Pages

Monday, April 5, 2010

TRANSFORMASI KAPAL MISC KEPADA TLDM - SATU CADANGAN

Sumber Majalah Perajurit Edisi Mac 2010
Oleh Hamzah Hd.

Banyak perkara yang telah ditakdirkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sepanjang pencapaian di angka 75 tahun usianya. TLDM yang telah merayakan usia Jubli Intannya pada tahun 2009 dengan pelbagai peristiwa termasuk pentauliahan dan perlucutan tauliah aset.

Terkini dengan pengaktifan platform terbaru permukaan Kapal Peronda Generasi Baru KD PERAK, KD TRENGGANU dan platform bawah permukaan KD TUN ABDUL RAHMAN ke dalam armada telah mewarnai pertahanan maritim negara daripada keupayaan brown water kepada blue water navy. Anjakan keupayaan ini telah banyak mencetuskan spekulasi dan perbincangan hangat dalam kalangan peminat-peminat pertahanan dalam dan luar negara yang melihat perkembangan ini dari pelbagai sudut pro dan kontranya.

Mereka-mereka yang positif melihat anjakan ini bukan berdasarkan ucapan dan keyakinan panglima tertinggi TLDM sahaja tetapi mereka melihat dengan penilaian strategi pertahanan, kemampuan kelengkapan dan semangat juang modal insan yang telah dilatih menjadi operatornya. Manakala mereka-mereka yang melihat dari sudut negatifnya menyatakan kebimbangan dan ketidakyakinan dengan kemampuan aset dan ekuipmen yang ada untuk berdepan dengan kelebihan kelengkapan yang dimiliki oleh angkatan Negara jiran yang dijangka menjadi ‘musuh’ di atas kertas perbandingan.

Pengaktifan KD SULTAN BADLISHAH sebagai pangkalan utama Perairan Utara Semenanjong telah memberikan satu lagi dimensi keselamatan maritim yang akan bekerjasama rapat dengan agensi-agensi penguatkuasaan maritim yang lain di dalam menguatkuasa dan membenteras anasir-anasir pelanunan, penyeludupan, pencerobohan memungut hasil laut dan sebagainya.

Pada saat TLDM memerlukan pertambahan kapal pengangkut untuk tujuan logistik dan di dalam perkiraan ATM sedang memilih dan menunggu kelulusan kerajaan untuk perolehan Kapal Bantuan Pelbagai Guna (MPSS) bagi keperluan operasi Angkatan Bersama, KD SRI INDERAPURA (KD SIP) mengalami insiden kebakaran yang membawa kepada perlucutan tauliah. Sesuatu yang agak mengaibkan ialah bila perlucutan kapal perang ini berlangsung tidak seperti biasa yang selalunya disebabkan aset yang telah usang atau aset yang tidak ekonomik untuk diperbaiki tetapi ianya terpaksa dilucutkan disebabkan kemusnahan besar yang diakibatkan kebakaran. Kebakaran KD SIP merupakan satu kehilangan besar kepada negara kerana walaupun perkhidmatan KD SIP dalam TLDM berusia hanya hampir 15 tahun namun penglibatannya dalam pelbagai operasi dalam dan luar negara sangat-sangat dibanggakan. Insiden ini telah memberi impak yang besar kepada situasi kekurangan di dalam Flotilla Bantuan TLDM.

Kerjasama dan Perkongsian Strategik 1

Peperangan tidak simetri yang dianggap baru dalam konteks pertahanan di mana suatu kumpulan yang tidak mempunyai kekuatan keanggotaan, kelengkapan maupun persenjataan menuntut sesuatu pembebasan atau bergerak untuk mengumpul pendapatan melalui perjuangan, pemberontakan atau keganasan. Aktiviti perlanunan di Telok Eden Perairan Somalia mencetus satu fenomena baru kepada industri maritim negara di mana dua buah kapal Malaysia International Shipping Corporation (MISC) MT BUNGA MELATI 2 dan MT BUNGA MELATI 5 telah ditawan dan dipaksa membayar tebusan dalam masa satu bulan pada 2008.

Situasi ini walaupun bukan ancaman sebenar kewujudan sesebuah tentera laut namun keadaan ini bertambah buruk dan turut merugikan negara-negara yang terlibat jika tidak ditangani dengan serius.

