Sumber utusan
Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my
PELABUHAN KLANG 9 Feb. – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah menyerapkan anggota serta aset Polis Marin dan Jabatan Perikanan ke dalam Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam masa terdekat bertujuan memperkasakan agensi itu.
Timbalan Perdana Menteri memberitahu, selain itu, penyerapan tersebut juga akan memastikan tiada pertindihan tugas berlaku di antara agensi-agensi penguatkuasaan maritim berkenaan.
“Mesyuarat mengenai perpindahan agensi-agensi ini akan diadakan untuk pastikan seluruh aset, tenaga pegawai dan anggota berkenaan dapat dipindahkan.
“Sebenarnya, kita (kerajaan) tidak mahu ada pertindihan tugas dari segi tanggungjawab mereka,’’ katanya pada sidang akhbar di perairan Pulau Pintu Gedung dekat sini hari ini.
Beliau sebelum itu menyaksikan Eksesais Maritim Perkasa APMM siri pertama tahun ini di perairan berkenaan.
Eksesais yang berlangsung selama lebih sejam itu menyaksikan penglibatan lebih 1,000 anggota APMM dengan menggabungkan 12 kapal serta tiga aset udara agensi tersebut, termasuk pesawat amfibia Bombardier 415MP.
Ia turut disaksikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, Ketua Pengarah APMM, Laksamana Datuk Mohd. Amdan Kurish serta wakil-wakil media.
Tambah Muhyiddin, penubuhan APMM sejak 2006 lalu adalah perlu bagi menjaga kepentingan dan keselamatan kawasan perairan negara yang luas.
Katanya, keadaan itu membuatkan tugas APMM dilihat penting dan mencabar.
Namun jelas beliau, APMM telah melakukan tugas dengan baik berdasarkan statistik pemeriksaan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan tangkapan di laut yang dilakukan agensi itu selama ini.
Bagi tahun 2006, katanya, sebanyak 360 pemeriksaan kapal di perairan negara telah dilaksanakan APMM dan ia meningkat pada 2007 dengan 4,497 pemeriksaan, 2008 (7,396), 2009 (13,528) dan 1,239 pemeriksaan dijalankan sehingga 5 Februari tahun ini.
Bilangan tangkapan ke atas pesalah di lautan yang dilaksanakan APMM pula adalah sebanyak 176 kes pada 2006, 683 kes (2007), 639 kes (2008), 1,028 kes (2009) dan 155 kes setakat Februari ini.
Muhyiddin juga berkata, kerajaan telah membelanjakan RM600 juta bagi membeli aset-aset terbaru APMM pada tahun lalu.
Katanya, perolehan aset-aset baru untuk APMM masih dijalankan melalui bajet tahun ini serta dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bagi memantapkan pasukan berkenaan.
Dalam perkembangan lain, katanya, kes kehilangan dua rakyat tempatan dari ladang pemeliharaan rumpai laut di Pulau Sebangkat, berhampiran Semporna semalam tiada kaitan dengan amaran perjalanan yang dikeluarkan Kedutaan Amerika Syarikat sebelum ini.
Sebaliknya tegas beliau, ia merupakan satu kejadian penculikan yang mungkin membabitkan rompakan ke atas seorang usahawan di sana dan tidak menunjukkan ia dilakukan oleh pihak luar.
“Bagaimanapun, pihak polis dan APMM kini sedang menjalankan operasi-operasi yang diperlukan,’’ jelasnya.
Wajarkah Polis Marin diketepi?
ReplyDeleteSumber : Forum utusan
Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa kerajaan akan menyerapkan aset Polis Marin dan Jabatan Perikanan ke dalam Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) untuk mengelak pertindihan pelaksanaan tugas dan untuk menjadikan APMM sebagai agensi maritim yang tunggal, amat mengelirukan.
APMM hanya ditubuhkan dalam tahun 2005 sebagai agensi maritim ala Coast Guard (Pengawal Pantai) seperti di Amerika Syarikat dan lain-lain negara yang tidak mempunyai polis kebangsaan.
