Sumber Utusan
Oleh ANI AWANG
pengarang@utusan.com.my
LUMUT 2 Julai - Negara mencatat sejarah apabila kapal selam keduanya, KD Tun Razak selamat tiba di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini pada pukul 4.40 petang ini.
Kepulangan KD Tun Razak diyakini mampu mengukuhkan lagi sistem pertahanan maritim negara selepas negara memiliki kapal selam pertama, KD Tuanku Abdul Rahman tahun lalu.
Ketibaan kapal jenis Scorpene itu disambut oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Hadir sama Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Mohammed Noordin Ali dan Panglima Armada TLDM, Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.
Terdahulu, Sultan Sarifuddin Idris Shah, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dan Panglima Tentera laut, Laksamana Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Jaafar bersama-sama belayar menaiki KD Tun Razak dari perairan Langkawi menuju ke pangkalan TLDM.
KD Tun Razak memulakan pelayarannya dari Toulon, Peranchis pada 30 April lalu dan tiba di perairan negara Rabu lepas.
Kapal itu mengambil masa pelayaran selama 64 hari dan singgah di empat buah pelabuhan iaitu Pelabuhan Iskandariah di Mesir, Jeddah di Arab Saudi, Salalah di Oman dan Cochin di India.
KD Tun Razak menempuh pelayaran sejauh 13,488 kilometer merentasi laut Mediterranean, Laut Merah, Teluk Aden, Laut Arab, Lautan Hindi dan Selat Melaka dengan dikendalikan oleh 32 orang pegawai dan anggota TLDM.
Kapal tersebut akan berada di sini selama seminggu sebelum meneruskan pelayaran ke Pangkalan Kapal Selam di Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah.
KD Tun Razak dinamakan sempena Perdana Menteri Kedua Malaysia, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sebagai mengenang jasa negarawan ulung itu.
Sebelum ini, Malaysia menjadi antara beberapa negara di dunia yang memiliki pasukan kapal selam selepas memiliki kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman yang tiba di Pelabuhan Klang pada 3 September tahun lalu.
No comments:
Post a Comment