sumber: Majalah Perajurit Edisi Dis 2009
Oleh : Hamzah Hd.
Pulau Langkawi sekali lagi akan dibanjiri pelawat sempena International Maritime and Aerospace Exhibition 2009 (LIMA’09). Peminat-peminat pertahanan negara tentunya tertunggu-tunggu apakah pengumuman yang bakal di umumkan oleh kerajaan bersangkutan dengan perolehan baru atau tambahan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) maupun kepada agensi-agensi penguatkusaan lain untuk tempoh mendatang.
Pameran pertahanan dwi-tahunan yang bertaraf antarabangsa ini selalunya menjadi medan pemilihan dan rundingan untuk sesuatu perolehan aset ketenteraan dan penguatkusaan antara kerajaan dengan kerajaan pengeluar peralatan ketenteraan.
LIMA ’07 yang lalu memberi sedikit sinar pengharapan kepada TLDM di dalam pencarian sebuah kapal Multy Purpose Supply Ship (MPSS) yang bukan untuk penggantian tetapi penambahan kepada kekuatan skuadron kapal-kapal pembekal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Ianya menjurus kepada keperluan sebenar TLDM untuk menjangkau keperluan negara dalam pelbagai dimensi operasi di dalam misi ketenteraan, pengangkutan awam dan misi-misi bantuan bencana dalam negara dan negara-negara serantau.
Penglibatan LP-X DOKDO Amphibious Ship Republic Of Korean Navy (ROKN) dalam pameran LIMA’07 telah menambat hati pihak atasan untuk merealisasikan impian TLDM kepada perolehan kapal dalam kelas tersebut.
Perolehan ini banyak disokong bukan sahaja oleh anggota-anggota TLDM sendiri malah juga komentar positif dari penganalisis pertahanan yang memberi gambaran DOKDO adalah calun terbaik untuk penambahan aset di dalam inventori skuadron bantuan berasaskan saiz, spesifikasi dan keupayaan kapal kelas tersebut.
Namun apa yang telah semua maklum, rancangan penambahan ini terpaksa ditangguh atas alasan faktor ekonomi negara yang tidak memberangsangkan. Alasan ini telah juga membekukan perolehan helikopter EC-725 COUGAR untuk penggantian NURI Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang sudah terlalu hampir perolehannya setelah melalui beberapa kontroversi pembelian. Turut menamatkan percakapan umum ialah perolehan pesawat AEWA&C, Frigate Bac 2 dan lain-lain perancangan berskala besar ATM.
Ramai penganalisis pertahanan mengatakan Bajet 2010 untuk sektor pertahanan yang baru lalu seolah-olah turut memberi pengesahan kepada kelembapan perolehan yang telah dinyatakan. Dengan jumlah peruntukan RM 3.7 billion untuk sektor ini akan melembabkan perolehan kerana terpaksa berkongsi keutamaan-keutamaan lain seperti pembangunan modal insan, latihan dan sebagainya. Walaubagaimanapun rakyat diberi pengharapan bahawa peruntukan kepada pertahanan bukan boleh dinilai kepada bajet tahunan negara semata-mata malah ianya akan berubah berdasarkan kontijensi yang tidak dijangka pada bila-bila masa.
KD Sri Inderapura (KD SIP) Terbakar
Pada 8 Oktober 2009, negara sekali lagi dikejutkan oleh tragedi yang melibatkan aset TLDM iaitu kebakaran ke atas KD SIP. Ex-Newport Class Tank Landing Ship (LST) USS Spartanburg County (LST-1192) yang telah dilancarkan pada tahun1970 dan memasuki inventori TLDM pada akhir 1994 telah terbakar semasa merapat di Dermaga Air Dalam Pangkalan TLDM Lumut.