Justeru bagaimana sebuah badan penguatkuasa yang berasaskan penugasan tentera laut yang baru sahaja ditubuhkan wajar mengambil alih penugasan dan aset pasukan Polis Marin, yang telah wujud lebih dari 60 tahun? Ia menimbulkan pelbagai tanda tanya di kalangan pesara polis yang bimbang tindakan ini akan melemahkan pasukan, justeru boleh menjejaskan pengawalan keselamatan dalam negara.
Polis Marin bukan sahaja di antara beberapa cawangan dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tetapi adalah keperluan operasional PDRM untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya seperti yang termaktub dalam Seksyen 3 Akta Polis 1967.
Polis Marin sedia mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam bidang penugasannya. Ini sehaluan dengan matlamat PDRM ia itu mengesan, menyiasat kejadian kejadian jenayah, mengawal dan menjaga ketenteraman awam, menangkap dan mendakwa pesalah di bawah undang undang yang memberinya kuasa, mencari dan mendapatkan bahan-bahan risikan mengenai ancaman kepada keselamatan negara.
Jika penyerapan ini berlaku bermakna PDRM akan hilang sebahagian daripada cawangan yang penting dan boleh juga menjejaskan kekesanan pelaksanaan tugas PDRM keseluruhannya.
APMM berasaskan ketenteraan laut, walhal Polis Marin penugasan kepolisan. Kedua-dua tugas ini jauh berbeza dan boleh juga bercanggah antara satu sama lain. Begitu juga akan berlaku kepada pegawai dan anggota, khususnya APMM yang berasal dari Tentera Laut.
Jenayah yang berlaku di laut sering bermula dan berakhir di darat. Bagi Polis Marin, mereka adalah sebahagian daripada PDRM dan mudah mendapat maklumat serta pelbagai kerjasama daripada rakan rakan di Ibu Pejabat Kontinjen Polis, Ibu Pejabat Polis Daerah dan di balai-balai polis.
APMM akan mengambil masa lama bukan sahaja untuk memahami selok belok perlakuan jenayah yang menggunakan laut sebagai kawasan kegiatan mereka, tetapi juga akan mengambil lebih lama dalam mengumpul data dan pengalaman bagi memastikan tugas dan tanggungjawab yang baru dapat dilaksanakan dengan berkesan.
PDRM masih memerlukan satu cawangan untuk penugasan di perairan. Jika aset mereka diserapkan kepada APMM, PDRM mungkin akan mencari dan mendapatkan aset serta keanggotaan baru. Sudah tentu ini semua akan menimbulkan kesulitan dan merumitkan segala usaha untuk mencegah jenayah, apatah lagi dalam mengawal ancaman kepada keselamatan negara.
Perlukah membuat perubahan yang tidak akan menguntungkan? Jika penyerapan yang dicadangkan ini adalah dari satu pasukan yang kurang mantap kepada yang lebih mantap, sudah tentu satu perkara yang baik. Tetapi APMM tidak mempunyai pengalaman yang luas dalam pengawasan, pengawalan dan pencegahan jenayah dan tidak mempunyai back-up yang matang.
Diharap pucuk kepimpinan PDRM dan Kementerian Dalam Negari prihatin dengan senario pengawalan jenayah pelbagai bentuk dari pandangan yang lebih luas. Ini kerana kemungkinan akan timbul kesan negatif.
Seperti yang dijelaskan ketika ditubuhkan, APMM seharusnya bertanggung jawab di kawasan perairan melebehi 12 batu dari pantai. Tidak perlu mengganggu pelaksanaan tugas dan tanggung jawab PDRM, sebaliknya ia wajar lebih diperkemaskan. Negara masih memerlukan Polis Marin.
Perbesarkanlah APMM tetapi jangan sentuh hak PDRM. Wujudkan sistem kerjasama ke arah pencapaian hasil kerja yang lebih bermakna.
