Sumber: Utusan
Oleh MUHAMAD AMIRUL AFIQ MASTOR
MENONTON filem-filem aksi Hollywood kadangkala menyebabkan kita begitu mengagumi kecanggihan dan kehebatan tentera Amerika
Syarikat (AS) dalam menangani pihak musuh.
Operasi menangani keganasan, pemberontakan, menjalankan misi khas serta menyelamatkan tebusan menunjukkan mereka seolah-olah
satu pasukan yang begitu hebat, tangkas serta cekap dalam menjalankan tugas.
Apakah realitinya begitu juga ? Mungkin benar dan mungkin juga sebaliknya kerana aksi dalam filem boleh diperbuat dan ada unsur tokok tambah.
Bagaimana pula dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), apakah mereka juga mempunyai kemampuan yang setanding dengan aksi
tentera AS seperti ditunjukkan dalam filem-filem Hollywood.
Pernah satu ketika dahulu, penulis pernah diberitahu oleh seorang pesara tentera yang mengatakan pasukan elit negara juga hebat dan setanding dengan negara lain.
Jika tidak menyaksikan dengan mata sendiri, sudah tentu sukar untuk mempercayai cerita pesara tersebut lebih-lebih lagi tidak ada filem tempatan yang berjaya menunjukkan kehebatan sebenar ATM.
Peluang menyaksikan demonstrasi pasukan Gerak Khas ATM dalam mencegah keganasan di Hutan Royal Belum, Perak baru-baru ini telah membuka mata penulis tentang kehebatan pasukan elit tersebut.
Ketangkasan dan kecekapan mereka membuktikan kemampuan sebenar pasukan angkatan tentera negara dalam melakukan operasi ketenteraan.
Malah selari dengan usaha pemodenan ATM, pasukan tersebut turut menggunakan peralatan berteknologi tinggi termasuk pesawat udara dalam menjalankan demonstrasi tersebut sekali gus menunjukkan kesepaduan yang mantap operasi dari darat, kawasan perairan dan udara.
Penggunaan pesawat Nuri dan Agusta serta bot tempur Zodiac CCBA, RIRC dan Jetski telah membantu dalam memantapkan lagi operasi menumpaskan keganasan di dalam negara.
Operasi Menyelamat Tebusan
Lokasi berair dan sedikit daratan menjadi pilihan untuk operasi menyelamatkan tebusan dijalankan.
Para anggota tentera yang telah dibekalkan dengan segala ilmu pertempuran telah dikerah bagi menjayakan misi menyelamatkan tebusan dalam demonstrasi itu.
Operasi seperti itu biasanya dijalankan pada waktu malam kerana keadaan gelap dan terkawal, akan menyukarkan musuh mengesan sebarang pergerakan yang dilakukan oleh anggota tentera terlibat.
Pergerakan pada waktu malam juga membantu para anggota mengatur pergerakan yang lebih mudah bagi memasuki kawasan operasi.
Namun ia juga memerlukan ilmu dan kekuatan mental kerana tidak boleh berlaku sebang kesilapan dalam menjalankan operasi seperti itu yang mempertaruhkan nyawa tebusan.
Bagi operasi kali ini, pasukan Gerak Khas menggunakan tiga kaedah dalam menggempur kawasan operasi iaitu udara, air dan darat.
Operasi melalui udara dilakukan oleh dua buah pesawat iaitu Nuri dan Agusta dengan kedua-duanya membawa empat orang anggota.
Mereka terdiri daripada pasukan penembak tepat dan juga anggota penggempur bagi memudahkan pasukan sampai di kawasan operasi.
Kebiasaannya pesawat akan menjatuhkan anggota dalam kedudukan beberapa kilometer daripada kawasan operasi bagi mengelakkan jejak mereka dapat dikesan oleh musuh.
Penggunaan teknik fast roping digunakan oleh pesawat Nuri bagi menurunkan para anggota terus ke dalam laut manakala pesawat Agusta akan menggunakan teknik Rapid Touch and Go dengan menurunkan para anggota di atas darat dengan pantas.
Setelah diturunkan, mereka mula memasuki kawasan operasi dan melihat keadaan sekitar sebelum dua pasukan penggempur tiba di lokasi operasi.
Ketika sedang sibuk pasukan pertama meninjau kawasan operasi, sekumpulan penyelam tempur bergerak dengan senyap merapati kawasan operasi.
Pergerakan senyap itu dibantu penggunaan kenderaan bawah air yang dikenali bot Zodiac (CCBA) yang mempunyai keupayaan tidak mengeluarkan bunyi mahupun buih udara di dalam air.
Penyelam turut menggunakan alat bantuan penafasan yang juga mempunyai ciri senyap bagi mengekalkan para anggota bertahan di dalam air dalam jangka waktu yang lama.
Dalam pada itu, sebuah lagi pasukan sedang siap sedia menerima arahan daripada pasukan peninjau pertama bagi menjalankan operasi.
Setelah segala perincian kawasan tersebut diselidiki, mereka mula mengatur langkah bagi menyelamatkan tebusan dan menggempur kawasan musuh.
Setelah arahan siap diterima, mereka melakukan pergerakan serentak dari tiga sudut berbeza.
Serangan melalui hadapan dilakukan oleh pasukan penggempur dan penembak tepat dan juga turut dibantu oleh dua pasukan penggempur dari kawasan sudut bagi menyelamatkan tebusan.
Serangan tersebut turut dibantu pasukan bot tempur dan juga jetski yang begitu terlatih mengendalikan kenderaan yang digunakan.
Bot RIRC memasuki kawasan operasi bersama sekumpulan pasukan khas dengan diiringi jetski penggempur bagi membantu pasukan
dalam menyelamatkan tebusan.
Pasukan jetski dilihat mengawasi kawasan operasi bagi memastikan musuh tidak berjaya melarikan diri daripada pihak berkuasa.
Setelah serangan yang begitu hebat dilakukan oleh pasukan tersebut, mereka mula meninggalkan kawasan opersi bersama tebusan yang telah diselamatkan.
Kagum
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin ketika bersama-sama menyaksikan pertunjukan itu berkata, ATM akan terus berusaha memantapkan lagi kekuatan serta ketangkasan para anggotanya dalam menuju ke arah kemodenan ATM.
''Apa yang disaksikan dalam demonstrasi itu tidak boleh dihasilkan dalam masa sekelip mata.
''Mereka telah dilatih selama beberapa tahun bagi menghasilkan anggota yang begitu mantap dan mampu diuji ketahan daripada segi mental dan fizikal dalam jangka masa yang lama.
''Itu yang menjadikan mereka sebagai pasukan terbaik di rantau ini," katanya kepada pemberita selepas bersama menyaksikan kehebatan anggota Gerak Khas menjalankan demonstrasi.
Kehebatan
Operasi yang dijalankan oleh Rejimen Gerak Khas itu sememangnya menujukkan kemampuan sebenar ATM dalam membanteras keganasan.
Mereka merupakan pasukan yang begitu terlatih dan sering menyertai latihan bersama pasukan-pasukan tentera dari negara luar.
Kecekapan pasukan itu sememangnya amat membanggakan dalam usia ATM ketika ini. Kecekapan, disiplin dan peralatan yang canggih
banyak membantu ATM dalam mengekalkan keamanan negara termasuk membanteras keganasan.
Rakyat harus berbangga kerana negara mempunyai pasukan keselamatan yang kuat di samping tenaga kepakaran yang boleh dibanggakan.
No comments:
Post a Comment