sumber utusan
Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
utusansabah@utusan.com.my
KOTA KINABALU 6 Ogos - Pasukan tentera sering kali dikaitkan dengan tugas berat menggalas senjata bagi mempertahankan negara.
Bagi tentera laut pula, pastinya sinonim dengan pengendalian kapal perang di perbatasan dan terkini pengendalian aset tercanggih negara, kapal selam.
Namun, dalam memikul tanggungjawab memastikan keamanan itu, anggota tentera sebenarnya tidak pernah mengabaikan tanggungjawab murni mereka kepada masyarakat setempat.
Bagi pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Markas Wilayah Laut Dua di Kota Kinabalu, kepakaran dimiliki anggota dan pegawai turut dimanfaatkan bagi membantu penduduk kampung.
Atas dasar itulah Depot Logistik Wilayah Laut Dua di Sepanggar menjalankan projek Jiwa Murni bagi membantu penduduk Kampung Gentisan dekat sini.
Program gotong-royong itu turut disertai Jabatan Kesihatan Kota Kinabalu dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Menurut Ketua Depot Logistik Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Komander Nordin Abu, pemilihan Kampung Gentisan dibuat selepas melihat lokasi kampung itu yang terletak berhampiran dengan pangkalan TLDM.
"Sebenarnya sebelum ini kita juga telah mengadakan perbincangan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai yang amat bersetuju melaksanakan program ini di sini.
"Kita juga melihat sumbangan besar yang dimainkan penduduk kampung ini dalam mewujudkan pangkalan TLDM di Teluk Sepanggar," katanya.
Menurutnya, melalui program itu, anggota dan pegawai tentera akan menyumbang kemahiran yang ada melalui program gotong-royong.
Beliau memberitahu, selain menyumbang tenaga dan kemahiran, semua peralatan dan barangan seperti cat turut disumbangkan oleh TLDM.
Selain itu, katanya, program itu juga bertujuan membentuk budaya kerja tentera dalam kehidupan penduduk kampung.
"Sebenarnya setiap anggota mempunyai pelbagai kemahiran seperti dalam pembinaan dan kejuruteraan.
"Selain itu, melalui aktiviti ini, kita juga akan memperlihatkan cara pasukan tentera melakukan kerja dengan sistematik dan teratur sebagai contoh budaya kerja yang baik.
"Dalam program ini juga kita akan berusaha mengeratkan lagi silaturahim antara pasukan tentera dan penduduk kampung," katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Projek berkenaan, Leftenan Mohamed Muzaffar Raja Mohammed berkata, seramai 60 anggota dan pegawai TLDM terlibat dalam program itu.
Beliau memberitahu, aktiviti yang dilakukan dalam program selama dua hari itu adalah membersih dan membaikpulih kawasan masjid dan balai raya kampung berkenaan.
"Sebelum ini, kita telah meninjau keadaan surau yang kurang memuaskan dan balai raya yang sudah uzur iaitu sudah reput dan tidak mempunyai tingkap.
"Hari ini kita melakukan gotong-royong membersihkan surau serta membaikpulih balai raya dengan mengganti dinding yang reput, memasang tingkap dan mengecat," katanya.
Seorang anggota, Norhisham Talim, 40, berkata, melalui program itu, dia dapat berkongsi pengalaman dan ilmu pengetahuan dengan penduduk kampung.
"Kami mendapat kerjasama yang baik daripada penduduk kampung dan menggunakan kepakaran masing-masing untuk menjayakan gotong-royong sejak 7.30 pagi," katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi anggota, Nazimatulshima Ibrahim, 26, berkata, penyertaan kali pertamanya dalam aktiviti itu amat menyeronokkan.
"Saya bertugas membersih kawasan masjid dan tidak berasa penat malah seronok melakukan tugas ini bersama masyarakat," ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Kesihatan Kota Kinabalu, Dr. Fatimah Majid berkata, penglibatan pihaknya bersama anggota tentera amat bertepatan dalam usaha bersama agensi kerajaan membantu masyarakat.
"Pelaksanaan program di kampung ini amat sesuai bagi memberi peluang kepada kita menyampaikan kempen Jom Ganyang Aedes.
"Pemilihan kampung ini juga tepat kerana kampung ini turut mencatatkan kes denggi sebelum ini," katanya.
No comments:
Post a Comment