sumber utusan
PELABUHAN KLANG 17 Dis. - Kadar jenayah di perairan negara menurun dengan ketara daripada 48 peratus pada 2006 kepada 6.55 peratus kes sehingga 15 Disember lepas, hasil pemantauan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Madya Maritim Datuk Noor Aziz Yunan berkata, sejak agensi itu beroperasi pada November 2005, kegiatan jenayah di perairan negara mengikut Akta Perikanan 1985 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 serta kes-kes berkaitan Imigresen dan Kastam menurun dengan drastik.
"Kes perikanan dan Imigresen banyak dipengaruhi oleh kemasukan pendatang asing tanpa izin dan pencerobohan bot nelayan asing, manakala kes Ordinan Perkapalan berpunca daripada aktiviti kapal-kapal dagang.
"Kes Kastam pula disebabkan aktiviti penyeludupan barangan kawalan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin," kata Noor Aziz ketika berucap pada majlis perbarisan APMM sempena persaraannya di Pusat Hidrografi Nasional TLDM, Pulau Indah, di sini hari ini.
Noor Aziz berkata, dari 2006 hingga 15 Disember lepas, APMM menahan sejumlah 463 nelayan asing, sekaligus menyelamatkan RM1.3 bilion hasil perikanan negara dan lebih RM4.1 juta berjaya dikutip APMM menerusi kompaun dan lelongan bot, barangan serta rampasan ikan-ikan. "Hasil kerjasama dengan agensi maritim lain, kes lanun menurun secara mendadak daripada 12 kes pada 2005 hingga satu kes tahun ini," katanya.
No comments:
Post a Comment