Justeru bagi menentukan perkara yang sama tidak berlaku lagi ke atas perkapalan perdagangan Malaysia maka kerajaan mengambil pendekatan bahawa TLDM adalah elemen terbaik yang mampu mengekang fenomena ini. Atur gerak TLDM adalah mengikut arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu Arahan No.18 yang menyatakan PASKAL sebagai pasukan melawan keganasan maritim bagi aset aset negara yg terletak di dalam lingkungan Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) negara.

National Training Exercise (NATEX) NAGA EMAS adalah latihan melawan keganasan di atas kapal dagang MISC manakala latihan melawan keganasan di atas pelantar minyak dinamakan NATEX JERUNG EMAS yang melibatkan syarikat-syarikat carigali minyak seperti PETRONAS, SHELL dan ESSO.

Melaksanakan peranan waktu aman ini juga telah menzahirkan kesungguhan dan kesabaran TLDM malah menguji kemampuan Pasukan Khas Laut (PASKAL) bertindak dalam situasi sebenar mendepani ancaman peperangan tidak simetri khusus terhadap lanun-lanun profesional yang mempunyai kelengkapan ala tentera. Bermula dari sini OPERASI FAJAR (OPS FAJAR) dibentuk yang melibatkan elemen ATM dan penugasan 5 buah kapal TLDM ke Teluk Aden sejak Ogos 2008.

Ternyata operasi ini telah berjaya dan terbukti di mana tiada kapal MISC atau pun kapal berkepentingan yang dirampas sepanjang operasi ini dilaksanakan sejak Ogos 2008 sehingga kembalinya KD SRI INDERAPURA dari penugasan kali kedua di Teluk Aden pada Jun 2009.

Kekangan TLDM khususnya kerajaan Malaysia ialah kekurangan kapal bantuan pelbagai guna dan membelanjakan kos operasi yang tinggi jika berterusan beroperasi untuk jangka masa panjang.

Untuk penyelesaian jangka panjang terhadap keselamatan, satu konsep kerjasama dan perkongsian strategik di antara TLDM dan MISC telah termeterai. Sebuah kapal dagang ditransformasikan menjadi sebuah kapal Auxiliary TLDM (BUNGA MAS 5 (BM 5) bagi menyelesaikan satu masalah negara khususnya ATM mengekang ancaman baru.

Penggabungan kekuatan pasukan tetap ATM yang terdiri daripada anggota TLDM, TDM dan TUDM dengan krew BM 5 yang telah diserapkan ke Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM) untuk melaksanakan operasi menjaga keselamatan kapal-kapal dagang Malaysia yang berkepentingan di zon-zon yang berisiko tinggi seperti di Perairan Teluk Aden Somalia.

BM 5 yang bersaiz 132.8 meter panjang dan 22.7 meter lebar berupaya beroperasi dalam kelajuan lebih 17 knot. Kapal Auxiliary ini turut dilengkapi dengan hangar bagi menempatkan pesawat Super Lynx dan juga Bot Tempur milik TLDM untuk melaksanakan operasi defensif mahupun ofensif jika diperlukan. Kehadiran kapal Auxiliary yang telah dipertingkatkan keupayaannya ini, diyakini dapat memastikan kepentingan negara di Perairan Teluk Aden tidak lagi diancam.


TLDM juga pernah melaksanakan kerjasama yang serupa dengan Pelangi Shipping (PSSB) selama 10 tahun (2001-2010) di mana bekas sebuah kapal persiaran Jepun yang telah diubahsuai untuk kegunaan sebagai kapal latihan TLDM. MV Fajar Samudera sedikit sebanyak telah memberi kemudahan kepada TLDM kerana dengan adanya kapal ini telah banyak mengurangkan kebergantungan Markas Armada kepada flotilla-flotila yang ada untuk tujuan latihan kepada PSSTLDM dan sebagainya. Penamatan kontrak dengan MV Fajar harus disusuli dengan kerjasama yang baru.

Kerjasama dan Perkongsian Strategik 2 – Satu Cadangan

Berdasarkan keberhasilan kerjasama dan perkongsian strategik 1, penulis merasakan bahawa kerjasama dan perkongsian strategik seumpama perlu diteruskan dan diperluaskan terutamanya bagi penugasan di Selat Melaka dan di sekitarnya walaupun sebelum ini belum mencetus apa-apa fenomena serius dalam konteks aktiviti pelanunan terhadap kapal-kapal perdagangan antarabangsa yang menggunakan Selat Melaka.

