Sumber Utusan
KUALA LUMPUR 18 April - Malaysia dijangka membelanjakan lebih RM10.4 bilion bagi memperoleh aset pertahanan baru sempena Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia 2010 (DSA 2010) yang bermula esok sehingga Khamis ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, aset-aset yang menjadi tumpuan perolehan Malaysia kali ini termasuk kereta perisai beroda, kapal pengangkut pelbagai guna, pesawat tempur, kapal pengangkut generasi baru (NGPV) dan kapal frigat.
Katanya, perolehan aset terbaru itu berupaya meningkatkan kredibiliti pertahanan negara terutama bagi menghadapi ancaman tidak konvensional seperti kegiatan pengganas.
"Kami (Malaysia) kini melihat kepada kemungkinan mendapatkan kereta perisai beroda, kapal pengangkut pelbagai guna, pesawat tempur, kapal pengangkut generasi baru (NGPV) dan kapal frigat.
"Saya juga mengumumkan bahawa kerajaan Malaysia akan menandatangani kontrak bernilai lebih RM10.4 bilion yang akan dilakukan dalam masa beberapa hari lagi (sempena DSA 2010)," katanya berucap merasmikan DSA 2010 di sini malam ini.
Majlis itu turut dihadiri lebih 600 delegasi asing termasuk menteri-menteri pertahanan dan duta luar negara.
Sebelum ini, penganalisis pertahanan tempatan berpendapat kerajaan perlu menyegerakan proses penggantian beberapa aset pertahanan seperti kereta perisai Condor milik Tentera Darat yang sehingga kini masih aktif digunakan.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, beliau berbangga dengan penyertaan syarikat tempatan pada DSA kali ini yang mencatatkan pertambahan 300 peratus berbanding DSA 2008.
Katanya, penyertaan itu membuktikan Malaysia komited terhadap pembangunan pertahanan terutamanya di rantau Asia.
Selain syarikat tempatan, DSA kali ini juga mencatatkan penyertaan ratusan firma dari 30 negara serta dilawati oleh lebih 26,000 pelawat dari seluruh dunia.
No comments:
Post a Comment