Pages

Wednesday, February 1, 2012

OPS BERSEPADU PENGUATKUASA MARITIM MEMUKAU



Berada di abad ke 21 ini, Malaysia tidak terkecuali dari menghadapi pelbagai cabaran di dalam persekitaran geopolitik, ekonomi, kedaulatan persempadanan dan keganasan dalam negara dan serantau. Kepentingan laut kepada sebuah negara maritim telah memberi banyak peningkatan kemakmuran kepada penghuninya dan terus memain peranan utama dalam perhubungan, perdagangan, industri perkapalan, perikanan, sumber minyak dan gas asli, pelancongan pulau dan pesisir pantai yang berkait rapat dengan pengembangan ekonomi dunia semasa dan akan datang.

Cabaran-cabaran ini membawa kepada implikasi dan keselamatan sektor maritim yang penggunaannya semakin meluas dan pelbagai. Perdagangan antarabangsa secara langsung akan meningkatkan penggunaan pelabuhan dan laluan perkapalan. Bot-bot kecil tempatan yang menjalankan aktiviti perikanan dan pelancongan turut menjana ekonomi domestik yang sememangnya menjadi sasaran utama penjenayah yang menjalankan modus operandi rompakan, tawanan sebagai tebusan dan sebagainya.

Justeru perkembangan pesat di dalam persekitaran maritim ini telah membuka banyak peluang dan sasaran kepada penjenayah untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang bertentangan dengan perundangan negara. Jenayah pelanunan, rentas sempadan, rompakan, penerokaan sumber-sumber laut secara haram, penyeludupan narkotik, pemerdagangan orang dan migran menjadi cabaran utama kepada agensi-agensi penguatkuasaan maritim negara seperti Polis, Kastam, Imigresen, Tentera Laut dan sebagainya.

Namun pada 21 Ogos 2002 kerajaan mengambil keputusan strategik dengan memfokuskan penguatkuasaan undang-undang maritim dengan mewujudkan agensi tunggal penguatkuasaan dengan menggabungkan elemen-elemen sedia ada menjadi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) atau lebih dikenali dengan panggilan Maritim Malaysia. Selari dengan kehendak negara bagi menyediakan sesuatu yang terbaik sebagai persediaan sebagai sebuah negara maju, peranan dan cabaran penguatkuasaan maritim menjadi lebih mencabar. Namun begitu, tidak bermakna sesuatu tindakan penguatkuasaan, pencegahan dan tindakan hanya terpikul di atas bahu Maritim Malaysia sahaja malah operasi bersepadu dan terkoordinasi masih menjadi amalan di antara satu sama lain bagi menentukan keselamatan perairan negara terpelihara.

Terbaru kerjasama bersepadu di antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan APMM dalam menjaga keselamatan perairan negara telah berjaya menyelamatkan bot nelayan tempatan daripada ditawan dan dirampas oleh penjenayah laut hasil dari maklumat pihak pengusaha nelayan setempat. Kejayaan operasi bersepadu membanteras insiden ini secara tidak langsung telah meningkatkan lagi kepercayaan serta keyakinan komuniti maritim terhadap agensi-agensi penguatkuasaan maritim,

Ops Bersepadu Melawan Penjenayah

Akhir-akhir ini perairan Malaysia terutamanya Selat Melaka sering dicerobohi oleh lanun yang menjalankan aktiviti jenayah rompakan di laut. Modus operandi mereka ialah melakukan rompakan bersenjata dengan mensasarkan feri penumpang, bot-bot nelayan tempatan dan bot-bot leisure milik pelancong yang sedang menikmati percutian di perairan Malaysia. Mereka akan merapat dan menggeledah bot-bot mangsa dengan seberapa pantas dan terus melarikan diri dari sempadan negara atau melepasi Zon Maritim Malaysia dengan hasil rompakan yang dilakukan.

Baru-baru ini penulis secara kebetulan diberi peluang mengikuti satu operasi bersepadu agensi-agensi penguatkuasa maritim membenteras keganasan di laut dan sempat merakam detik-detik cemas dalam satu kejadian rompakan yang berlaku pada 7 Disember lalu terhadap sebuah feri penumpang yang sedang dalam pelayaran dari Pelabuhan Pulau Pinang menuju ke Pulau Langkawi.