Malah sebelum ini PASKAL telah mencadangkan supaya menempatkan satu pasukan yang diterajui PASKAL sebagai langkah berjaga-jaga untuk menjaga keselamatan kapal-kapal dagang yang berdaftar di Malaysia yang memasuki zon-zon berisiko tinggi. Namun saranan ini belum menjadi kenyataan mungkin di atas faktor-faktor kekangan ekonomi atau sudah memadai dengan langkah-langkah keselamatan yang telah diambil oleh International Maritime Organization (IMO)dan pertubuhan-pertubuhan yang berkaitan dengan industri perkapalan.

Kerjasama dan perkongsian strategik antara TLDM dan MISC atau dengan mana-mana konsortium perkapalan negara adalah salah satu kunci untuk menjadikan negara ini sebagai satu kuasa maritim serantau yg disegani. Mungkin sebelum ini masih kurang kebergantungan TLDM kepada entiti-entiti perkapalan ini kerana masing-masing mempunyai fokus dan keperluan berbeza.

Satu contoh terbaik yg memperlihatkan kemampuan kerjasama dan perkongsian di antara entiti peperangan dan entiti awam adalah pengerahan kapal-kapal milik konsortium awam ke dalam Tentera Laut British (RN) ketika perang Falkland.

Semasa perang Falklands, United Kindom (UK) telah mengaplikasikan konsep pengerahan kapal-kapal milik konsortium-konsortium perkapalan awam bagi tujuan menyokong operasi armada. Contoh terbaik adalah pengerahan STENA INSPECTOR yang pada asalnya adalah sebuah kapal Offshore Support Vessel yang digunakan untuk menyokong operasi carigali petroleum dan gas di luar pantai Laut Utara yang kemudiannya dikerah sebagai platform baikpulih medan.

STENA INSPECTOR melaksanakan tugasan baikpulih kapal-kapal perang yang mengalami kerosakan akibat serangan peluru berpandu anti perkapalan oleh Argentina menyebabkan pengerahan bertukar menjadi pemilikan di mana RN membeli kapal tersebut dan dimasukkan ke dalam inventori Royal Fleet Auxiliary (RFA). Sehingga kini STENA INSPECTOR atau RFA Diligence masih lagi berkhidmat kepada RN terutama dalam membaikpulih kapal perang dan kapal sokongan pelbagai di mana sahaja. RFA adalah satu cabang angkatan laut UK yang mana mereka mengoperasikan kapal-kapal sokongan seperti auxiliary tanker atau kapal-kapal pendarat seperti Landing Platform Dock (LPD) atau Landing Ship Tanker (LST).

Selain itu terdapat juga kapal kontena dan kapal roll-on roll off (ro-ro) yang turut dikerah sebagai pengangkut peralatan pesawat dan kenderaan tempur semasa konflik tersebut termasuk pengerahan kapal persiaran QUEEN ELIZABETH 2 sebagai troopship yang digunakan untuk membawa tentera marin dan tentera darat UK ke Falklands.

Konsep yang sama boleh diaplikasikan kepada TLDM dan syarikat perkapalan negara walaupun pada asasnya senario yang diberikan di atas adalah berlaku akibat RN kekurangan aset dan berlaku pemotongan dana bagi membangunkan aset-aset tertentu namun ia masih lagi boleh digunakan dalam waktu aman selain wujud persamaan di antara RN ketika itu dan RMN pada masa kini iaitu kekurangan dana dan kekurangan aset.

MISC mempunyai sejumlah 107 buah kapal dengan jumlah terbesar dalam armadanya merupakan petroleum tanker iaitu sebanyak 47 buah, Liquefied Natural Gas (LNG) carrier sebanyak 29 buah, kapal kontena 9 buah dan 19 buah chemical tanker.

Fokus di sini adalah kepada kapal tangki dan kapal kontena yang dapat memberikan kelebihan kepada TLDM bagi menyokong operasi armada dan pembekalan pangkalan. Dari jumlah ini hanya kapal-kapal tangki dan kapal kontena yang secara prinsipnya boleh diguna atau dikerahkan.

