Pages

Friday, April 30, 2010

Eksesais Perang Pangkor berjaya

Sumber Utusan

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
pengarang@utusan.com.my

LUMUT 29 April - Eksesais Perang Pangkor Siri 6/2010 yang diadakan di perairan Selat Melaka dekat sini semalam berjaya mencapai matlamat dalam menguji kemampuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk menghadapi peperangan.

Ketua Markas Armada TLDM, Laksamana Pertama Mior Rosdi Mior Mohd. Jaafar berkata, beliau berpuas hati dengan tahap kesiagaan serta kecekapan kapal, anak kapal dan sistem kapal dalam menghadapi pelbagai senario peperangan termasuk di udara, permukaan dan bawah air.

''Kita mula dengan serangan oleh Pasukan Khas Laut (Paskal) KD Panglima Hitam diikuti serangan udara menggunakan pesawat Hawk dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), manuver (gerakan sukar) oleh kapal, pemindahan barang dari kapal ke kapal, penembakan malam serta latihan melawan kebakaran dan banjir.

''Saya puas hati eksesais Perang Pangkor kali ke-6 pada tahun ini telah mencapai matlamat," katanya ketika ditemui pemberita selepas berakhirnya eksesais Perang Pangkor di sini malam tadi.

Eksesais yang bermula dari pukul 1.30 petang hingga 12.30 tengah malam itu melibatkan kapal KD Kedah, KD Lekiu dan KD Sri Indera Sakti; sebuah helikopter Fenec dan helikopter Superlynx, dua buah pesawat Hawk dan tiga buah bot dari Paskal.

Ia diadakan di sebuah kawasan latihan yang terletak sejauh 45 batu nautika dari Pangkalan TLDM Lumut di sini.

Para petugas media turut diberi peluang membuat liputan eksesais tersebut sempena Hari Bersama Media TLDM yang disambut pada 27 April lalu.

Menurut Mior Rosdi, Markas Armada merancang untuk mengadakan sekurang-kurangnya 20 eksesais Perang Pangkor pada tahun ini.

Jelas beliau, ia adalah selaras dengan langkah berjimat-cermat oleh kerajaan.

''Sebab itu, latihan ini dibuat secara intensif dan komprehensif supaya tidak membazir," katanya.

Eksesais Perang Pangkor mula dijalankan oleh TLDM pada 2006 berasal dari 'Thursday War' (Perang Khamis) yang dilaksanakan oleh Tentera Laut Diraja United Kingdom.

Dalam pada itu, beliau berkata, Hari Bersama Media TLDM mungkin menjadi acara tahunan supaya hubungan baik antara pasukan keselamatan itu dengan pihak media dapat terus dijalinkan.

''Saya harap media terus membantu mempromosikan TLDM kepada masyarakat tempatan dan semua rakyat Malaysia," katanya.

No comments:

Post a Comment