Pages

Wednesday, June 8, 2011

KEM HOBART DIGEMPUR

Sumber: Majalah Perajurit Edisi Jun 2011
Oleh Hamzah Hd.


Mungkin masyarakat sekitar Gurun Kedah merasa panik dan tertanya-tanya apa yang sebenarnya telah berlaku di kawasan mereka bila melihat banyak kenderaan tentera menyerbu di persekitaran mereka dalam jumlah yang banyak yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Serentak dengan kemasukan tentera ke kawasan itu, suasana dikejutkan dengan bunyi tembakan bertalu-talu sepanjang hari selama 14 hari berturut-turut. Apakah persekitaran mereka berlaku pertempuran?

Itulah gambaran yang berlaku di Kem Hobart yang sebelum ini tenang dan damai buat julung kalinya telah mengadakan Ujian Kemahiran Menembak Peringkat Tentera Darat (UKMTD) yang kebiasaanya diadakan di Kem Trendak Melaka. Sekaligus satu lagi penambahan Lapangsasar TD yang mampu menampung suatu pengendalian latihan atau ujian menembak berskala besar. Apa yang perlu adalah penambahbaikan terhadap prasarana dan infrastruktur asas malah tidak keterlaluan jika lokasi ini dimodenkan bagi melengkapkan keupayaan yang sedia ada untuk menjadikan ianya boleh menjangkau kepada suatu penganjuran ke peringkat yang lebih berprestij di dalam negara.

“Kemahiran menembak merupakan keperluan asas yang dituntut dari semua anggota tidak kira kor atau pun pangkat. Ianya bertindak untuk membentuk keperibadian seseorang anggota tentera serta membina keyakinan mereka terhadap latihan dan peralatan yang disediakan. Senjata merupakan objek sinonim dengan dunia ketenteraan yang mana ianya merupakan asas kepada aspek machine di dalam trilogi man, machine and method. Kemahiran menembak memerlukan bukan sahaja pengetahuan tentang persenjataan dan balistik tetapi juga mengutamakan pengantaramukaan manusia dan mesin (man machine interfacing) yang tinggi. Hakikatnya, seorang anggota terlatih mesti berupaya mengendalikan sekurang-kurangnya senjata persendirian secara efektif di dalam persekitaran ketidaktentuan, ketakutan, kelesuan dan bahaya yang lazim ditempuhi di dalam keadaan perang. Pada asasnya pengantaramukaan yang efektif dalam bidang ini akan dapat mencetus sinergi terhadap sub-system yang lain di dalam TD. Justeru, di dalam proses untuk memperolehi senjata moden dan canggih bagi TD, kita perlu menentukan bahawa pengendali atau penembak mempunyai pengetahuan yang relevan. Jangan seperti analogi senjata abad ke 21 yang dikendalikan oleh anggota bermentaliti abad ke 18.

Selain dari menguji kemahiran penembak-penembak dari Pemerintahan serta Formasi TD, acara ini juga menguji tahap kesatuan setiap pasukan. Beberapa jenis senjata persendirian atau bantuan diuji manakala keberkesanan bagi senjata bantuan bergantung kepada keupayaan tim-tim yang bertanding. Keserasian serta persefahaman antara setiap ahli pasukan adalah sangat penting. Ini boleh disamakan dengan TD yang mempunyai pelbagai kor serta kemahiran yang mana keunggulan hanya akan dapat dicapai melalui kesatuan yang utuh serta pengorbanan individu yang meletakkan kepentingan pasukan sebelum diri sendiri. Ini merupakan aspek fundamental di dalam Kelakuan Organisasi TD. Ujian ini seperti juga pertandingan-pertandingan lain di dalam TD adalah pemangkin di mana kesatuan, keunggulan, pengorbanan serta kesetiaan diserapkan supaya di medan pertempuran kelak, kualiti-kualiti ini akan berfungsi secara semulajadi di dalam persekitaran yang lebih mencabar.”-Timbalan Panglima TD.

Sejarah Lapangsasar Gurun

Lapangsasar Gurun yang terletak di kawasan Hutan Simpan Bukit Perak telah dibina oleh Tentera British pada tahun 1940 dan diwartakan pada tahun 1947. Ianya dibina bagi tujuan latihan menembak senjata kecil dan senjata bantuan untuk Tentera British dan juga Rejimen Askar Gurkha yang berpangkalan di Kem Lapangan Terbang dan Kem Sungai Layar serta unit-unit berhampiran pada ketika itu. Unit Pentadbiran Lapangsasar ini telah diberi nama Kem Hobart mengambil sempena nama pengasasnya iaitu Captain Hobart, seorang pegawai Tentera British.

Selepas negara mencapai kemerdekaan, Lapangsasar ini telah diwartakan semula sebagai kawasan tembakan pada tahun 1964 melalui gazet LN no.10 dan LN no.11 bertarikh 9 Januari 1964. Kawasan asal yang diwartakan adalah seluas 4,740 ekar dan daripada keluasan tersebut hanya 2,686 ekar sahaja yang dimiliki oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada masa sekarang. Sebahagiannya telah diteroka oleh penduduk tempatan dan dipindah milik kepada mereka oleh kerajaan Negeri Kedah.

Setelah pengunduran Tentera British dari Tanah Melayu, Lapangsasar ini telah diambil alih oleh ATM pada 5 Ogos 1969. Lapang sasar ini telah terbiar tanpa senggaraan pada masa peralihan tersebut. Tanah-tanahnya juga telah diteroka oleh penduduk kampong dengan tanaman getah, padi, dusun buah-buahan tanpa diawasi oleh mana-mana pihak. Kesan peninggalan tanaman ini masih kekal hingga ke hari ini.