Bukan sekali dalam sejarah, kapal-kapal TLDM mengalami kebakaran tetapi dalam kejadian-kejadian sebelum ini semuanya mampu ditangani oleh anggota-anggota kapal sendiri. Berbeza sekali dengan apa yang dialami oleh kapal yang berusia 40 tahun ini yang pernah terbakar pada tahun 2002 berpunca dari litar pintas pendawaian elektrik yang dikatakan telah usang. Kebakaran kedua ini juga telah disahkan oleh pasukan penyiasat yang ditubuhkan disebabkan oleh litar pintas.
Kebakaran kali ini telah memusnahkan KD SIP secara total yang akan membawa kepada perlucutan tauliah.
‘Kehilangan’ KD SIP dari pegangan merupakan satu tamparan kepada TLDM yang selamanya sangat menitikberatkan soal keselamatan, mengawal kerosakan dan mencegah kebakaran sebagai salah satu cara hidup navy peoples. Latihan ini adalah latihan mandatori untuk semua unit yang dilakukan serentak setiap hari pada pukul 5.00 petang kepada awasan bertugas yang diselia oleh bintara yang berkelayakan Nuclear Biological Chemical and Damage Instructor (NBCDI) dengan diawasi oleh Pegawai Bertugas Harian (PBH). Kegagalan unit-unit mematuhi perintah tetap ini tanpa sebarang alasan akan dikenakan tindakan tatatertib. Latihan ini juga diperkemaskan semasa latihan-latihan kemahiran untuk semua anggota kapal.
Namun pepatah sering menyebut ‘malang tidak berbau’. Apa yang telah berlaku sudah menjadi suatu takdir tetapi untuk meyakinkan khalayak pembayar cukai tidak memadai dengan ungkapan ini.
Ironinya jika ramai di antara khalayak yang mengatakan kejadian ini berpunca dari sabotaj atau kelalaian manusia maka dengan sendiri meragui dan mempertikaikan kebolehan, kemahiran malah intergriti navy peoples di dalam menjaga amanah negara.
Skeptikal dengan kewaspadaan anggota awasan bertugas juga kurang adil kerana hasil siasatan pasukan penyiasat kejadian telah membuktikan bahawa faktor teknikal menjadi penyebab utama dan ianya berlaku ketika sebahagian anggota bertugas sedang tidur.
Untuk mengesan punca api dalam sebuah kapal sebesar itu melalui satu proses yang mengambil masa sementara attack party betul-betul bersedia untuk memadam punca api sebenarnya api sudah marak dan tidak lagi sepadan untuk memadam dengan menggunakan alat pemadam api kecil (APAK).
Khalayak sedang mencongak perkhidmatan KD SIP dalam TLDM selama hampir 15 tahun walaupun telah banyak menyempurnakan misi-misi penting TLDM ianya masih tidak berbaloi dengan kos pembelian, penyelenggaraan pemulihan pra entri untuk disesuaikan dengan keperluan TLDM dan pemulihan selepas kebakaran pertama. Itulah moral sebenar kepada skeptikaliti pembelian kapal-kapal lama yang telahpun ditamatkan perkhidmatan oleh negara-negara lain.
Sesuatu yang perlu diambil iktibar oleh TLDM dan kementerian pertahanan khususnya ialah pemilihan untuk membeli aset-aset terpakai untuk keperluan pertahanan bukan suatu keuntungan jangka panjang.
Dalam keadaan kapal bertenang di dermaga pun boleh berlaku litar pintas apatah lagi jika kapal setua ini berhadapan dengan ancaman perang yang akan memaksa segala jentera bekerja keras dan seumpamanya sudah tentu akan lebih banyak lagi musibah yang akan ditanggung oleh anak-anak kapal.
Menyelami permasalahan anak-anak kapal untuk mengendali dan memantau peralatan lama di dalam sebuah kapal sebesar itu adalah berbeza dengan pendedahan anak-anak kapal dengan kapal baru yang akan diberi pemahaman terhadap sistem kapal seawal pembinaan.
Sebagai kesimpulan dan pengiktibaran, untuk tidak mahu pisang berbuah dua kali, adalah lebih menguntungkan jika TLDM terus membeli kapal baru bila mana membuat keputusan untuk penambahan atau penggantian aset.