Kejadian berlaku semasa feri tersebut melintasi Pulau Ular yang tidak berpenghuni, tiba-tiba feri tersebut dipintas dan dipaksa berhenti oleh sekumpulan orang bertopeng bersenjata api yang menaiki 2 buah bot laju dipercayai kumpulan lanun dari negara asing berdasarkan pertuturan mereka. Menyedari feri mereka sedang dirompak, jurumudi sempat menghubungi pihak berkuasa Maritim yang berpangkalan di Bukit Malut tentang kejadian yang dialaminya melalui frekuensi radio perhubungan yang sedia ada.
Berdasarkan maklumat, pihak berkuasa Maritim Pulau Langkawi telah menugaskan sebuah helikopter miliknya (Dauphin AS 365-N3) menyiasat di lokasi yang dilaporkan dan mendapati memang benar terdapat sebuah feri penumpang sedang digeledah oleh penjenayah. Justeru, TLDM, PDRM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) turut dimaklumkan tentang kejadian ini.

Bagi pihak penguatkuasa, sebaik mendapat pengesahan tentang kejadian oleh juruterbang, Pelan Kontijensi Operasi Bersepadu terus diaktifkan. Elemen-elemen di bawah agensi masing-masing telah digerakkan ke lokasi:

Elemen APMM - 2 x Dauphin AS 365-N3, 1 x Bot Petir Class.
Elemen TLDM - 1x helicopter Super Lynx, 1 x Bot CB 90 dan 1x RHIB.
Elemen PDRM – 1 x helicopter Ecureuil AS 355, 1x bot watercat 1 x RHIB
Elemen JBPM – 1 x fire bot, 2 x Jet Ski dan 1 x Kavlar RHIB.

Menyedari kehadiran Tim Penguatkuasa, lanun yang bersiaga di dalam kedua-dua bot tersebut melarikan diri untuk bersembunyi ke pulau-pulau berhampiran. Walaubagaimana pun sekumpulan lagi perompak yang berada di dalam feri terperangkap dan tidak sempat melarikan diri telah menawan penumpang-penumpang dan menjadikan mereka sebagai tebusan dan perisai untuk berhadapan dengan pihak berkuasa dan mengancam untuk membunuh semua penumpang jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Anggota dalam Bot Petir diarahkan untuk mengawasi dan melakukan perbincangan dengan pihak penjenayah yang terperangkap di dalam feri. Sementara itu anggota-anggota CB 90 diarahkan supaya mengejar dan menangkap penjenayah yang cuba melarikan diri dengan sebuah bot. Manakala RHIB PDRM ditugaskan mengejar bot penjenayah yang satu lagi. Walaubagaimana pun kedua-dua bot penjenayah sempat melarikan diri dan bersembunyi di sebuah pulau yang berkemungkinan menjadi tempat persembunyian mereka bila terdesak.

Berdasarkan maklumat perisikan TLDM yang dapat menghidu tempat persembunyian penjenayah yang malarikan diri, Tim Elit Bersepadu yang terdiri daripada Pasukan Khas Laut (PASKAL), Unit Operasi Khas (Komando 69) dan Unit Gerakan Marin (UNGERIN) PDRM digerakkan melalui udara dan permukaan dengan menggunakan helikopter dan bot dalam misi menangkap penjenayah dan memusnahkan tempat persembunyian mereka.
Komando 69 menggunakan kaedah fast ropping dan PASKAL melaksanakan kaedah fast jump ke dalam laut dari helikopter. Sementara Tim UNGERIN mendarat ke pantai dengan menggunakan Watercat. Mereka bergerak dan membuat penyusupan taktikal dalam usaha untuk menawan dan memusnahkan tempat persembunyian musuh. Pertempuran tidak dapat dielakkan kerana penjenayah tidak mahu menyerah diri.

