sumber utusan
Oleh MOHD. RIDZWAN IMAN
ridzwan.iman@utusangroup.com.my
SELAMAT menyambut Hari Tentera Darat kepada seluruh anggota Angkatan Tentera Malaysia yang disambut pada 1 Mac lepas.
Sempena sambutan itu, satu pameran dan perarakan secara besar-besaran telah diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur untuk memberi peluang kepada rakyat mengenali lebih dekat dengan pasukan anggota keselamatan negara.
Pelbagai peralatan ketenteraan telah dipamerkan pada sambutan hari tersebut yang sudah tentu mengkagumkan kepada sesiapa sahaja yang berada di sana kerana mereka berpeluang melihat pelbagai peralatan perang terkini termasuk senapang, kereta kebal, pelancar roket dan sebagainya.
Bagaimanapun, selain peralatan perang, saintis di seluruh dunia terus berusaha membangunkan pelbagai teknologi terkini atau gajet-gajet yang boleh membantu anggota tentera yang berada di medan perang.
Teknologi seperti teropong mampu melihat dalam gelap, mengetahui dengan tepat jarak musuh, mengetahui bilangan musuh dalam bangunan dan sebagainya merupakan antara teknologi yang sangat berguna apabila digunakan di medan perang.
Beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Rusia dan sebagainya sememangnya sentiasa berusaha membangunkan teknologi untuk askar masa depan ini agar anggota tentera mereka mampu menjadi lebih hebat apabila berhadapan musuh.
Baru-baru ini, Rusia misalnya mengumumkan minatnya untuk membeli peralatan 'tentera masa depan' dari Perancis yang dikenali sebagai Felin yang merupakan sistem peperangan baru yang mempunyai sistem pelindung badan dengan topi keledar balistik, vest, senjata dan komputer bergerak.
"Kami akan membeli beberapa set Felin dan kini kami kini sedang berunding dengan rakan dari Perancis," kata Timbalan Menteri Pertahanan Rusia, Vladimir Popovkin.
Felin merupakan suit teknologi tentera yang dibangunkan oleh syarikat Sagem Defense and Security dari Perancis yang kini digunakan oleh pasukan tentera negara itu.
Sistem Felin terdiri daripada vest yang mempunyai sistem radio dan GPS bersepadu, topi keledar canggih, komputer riba dan alat optronik terkini.
Sistem Felin akan disepadukan dengan sistem rangkaian udara dan darat Tentera Perancis yang berasaskan C41 (arahan, kawalan, komputer, komunikasi dan maklumat) untuk kegunaan anggota tentera pada masa kini dan di masa depan.
Diuji
Sistem Felin juga telah diuji selama dua tahun sejak 1999 dan kemudiannya mengalami pembangunan teknologi sehingga kini. Kos setiap sistemnya dianggarkan bernilai kira-kira RM110,000.
Tentera Perancis telah mula dilengkapi dengan sistem Felin V1 dan dijangka pengeluaran Felin V2 dapat diadakan mulai 2015.
Sistem lengkap Felin juga mempunyai topi keledar perlindungan balistik yang dilengkapi dengan teropong optronik dan juga mikrofon yang membolehkan komunikasi dilakukan dengan baik walaupun dalam suasana bising peperangan.
Sistem persenjataan pula boleh menggunakan senapang Giat FAMAS F1 5.56mm, senapang Giat FR-F2 7.62mm dam mesingun ringan FN Herstal Minimi 5.56mm yang dilengkapi dengan alat pandangan siang dan malam.
Sistem itu juga mempunyai kamera video yang membolehkan video dipancarkan terus kepada rangkaian komunikasi Felin dan kemudiannya boleh ditonton oleh semua anggota tentera.
Selain di Perancis, tentera Britain juga kini sedang menguji pelbagai jenis gajet bantuan tentera dan antara yang terbaru ialah topi keledar canggih seperti dalam filem Star Wars.
Topi keledar dikenali sebagai FIST (Future Integrated Soldier Technology) itu dilengkapi dengan alat perlindungan telinga daripada bunyi kuat senapang atau bom tetapi pada masa yang sama ia boleh mendengar suara manusia dengan jelas. Seperti biasa, topi ini juga dilengkapi dengan alat melihat pada waktu malam.
Satu lagi gajet tentera yang sedang dibangunkan masa kini ialah alat yang dipakai di tangan dikenali sebagai Pip-Boy 3000 yang dibangunkan oleh Universal Display.
Alat dengan skrin besar bersaiz 4.3 inci dengan warna penuh QVGA ini akan membolehkan maklumat dan arahan disampaikan terus kepada anggota yang berada di medan perang.
Sememangnya terdapat pelbagai teknologi sedang dibangunkan untuk membantu menjadikan anggota tentera di medan perang lebih selamat dan mampu menewaskan musuh dengan mudah.
Selain topi keledar, vest, senjata dan juga alat komunikasi merupakan antara barangan yang sedang dipertingkatkan keupayaannya agar anggota tentera dilengkapi dengan peralatan secanggih mungkin di masa depan.
No comments:
Post a Comment