Sumber: utusan
LANGKAWI 28 Nov. - Ruang udara pulau legenda Langkawi mula digegarkan dengan pesawat-pesawat tempur yang membuat latihan terakhir menjelang berlangsungnya Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 2009) Selasa ini.
Beberapa pesawat tempur seperti Sukhoi milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan helikopter Apache Longbow AH-64D milik Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) dilihat berlegar-legar sekitar ruang udara Langkawi.
Pesawat supersonik yang bingit bunyinya itu dan helikopter pejuang yang membuat penampilan sulung dalam sejarah penganjuran LIMA sejak 1991, menarik perhatian orang ramai yang berada di pulau ini.
Malah orang ramai dilihat berkumpul di luar pagar berdekatan landasan lapangan terbang tersebut dan juga kawasan-kawasan tinggi berhampiran bagi melihat lebih dekat pesawat yang turun dan naik serta membuat latihan itu.
Pengarah Urusan HW Lima Sdn. Bhd., syarikat penganjur pameran kali ini, Ahmad Dzuhri Abdul Wahab berkata, LIMA 2009 akan berlangsung dari 1 hingga 5 Disember ini melibatkan 325 peserta dari 25 buah negara.
''Pameran sektor udara akan berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) bersebelahan lapangan terbang manakala pameran maritim di Awana Porto Malai," katanya dalam kenyataan akhbar di sini.
Menurutnya, LIMA 2009 dijadual akan dibuka secara rasmi pada 1 Disember ini dan orang ramai berpeluang melawat pameran di MIEC pada 3 dan 4 Disember.
''Pertunjukan udara oleh pesawat tempur akan bermula Selasa ini dan akan diadakan setiap hari bermula pukul 10 pagi," katanya.
Ahmad Dzuhri berkata, bersempena LIMA 2009, Persidangan Maritim Antarabangsa akan diadakan esok manakala Persidangan Kuasa Udara pada Isnin ini.
Selain pameran udara dan maritim katanya, LIMA juga akan menjadi tempat untuk para peserta melihat peluang niaga dalam industri berkaitan.
No comments:
Post a Comment