Platform-platform lain seperti offshore support vessel, anchor handling tugs, sea going tugs dan roll on roll off vessel (kapal yg memebawa kargo berbentuk automobil seperti kereta dan lori dlm kuantiti besar) tidak dimiliki oleh MISC tetapi wujud dalam kuantiti yang banyak dan dimiliki oleh konsortium perkapalan tempatan seperti Alam Maritim dan Tanjung Offshore yang kebanyakannya lebih fokus kepada industri minyak dan gas namun aset-aset ini juga dilihat boleh membantu operasi-operasi tertentu di dalam- keadaan memerlukan.

Pada masa sekarang konsortium perkapalan lebih bergantung kepada TLDM namun sekiranya keadaan mendesak, konsortium-konsortium yang wujud dapat menyokong operasi TLDM dalam pelbagai aspek dari pembinaan kapal, senggaraan, ulang bekal malah kerahan tenaga modal insan.

Kepelbagaian konsortium perkapalan dengan fokus mereka yang berbeza-beza dalam industri adalah suatu petanda baik selain kemampuan pelbagai konsortium-konsortium ini boleh dieksploitasi oleh TLDM bagi menyokong sesuatu operasi sebagai contoh, penggunaan offshore support vessel yang mempunyai fasilitas bagi penyelam laut dalam, Deep Submergence Rescue Vehicle (DSRV) dan underwater remote vehicle untuk tujuan submarine rescue di mana kapal ini asalnya digunakan untuk pemeriksaan pipeline dasar laut atau struktur carigali dan juga kimpalan dalam air.



Kegunaan platform ini menyerlah ketika karamnya kapal selam nuklear Rusia Kursk beberapa tahun lalu yang memperlihatkan kapal milik awam mengetuai operasi menyelamat memandangkan pihak Rusia memiliki kemampuan yang terhad di dalam aspek tersebut.

Sekiranya TLDM memerlukan satu platform yang boleh melaksanakan pembekalan dari segi bahan api dan air bersih, sebuah kapal tangki yang diubahsuai dapat memenuhi kehendak ini.

Ubah suai akan melibatkan refueling point dan penambahan geladak penerbangan bagi tujuan vertical replenishment selain tangki yang sedia ada dapat menampung pelbagai komoditi bahan api yg berbeza gred (kerosene untuk bahan api helikopter, heavy fuel oil (HFO) dan Marine Diesel Oil (MDO) untuk kapal) dan fasilitas yang mampu menjana air bersih dalam kuantiti lebih besar (kapal-kapal) sedia ada mampu menjana air bersih sebanyak 2 tan sehari bergantung kepada kegunaan).

Ubah suai yang dinyatakan di atas lebih kepada suasana konflik berbanding suasana aman memandangkan TLDM telah pun mempunyai platform yang digunakan untuk tujuan bantuan pelbagai misi.

Pada waktu aman, penugasan kapal tangki ini adalah lebih kepada pembekalan bagi pangkalan (dalam kes ini pembekalan bahan api) atau pembekalan air bersih kepada pos-pos hadapan di Gugusan Semarang Peninjau (GSP) memandangkan kapal tangki ini mampu membawa komoditi bahan api pelbagai gred bagi tugasan ini. Ubah suai tidak diperlukan kerana kapal itu sendiri mempunyai fasilitas untuk load/discharge cargo. Kapal masih lagi mengekalkan krew dari konsortium perkapalan tetapi terikat dengan charter dari kerajaan yang memerlukan kapal tersebut untuk berkhidmat dengan TLDM dalam jangka masa tertentu.

Bagi kapal kontena, ubah suai seperti yang dilaksanakan pada BM 5 adalah contoh yang versatile di mana kapal tersebut boleh melaksanakan tugasan pelbagai dari menyokong operasi helikopter dan pasukan khas hinggalah pembekalan. Walaubagaimanapun bagi tujuan menyokong operasi armada, kapal sedia ada tanpa sebarang konversi sudah mencukupi. Segala bentuk bekalan dari bahan letupan hinggalah makanan boleh ditempatkan di dalam kontena dan dibawa dengan selamat ke mana-mana destinasi malah adalah tidak keterlaluan jika menyatakan bahawa kapal ini turut mampu membawa kenderaan tempur tetapi tidak terlalu fleksibel seperti kapal roll-on roll off atau kapal pengangkut milik TLDM.