Zulkifli Abdul Rahman
Shah Alam, Selangor
semasa membuat liputan bersama anggota UNGERIN di LIMA'09 tempohari saya mendapat feedback dari anggota UNGGERIN yang mereka merayu supaya mereka tidak dikeluarkan dari PDRM. sungguh-sungguh mereka merayu. Mereka bangga bersama PDRM.
ReplyDeleteTetapi persoalan saya, kenapa beria-ia benar anggota PDRM tidak mahu unit marin diserap ke dalam APMM. Apa kah kemungkinan-kemungkinan yang akan timbul jika cadangan ini dilakukan kelak?
Kerajaan tidak cadang bubar, serap Polis Marin
ReplyDeletePUTRAJAYA 17 Feb. - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, kerajaan tidak bercadang membubarkan pasukan Polis Marin atau menyerapkannya dalam mana-mana agensi.
Sebaliknya, kata beliau, sebarang perubahan mengenai pasukan itu perlu dilihat dalam konteks penstrukturan semula unit-unit dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) secara menyeluruh.
"Polis Marin masih mempunyai peranannya, kita bukan hendak serap atau bubar tetapi hendak pastikan tiada pertindihan.
"Apabila sudah tahu semua ada tanggungjawab masing-masing, maka kita bergerak sebagai satu pasukan, bermakna tiada pembaziran dan kita tahu sasarannya," katanya.
Beliau bercakap demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet di kementerian di sini hari ini.
Pada 9 Februari lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, langkah menyerapkan anggota serta aset Polis Marin dan Jabatan Perikanan dalam Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam masa terdekat bertujuan memperkasakan agensi itu.
Kenyataan itu mendapat reaksi seorang pembaca Utusan Malaysia yang mempersoalkan usaha menyerapkan Polis Marin ke dalam APMM.
Dalam ruangan Forum Utusan Malaysia hari ini, Zulkifli Abdul Rahman dari Shah Alam menulis, jika penyerapan itu berlaku bermakna PDRM akan hilang sebahagian cawangan yang penting dan boleh juga menjejaskan keberkesanan pelaksanaan tugas PDRM keseluruhannya.
Justeru, katanya, bagaimana APMM sebagai sebuah badan penguat kuasa yang berasaskan penugasan tentera laut yang baru saja ditubuhkan wajar mengambil alih penugasan dan aset pasukan Polis Marin yang telah wujud lebih 60 tahun?
Ia menimbulkan pelbagai tanda tanya di kalangan pesara polis yang bimbang tindakan ini akan melemahkan pasukan, justeru boleh menjejaskan pengawalan keselamatan dalam negara.
Hishammuddin berkata, ini adalah masa paling sesuai semua pihak tidak bersikap emosi sebaliknya menilai secara realistik terhadap kekuatan dan kelemahan pasukan Polis Marin.
"Kita tidak mahu lihat pembaziran dan pertindihan malah jauh sekali tidak menepati sasaran serta matlamat sesuatu unit diwujudkan," katanya.
Saya amat bersetuju dengan cadangan untuk memperkasakan APMM. Fungsi dan tanggungjawab antara APMM dan Polis Marin perlu diperhalusi supaya tidak ada pertindihan. Dengan penubuhan APMM, sebahagian dari fungsi dan tugas Polis Marin wajar diserahkan kepada APMM. Pendapat yang mengatakan bahawa APMM adalah tidak berpengalaman dalam melaksanakan penugasan mereka adalah tidak benar kerana anngotanya telah diserap dari pelbagai jabatan yang juga sebelum ini telah melaksanakan penugasan yang tidak banyak berbeza dengan penugasan yang dipertanggungjawabkan kepada APMM. Apa yang saya lihat keengganan pihak PDRM adalah seperti takut kehilangan kuasa yang ada selama ini dan pelabgai alasan yang tidak begitu menyakinkan (terutamanya "keselamatan negara")untuk menjustifikasikan keengganan mereka.
ReplyDelete