Pages

Saturday, December 18, 2010

Malaysia, Thai akan adakan latihan ketenteraan bersama

sumber utusan

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengadakan latihan ketenteraan bersama tentera Thailand pada April tahun depan, kata Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin.

Menurut beliau, kerjasama itu membabitkan latihan persempadanan dan akan diadakan di Prachuab Khirikhan, Thailand.

"Tentera Darat akan menjadi perintis kepada latihan bersama ini dan selepas itu akan membabitkan sayap lain seperti Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

"Thailand akan menjadi penganjur kepada latihan bersama ini dan ini membuktikan semangat kejiranan yang tinggi di kalangan negara anggota Asean ," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Panglima Angkatan Tentera Thailand, Jeneral Songkitti Jaggabatara di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Khalid Abu Bakar.

Pemimpin tentera Malaysia dan Thailand kini sedang mengadakan Mesyuarat kali ke-26 Peringkat Tinggi Antara Malaysia dan Thailand (MALTHAI) yang berlangsung di ibu negara.

Mesyuarat dwitahunan itu menjadi medan pemimpin armada tentera kedua negara bertukar pandangan dan idea serta membincangkan perkara yang melibatkan persempadanan dan juga pas lawatan sempadan.

Menurut Azizan, mesyuarat berkenaan juga membincangkan segala masalah berbangkit terutamanya membabitkan isu pentadbiran sempadan antara kedua-dua negara.

2 comments:

  1. Satu keputusan yang disifatkan sebagai "one step forward" ke arah kerjasama pertahanan dua hala antara negara jiran.Malah. sekiranya kita masih ingat, kerjasama pertahanan/ketenteraan di antara Malaysia/Thailand telah bermula sejak lama dahulu- ketika kedua-dua negara menghadapi ancaman daripada Parti Komunis Malaya (PKM).Operasi secara bersama telah mendahului latihan tentera bersama lebih 30 tahun yang lalu; sekitar akhir tahun 1970an melalui Ops Daoyai Musnah I dan II serta Ops Cahaua Bena I dan II.

    Latihan bersama ketiga-tiga perkhidmatan ini dipercayai merupakan kemuncak kepada latihan-latihan bersama secara berasingan oleh ketiga-tiga perkhidmatan (Darat, Laut dan Udara) di dalam kedua-dua angkatan tentera. Latihan seumpama ini, yang melibatkan ketiga-tiga cabang khidmat dalam angkatan tentera dipanggil latihan gabungan (kerana pembabitan ketiga cabang khidmat) bersama (antara dua angkatan tentera)- latihan gabungan bersama. Kita percaya, antara matlamatnya adalah untuk menguji prosedur tetap yang dihasilkan bagi tujuan latihan-latihan seumpama ini.

    ReplyDelete
  2. terima kasih tuan ben... tentunya tuan dan angkatan tuan cukup matang dalam kerjasama di perbatasan dalam menangani anasir yang menceroboh persempadanan negara. Keringat dan onak duri yang dilalui telah menunjukan hasil keamanan negara pada hari ini. terima kasih tuan.

    ReplyDelete