Ini akan memberi keuntungan jangka panjang dari sudut tempoh penyelenggaraan yang singkat tanpa menjejaskan masa operasi kapal dan pemusatan anak-anak kapal kepada kemahiran teknikal maupun taktikal yang merupakan tujuan utama kewujudan angkatan perang.
Pengganti Sri Inderapura
Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sememangnya sudah ada perancangan ATM untuk memiliki kapal sokongan pelbagai guna bagi menyediakan keperluan kepada ketiga-tiga perkhidmatan dalam sesuatu misi. Selepas tragedi kebakaran yang menimpa KD SIP, hanya dua kapal logistik iaitu KD Sri Indera Sakti dan KD Mahawangsa sahaja yang tinggal dan situasi ini sangat meruncing untuk mengaturgerakan keperluan-keperluan semasa yang sangat mendesak.
Sebagai peningkatan kepada aset sedia ada di samping memperkasakan keupayaan mobiliti Angkatan Bersama ATM, kapal sokongan pelbagai guna sepatutnya berupaya untuk mengangkut pesawat helikopter, kenderaan-kenderaan seperti kereta kebal, kereta perisai dan anggota tentera dalam jumlah yang besar, ke mana-mana lokasi operasi yang dirancang.
Kapal logistik terbesar yang pernah dimilik TLDM setakat ini ialah KD SIP adalah seberat lapan tan. Jika masih mengambil kira keperluan ATM yang pernah disuarakan oleh mantan PAT Laksamana Tan Sri Mohd. Anwar bin Mohd. Nor, kapal yang akan dibeli oleh ATM adalah anggaran 12000 hingga 15000 tan.
Dalam perkembangan lain selepas itu, Mantan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan yang Malaysia telah menempah sebuah kapal pengangkut pelbagai guna dari Korea Selatan yang bakal dibina oleh Hanjin Heavy Industries & Construction.
Setelah hampir dua tahun isu perolehan ini dibekukan, Dalam perkembangan terkini, bertitiktolak kepada ‘kehilangan’ KD SIP, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi telah mengumumkan KD SIP perlu pengganti.
Ramai pemerhati dan penganalisis pertahanan tertanya-tanya jika perolehan ini diteruskan adakah ianya masih tertumpu kepada DOKDO?. Jika ianya dikaji semula, bermakna LIMA’09 akan menjadi medan pelobian oleh pempamir-pempamir dari negara-negara partisipasi.
Namun sebelum daripada itu Menteri Pertahanan menyatakan beberapa buah negara disebut yang telah dikenal pasti untuk perundingan ke arah itu. Salah satu daripadanya adalah negara China.
Dalam masa yang sama secara kebetulannya Presiden China, Hu Jintao dalam lawatannya ke Malaysia sedang merangka persefahaman strategik dengan Malaysia termasuk hal ehwal pertahanan. Mungkinkah petunjuk ini juga memungkinkan potensi untuk perolehan kapal pelbagai guna akan beralih ke negara tersebut?.
Sebagai perbandingan senarai beberapa buah kapal sokongan pelbagai guna yang sering peminat-peminat pertahanan tanahair perkatakan mengikut kesesuaian berdasarkan beberapa keperluan asas yang digariskan melalui beberapa kenyataan pucuk pimpinan ATM.
Di antara karakteristik umum yang diperbandingkan ialah berdasarkan karakteristik asas seperti saiz, muatan dan keupayaan membawa trup dan peralatan tentera. Walaubagaimana pun pengubahsuaian biasanya akan dibuat mengikut spesifikasi yang akan ditentukan oleh pengimpot.
Perkara terakhir yang akan diambil kira ialah harga. Platform pelbagai guna yang digambarkan adalah sekadar gambaran penulis yang mana melingkari anggaran saiz yang diperlukan oleh TLDM.