Kapal kontena yang mempunyai dek yang luas dan ruangan kargo yang besar dapat memenuhi keperluan sementara TLDM. Bagi kapal pengangkut helikopter atau kapal pengangkut pesawat Vertical Take-Off and Landing (VTOL) seperti yang di aplikasikan oleh RN dalam Perang Falklands terhadap kapal-kapal seperti Atlantic Conveyor dan Atlantic Causeway. Keperluan ini tidak mendesak terutama bagi tujuan konflik tetapi aplikasi ini dapat digunakan untuk operasi vertical replenishment antara kapal-kapal.

Pembekalan dilaksanakan dengan helikopter yang mendarat di atas geladak yang diubahsuai sementara bekalan ditempatkan didalam kontena dalam bentuk pallet. Bekalan ini hanya dikeluarkan apabila operasi replenishment dilakukan dan kontena tersebut bertindak sebagai perlindungan kepada komoditi tersebut dari ancaman cuaca.

Satu lagi kebaikan yang dilihat jika konsep ini dilaksanakan secara tidak langsung akan merealisasikan Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) sepertimana yang terkandung dalam Dasar Pertahanan Negara untuk seksyen maritim.
Penyerapan kakitangan perkapalan kepada PSSTLDM memberi satu kelebihan terutama ketika waktu konflik di mana jumlah keanggotaan dan aset bertambah secara drastik dan keperluan untuk melatih krew ini dari asas adalah kurang kerana mereka-mereka ini juga telah terlatih di dalam bidang Ilmu Kelautan dan Panduarah.

Sebahagian daripada tradisi maritim sudah praktikkan cuma apa yang perlu diberi pendedahan ialah pengetahuan peperangan dan tradisi-tradisi tentera laut. Sekaligus telah memberi penjimatan ketara dari segi masa dan kos untuk melatih seseorang individu menjadi seorang anggota PSS yang kompeten. Perkara ini telah pun dilaksanakan oleh MISC terhadap krew dan pegawai mereka yang ditugaskan di atas kapal MV BM5 di mana mereka diberikan latihan asas ketenteraan walaupun pada dasarnya tugasan MV BM 5 lebih kepada naval escort dan bukan replenishment.

Kesimpulan


Jika alternatif ini diambil kira, beberapa tugasan dijangka boleh ditangani dengan segera dan beberapa masalah yang sedang melanda pihak-pihak perkapalan negara juga boleh dikurangkan. Situasi menang-menang yang sekali gus menguntungkan rakyat Malaysia tanpa perlu pengaliran keluar mata wang negara.

Ubah suai juga mampu dilakukan di dalam negara yang mana Marine and Heavy Engineering (MMHE) dahulu dikenali sebagai Malaysian Shipyard and Engineering (MSE), anak syarikat MISC yg mempelopori bidang kejuruteraan berat dalam industri perkapalan dan maritim mempunyai fasilitas limbungan terbesar dan merupakan firma yang melaksanakan ubah suai bagi MV BM5.

Dalam kaedah ini juga beberapa masalah kekurangan anggota dan pegawai TLDM dapat diatasi untuk pengoperasian sesebuah kapal. Krew dan pegawai dari konsortium perkapalan yang majoritinya mempunyai kemahiran Ilmu Kelautan dan Paduarah yang setanding boleh diserap ke dalam PSSTLDM.

Kapal-kapal yang telah diubah suai ini boleh diletakkan ke dalam satu skuadron baru yang boleh dinamakan Skuadron PSS dan berguna bagi melengkapkan latihan teori dan praktikal bagi semua anggota dan pegawai PSSTLDM yang sedia ada.

Kerjasama dan perkongsian strategik seperti ini wajar diperluaskan kepada satu angka yang boleh memenuhi keperluan TLDM sementara menunggu bajet untuk perolehan platform sebenar. Dalam keadaan kekangan ekonomi negara yang tidak memberansangkan ini agak mustahil untuk menyegerakan perolehan kapal MPSS yang sempurna dan baru tambahan lagi untuk menggenapkan bilangan yang diperlukan dalam masa yang singkat bagi memenuhi keperluan TLDM.

Sesuatu yang nampak sukar adakalanya memberi banyak kelebihan jika diberi perhatian serius oleh kedua-dua belah pihak. Tenyata konsep ini telah pun berjaya dilaksanakan terhadap MV BM5 dan MV Fajar Samudera. PERAJURIT

No comments:

Post a Comment