Pages

Thursday, April 19, 2012

Sumber Utusan Online

Oleh SOFIAN BAHAROM
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 18 April - Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2012 hari ini menyaksikan majlis menandatangani kontrak perolehan bekalan senjata dan kelengkapan serta memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM4.76 bilion.

Sebanyak 15 kontrak dan MoU ditandatangani melibatkan pihak Kementerian Pertahanan dan syarikat-syarikat industri pertahanan dari luar negara dan tempatan.

Majlis disaksikan Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalannya, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Dr. Ismail Ahmad.

Daripada RM4.76 bilion itu, sebanyak RM357.2 juta kontrak kementerian diserahkan kepada lima syarikat tempatan dan satu syarikat Rusia.

Ia melibatkan pembekalan peluru untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada SME Ordnance Sdn. Bhd. bernilai RM235.3 juta dan pembekalan grenad 40 milimeter (mm) anti kereta kebal untuk tentera darat kepada Destini Prima Sdn. Bhd. bernilai RM7.9 juta

Pesawat Airbus Military A400M banyak kelebihan berbanding Hercules C130

Sumber Utusan online

KUALA LUMPUR 18 April - Pesawat Airbus Military A400M yang bakal diterima negara bermula Januari 2015 bukan sahaja mampu menggandakan kapasiti barang yang dibawa, malah menjimatkan masa perjalanan melakukan misi bantuan kemanusiaan dan bencana.

Panglima Operasi Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad berkata, berbanding Hercules C130 yang dimiliki sebelum ini, A400M bergerak lebih laju dengan anggaran 400-420 knot sejam.

"Ia lebih laju setengah kali ganda daripada C130 yang kita ada sekarang. Dengannya, kita boleh sampai lebih cepat, terbang lebih jauh dan barang pun dua kali ganda lebih banyak boleh bawa berbanding C130. Sangat berbaloi memilikinya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menaiki pesawat Grizzly 4, satu daripada lima model pesawat A400M bersama wakil media di Pangkalan Udara Subang, semalam.

ATM tumpu keupayaan aset sedia ada - Ahmad Zahid

Sumber Utusan Online

KUALA LUMPUR 18 April - Kementerian Pertahanan memberi tumpuan terhadap pengekalan keupayaan dan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan menggunakan aset ketenteraan sedia ada berbanding pembelian aset baru yang menelan kos tinggi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia sejajar pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (ETP) oleh kerajaan yang lebih memberi tumpuan terhadap pelbagai bentuk program pembangunan sosioekonomi.

Sehubungan itu, kata beliau, sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2012 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kali ini, kementeriannya hanya memeterai kontrak bernilai RM357 juta dengan beberapa syarikat tempatan dan luar negara.

"Kita meneruskan usaha sedia ada untuk mengekalkan keupayaan dan kesiapsiagaan tanpa menambah aset memandangkan menerusi ETP, pembangunan sosioekonomi harus diberi keutamaan.

Tentera berdepan tuntutan baru

Sumber utusan online

Oleh SOFIAN BAHAROM
sofian.baharom@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 17 April - Keadaan geostrategik dunia yang kian berubah sejak dua dekad lalu telah menyumbang kepada peningkatan pelbagai tuntutan baru kepada negara-negara di rantau Asia.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin (gambar) berkata, keadaan itu menuntut semua angkatan tentera rantau ini untuk menakrifkan semula definisi mereka sebagai benteng pertahanan negara daripada ancaman luar kepada sebuah organisasi pelbagai dimensi.

Katanya, organisasi tersebut perlu mahir dalam memberi respons kepada sebarang ancaman tanpa mengira ia berunsur tradisional ataupun sebaliknya.

"Saya boleh katakan bahawa misi bantuan kemanusiaan, bantuan bencana dan misi antikeganasan merupakan usaha bukan tradisional dalam memastikan keselamatan dan kestabilan terus dipelihara.

"Kekuatan ketenteraan yang dibangunkan untuk memusnah atau meneutralkan musuh telah digunakan kini untuk memperkasakan masyarakat dan membina negara bangsa," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Persidangan Meja Bulat Ketua-Ketua Tentera pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Panglima Tentera Darat, Datuk Zulkifli Zainal Abidin menjadi pengantara pada persidangan yang bertemakan "Peranan Tentera Dalam Membina Negara; Peluang dan Cabaran" tersebut.

Sementara itu, Ketua Tentera Australia, Leftenan Jeneral David Morisson; Komander Tentera Sri Lanka, Leftenan Jeneral Jagath Jayasuriya dan Komander Angkatan Tentera Darat Diraja Brunei, Brigedier Jeneral Datuk Seri Yussof Abd. Rahman menjadi ahli panel.

Dalam memastikan tuntutan-tuntutan baru ini direalisasikan, Zulkifeli berkata, ATM telah melaksanakan proses transformasi yang menyasarkan untuk mewujudkan sebuah angkatan berspektrum penuh.

Ujar beliau, angkatan tersebut akan mampu bertindak balas dengan lancar semasa menjalankan operasi-operasi yang melibatkan ancaman tradisional dan bukan tradisional

kesiapsiagaan maritim malaysia

Sumber utusan online
Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
rafie.azimi@utusan.com.my




NAMA Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang baru tujuh tahun ditubuhkan perlu diakui masih belum 'mekar' di ingatan rakyat negara ini.