1. LP-X DOKDO Amphibious Ship ROKN
Builder : Hanjin Heavy Industries
Propulsion : 4 S.E.M.T. Pielstick 16 PC2.5 STC Diesel engine
Length : 200 meters
Beam : 32 meters
Draught : 6.5m
Displacement : 14,340 tons (loaded displacement: 18,860 tons)
Speed : 22 knots
Crew : 450
Carrying capacity: 1 battalion (700 marines)
10 AAVP7A1 (up to 70) up to 200 vehicles
15 UH-60 or 10 SH-60F Ocean Hawk helicopters
2 LCACs (Landing Craft Air Cushioned)
2. LPD Foudre Class Landing Platform Dock
Builder : DCN, Brest
Propulsion : Engines: 2 SEMT Pielstick 16 PC 2.5 V400 diesels
Propellers: 2 adjustable-blade propellers and one beam propeller
Auxiliaries: 1 beam propeller (1,000 hp)
Length :168 metres
Beam : 23.5 metres
Draught: 5.2 metres
Displacement : 11,300 tonnes (standard)/ 12,000 tonnes (full load)
Speed : 21 knots
Crew : 160
Carrying capacity : 8 landing crafts
Capacity: 150-man command headquarter Troops: 450 (900 for a short cruise)
Aircraft carried: 4 helicopters
Aviation facilities: Hangar
3. Type 071 (Yuzhao class) Amphibious Transport Dock
Builder : Hudong-Zhonghua Shipyard
Propulsion : CODAD, 2-shaft, 4 x SEMT Pielstick 16 PC2.6 V400 Diesel engines (35,200 kW), 47, 200hp
Length : 210 m
Beam : 28 m
Draught: 7 m
Displacement : 20,000+ tons
Speed : 22+ knots
Crew : 120
Carrying capacity : marine corps battalion, including 500~800 troops
Capacity: 15~20 amphibious armoured vehicles, and 4 LCAC
Aircraft carried: 2-4 Z-8 Super Frelon
Aviation facilities: Hangar
Ulasan
TLDM yang baru sahaja memasuki dimensi pertahanan bawah permukaan masih lagi bergelut dengan perolehan baru sebagai tambahan kepada flotilla serang yang dilihat belum mencapai tahap dominan untuk mengawasi perairan negara jika berlaku ancaman pesat.
Dalam suasana pembangunan Angkatan Bersama yang semakin pesat semestinya menuntut platform yang dinamik untuk menyokong ke medan operasi tetapi apa yang sedang berlaku ialah persediaan dari sudut bilangan dan keupayaan platform dalam flotilla bantuan semakin berkurang. Demi maslahat pertahanan, perolehan ini sangat perlu disegerakan walau dengan apa cara sekalipun sebagai pengganti KD SIP. Dilemanya adalah jangkamasa yang terpaksa ditunggu jika membina platform baru akan mencecah angka 5 tahun pembinaan. Jika membeli lagi kapal terpakai untuk penggantian segera juga memerlukan beberapa tahun untuk pengubahsuaian dan suaikenal dan dikuatiri juga tidak ekonomik.
Walau apa pun jenis kapal pelbagai guna yang bakal diputuskan oleh kerajaan, ianya sudah pasti akan memberi perhatian kepada semua golongan rakyat yang cintakan keamanan. Ke arah merealisasikan perolehan ini juga menuntut kefahaman dan patriotisme setiap rakyat jelata tanpa membezakan kedudukan dan fahaman politik kerana setiap warganegara mempunyai peranan di dalam menjaga keamanan.
Dari golongan bangsawan sehingga golongan marhaen, ATM menjadi dahan untuk berpaut di kala negara menghadapi ancaman dari luar. Mengoptimumkan keupayaan pertahanan bukan suatu yang boleh dibuat sambil lewa kerana aspek ini boleh membuka ruang kepada provokasi-provokasi yang boleh menggugat maruah dan kedaulatan tanahair. Tanpa peralatan dan kelengkapan yang gah, usaha ke arah cegah rintang tidak akan memberi kesan kepada pihak lawan. Perajurit
No comments:
Post a Comment