tampak berjaya mencapai objektif yang antaranya untuk menguji keupayaan logistik dalam mendokong operasi bersama antara aset wilayah selatan.
Bermula tepat pukul 9.30 pagi Rabu lalu, lima kapal Maritim Malaysia iaitu KM Ramunia, KM Manjung, KM Kukup, KM Sibuan dan KM Mulia dengan diiringi dua bot, Penggalang 32 dan Pengawal 19 meninggalkan Jeti Setulang Laut, Tanjung Puteri Johor Bahru bagi memulakan latihan.
Sambil diekori beberapa bot marin negara jiran yang seolah-olah bimbang dengan pergerakan besar itu, siri eksesais dimulakan dengan navigasi terang gelap di mana bot bergerak dalam formasi ditetapkan untuk keluar dari Selat Tebrau.
Sesudah itu, kira-kira pukul 2 petang, KM Sibuan keluar dari formasi dan memecut sebelum hilang dari pandangan.
Sejam kemudian, laporan dihantar KM Sibuan kepada empat kapal lain memaklumkan terdapat 'mangsa' yang perlu diselamatkan di satu lokasi berhampiran.
Lantas keempat-empat kapal berpecah mencari mangsa. Kelajuan KM Mulia yang dinaiki Mega turut bertambah daripada hanya 10 knot kepada 15 knot menuju ke lokasi pencarian.
Dalam lingkungan tertentu, pencarian dilakukan secara zig-zag'. Akhirnya, setengah jam kemudian, KM Ramunia menghantar laporan bahawa 'mangsa' ditinggalkan KM Sibuan telah ditemui dan selamat dibawa naik ke atas kapal.
Lalu, kesemua kapal kembali bertemu di tengah laut. Tetapi KM Ramunia tampak enggan 'berdamai' dan mengarahkan KM Mulia untuk berhenti bagi digeledah.
Secara tangkas dan pantas, lapan anggota Maritim Malaysia dari KM Ramunia melompat ke atas KM Mulia sebelum melakukan penggeledahan. Hasilnya, sepucuk pistol ditemui disorokkan tekong kapal di dalam laci.
Lantas, tekong kapal ditahan dan semua 'awak-awak' dibawa ke hadapan kapal dan digari. Setelah segalanya selesai, Komander Hamid lalu memberi teguran terhadap perkara tertentu yang perlu diperbaiki dalam teknik serbuan dan penggeledahan.
Keadaan tenang bagaimanapun tidak kekal lama. Secara tiba-tiba KM Mulia dikejutkan dengan jeritan anak kapal yang mengesan kebocoran di dasar kapal menyebabkan ia dimasuki air.
Lantas anak kapal yang berjumlah 30 orang bergegas bekerjasama mengepam air itu keluar sambil sebahagian daripada mereka bekerja keras menutup kebocoran.
Tidak sampai 15 minit, jeritan 'api, api, api' pula kedengaran. Kebanyakan anak kapal yang tadinya berada di bahagian belakang, bergerak ke hadapan memadam kebakaran menggunakan air laut dan pemadam api disediakan.
Selesai segalanya, kira-kira pukul 6 petang, kesemua kapal berlabuh berhampiran Pulau Sibu untuk anak-anak kapal berehat setelah melalui hari yang panjang buat mereka.
Keesokan paginya, kapal-kapal itu bergerak ke Pulau Yu untuk menjalani latihan penembakan. Terlebih dahulu pulau itu dikelilingi bagi memastikan ia tidak didiami sebarang hidupan atau menjadi persinggahan nelayan.
Lalu, kedengaran dentuman pertama dilepaskan meriam 40L/70mm milik KM Mulia diikuti kira-kira 16 dentuman berikutnya dari KM Kukup dan Ramunia sebelum ditutup dengan 11 lagi tembakan KM Mulia.
Sewaktu perjalanan pulang, kesemua kapal itu bergerak dalam pelbagai formasi bagi melengkapkan eksesais terakhir iaitu manuvra taktikal. Kapal-kapal itu kemudiannya kembali berlabuh di Jeti Setulang Laut pada pukul 7 petang.
Mengulas latihan itu, Hamid menyifatkannya sebagai mencapai objektif memandangkan kebanyakan anggota yang menyertainya masih baru dalam perkhidmatan.
"Dalam latihan ini, kami menekankan penglibatan anggota baru dan muda. Buat pengetahuan anda, kebanyakan mereka yang menjayakan penembakan itu pun pertama kali melakukannya.
"Semua itu demi memberi pendedahan. Kami mahu memastikan segala aset termasuk anggota maritim berada di tahap kesiap-siagaan tinggi bagi menghadapi apa jua cabaran di tengah lautan," katanya.
No comments:
Post a Comment