Ramai yang masih menganggap keselamatan dan kedaulatan perairan negara hanya menjadi tanggungjawab Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Polis Marin semata-mata.

Namun perkara itu tampak tidak langsung mematahkan semangat lebih 4000 anggota Maritim Malaysia di seluruh negara dan ia dibuktikan melalui kesiap-siagaan tinggi dalam operasi serta beberapa latihan dijalankan.

Terbaru, Mega berpeluang mengikuti Eksesais Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Wilayah Maritim Selatan yang berlangsung selama dua hari bermula 4 April lalu.

Diketuai Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan Dan Eksesais Maritim Malaysia, Komander Hamid Mohd. Amin selaku pegawai pengendali, latihan yang dijalankan di sekitar perairan Johor itu tampak berjaya mencapai objektif yang antaranya untuk menguji keupayaan logistik dalam mendokong operasi bersama antara aset wilayah selatan.

Bermula tepat pukul 9.30 pagi Rabu lalu, lima kapal Maritim Malaysia iaitu KM Ramunia, KM Manjung, KM Kukup, KM Sibuan dan KM Mulia dengan diiringi dua bot, Penggalang 32 dan Pengawal 19 meninggalkan Jeti Setulang Laut, Tanjung Puteri Johor Bahru bagi memulakan latihan.

Sambil diekori beberapa bot marin negara jiran yang seolah-olah bimbang dengan pergerakan besar itu, siri eksesais dimulakan dengan navigasi terang gelap di mana bot bergerak dalam formasi ditetapkan untuk keluar dari Selat Tebrau.

Sesudah itu, kira-kira pukul 2 petang, KM Sibuan keluar dari formasi dan memecut sebelum hilang dari pandangan.

Sejam kemudian, laporan dihantar KM Sibuan kepada empat kapal lain memaklumkan terdapat 'mangsa' yang perlu diselamatkan di satu lokasi berhampiran.

Lantas keempat-empat kapal berpecah mencari mangsa. Kelajuan KM Mulia yang dinaiki Mega turut bertambah daripada hanya 10 knot kepada 15 knot menuju ke lokasi pencarian.

Dalam lingkungan tertentu, pencarian dilakukan secara zig-zag'. Akhirnya, setengah jam kemudian, KM Ramunia menghantar laporan bahawa 'mangsa' ditinggalkan KM Sibuan telah ditemui dan selamat dibawa naik ke atas kapal.

Lalu, kesemua kapal kembali bertemu di tengah laut. Tetapi KM Ramunia tampak enggan 'berdamai' dan mengarahkan KM Mulia untuk berhenti bagi digeledah.

Secara tangkas dan pantas, lapan anggota Maritim Malaysia dari KM Ramunia melompat ke atas KM Mulia sebelum melakukan penggeledahan. Hasilnya, sepucuk pistol ditemui disorokkan tekong kapal di dalam laci.

Lantas, tekong kapal ditahan dan semua 'awak-awak' dibawa ke hadapan kapal dan digari. Setelah segalanya selesai, Komander Hamid lalu memberi teguran terhadap perkara tertentu yang perlu diperbaiki dalam teknik serbuan dan penggeledahan.

Keadaan tenang bagaimanapun tidak kekal lama. Secara tiba-tiba KM Mulia dikejutkan dengan jeritan anak kapal yang mengesan kebocoran di dasar kapal menyebabkan ia dimasuki air.

Lantas anak kapal yang berjumlah 30 orang bergegas bekerjasama mengepam air itu keluar sambil sebahagian daripada mereka bekerja keras menutup kebocoran.

Tidak sampai 15 minit, jeritan 'api, api, api' pula kedengaran. Kebanyakan anak kapal yang tadinya berada di bahagian belakang, bergerak ke hadapan memadam kebakaran menggunakan air laut dan pemadam api disediakan.

Selesai segalanya, kira-kira pukul 6 petang, kesemua kapal berlabuh berhampiran Pulau Sibu untuk anak-anak kapal berehat setelah melalui hari yang panjang buat mereka.

Keesokan paginya, kapal-kapal itu bergerak ke Pulau Yu untuk menjalani latihan penembakan. Terlebih dahulu pulau itu dikelilingi bagi memastikan ia tidak didiami sebarang hidupan atau menjadi persinggahan nelayan.

Lalu, kedengaran dentuman pertama dilepaskan meriam 40L/70mm milik KM Mulia diikuti kira-kira 16 dentuman berikutnya dari KM Kukup dan Ramunia sebelum ditutup dengan 11 lagi tembakan KM Mulia.

Sewaktu perjalanan pulang, kesemua kapal itu bergerak dalam pelbagai formasi bagi melengkapkan eksesais terakhir iaitu manuvra taktikal. Kapal-kapal itu kemudiannya kembali berlabuh di Jeti Setulang Laut pada pukul 7 petang.

Mengulas latihan itu, Hamid menyifatkannya sebagai mencapai objektif memandangkan kebanyakan anggota yang menyertainya masih baru dalam perkhidmatan.

"Dalam latihan ini, kami menekankan penglibatan anggota baru dan muda. Buat pengetahuan anda, kebanyakan mereka yang menjayakan penembakan itu pun pertama kali melakukannya.

"Semua itu demi memberi pendedahan. Kami mahu memastikan segala aset termasuk anggota maritim berada di tahap kesiap-siagaan tinggi bagi menghadapi apa jua cabaran di tengah lautan," katanya.