Pages

Tuesday, January 19, 2010

ATM tingkat kawalan - Zahid

Sumber: Utusan

KOTA KINABALU 16 Jan. - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah ditingkatkan pada tahap kesiagaan tinggi bagi menghadapi sebarang ancaman yang mungkin berlaku di kawasan perairan pantai timur Sabah.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, selain meningkatkan rondaan, ATM bersama polis akan bekerjasama dengan pasukan keselamatan negara jiran bagi membendung segala ancaman yang boleh menganggu keselamatan negara.

Sehubungan itu, beliau meminta pelancong dan pelawat tidak berasa bimbang kerana keselamatan di negeri ini khususnya di kawasan pelancongan adalah terjamin.

''Saya memberi jaminan keselamatan di negeri ini adalah terkawal dan tidak ada sebab untuk berasa terlalu bimbang.

''Selain meningkatkan rondaan kita akan menggunakan segala aset yang ada seperti radar dan kamera jarak jauh bagi memantau setiap pergerakan di perairan negara,' ' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu di Sepanggar dekat sini.

Hadir sama Panglima Wilayah Laut Dua, Laksamana Pertama Datuk Anuwi Hassan dan Panglima Angkatan Kapal Selam, Mohammad Rasland Omar.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang dalam rangka lawatan rasmi sehari ke negeri ini melawat Kem Markas 5 Briged, Kem Lok Kawi di sini.

Semalam, Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur mengeluarkan nasihat perjalanan memberi amaran bahawa kumpulan penjenayah dan pengganas sedang merancang untuk menyerang rakyat asing di pulau-pulau sekitar Sabah.

Sehubungan itu, kedutaan berkenaan menggesa agar langkah berjaga-jaga diutamakan dalam membuat sebarang perjalanan ke kawasan pedalaman di timur Sabah termasuk Semporna, Pulau Mabul dan Sipadan.

Ahmad Zahid berkata, ini bukan kali pertama amaran perjalanan seperti itu dikeluarkan.

Katanya, ATM sentiasa memastikan keselamatan perairan negara di Sabah terkawal menerusi operasi Ops Pasir dan Ops Sinar.

''Kita pun menerima maklumat risikan yang sama dan dengan itu kita meningkatkan kesiagaan kita," katanya.

Mengulas mengenai masalah perumahan anggota di pangkalan berkenaan, beliau berkata, masalah tersebut akan diatasi selewat-lewatnya akhir tahun ini menerusi kerjasama dengan sektor swasta.

''Malah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sedia membantu kita mengatasi masalah kediaman ini," katanya.

No comments:

Post a Comment