Bagi menjaga kepentingannya pada masa itu, Markas 6 Briged telah meletakkan satu Platun Infantri di bawah pengawasan Markas Staf Stesyen Sungai Petani untuk mengawasinya. Dengan perkembangan pesat ATM di awal tahun 1980, Batalion ke 31 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) telah ditubuh dan ditempatkan di kem ini. Namun begitu, penempatan batalion ini tidak lama apabila ia dibubarkan selepas itu. Pentadbiran seterusnya diambil semula oleh Markas Staf Stesyen Sungai Petani.

Beberapa peningkatan mengikut keperluan Sistem Latihan Tembak Tempur telah dilaksanakan pada tahun 1992, Unit Lapangsasar Gurun telah ditubuhkan dengan rasminya. Ia diletakkan di bawah Perintah Markas 2 Divisyen dan di bawah Pentadbiran Tempatan 6 Briged. Pegawai Perhubungan Lapangsasar yang pertama ialah Mejar(TIG) Ang Chai Guan dari Rejimen Artileri Diraja.

Pada 8 Oktober 1999, Lapangsasar ini telah bertukar pemerintahannya kepada Markas Pemerintahan Latihan TD dan Pentadbiran Tempatan kekal di bawah Markas 6 Briged.

Pada tahun 2003, ia diletakkan semula di bawah pemerintahan Markas 2 Divisyen dan Kawalan Teknikal oleh Markas Pemerintahan Latihan TD, manakala Pentadbiran Tempatan kekal di bawah Markas 6 Briged sehingga sekarang. Pada tahun 2008, Kawalan Teknikal telah diambil alih oleh Markas Medan TD.

Kini sejarah tercatat buat julung kalinya Ujian Kemahiran Menembak TD (UKMTD) dilaksanakan di Lapangsasar Gurun selepas 71 tahun penubuhannya.

UKMTD

Ujian Kemahiran Menembak adalah acara dwi tahunan peringkat TD telah berlangsung dengan jayanya pada 28 Mac hingga 10 Apr 2011. Sebanyak 7 pasukan yang terlibat iaitu Tim Pemerintahan Latihan Dan Doktrin TD, Tim Pemerintahan Logistik TD, Tim 1 Divisyen, Tim 2 Divisyen, Tim 3 Divisyen, Tim 4 Divisyen dan Tim 10 Briged PARA.

Sebanyak 30 acara telah dipertandingkan iaitu Jatuh Piring Wanita, Jatuh Piring Lelaki, Jatuh Piring Jemputan, Jatuh Piring Novelti, Acara Raifal Peringkat 1 Lelaki Kategori Kumpulan Unit Besar, Acara Raifal Peringkat 1 Lelaki Kategori Kumpulan Unit Kecil, Acara Raifal Peringkat 1 Lelaki Kategori Individu, Acara Raifal Peringkat 2 Kategori Individu, Acara Raifal Kelas B Kategori Individu, Acara Raifal Wanita Berpasukan, Acara Raifal Wanita Kategori Individu, Acara Raifal Pegawai Muda Berpasukan, Acara Raifal Pegawai Muda Individu, Acara Raifal Pegawai Kanan Berpasukan, Acara Raifal Pegawai Kanan Individu, Acara Pistol Peringkat 1 Lelaki Kategori Kumpulan Unit Besar, Acara Raifal Peringkat 1 Lelaki Kategori Kumpulan Unit Kecil, Acara Pistol Peringkat 1 Lelaki Kategori Individu, Acara Pistol Wanita Kategori Berkumpulan, Acara Pistol Wanita Kategori Individu, Acara Lorong Hutan Kategori Kumpulan Unit Besar, Acara Lorong Hutan Kategori Kumpulan Unit Kecil, Acara Lorong Hutan Kategori Individu, Acara Serangan Seksyen, Acara MGKA Berkumpulan, Acara MGKA Berpasangan, Acara MGR Kategori Kumpulan Unit Besar, Acara MGR Kategori Kumpulan Unit Kecil dan Acara MGR Kategori Berpasangan,

Sebanyak 33 Piala Pusingan telah disediakan untuk ditabalkan kepada juara-juara yang mempamirkan mutu kecemerlangan dalam pertandingan ini. Pasukan 10 Briged Para telah memonopoli 15 kejuaraan dari 33 Piala Pusingan yang ditawarkan. Sekali gus menjadi Johan Keseluruhan Antara Formasi dengan pungutan 330 mata.

Prebet Mohamad Firdaus bin Abu Bakar dari Tim 3 Divisyen telah memungut mata peribadi sebanyak149.05 telah dinobatkan sebagai Jaguh UKMTD 2011. Baru berkhidmat selama 3 tahun dalam TD dan penglibatan pertama kali dalam UKMTD. Natijah kepada kejayaan dan kecemerlangan ini beliau bukan sahaja telah menerima hadiah-hadiah pertandingan malah telah dinaikkan ke pangkat Lans Koperal dan beberapa insentif menghadiri kursus-kursus strategik bagi melengkapkan keupayaan beliau sebagai seorang tentera yang kompeten. dan kredibel.

UKMTD 2011 telah mempamirkan peningkatan yang ketara dari segi mutu penganjuran malah mempamirkan persembahan yang berkualiti dari peserta-peserta yang mengambil bahagian dan berjaya melahirkan penembak-penembak muda yang bakal menjadi pelapis bukan sahaja bagi mempertahankan keunggulan TD dalam konteks ini malah bakal membawa cabaran ke peringkat nasional. UKMTD 2013 dijangka sekali lagi akan berlangsung di luar Kem Terendak dan bakal menyaksikan penganjuran yang lebih besar daripada sebelumnya. Perajurit.

No comments:

Post a Comment