Serangan pantas 3 penjuru dari Tim Bersepadu Penguatkuasa tidak sukar untuk melumpuhkan pertahanan kumpulan penjenayah. Operasi mereka berjaya di mana di dalam drama serbuan tersebut 6 orang lanun telah terbunuh dan tempat persembunyian mereka dimusnahkan. Super Lnyx TLDM dan Ecureuil AS 355 PDRM mengeluarkan Pasukan Khas masing-masing dari kawasan operasi dengan kaedah Spie Rig sebaik selesai tugas.
Sementara itu, penjenayah yang berada di dalam feri merasa terdesak dan bertindak menggunakan penumpang sebagai tebusan dalam usaha untuk melarikan diri. Helikopter yang membawa penembak tepat memantau gerak geri penjenayah serta tebusan melalui udara.
Penembak tepat juga bertindak sebagai penyampai maklumat-maklumat yang berkaitan kepada Tim Penggempur sebelum melaksanakan operasi menyelamat tebusan.
Sebuah pesawat helikopter dan RHIB yang membawa PASKAL dan Special Task And Rescue (STAR) APMM telah merapat untuk melaksanakan teknik fast ropping dan special ship boarding ke atas feri yang dirampas.

Semasa tim penggempur di dalam gerakan merapat ke sasaran, penembak tepat dari pesawat helikopter akan sentiasa mengawal tembakan dari pengawal musuh. Bagi memulakan serangan, penembak tepat akan mengawal musuh yang berada di luar sasaran untuk memudahkan tim penggempur menyerbu masuk ke dalam feri dan seterusnya menyelamat tebusan yang telah ditawan oleh lanun. Setelah semua lanun/penjenayah di dalam feri ditewaskan, tebusan yang telah diselamatkan diasingkan dan dibawa keluar dari sasaran untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut. Misi menyelamat tebusan juga telah berjaya.

Feri terbabit, semasa meneruskan perjalanan ke Jeti Kuah tiba-tiba meletup dan terbakar. Beberapa orang kru feri tercampak ke laut. Jabatan Bomba dan Penyelamat bergegas ke tempat kejadian untuk memberikan bantuan. Tim penyelamat yang menggunakan Jet Ski berusaha menyelamatkan orang jatuh laut dengan menggunakan towing stretcher sementara fire boat menggunakan water jet dan water spray untuk memadamkan kebakaran. Kevlar boat digunakan untuk mencari dan menyelamat mangsa-mangsa lemas berasaskan kemampuan mobiliti dan kelajuannya dan kemampuan bertindak di dalam cuaca buruk dan arus deras.

Kru feri yang tercedera teruk di angkat (vertically winched) ke dalam helikopter Dauphin. Perenang penyelamat diturunkan ke dalam air bagi membantu mangsa lemas dengan mengikat mangsa bersamanya dan kembali dinaikan ke dalam helikopter dan terus di bawa ke hospital untuk rawatan kecemasan.

Operasi Berjaya

Sebenarnya aksi-aksi lasak dalam operasi bersepadu membebaskan tebusan dalam demonstrasi di atas telah mempamirkan suatu kerjasama berpasukan yang memerlukan kepantasan, ketepatan dan keberanian luar biasa pemain-pemain untuk menentukan keberhasilan sesuatu tindakan ke tahap maksima namun dalam masa yang sama kecelakaan sifar bagi pihak kawan. Bagi menyokong keberkesanan operasi lasak sebegini, sudah tentu mesen yang digunakan juga mesti yang tahan lasak.

Pelaburan negara dalam menyediakan Pasukan Khusus samada dari unit-unit Tentera Darat, Laut, Udara, Polis, Maritim dikira sangat berbaloi berdasarkan prestasi yang telah dicapai selama ini melalui penglibatan mereka dalam kejadian-kejadian sebenar dalam dan luar negara. Menyedari kepentingan pasukan ini kepada kesejahteraan negara, rakyat Malaysia yang patriotik seharusnya menyokong segala usaha mempertingkatkan keupayaan mereka ini samada dalam bentuk peralatan/mesen sokongan kerja maupun insentif kepada individu tanpa prejudis. PERAJURIT

No comments:

Post a Comment