Pages

Sunday, April 4, 2010

ATM, TNI wujud kerjasama tangani keganasan

Sumber Utusan

MELAKA 2 April - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) akan bekerjasama dari segi perisikan, latihan dan pembinaan keupayaan ke arah memastikan ancaman keganasan di rantau Asia Tenggara berada di tahap yang rendah.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin berkata, kerjasama itu amat penting memandangkan rantau ini turut dibelenggu oleh ancaman keganasan yang dicetuskan oleh elemen subversif tempatan dan rangkaian pengganas antarabangsa.

Menurutnya, sejak insiden 11 September ia telah mewujudkan dimensi baru ancaman asimetrik terhadap imbangan keselamatan strategik global, dan rantau ini tidak terkecuali menjadi ancaman pengganas.

''Sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap keselamatan di rantau ini, adalah wajar bagi ATM dan TNI bekerjasama dalam menangani ancaman keganasan secara bersama khususnya di perairan Selat Melaka.

''Tidak ada angkatan tentera walau sehebat mana mampu menghadapi ancaman keganasan yang beroperasi dari dalam dan luar negara secara bersendirian.

''Walaupun kita telah mencapai beberapa kejayaan dalam pendekatan strategik tetapi harus diingat bahawa kumpulan pengganas pada masa kini semakin profesional, licik dan berani," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan latihan gabungan bersama, di darat, laut dan udara (Eksesais Malindo Latgabma Darsasa 7AB 2010) di pantai Hotel Everly Resort di sini hari ini.

Turut hadir ialah Panglima TNI, Jeneral Djoko Santoso; Leftenan Jeneral, Datuk Wira Allatif Mohd. Nor dan Asisten Operasi Panglima TNI, Jeneral Supiadin AS.

Eksesais siri ketujuh yang bertemakan Pasukan Komando Tugas Gabungan menangani Keganasan melibatkan seramai 1,243 anggota ATM dan 452 TNI, telah bermula dari 25 Mac hingga 10 April ini.

Selain melibatkan ATM dan TNI, latihan itu turut disertai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polisi Republik Indonesia (POLRI).

Penglibatan Malaysia dan Indonesia dalam latihan tersebut bermula sejak 1984 dan merupakan salah satu program kerjasama ketenteraan dua hala yang dijalankan dalam bentuk eksesais.

Azizan menjelaskan, eksesais itu bertujuan mempertingkatkan kerjasama di antara ATM dan TNI dalam menghadapi ancaman keganasan di samping memperkukuhkan semangat serta keakraban persahabatan sedia ada.

Beliau menambah eksesais itu juga adalah sebagai penanda aras ke arah matlamat jangka panjang untuk menilai keberkesanan dan kesesuaian doktrin peperangan bersama.

Menurutnya, ia juga akan menilai kemampuan komponen-komponen angkatan bersama khususnya bagi ketiga-tiga pasukan dari ATM dan TNI dapat melaksanakan tugas secara bersama dalam menangani ancaman keganasan.

''Latihan ini juga akan memberi ruang baru bagi kedua-dua negara menangani ancaman keganasan dengan lebih efisien dan efektif," katanya.

Sementara itu Djoko Santoso berkata, eksesais yang diadakan berkonsepkan operasi melawan keganasan menggabungkan tiga pasukan dalam ATM dan TNI adalah wajar dan relevan dengan mengambil senario ancaman pada masa kini.

Menurutnya, angkatan tentera di rantau ini tidak lagi sekadar menguruskan konflik antara negara semata-mata, tetapi sebaliknya lebih penting menuntut tahap profesionalisme kedua-dua negara menangani kemunculan ancaman keganasan di rantau ini.

''Saya yakin latihan ini akan dapat meningkatkan ketumbukan tentera yang lebih fleksibel antara kedua-dua negara dalam menangani krisis keganasan bagi memelihara keselamatan bersama," katanya.

Eksesais yang diadakan itu turut melibatkan serangan pengganas di dalam bangunan, kapal laut, pesawat udara, pertahanan nuklear, biologikal dan kimia.

No comments:

Post a Comment