sumber: utusan online
KUALA LUMPUR 7 Julai - Reka bentuk akhir Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang bakal dibangunkan untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan siap hujung bulan ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ciri-ciri halimunan menjadi penekanan utama dalam reka bentuk LCS bagi memastikan aset tempur itu sukar dikesan.
"Reka bentuk serta sistem pertahanan kapal ini bakal menjadikan ia sebagai aset tempur canggih dan mampu mengawal perairan negara secara berkesan selama 40 tahun dari sekarang.
"Ia dibina mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh TLDM dan penekanan utama diberi kepada aspek halimunan bagi memastikan LCS sukar dikesan," katanya di sini hari ini.
Utusan Malaysia difahamkan, kapal tersebut akan dilengkapi dengan peluru berpandu Evolved Sea Sparrow Missile (ESSM) yang mampu menembak pesawat sehingga jarak 50 kilometer (km).
Untuk sistem antikapal pula, LCS dijangka dilengkapi dengan peluru berpandu jarak jauh (185km) buatan Norway, Naval Strike Missile (NSM) selain turut dipasang torpedo.
Terdahulu, Ahmad Zahid menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Singapura, Teo Chee Hean sempena lawatan tiga hari beliau bermula Isnin lalu, ke negara ini.
Mengulas mengenai pertemuan dengan Chee Hean, beliau berkata, beberapa perkara membabitkan kerjasama ketenteraan telah dibincangkan khususnya isu berkaitan Selat Melaka.
"Kedua-dua negara menyatakan komitmen untuk meningkatkan lagi kerjasama dalam soal rondaan bersama di Selat Melaka kerana hasilnya cukup positif dalam membanteras kegiatan lanun.
"Sehingga Julai tahun ini, tiada kes membabitkan lanun di perairan Selat Melaka. Ini memberi keyakinan kepada syarikat pengendali kapal dan manfaatnya dapat dinikmati bersama," katanya.
Ditanya sama ada isu pencerobohan ruang udara negara turut dibincangkan, Ahmad Zahid berkata, perkara itu tidak disentuh kerana Malaysia sudah membuat bantahan melalui Wisma Putra.
No comments:
Post a Comment