sumber utusan
Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my
BUTTERWORTH 30 Nov. - Pasukan aerobatik yang akan mewakili negara di Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2011 kini sudah bersedia untuk memukau pengunjung dengan aksi-aksi menarik dan mendebarkan.
Tiga pasukan tersebut adalah Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang diwakili pesawat tempur Sukhoi SU-30 MKM dan MiG-29N serta KRISAKTI, iaitu pasukan usaha sama antara Kementerian Pertahanan dengan syarikat swasta, Aerotree Sdn. Bhd.
Panglima Operasi Udara TUDM, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abd. Samad berkata, beliau berpuas hati dengan persediaan yang dibuat oleh semua pasukan terlibat dan menepati standard diharapkan.
"Saya berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh semua pesawat pada hari ini dan menepati standard yang kita mahukan sebelum mereka membuat persembahan sebenar pada LIMA 2011.
"Mungkin ada beberapa aspek yang perlu diperbaiki namun secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan persiapan mereka," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan demonstrasi aerobatik dan persiapan juruterbang pasukan-pasukan berkenaan di Pangkalan Udara Butterworth di sini hari ini.
Tambah Ackbal, demonstrasi aerobatik itu adalah senarai semak terakhir bagi pihaknya menilai tahap keselamatan serta kecekapan juruterbang mengendalikan pesawat.
Menurutnya, apa yang ditunjukkan hari ini adalah aksi sebenar yang akan dipertontonkan kepada pengunjung LIMA dengan beberapa aksi akan ditambah untuk menghiburkan mereka nanti.
"Kita juga bertuah kerana dapat membawa KRISAKTI yang disertai oleh juruterbang berpengalaman untuk bersama-sama membuat pertunjukan udara pada program tersebut.
"Pasukan itu telah mendapat latihan intensif daripada pasukan aerobatik terbaik di United Kingdom iaitu The Blades yang diwakili oleh bekas juruterbang Red Arrows," ujarnya.
No comments:
Post a Comment